ULASAN
Presiden Pas Abdul Hadi Awang menegaskan partinya mementingkan soal moral dan akhlak dan keutamaan diberikan kepada soal dosa. Katanya kalau ahli partinya terlibat dengan maksiat melakukan dosa dan bertentangan dengan Islam baru mereka akan dikenakan tindakan dipecat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya mengenai pelanggaran SOP Covid oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aiman Razali yang tidak menjalani kuaranti mendiri selama 14 hari sekembalinya daripada luar negara.Penegasan dan sikap Hadi itu sedikit membingungkan kerana beliau seperti mempunyai kitab tafsiran baharu mengenai apa dikategorikan sebagai akhlak dan moral. Jelas sekali apa yang telah berlaku ke atas Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi itu telah membabitkan soal akhlak kerana beliau melanggar undang-undang negara.
Kalau mengikut tafsiran Kamus Dewan Edisi 4, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) moral bermaksud: 1. ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan (kelakuan), kewajiban, dll), sikap atau cara berkelakuaan yg berasaskan atau yang diukur dari segi baik buruk sesuatu akhlak.
2. berkaitan dengan apa yang betul atau adil; 3. semangat untuk menghadapi ejekan (olokan) demi mempertahankan kebenaran.
Bukankah apa yang berlaku ke atas Khairuddin itu tertakluk apa ditafsir dan dihuraikan oleh Kamus berkenaan. Pimpinan tertinggi Pas itu telah melanggar peraturan, dan perbuatan itu membabitkan kelakuan yang melanggar kewajibannya sebagai anggota kerajaan dan wakil rakyat. Benar undang-undang mematuhi SOP Covid itu tidak disebut dalam Quran secara spesifik, tetapi ia telah dikanunkan sebagai udang-undang yang berasaskan prinsip agama yang perlu dipertanggungjawabkan.
Jelas menurut undang-undang apa dilakukan Khairuddin itu telah melanggar undang-undang dan telah pun didenda RM1,000. Apakah kerana ia tidak membabitkan kejadian maksiat maka ia dianggap sebagai tidak bersalah dan tidak berdosa dan itu bukan soal moral?
Denda RM1,000 yang dikenakan itu juga sebagai tidak adil kerana ada oknum lain yang melakukan kesalahan sama didenda lebih tinggi daripada dikenakan ke atas Khairuddin. Dimanakah mirzan keadilan di sini digunapakai oleh Hadi atau ia tidak ternampak oleh mata Hadi?
Diharap Abdul Hadi menilai dan mentafsir semula apa yang dikatakan mengenai moral itu kerana pentafsirannya itu sangat mengelirukan dan naif. Taat kepada undang-undang digubal oleh sebuah negara berdaulat ia satu kewajiban dan melanggarnya merupakan kesalahan dan berdosa.
Janganlah kerana hendak mempertahankan kumpulan sendiri melakukan kesalahan kita sanggup mengambus tafsiran mengenai moral dan akhlak yang sudah kita faham dan hayati kesekian lama. Cukuplah setakat Hashim Jasin menganologikan Khairuddin seperti burung Hud-Hud.
Sepatutnya dalam perkara ini Hadi Awang membaca semula tentang penegasan Nabi Muhammad S.a.w. yang berbunyi sekiranya anakku Fatimah mencuri nescaya akan ku potong tanganya. Apakah Hadi terlupa kepada penegasan yang sangat popular itu? [wm.kl. 9:14 pm 01/09/2020]
No comments:
Post a Comment