FENOMENA
TANGGAL 25 Mei lalu telah terjadi gerhana bulan penuh yang juga disebut sebagai bulan berdarah. Gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. Ketika itu kedudukan bulan, bumi, matahari sejajar. Ia berlaku dalam jarak tertentu yang lama, memakan berpuluh tahun.Gerhana penuh atau berdarah ini dapat dilihat dari semua tempat. Bagaimanapun hanya di sesetengah tempat atau negara sahaja dapat melihatnya secara penuh, itu pun dalam jangka masa sangat pendek, tergantung sesuatu lokasi itu.
Tidak dipastikan ketika fenomena itu berlaku sepenuhnya, rakyat negara ini dapat menyaksikannya atawa tidak. Di Indonesia ia kelihatan jelas dari Sulawesi, dapat dilihat kira-kira 14 minit.
Macam-macam tanggapan dengan kejadian fenomena itu. Ada mengatakan ia membawa sial majal dan membawa untung. Orang-orang dahulu mempercayai dengan berlakunya fenomena itu ia memberi kebaikan dan sebaliknya.
Misalnya sekiranya ada pokok kayu kayan yang tidak berbuah seperti rambai, rambutan jantan, durian atau nyiur dan sebagainya, ia dapat dipulihkan, (disuruh berbuah) semasa berlaku bulan gerhana dengan mengetuk dan memukul batangnya. Sambil memukul-mukul hendaklah berseru, "hai pokok anu-anu berbuahlah jangan degil, anak cucu nak tumpang makan."
Tahyul.
Apabila berlaku bulan gerhana akan adalah penduduk kampung saya yang mengambil kesempatan itu. Lain masyarakat lain budaya dan lain kepercayaan tahyul mereka terhadap bulan gerhana ini. Ada setengah masyarakat kuno mempunyai tanggapan dan kepercayaan lebih ganjil dan ekstrem dari itu.
Dalam konteks politik di Malaysia kejadian bulan gerhana berdarah 25 Mei lepas itu seakan membawa isyarat tertentu kepada sebuah parti politik di negara ini. Mungkin ia kebetulan sahaja, bukan perkara yang mutlak, dilarang mempercayainya. Tetapi boleh dijadikan cerita. Parti yang dimaksudkan itu adalah yang menjadikan cekerawala bulan sebagai lambang atau simbolnya, parti Gemulah Chek, parti Pas.
Sejak Pas menjadi suku daripada kerajaan PN setahun lebih dahulu, diam-diam tercetus sedikit suasana tidak tenang dalam parti itu. Fenomena ini berlaku mungkin disebabkan kerana kuasa. Ia lebih merupakan ujian kepada Pas menerus kuasa. Pas boleh sabar dan tenang sewaktu parti itu tidak mempunyai kuasa, tetapi bergolak apabila mendapat kuasa. Situasi ini lumrah.
Sebenarnya kejadian ini lumrah dan sudah dinyatakan dalam surat dan sirah. Manusia boleh berhadapan dengan seribu tentera, boleh tahan dengan kemiskinan, tetapi tidak mudah untuk menghadapi nafsu dan kekayaan. Apabila Pas mendapat kuasa, nafsu menjadi besar. Mungkin pergolakan ini berpunca daripada kelumrahan ini?
Apa yang dikesan berlaku ini lebih kepada perebutan kuasa yang menjadi agenda peribadi pemimpinnya yang disedari sudah mula berkafilah. Ia bukan membabitkan penyokong dan ahli bawah yang setia dan Pandir. Mujurnya masalah bakal menerbitkan pergolakan masih belum merebak dan membusuk ke luar lagi.
Buang Bulan.
Sebelum diberikan gambar apakah masalah atau potensi pergolakan itu, ingin saya menarik perhatian kepada perihal bulan Gerhana penuh tadi. Apakah fonemena itu memberi petunjuk sesuatu yang tidak baik akan berlaku kepada lambang Pas, Bulan Purnama penuh. Kita tahu selama ini Pas menggunakan simbol itu untuk menyertai pilihan raya. Simbol berasaskan cekerawala alam itu sangat menarik dan emotif sekali.
Pas menggunakan simbol bulan sejak lambangnya sebelum ini, bulan sabit berbintang lima diharamkan oleh kerajaan UBN. Sejak itu Pas menggantikan dengan Bulan Purnama. Pas tidak pernah menggunakan lambang parti lain, melainkan guna Dacing dalam pilihan raya umum 1974 sewaktu Pas bergabung dengan BN.
Kini umum tahu Pas mengadakan pakatan dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional. Pas menjadi rakan ta'awun utama dalam membentuk Perikatan Nasional, bersama Bersatu dipimpin oleh Mahiaddin Md Yassin. PN sebelum ini mengumumkan gabungan itu akan bertanding dalam pilihan raya umum nanti menggunakan lambang PN. Ini bermakna kalau Pas masih utuh dengan Bersatu dalam PN, Pas terpaksa membuang Bulan Purnamanya nanti. Masakan Pas akan istiqamah dengan lambangnya, kalau begitu tidak ada solidaritilah.
Apakah fenomena bulan gerhana penuh yang terjadi minggu lalu memberi isyarat bahawa Pas akan membuang Bulan Purnamanya, dan dianggap sial sesudah bergabung dengan Bersatu menerusi PN? Mungkin ada munasabahnya kalau hendak dikaitkan gerhana berdarah dengan Pas itu. Dan kalau berlaku demikian maka akan terlukalah hati ahli-ahli dan penyokong Pas.
Perebutan kuasa.
Berbalik kepada mauduk yang hendak diceriterakan disini berhubung potensi akan berlaku pergolakan dalam Pas dengan apa yang terjadi kini. Mungkin orang Pas yang setia dan taksub, marah apabila kita mengulas hal ini. Akan dituduh sebagai fitnah dan sebagainya. Itu hak penyokong dan ahli Pas yang taksub untuk menjaga partinya. Mereka sewajarnya menjaga parti seperti menantang minyak yang penuh dan menafikan apa sahaja kebenaran yang tidak mengutungkan dengan menggelarkan sebagai bohong.
Tetapi sebagai pemerhati dan penganalisa politik yang berada di garis puteh tengah, apa yang sedang berlaku dalam Pas ini ia sesuatu menarik dan membimbangkan. Sesungguhnya Pas tidak boleh membiarkan ia tanpa dirawat, kerana keadaanya seperti kudis yang boleh menjadi barah. Mungkin Pas kena adakan lockdown.
Sebagai seorang pemerhati akan peka kepada suasana sekeliling. Apabila ada Tempua bersarang rendah maka akan dikedap dan diintip ditafsir apakah tujuan dan sebab musababnya. Biasanya burung Tempua tidak bersarang rendah melainkan bersarang ditempat yang tinggi.
Pergolakan yang bakal berkembang ini membabitkan tiga pemimpin tertinggi Pas. Salah seorang daripadanya sudah pun diketahui umum. Ia membabitkan Khairuddin Aiman Razali yang juga merupakan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi. Bukan itu sahaja kedudukan Khairuddin dalam Pas sangat bermartabat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. Sebab itu dikatakan ia membabitkan pemimpin tertinggi.
Khairuddin pula dilihat sebagai pemimpin Pas masa depan. Dalam konteks politik Terengganu antara orang yang layak mengganti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, adalah beliau. Potensi ini sudah dikesan dari kalangan Pas sendiri sebab itu ada yang berniat hendak mengambil tempat Abdul Hadi sebagai tokoh utama Pas cemburu hari dengannya?
Dari kalangan pemimpin bertaraf ulama, beliaulah yang "tanggung" untuk diangkat memimpin Pas di masa hadapan. Istimewanya lagi Khairuddin bukan ulama yang bertaraf ustaz atau mencelupkan diri di Mesir atau Timur Tengah seperti sesetengah pemimpin Pas yang lain. Beliau seorang ustaz berilmu akademik yang tinggi. Beliau memperolehi Phd di UKM dalam Pengajian Islam. Sebelm itu beliau merupakan sarjana dalam bahasa Arab dari Jordan. Mempunyai pengalaman sebagai pensyarah UKM. Beliau juga sebelum ini bergerak cergas dalam kebajikan dan pendidikan dengan mempunyai institusi pendidikan sendiri, di Sungai Ramal, Kajang.
Kejadian menimpa Khairuddin hari ini deras menjadi isu sudah pun mengelewati ruang politik. Memerhati inilah maka saya mempunyai pandangan sedikit serong dengan pandangan umum. Saya tidak meletakkan isu yang timbul sekarang isu peribadi Khairuddin sebaliknya isu yang diagendakan demikian rupa.
Tidak perlu saya sebutkan apakah butir perkara menjadi isu itu yang tidak selayaknya untuk saya ikut sama bahas dan sebarkan. Saya tidak suka memainkan isu-isu sampah. Lagipun media massa, para netizen wartawan tidak bertauliah dan beretika sudah lumat mencanangnya. Tidak elok dan tidak profesional untuk saya menokok tambahnya. Dan bagi saya apa yang berlaku itu (kalau benar) itu hak individu bersifat personal yang tidak perlu kita jadikan isu dan masalah.
Yang menjadi pertanyaan kepada saya kenapa kejadian normal itu ditular dan diperbesar-besarkan. Ini persoalannya. Kalau tidak ada sesuatu, apa perlu ia disebarkan? Di sinilah menimbulkan pertanyaan kepada saya terfikir bahawa isu disengaja disebarkan.
Ada dua kemungkinan yang menjadi agen penyebarnya. Pertama oleh pihak pembangkang dan kedua oleh pihak dalam Pas sendiri.
Mungkin ada mengatakan tidak munasabah kalau Pas sendiri terlibat. Saya sudah katakan tadi, sejak Pas berkuasa dan merasa nikmati jawatan sudah wujud fenomena yang tidak baik. Fenomen bulan gerhana. Kuasa, kedudukan dan pangkat menjadi ujian besar kepada para pemimpin Pas yang sebelum ini zuhuk dan alim. Bertolak daripada keadaan itu kenapa berlaku yang berlaku kini.
Selain dari itu kenapa dikatakan ia mungkin melibatkan orang Pas sendiri. Kejadian yang berlaku 16 Mei (sekatan jalan raya) itu sangat eksklusif. Khairuddin ditahan oleh polis disekatan jalan raya di Perasing, Kemaman. Kejadian itu hanya diketahui oleh pihak polis dan mereka yang ada bersama Khairuddin sahaja. Tidak mungkin pihak pembangkang kebetulan berada disitu.
Berdasarkan senario ini berkemungkinan ia disebarkan oleh mereka yang cemburu dengan Khairuddin. Mungkin sudah ada spy mengekori perjalanan Khairuddin itu. Seperkara lagi, pihak berkuasa tidak mungkin tidak mengenali seorang personaliti seorang menteri. Kereta diguna pakai oleh Khairuddin pasti sudah ada tanda-tanda tertentu menunjukkan kebangasawan si pemunya. Apakah polis tidak perasaan dan terus mengambil sikap tegas menjalankan siasatan seperti biasa?
Persoalan ini bermain dalam kepala pemerhti yang celik. Bagi saya apa dihadapi oleh Khairuddin bukan kerenah pembangkang tetapi kerenah dalam Pas sendiri. Talibarut pembangkang hanya mengambil kesempatan menyebar, menyambungkan maklumat dan menokok tambah, tidak lupa memfitnah agar suasana kejadian agar indah dan kelihatan dramati sahaja. Bersambung di Bahagian Ke II. [wm.kl.10:53 am 29/05/2021]
No comments:
Post a Comment