Sunday, May 31, 2020

Keterujaan kepada Muhyiddin macam pelangi

ULASAN

Muhyiddin: Rasa hormat orang ramai mengecil.
TANGGAPAN Muhyiddin Yassin sebagai seorang pemimpin tegas, bersih dan berkualiti yang dilihat sebelum ini adalah kepada apa yang beliau telah lakukan sebelum ini.

Selain itu kebetulan beliau juga dilahirkan dari keluarga kuat beragama. Ayahnya dikategorikan sebagai seorang tuan guru. Wasilah itu menjadikan beliau seorang Melayu yang mempunyai ciri-ciri seorang mukmin.

Kita mempercayai itu kerana keturunan mempengaruhi seseorang itu walaupun iman dan takwa itu tidak boleh diwarisi daripada seorang ayah atau ibu secara automatik. Lantaran itu beliau dilihat seorang yang warak, apa lagi tidak ada sebarang skandal atau penyelewengan dikaitkan dengan dirinya.

Keterujaan orang kepada Muhyiddin juga ditambah oleh keperibadian insan penting dengannya, isterinya Noraini Abdul Rahman yang lemah lembut dan bersifat humble. Tengoklah macam mana merendah dan humble isteri beliau sehingga kini kita tidak nampak dia berbangga dengan jawatan disandang suaminya.

Noraini tidak seperti setengah isteri pembesar lain, berselfie dengan suami, atau bergambar berpegang tangan, macam budak-budak SMA. Noraini menjadi "narasumber" dan memberi nilai tambah kehebatan Muhyiddin.

Bagaimana pun apa yang disangka itu meleset. Rupa diri Muhyiddin dan keterujaan itu hilang sekelip mata sahaja kerana permainan dan percaturan politik beliau yang tidak cermat dan rakus. Sepatunya beliau muncul sebagai perdana menteri terbaik, setidak-tidak dari segi moral berbanding dengan beberapa perdana menteri sebelum ini selepas berjaya menjadi PM.

Keperibadian beliau dengan Najib Razak bekas bosnya yang dilawan, semakin mendekati kehidupannya, dan tidak begitu menjarakkan dengannya daripada apa yang berlaku kini. Dalam aksi politiknya ia serupa dengan Najib bahkan lebih teruk (sadis) berbanding dengan Najib.

Maka jadilah keindahan dan kekaguman kepadanya bersifat sementara seperti pelangi muncul selepas gerimis senja, hanya indah sekelip mata sahaja. Memang ghalib manusia begitu untuk mempertahankan kehebatan dan rasa hormat orang itu sukar, tidak semudah untuk mengundang kemarahan dan kebencian orang.

Apabila beliau dipecat oleh Najib Razak kerana mempersoalkan wang 1MDB, RM2.5 billion yang masuk ke dalam akaun bekas PM itu, orang melihat Muhyiddin pemimpin yang bersih dan tidak mudah berkompromi dengan kebejatan. Seorang pembenci korupsi. Orang membuat ukuran Muhyiddin jauh lebih ikhlas dan bertanggungjawab berbanding dengan Najib yang sudah disuluh sebagai penyangak.

Dan apabila beliau sedia bersama PH, bersama Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu dan individu atau kumpulan yang dilawan selama ini untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi bagi membina Malaysia baru, orang melihat Muhyiddin seorang pemimpin yang ada prinsip dan berjuang untuk rakyat. Pemimpin yang sanggup melupakan peluang kerana tidak setuju dengan penyelewengan dan kebejatan. Beliau dilihat berkarisma.

Beliau sudah jadi TPM ketika itu, pada kedudukan tinggi dan telah membuka peluang baik kepadanya, tetapi beliau sanggup menafikannya kerana prinsip. Itu yang orang lihat dan pengorbanan untuk melawan Najib itu mendapat pujian. Beliau berani sanggah Najib dan akhirnya dicopot oleh Najib sebagai TPM. Pengguguran daripada Umno menjadi dunia dan masa depan politiknya terbata-bata. Tetapi beliau bernasib baik kerana mendapat kerjasama baik daripada PH.

Keberaniannya melawan Najib menjadikan beliau diberikan piala kejohanan itu. Tetapi selepas berlakunya peristiwa rampasan kuasa 25 Februari lepas, wibawa dan integriti beliau dalam berpolitik mula dipertikaikan. Peristiwa itu orang melihat beliau tidak seperti mana yang dijangka sebelum ini. Orang mula membuat persepsi negatif kepadanya bahawa beliau seorang bernafsu juga, kerana diam-diam menyimpan rahsia untuk jadi PM, sedihnya untuk mencapai cita-cita itu sanggup dilakukan secara tidak bermoral.

Semua musnah apabila beliau sanggup bersekongkol dengan manusia bernafsu besar untuk mengejar kedudukan dan dalam masa sama sanggup mengkhianati perjanjian bersama dengan rakan-rakan PH dengan melakukan kudeta yang bermuafakat dengan musuh kerajaan yang dianggotai sendiri. Mungkin orang tidak berdukacita kalau beliau melakukan secara gentlemen.

Beliau melakukan pengkhianatan itu dengan berselindung di sebalik alasan yang kabur dan tidak dibuktikan hingga kini kononnya untuk menyelamatkan keadaan (Malaysia) daripada dikuasai oleh Cina DAP.

Sudah dua bulan Muhyiddin jadi PM, ternyata beliau gagal mengekalkan status dirinya yang dikagumi sebelum ini. Sebaliknya darjat dan maruahnya terus hilang dan terhakis. Sisa-sisa keyakinan umum yang melihat beliau seorang baik, berjurus, sudah kian mengecil dan menirus. Dengan terdedah beberapa rakaman video dan membongkar tindak tanduknya sebelum ini, merancang untuk melakukan kudeta jelas menampakkan yang hakikat dirinya berbeza dengan apa yang tergambar di luar selama ini.

Misalnya rakaman mendedahkan taktik dan strateginya untuk merampas kuasa dengan mengajak ahli parlimen Umno kemudian dijanjikan habuan, menjelaskan perbuatan atau aksi politik jijik oleh beliau. Perbuatan itu kontras dengan syaksiah beliau selama ini yang dilihat sebagai seorang pemimpin berprinsip dan berintegriti. Strategi itu menjelaskan bahawa beliau juga seorang penganut Machiavelisme.

Apakah beliau akan memulihkan kembali martabat dirinya yang semakin hilang itu? Bukan senang nampaknya apabila beliau telah terang meletakkan kedudukan dan kuasa sebagai sesuatu yang diidamkan dan bukannya mengimpikan sebuah politik luhur dan murni yang diharapkan rakyat. Sementelah lagi kedudukannya kini dalam keadaan kian meruncing beliau akan melakukan apa sahaja sesuai dengan "kecepuahan" dunia politik itu sendiri. [wm.kl.6:19 pm 31/05/2020]

Glossori:
Kecepuahan (kn) : kekokoran, kenajisan 

No comments: