Friday, September 4, 2020

Mahathir hendak pejuang apa dengan Pejuang?

ULASAN

Sanggup melutut kepada Nurul Izzah
kononnya demi negara

PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) yang belum didaftarkan lagi mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurang 36 kerusi dalam Piraum ke 15 akan datang untuk bertindak menjadi king maker, demikian kata Dr Mahathir Mohmad pengasasnya dalam satu kenyataan media. 

Menurut Mahathir dengan kekuatan diimpikan itu partinya dapat membantu mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan Malaysia dengan syarat dapat menerima syarat-syarat ditentukannya nanti.  

Beliau menegaskan Pejuang akan jadi sebuah parti bebas dan mendiri yang tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan baik PN maupun PH. 

Dakwa Mahathir, setakat ini partinya sudah ada 18 kerusi di Sabah dan Sarawak. Penjelasan itu bermaksud kewujudan Pejuang bukan untuk menjadi parti utama. Dari celah mana sifir itu dilogikkan wallahualam. Apakah masih ada kumpulan atau puak yang selepas ini sanggup untuk mengajaknya bekerjasama setelah mengerti lenggang lengguk dan kemunafikan politiknya? 

Pejuang adalah parti keempat Mahathir selepas Umno, Umno (Baru) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Menyamaai rekod Ibrahim.

Sekiranya parti Pejuang didaftarkan bermakna Mahathir telah menyamai rekod menubuh dan menyertai pelbagai parti yang pernah dicatat oleh Inchek Ibrahim Ali, yang pernah menyertai Umno, Semangat 46, kemudian Umno dan kini memiliki parti sendiri parti cap tengkolok. (Lupa nama), oh ya parti Putra baru ingat.

Mengenai signifikan penubuhan parti itu umum sudah diberitahu ia kerana beliau (Mahathir) tidak ada wadah lain untuk meneruskan permainan politiknya selepas dibuang daripada Bersatu apabila gagal menuntut haknya mengenai kedudukannya dalam parti itu di mahkamah. Jadi untuk membolehkan beliau memiliki platform maka beliau perlu kepada sebuah parti. 

Hal itu diakui sendiri olehnya dengan sedikit memasukkan bambu rasa atau "Ajinomoto" ia adalah untuk memperjuangkan hak Melayu apabila Bersatu yang ditubuhnya sudah melencung. Namun bagi yang tidak faham dan bertanya sesama sendiri dalam gelap, untuk apa lagi beliau menubuh parti politik. Bukan kerana usianya sudah 95 tahun, tetapi beliau seakan-akan tidak tahu hendak berhenti dalam berpolitik. Beliau laksana burung Malas yang terbang di waktu siang di mana matanya kabur untuk menuju destinasi.

Bagi saya, saya baca kenapa Mahathir perlukan kepada parti politik dan terus bermain politik kerana ada dua faktor. Pertama beliau mahu jadikan politik (political game) sebagai penawar untuk mengubat dirinya. Bagi Mahathir politik bukan lagi untuk memperjuangkan soal-soal hak dan kepentingan bangsa dan tanah air atau apa-apa, tetapi untuk dirinya sendiri secara peribadi. Sebagai terapi buat dirinya. 

Sebagai seorang yang dikenali kuat dan gila bekerja, (workaholik) beliau tidak boleh hidup tanpa melakukan kerja, kerana saraf-sarafya akan lemah dan boleh menyebabkan beliau tidak sihat. Maka beliau memerlukan kepada sesuatu aktiviti untuk mengaktifkan dirinya, dan politik adalah alat berkenaan. Kalau orang memahami hakikat ini tidak akan pelik kenapa selepas bersara wajib tahun 2003 beliau masih terus bermain politik. 

Kenapa dikatakan begitu kerana kalau untuk berjuang demi bangsa dan negara beliau tidak perlu menubuhkan parti baru. Beliau boleh sahaja bersama dan kekal dalam Umno, parti asalnya. Melalui Umno beliau boleh melakukan apa sahaja untuk menerus dan melaksanakan agenda Melayu yang ada dalam tengkorak kepalanya. Tetapi realitinya tidak begitu, bukan soal nation sebenarnya.  

Sebab kedua kenapa beliau terus bermain politik adalah kerana kebencian dan dendam beliau kepada seseorang. Politik digunakan untuk melempiaskan nafsunya. Mahathir seorang pendendam dan tidak mudah memaafkan orang yang pernah menyakiti hatinya. Beliau akan memerangi sesiapa sahaja yang menjadi liabiliti atau menghalang perjalanannya politiknya. 

Beliau seorang yang teguh dengan pendirian dan keyakinannya. Beliau tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang dilihat tidak sehaluan denganya dan apa lagi penghalang kepada cita-citanya. Prinsip tiada keikhlasan dalam politik dianuti sungguh-sungguh. Beliau akan lawan habis-habisan bahkan sanggup melakukan apa sahaja untuk mepedayakan seseorang yang dikira mengancamnya. 

Tahun 1969 beliau menentang Tunku Abdul Rahman. Beliau bergaduh dengan PM pertama itu sampai PM itu hingga ke akhir hayat. Apabila Umno diharamkan Mahathir menubuh parti Umno (Baru) dan bertembung dengan Tunku yang menyokong penubuhan Umno Malaysia yang kemudian menjadi Parti Melayu Semangat 46 setelah gagal diluluskan.

Selain Tunku, Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah adalah orang-orang yang diseteruinya. Musa dan Razaleigh dilihat persaingnya dalam politik. Dengan aura Melayu nasionalis dan feudalisme yang ada kepada Musa dan Razaleigh, Mahathir rasa ia menganggu dan mencabarnya idealogi sosialisme kapitalisme dianutinya. 

Apabila Musa dan Razaleig berpakat menentangnya demo mengekalkan identiti awal perjuangan Umno beliau terus berhadapan dengan kedua tokoh itu sehingga keduanya tersudut daripada politik Umno dan politik negara.

Contoh lain bagaimana Mahathir tidak berhenti menyerang dan bertindak terhadap seseorang yang tidak disenanginya, ialah apa yang berlaku kepada Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak. Kedua mereka adalah perdana menteri selepas beliau yang telah menjadi batasnya mengelakkan Anwar Ibrahim melintasinya. 

Jika hendak dikira tidak sepatutnya beliau bergaduh dan menyerang Abdullah dan Najib kerana keduanya naik adalah atas restu beliau juga. Beliaulah melantik Abdullah dan mencaturkan untuk Najib naik jadi PM selepas itu. Namun apabila Abdullah dan Najib tidak mahu menjadi lembu dicucuk hidung kepadanya, maka keduanya diserang habis-habisan hingga jatuh. Abdullah bersara manakala Najib tersembam dalam pilihan raya. Mulanya beliau serang Abdullah untuk diganti dengan Najib, kemudian beliau serang pula Najib. 

Apa yang berlaku terhadap Doktor ini semacam ada sesuatu yang tidak sempurna dan cacat. Mungkin boleh dikatakan beliau mengalami gangguan mental politik atau cacat otak politik? 

Kejatuhan Najib dan kerajaan UBN, beliau menggunakan Anwar Ibrahim telah menjadi sejarah tercatat. Siapa mengira Anwar yang dianiayai demikin rupa, tetapi beliau boleh merendah diri melutut kepada Anwar mohon simpati sokongan politik untuk melayani marah dan dendamnya. Beliau sanggup melakukan apa sahaja hanya demi untuk tidak melihat Najib di kerusi perdana menteri apabila PM ke 6 itu tidak mendengar katanya.

Saya rasa dengan kronologi itu kita dapat memahami dan menduga macam mana saraf politik Mahathir. Beliau tidak berhenti daripada melakukan dan bertindak sesuatu ke atas seseorang yang tidak disenanginya. Demikian juga dengan apa yang berlaku ke atas Anwar. Konspirasi untuk memenjarakan Anwar dengan isu liwat dan salahgunakan kuasa tidak ada tujuan lain melainkan untuk mengagalkan cita-cita rakyat mengangkat Anwar sebagai perdana menteri. Di sinilah tegalnya Mahathir  melaksanakan political animal (politik ala kebinatangan) - matlamat menghalalkan cara.  

Semua orang yang mendalami sains politik memahami tindakan dan aksi politik Mahathir itu. Jadi berdasarkan kepada saraf tunjang sejarahnya itu jugalah apa yang beliau mahu lihat dengan penubuhan Pejuang tersebut adalah untuk mendapatkan hasil yang sama. Kali ini buat kesekian kalinya beliau mensasarkan kepada Anwar. Beliau tidak mahu Anwar diangkat menjadi perdana menteri dan perlu diganggui dengan penubuhan Pejuang itu. 

Beliau tahu sejauh mana keupayaan Pejuang selepas beliau dibuang Muhyiddin dan didukai oleh segenap pendokong dalam parti-parti PH dengan apa yang berlaku. Pejuang bukan sahaja tidak dapat survive tetapi untuk memperolehi separuh daripada 39 kerusi yang disasarkan itu pun sukar. Dan kalau pun PH nanti memerlukan tambahan kerusi 10 hingga 15 kerusi bagi membentuk kerajaan, mereka tidak sanggup untuk memilih Mahathir. Biarlah PH gagal membentuk kerajaan asalkan tidak bersama Mahathir. Kelukaan, kepedihan dan keperitan yang diperlakukan Mahathir cukup mengajar mereka. 

Justeru dengan memahami keadaan itu, bahawa kewujudan Pejuang itu adalah atas memenuhi kehendak peribadinya dan bukan soal bangsa seperti diuar-uarkan itu. Maka semua pihak perlu menilai apakah Pejuang itu perlu berada di persada politik negara atau diracuni mulai sekarang. Apakah ia relevan menjadi sebuah parti yang boleh dipertimbangkan kelak? Rasanya Muhyiddin Yassin juga tahu dan bijak membaca pelan dan strategi Mahathir ini, barang kali beliau akan mengambil keputusan untuk tidak meluluskan Pejuang dalam masa terdekat.

Dan sebagai seorang yang tidak tahu berputus asa, bermuka kulit kerbau balau serta tanpa  mempedulikan apa dunia akan lemparkan kepadanya, kita mengira walaupun dengan tangan kosong beliau tetap juga mengambil bahagian dalam Piraum akan datang walaupun bukan untuk menang tetapi bagi menganggu perjalanan Anwar ke Putrajaya dan dalam masa sama sebagai terapi untuk kesihatannya. Itulah Mahathir bin Mohamad.  [wm.kl. 1:37 pm 04/09/2020]

Glossori:

workaholik = kerja hingga mati.


No comments: