Friday, January 1, 2021

Menanti tragedi 2021

SUSUPAN MALAM

Cover cetakan kedua
buku saya.
TAHUN 2020 telah meninggalkan kita dan berlalu dengan membawa seribu kenangan pahit dan manis. Masing-masing ada kisah dan moment tersendiri. Yang pastinya sepanjang tahun 2020 meninggalkan berbagai peristiwa dan kesan buat kita semua. 

Dua peristiwa besar yang tetap dikenang pada tahun 2020, ialah tumbangnya kerajaan PH yang dibangunkan oleh rakyat menerusi Piraum ke-14. Peristiwa itu adalah paling pedih buat orang-orang politik khasnya mereka yang berusaha keras untuk menggulingkan kerajaan UBN. Kepedihan itu menyebabkan banyak air mata mengalir angkaranya.  

Rakyat yang mulai rasa seronok dan mahu melihat berlaku perubahan politik dan melihat kerajaan baru dengan tertubuhnya kerajaan PH kecewa dengan kejadian itu. Paling mengilankan ialah apabila kejatuhan itu berlaku angkara kudeta. Hal ini sudah saya rakamkan dalam buku saya KEMENANGAN YANG DIKHIANATI, BIPOLAR POLITIK OT5 (Kronologi kejatuhan kerajaan PH). (Kepada yang belum memiliki WhatsApp ke 016 8443996 / 013 2336776 untuk mendapat maklumat lanjut).

Dalam buku itu saya telah bentangkan kronologi kejatuhannya dan membariskan sesiapa menjadi bajingan yang bertanggung-jawab sehingga hilangnya kerajaan rakyat. Sambutan baik ke atas buku tersebut sehingga dicetak kali kedua menunjukkan rakyat ingin tahu apakah sebab musabab dan faktor hilangnya sebuah kerajaan. Sokongan kepada buku saya itu sebagai simpati ke atas arwah kerajaan PH. 

Kejadian kedua yang beriringan dengan kejadian itu ialah, ancaman pandemik Coronavirus.  Semalam sebagai menutup tahun 2020 jumlah atau kes tertinggi Covid-19 di negara kita sebanyak 2525 kes, mengatasi pencapaian kita dalam Wawasan 2020? Ia merupakan kes terbanyak. Masih ada tanda-tanda jumlah atau angka itu akan bertambah pada tahun ini. Sama-sama kita berdoa dan berikhtiar baik secara fizikal dengan mematuhi SOP atau pun berdoa kepada Allah agar kita semua selamat. 

Yang berlaku biarlah berlaku. Jadikan ia sebagai pengajaran dan ambillah iktibar daripadanya. Kini kita sedang menunggu dan bakal menghitung apakah pula peristiwa yang akan berlaku dalam tempoh 364 hari mendatang. Suatu subjek yang tetap ditunggu dan menarik minat khas pemain dan peminat politik apakah kerajaan PN yang dibangunkan dengan hasil curi dan rompak itu akan berkesudahan dengan kejatuhan? Atau pun kerajaan itu akan mati ditali gantung rakyat dalam Piraum ke-15 nanti.  

Tidak ada petunjuk jelas yang kerajaan PN akan tumbang selepas usaha yang cuba digerakan melalui penolakan Bajet 2021 di parlimen gagal. Bahkan kegagalan itu meninggalkan kesan negatif kepada pembangkang yang berlaku keretakan ekoran itu. 

Idea Grand Coalition yang dicadangkan adalah berikutan kepada kegagalan itu. Grand Coalition yang membawa simbolik hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Anwar Ibrahim yang diharap menjadi hero untuk merampas balik kerajaan PN. Walaupun pihak yang menetaskan idea mengagaskan Grand Coalition menafikan mereka mahu mengenepikan Anwar, tetapi hakikat sebenarnya itulah. 

Apa yang akan berlaku selepas ini tidak dapat sesiapa pun menduga dan membuat spekulasi. Tidak ada peramal politik yang akurat dan ahli strategi politik yang ideal tepat seratus peratus. caturannya tepat. Bagaimana pun atas sifat politik itu serba kemungkinan, art of the possibilities ia boleh berlaku apa-apa sahaja. Dunia politik akan bergolak dan mengejutkan kadang-kadang tanpa memberi petanda dan isyarat jelas. Ia boleh diumpamakan persis bidalan kata-kata berbunyi "jangan sangka sungai yang tenang itu tidak ada ada buaya." 

Nah begitu juga dengan dunia politik, zaman manusia bijak dan licit berstrategi, kadang-kadang motion dalam politik itu berlaku secara senyap dan tidak dijangka. Seperti mana peristiwa kudeta itu, ia berlaku dalam ramai orang tidak menyangkanya. 

Walaupun Muhyiddin Yassin tidak digulingkan menerusi Bajet, tetapi beliau tidak boleh meriba tangan dan berada selesa. Muhyiddin tidak boleh menarik nafas lega dengan keadaan kini. Dengan kelebihan sokongan di parlimen hanya dua atau tiga undi sahaja, menjadikan malam-malam dan siang harinya penuh bergelora. Keadaan Muhyiddin dan kerajaan PN tidak ubah seperti telur di hujung tanduk yang bila-bila masa sahaja ia boleh tergolek dan jatuh pecah terberai.  

Perhatian kini kepada Umno yang akan mengadakan persidangan (perhimpunan) awal minggu Januari ini. Persidangan Umno itu sudah pasti akan menjadi tumpuan dan sesuatu yang dinanti-nanti dan ditunggu dengan penuh debaran. Apakah parti itu akan membuat keputusan mengejut menarik diri daripada kerajaan PN, ataupun sebaliknya. Ini yang bermain dalam minda orang ramai dan berdoa agar hari cepat berganjak. 

Terdengar kuat kini Umno tidak senang dengan Perikatan Nasional dan mahu keluar daripada perikatan itu. Takdir Umno sepakat untuk menarik diri daripada kerajaan PN, ia memberi gambaran awal kerajaan PN seperti akan berhadapan dengan gelora hebat. Apakah gelora itu bakal membawa politik negara berombak besar dan panjang kelak. 

Semuanya bergantung kepada Umno. Ada khabar kononnya ahli Umno peringakat bawahan sudah menyuarakan rasa tidak senang mereka kepada pucuk pimpinan. Sudah ada yang membuat desakan agar pucuk pimpinan membawa Umno keluar daripada Perikatan Nasional. Sesetengah pemimpin Umno di semua peringkat mengatakan hal sama kecuali bagi yang ada kedudukan dalam kerajaan dan berkepentingan cuba menyelamatkan keadaan. 

Sekiranya desas desus kedengaran kini suatu kebenaran dan menjadi realiri, Umno menarik diri daripada PN, menyebabkan secara automatik sokongan untuk Muhyiddin akan berkurang dan akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan PN. Perlu diingatkan angka atau sokongan kepada pembangkang kini berjumlah 108 suara berbanding PN 113. 

Walaupun Umno tidak menyebut secara langsung untuk menumbangkan kerajaan PN, tetapi tindakan bakal diambil itu, menarik dari daripada PN, ia memberi isyarat yang kerajaan PN pimpinan Muhyiddin goyah dan boleh tumbang bila-bila masa sahaja. Sama ada ia benar atau tidak yang jelas ia sudah amat mengganggu pemikiran Muhyiddin dan mereka yang sekongkol melakukan khianat bersamanya. 

Di sini malam saya tidak mahu memberi ulasan mendahului apa yang akan berlaku. Lagi pun saya tidak dapat mengesahkan apakah yang sedang diatur oleh setengah kalangan Umno ini ia atau tidak, atau hanya satu psywar murahan sahaja? Kita sudah mangli dengan tektik-tektik dan strategi orang politik menjadikan saya berhati-hati. 

Jadi sama-sama kita tunggu dan lihat apa-apa peristiwa penting yang akan dicatat pada tahun 2021 ini, yang kemudian kita sama-sama kita akan mencatatnya nanti. Dan perhimpunan Agung Umno itu adalah satu agenda yang ditunggu. Selamat tahun baru. [wm.kl. 11:01 pm 01/01/2021]


No comments: