Monday, September 28, 2020

Pirane Sabah belum muktamad, krisis baru "terkobek"

ULASAN

Bung Mokhtar dan Hajiji sedang bertarung.
PILIHAN RAYA negeri Sabah sudah pun selesai menjelang tengah malam tadi (26 September) dengan keputusan muktamad GRS menang dengan mendapat majoriti mudah. GRS mendapat 38 kerusi sementara Warisan Plus mendapat 32 kerusi. 

GRS akan berpeluang membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sekurang-kurangnya 37 kerusi daripada 73 kerusi begitulah kalau mengikut konvensyen. 

Walaupun begitu proses seterusnya, pasca pilihan raya membentuk kerajaan baru Sabah masih belum muktamad. Masih bersimpang siur dan berhadapan dengan seribu kemungkinan yang sukar untuk diramal. Ia boleh jadi berlarutan untuk beberapa hari lagi. Wahyu dari langit juga diperlukan. 

Perkara pokok sedang dirunding dan sukar untuk diputuskan siapakah dipilih untuk jadi Ketua Menteri Sabah yang baru. Ada dua nama disebut dan dijanjikan oleh GRS untuk dilantik sebagai KM, Hajiji Mohd Noor mewakili (PPBM) sementara Bung Mokhtar Radin daripada (Umno). Perwujudan dua nama ini memberi masalah kepada GRS.

Saat ini kita percaya pihak yang menang, parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang giat menyusun dan mencari formula untuk melantik Ketua Menteri, yang membolehkan dibentuk kabinet selepas itu. Ada tanda-tanda seperti memilih KM ini lebih rumit daripada mencapai kata sepakat untuk membentuk GRS sebelum ini ekoran berbagai teori dan spekulasi yang bergentayangan kini.

Seperti disebut di atas tadi GRS Sabah ada dua calon untuk diangkat menjadi KM. BN mahukan Bung Mokhtar Radin yang juga selaku pengerusi Umno Sabah, sementara PN pula mahukan Hajiji selaku pengerusi PPBM atau Bersatu. Kedua mereka adalah dua nama popular dalam GRS dan kita yakin lobi melobi sedang berlaku dengan hangat.

Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan juga kapten daripada pihak PN awal-awal menyebut mereka akan melantik Hajiji sebagai KM, manakala Zahid Hamidi selaku kapten di sebelah BN menginginkan Bung Mokhtar. Ketidak bersependapat mengenai calon KM ini akan jadi masalah dan ia menjelaskan berlaku ketegangan di antara Zahid dan Muhyiddin yang memberi konotasi Umno tidak serasi dengan PPBM. Tidak musatahil juga ia akan mengheret kepada perang saudata antara Umno dengan PPBM. 

Ahmad Zahid Hamidi memberi alasan wakil daripada Umno (BN) yang seharusnya menjadi KM memandangkan parti itu menang besar 14 kerusi berbanding dengan PPBM (PN) 11 kerusi. Tetapi perlu diingat PPBM berada dalam gabungan PN bersama Star dan SAAP yang mempunyai jumlah kerusi 17. 17 berbanding dengan 14 tentulah 17 lebih berhak dari jumlah kerusi.

Justeru Umno atau PPBM kena berusaha untuk mendapat kerusi lebih besar bagi mengesahkan wakil mereka menjadi KM. Di sinilah tersebarnya spekulasi dan juga teori, BN boleh memanggil PBS yang mempunyai 7 kerusi untuk bergabung. Kalau PBS bergabung dengan BN, bermakna BN mempunyai 21 kerusi dimana ia melebihi jumlah kerusi PPBM dan Star, 17.

Untuk memungkinkan keadaan ini Umno (GRS) boleh menawarkan jawatan tertentu kepada PBS asalkan parti itu bergabung dengannya. Bagi BN yang penting dapat meletakkan orangnya sebagai Ketua Menteri dan GSR menguasi kerajaan. 

Selain senario itu penentuan KM juga bergantung kepada beberapa faktor. Warisan Plus sendiri juga mampu untuk membentuk kerajaan sekiranya parti itu mendapat kerusi lebih. Satu cara untuk menambah kerusi, Warisan bergabung dengan Umno? Jika Warisan bergabung dengan Umno, ia memiliki 43 kerusi, angka ini lebih mencukupi. Tetapi kemungkinan ini amat mustahil sekali. 

Kalau Umno gagal menyelesaikan perebutan KM dengan PPBM, dan sekiranya Umno berkeras ia boleh jadi begitu. Ada keperluan dan logik kalau Umno bergabung dengan Warisan. Dengan mengambil kira pergolakan di Kuala Lumpur kini. Ia ada kemungkinan boleh berlaku, bila dilihat kepada kekeruhan hubungan Umno dengan PPBM (Muhyiddin) bila mana PPBM cuba memperlecehkan Umno, menyebabkan Umno boleh cari jalan keluar untuk mengajar PPBM dan Muhyiddin?

Berhubung siapa KM antara Hajiji dengan Bung, semalam mereka sudah pun menemui Yang Di-Pertau Negeri Sabah Juhar Mahiruddin. Tetapi penghadapan itu sia-sia sahaja apabila mereka berdua di suruh balik dan Juhar Mahiruddin kerana beliau memerlukan sedikit masa untuk beliau mengkaji sesuatu. Kaji apa? Ini suspen.

Ada maklumat tersebar kalau mengikut perlembagaan tubuh negeri Sabah parti tunggal yang mempunyai banyak kerusi berhak untuk tubuh kerajaan. Kalau perkara ini diambil kira, Warisan Plus berpeluang bentuk kerajaan kerana Warisan adalah parti secara tunggal mendapat jumlah kerusi terbanyak, 29 kerusi. Apakah Juhar minta tangguh itu untuk menilai perlembagaan Sabah? Akan ada persilangan lagi? 

Penentu siapa atau pihak mana berhak jadi KM bukan terlingkungan di antara BN dan PN sahaja. Masih ada kemungkinan lain yang boleh merubah siapa akan dilantik menjadi KM. Walaupun PN boleh menggunakan alasan 17 undi itu tetapi apa pula akan terjadi kalau PBS yang tidak bergabung dengannya tiba-tiba menarik sokongan ia menyebabkan PN tidak cukup angka. Dengan tujuh (7) kerusi dimenangi PBS boleh menjadi king maker. 

Baik GRS dan Warisan Plus kalau tanpa penyertaan PBS yang memiliki 7 kerusi mereka tidak dapat menubuhkan kerajaan. Di sini peranan dan kuasa PBS penting. Tetapi apakah PBS bersedia untuk mengkhianati perjanjian dengan PN kerana sebelum ini PBS berada dalam GRS bersama PPBM dan lain-lain?

Mengambil kira persetiaan dan perjanjian tidak mudah berlaku dalam politik, janji dan perikatan PBS itu boleh relai bila-bila masa. Ia terletak kepada integriti dan cara PBS berpolitik. 

Pencapaian parti.

Dari sisi lain Pirane Sabah itu menunjukkan Warisan menjadi parti masa depan di negeri itu. Warisan menang 23 kerusi menambah dua kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini, 21 kerusi. Ertinya kedudukan kerusi Warisan tidak berubah dan ia menjadi parti yang stabil. Walaupun Shafie Apdal diserang kiri dan kanan, oleh orang Sabah dan gerombolan Kuala Lumpur namun beliau masih utuh.

Begitu juga dengan DAP tetap menonjol dalam pilihan raya semalam apabila menang hampir seratus peratus apabila mendapat enam (6) kerusi daripada tujuh (7) kerusi. DAP berjaya mengekalkan pengaruhnya di Sabah. 

Kemenangan DAP ini memberi signifikan bahawa pengaruh dan sokongan masyarakat Cina kepada parti itu tidak berubah bahkan makin bertambah. Dengan mengambil kira Warisan dilihat parti yang berkawan dengan PH (PKR dan Amanah), apa dicapai DAP itu menjadi petunjuk juga kepada suasana politik orang Cina di Semenanjung. Mood pengundi Cina masih kekal dengan PH. 

Orang-orang Cina yang mempunyai keberanian dan berpolitik lebih terbuka dan menjaga kepentingan mereka, masih mempercayai kepada PH. Sebab itu saya kata perubahan besar pengundian Cina di Pirake Tanjung Piai Johor tidak lama dulu bukan menunjukkan penolakan masyarakat Cina kepada PH, tetapi mereka benci kepada Mahathir Mohamad dan menghantar mesej agar OT95 berundur. 

PKR juga boleh berbangga dengan pencapaian pilihan raya semalam. Walaupun parti itu gagal menambah kerusi dan kekal menguasai dua kerusi sebelum ini, tetapi ia satu kebanggaan kepada parti itu. Walaupun PKR dilanda krisis besar dan dilanun oleh timbalan presidennya, Azmin Ali bersama 10 lanun lain, tetapi PKR masih berjaya mengekalkan dua kerusi. 

Tidak boleh diketepikan krisis dalam PKR apabila 10 orang MP "sengkek" nya meninggalkan parti itu ia memberi kesan kepadanya.

Tentang parti serpihan Pas, yakni Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding di satu kerusi, ternyata parti itu lebih baik dan dihormati daripada "bapa saudaranya" Pas. 

Akhirnya kita kena menerima keunikan politik di Sabah yang rencam serta memahami politik di negeri di bawah bayu itu bukan sebuah perjuangan bagi pemainnya tetapi sebuah perniagaan dan perdagangan. Sebagai perdagangan mereka tidak memikirkan apa itu perjuangan, tetapi senantiasa memikirkan bagaimana untuk memadatkan poket dengan wang ringgit. Kedudukan dan kuasa sebagai wakil rakyat dijadikan aset dan boleh dijual beli. 

Fenomena kotor demokrasi di Sabah itu sudah pun menjalar di Semenanjung. Pedomannya ialah apabila para pedagangan politik sanggup khianat mandat rakyat dan kudetakan kerajaan PH. Sesungguhnya kudeta tempoh hari menjatuhkan integriti dan maruah politik negara, yang berlaku di era OT95. [wm.kl.9:35 am 28/09/2020]

Glossori:

Terkobek = terbuka, mendedah, sesuatu yang berlaku

No comments: