Thursday, September 17, 2020

Roslan Kassim aktivis dan politican berjiwa Melayu

BELASUNGKAWA


Bersama Allahyarham
di HUKM.
HARI ini kita semua disapa perkhabaran dukacita seorang lagi aktivis politik yang kental dengan semangat Melayu dan Islam sdr Roslan Kassim telah kembali ke Rahmatullah di hospital Selayang jam 2:22 petang ini. Roslan diketahui sudah lama mengidap sakit kencing manis dan akhir-akhir ini mengalami kegagalan buah pinggang. 

Pertemuan saya dengannya di acara Sepetang Alumni Yayasan Anda Akademik (YAA) bersama Anwar Ibrahim di Taman Tasik Titiwangsa tanggal 11 Februari 2020. 

Pada majlis itu beliau menjadi salah seorang pena mengisah dan mengenangkan era kecemerlangan YAA yang menjadi sebuah institusi menampung anak-anak Melayu tersekat ke universiti selepas STP. 

Roslan adalah salah seorang putra YAA yang berjaya mencetak diri sebagai pengamal undang-undang (Penguam Syariah) dan juga sebagai ahli politik.   

Saya mulai mengetahui beliau sakit dan menerima rawatan November 2015 apabila bertembung dengannya di Jabatan Radiologis HUKM Cheras. Ketika itu kami sama-sama hendak menjalani x-tray di hospital berkenaan. Allahyarham ditolak di atas kerusi roda begitu juga dengan saya. Ketika itu saya sedang bergelumang dengan kanser limpoma. 

Tidak jauh dari saya.

Sebagai seorang ahli politik beliau tidak jauh daripada radar perhatian saya sebagai penulis politik kerdil. Kebetulan Roslan adalah pendukung tegar Anwar Ibrahim dan penggerak Reformasi. Beliau boleh dianggap sebagai "budak Anwar" menjadikan beliau seorang yang berkorban untuk kepentingan Anwar demi untuk membela rakyat dan menegakkan keadilan. 

Dengan kedudukan itu menyebabkan musibah yang menimpa Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno dan hilang jawatan kerajaan sebagai TPM dan Menteri Kewangan September 1998 turut berjangkit kepada Allahyarham. Ketika itu Allahyarham adalah Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan di mana Pemuda adalah barisan penyokong kuat kepada perjuangan Anwar. 

Apabila beliau memilih untuk membela Anwar, beliau seperti memilih jalan sukar dalam politik, meninggalkan pulau yang sudah dibina dalam Umno. Tindakan ini merupakan pengorbanan besar beliau buat Anwar dan reformasi. 

Roslan di majlis YAA
11 Februari 2020.
Kedudukan beliau sebagai Ketua Pemuda Negeri Sembilan boleh menganjak beliau ke tahap lebih jauh dalam politik kalau beliau sedia bersama Umno dan bersedia pula untuk menjadi penentang Anwar.

Namun kerana bersama Anwar, Roslan kehilangan semua kesenangan selama ini dan beliau membayar harga yang tinggi untuk perjuangan reformasi. Paling ketara ialah apabila beliau terpaksa meninggalkan firma guaman apabila tidak sehaluan dengan rakan kongsinya. 

Risiko paling berat ditanggung Roslan kerana mengambil langkah bersama Anwar ialah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penahanan Roslan sebaik Anwar ditangkap pada 3 September.

Allahyarham juga mencipta sejarah tersendiri dengan kewujudan PKR. Beliau adalah antara orang awal boleh dianggap sebagai pengasas penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKN) yang kemudian berubah menjadi Parti Keadilan Rakyat beberapa tahun kemudian. 

Diawal penubuhan PKN, Roslan menjadi Ketua Penerangan, satu jawatan cukup penting dalam organisasi siasah. 

Salah satu jasa besar beliau semasa memegang jawatan ini, dan jasa ini jarang diketahui apa lagi dikenang, berjaya menerbitkan Suara Keadilan, akhbar menjadi lidah rasmi Keadilan. Saya cukup tahu akan keperitan beliau dalam menerbit Suara Keadilan ini kerana saya turut sama terlibat. 

Beliau meminta saya menyediakan bahan untuk terbitan akhbar berkenaan, bahkan untuk layout (mokep) keluaran pertama akhbar berkenaan, saya salah seorang tukangnya. Akhbar itu kemudian bertukar tangan apabila beliau tidak lagi menjawat jawatan itu.  

Takdir tidak lama beliau dalam Keadilan kerana pada tahun 2004 beliau meninggal parti yang diasasnya itu. Sampai sekarang saya tidak jelas apakah faktor menyebabkan beliau keluar daripada Keadilan kemudian menyertai Umno semula bersama beberapa yang lain. Tindakan Allahyarham ini menyebabkan beliau dicemuh khasnya mereka yang menjadi tongkat serandang kepada Anwar. Bahkan pada suatu masa beliau ingin melawat Anwar di rumahnya ketika tokoh reformasi itu keluar dari penjara, tetapi beliau tidak dibenarkan. 

Halangan terhadap Allahyarham ini satu kejadian sungguh menyedihkan. 

Di dalam Umno beliau juga tidak kekal lama, sekali lagi meninggalkan parti berkenaan. Kita faham kenapa beliau tidak betah. Jiwa dan semangat keIslamnya menyebabkan beliau tidak dapat melihat Umno terus ditelan bobrok. 

Apabila keluar daripada Umno beliau hidup tanpa berparti namun perjuangan diteruskan dengan menyertai Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa) yang ditubuhkan oleh Ibrahim Ali. Dalam Perkasa beliau dilantik menjadi Ketua Penerangan jawatan yang semasa NGO itu diperingkat penubuhan disandang oleh saya. Saya meninggalkan Perkasa apabila Ibrahim telah menjadikan Perkasa sebagai platform kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menyerang Abdullah Ahmad Badawi.

Perlu disebut setelah meninggalkan Umno dan Keadilan, Allahyarham memilih PPBM untuk melangsungkan perjuangan politiknya. 

Demikianlah sekelumit riwayat Roslan Kassim yang dapat saya nukilkan sebagai mengenang beliau. Pada saya Roslan seorang politician dan aktivis yang bergerak atas landasan agama dengan menjadikan Melayu sebagai roh perjuangannya. 

Semoga Allah mencucuri rohnya dengan rahmat berlimpah dan diletakkan di makam orang-orang saleh. Takziah kepada seluruh keluarganya. [wm.kl.8:10 pm 17/09/2020]

No comments: