Friday, October 23, 2020

Darurat macam mana akan diisytiharkan?

SELINTAS

Muhyiddin akan buat pengumuman penting
dalam masa terdekat.

SEKIRANYA apa yang dihebohkan kini benar Yang diPertuan Agong memberi perkenan atas
permintaan Kabinet untuk mengisytiharkan Darurat ia berbeza dengan pengisytiharan Darurat di Kelantan November 1977 hingga Februari 1978 kira-kira 42 tahun lampau.

Kelantan pernah diisytiharkan Darurat apabila berlaku kekecohan politik di negeri itu membawa kepada ketidak-tenteraman keadaan di Kota Bharu dan bandar-bandar lain. Sebagai langkah menyelamatkan keadaan maka Kelantan diisytiharkan sebagai Darurat.

Satu akta atau perintah Darurat di Kelantan dibentang dalam sidang parlimen setelah sehari sebelumnya Yang diPertuan Agong mengisytiharkan Darurat di Kelantan. 14 orang ahli parlimen Pas telah membantah pembentangan akta darurat Kelantan itu. 

Apabila Kelantan diisytiharkan Darurat Kerajaan Pas Kelantan atau Dewan Undangan Negeri Kelantan tergantung. Mohamad bin Nasir yang menjadi MB ketika itu dikekalkan sebagai MB dalam kerajaan Mageran tetapi tidak mempunyai kuasa eksekutif yang telah diambil oleh Pengarah Mageran Hashim Aman. Kedudukan dan kuasa Exco juga tidak berfungsi.

Darurat di Kelantan berlangsung selama empat bulan sahaja, selepas itu DUN dibubarkan untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan kuasa kepada parti politik semula. Umno yang berpakat dengan Berjasa, pimpinan Mohamad Nasir satu parti ditubuhkan daripada serpihan Pas memenangi pilihan raya berkenaan.

Apakah pengisytiharan Darurat yang dicadangkan kabinet itu nanti sama dengan apa yang berlaku di Kelantan itu? Tidak. Menurut laporan pada masa ini Muhyiddin Yassin sedang menghadap Yang diPertuan Agong di Pahang memaklumkan keputusan Kabinet hari ini. Malam ini dipercayai Muhyiddin akan membuat satu pengumuman menerusi siri-siri kegemarannya "perutusan khas" di dalam televisyen? 

Pengisytiharan Darurat nanti tidak sama dengan yang berlaku di Kelantan itu. Ia lebih mirip kepada pengisytiharan Darurat di Lahad Datu tempoh hari apabila berlaku pencerobohan ke atas kawasan itu. Ia dibuat seketika sahaja dan tidak membabitkan kehilangan kuasa politik apa lagi sampai dewan negeri di bubarkan. 

Pengisytiharan yang bakal diumumkan Muhyiddin nanti besar kemungkinan Darurat dimaksudkan itu akan bertitik tolak daripada keadaan negara yang ada hari ini, yang diserang pendemik Covid-19. Pengisytiharan itu akan bertitik tolak daripada Covid. Muhyiddin akan menggunakan alasan untuk mengekang Coronavirus.  

Tetapi maksud tersirat di sebaliknya sama dengan apa yang berlaku di Kelantan  42 tahun lampau, ia bermotif politik. Darurat itu diadakan setelah disusun aturkan kekacauan terlebih dahulu di Kelantan kemudian baru diisytiharkan darurat. Motif itu ternyata berjaya kerana setelah diadakan pilihan raya negeri Kelantan, Umno yang sudah kehausan untuk menguasai Kelantan selama 18 tahun berjaya mengambil alih kuasa daripada Pas. 

Nah, begitu juga dengan langkah akan diambil Muhyiddin sekarang ini, beliau menggunakan isu keselamatan, kesihatan dan kepentingan rakyat kononnya, sebenarnya untuk mempertahankan kedudukannya yang seperti gelas kaca di bucu meja di atas marmar atau telur di hujung tanduk kini. Kerana bimbang akan menghadapi tekanan dan ditolak dalam parlimen, maka beliau mengambil tindakan itu.

Apakah dengan pengisytiharan darurat kelak, beliau berjaya mengemukakan Bajet negara untuk tahun depan? Dan apakah darurat nanti menyebabkan parlimen tergantung? Apakah masih ada helah Bajet diluluskan tanpa dibahaskan, dan apakah dalam akta darurat yang hendak diisytiharkan itu membolehkannya? 

Pakar undang-undang dan perlembagaan boleh memberi pencerahan dan ulasan. Bagaimana pun perlu diingat dan difahami sesuatu bernama undang-undang dan peraturan itu boleh ditafsirkan mengikut naluri bukannya hati. Perhatilah berapa banyak undang-undang atau kebiasaan diamalkan selama ini dicabuli sesuka hati.

Dan Muhyiddin sebagai perdana menteri memiliki kuasa tertinggi berbanding dengan institusi lain.  Maka beliau boleh melakukan apa sahaja menerusi kuasa prerogatif itu untuk kepentingan dirinya. [wm.kl.6:19 pm 23/102020]

No comments: