Saturday, May 1, 2021

Jangan berlaku krisis kepercayaan kepada PDRM

REAKSI 

Hamid: Apa yang saya lakukan ini untuk
kebaikan PDRM.
SIDANG media khas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dengan pengarang media semalam satu perluahan perasaan yang dikira penting bukan sahaja untuk dijadikan perhatian tetapi diambil tindakan. 

Abdul Hamid secara rasmi telah tidak lagi menjadi Ketua Polis Negara (IGP) apabila kontraknya yang tamat 3 Mei tidak disambungkan.

Sekali mendengar luahan perasaan Hamid melalui kenyataan itu seakan beliau mahu melepaskan geram kerana ada sesuatu yang terbuku dihatinya selama menjawat jawatan itu. 

Seperti mana disebutkan berbagai isu yang sedang dan sepatutnya ditangani selaku orang nombor satu polis tidak dapat dilaksanakan kerana ada kekangan atau campur tangan politik. 

Beliau tidak nyata bentuk kekangan politik apakah daripada kerajaan, tetapi menjelaskan ia hanya daripada menteri yang bertanggungjawab terhadap pasukan Polis, Menteri Dalam Negeri (KDN). 

Pendedahan itu mengejutkan dan dikira berani. Sebelum ini umum sudah mengetahui yang hubungan (kerjasama) beliau dengan menteri KDN Hamzah Zainuddin tidak begitu licin. Tetapi ia tidak sampai diketahui sampai ke peringkat seperti mana didedahkan semalam.

Justeru pendedahan Hamid itu sangat serius kerana ia boleh menimbulkan krisis ketidak percayaan dalam pasukan itu.  

Menurut Hamid, Hamzah yang menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) cuba menguasai pasukan polis yang mana baginya tindakan itu tidak wajar kerana boleh menjejaskan pasukan. Hamzah sebagai Pengerusi SPP mahu kuasa termasuk menentukan Ketua-Ketua Polis Negeri, yang mana kuasa atau penentu jawatan itu adalah dibawah tanggungjawab Ketua Polis Negara. 

Ada munasabahnya kenapa kalau Hamid mahu beliau diberi hak untuk menentukan jawatan ketua-ketua polis negeri kerana beliau yang akan berhubungan langsung dengan penjawat jawatan itu setiap waktu bukan menteri. 

Keinginan Hamzah itu didedah Hamid disuarakan sejak awal beliau memegang jawatan itu, (apabila berubah kerajaan PH kepada PN) dan disitulah mulai timbul rasa kurang selesa antara Ketua Polis Negara dengan Menteri Dalam Negeri. Keadaan sudah tentu tidak baik untuk sebuah kerajaan.

Kira-kira sebulan sebelum menjelang hari penamatan kontraknya Hamid mendedahkan ada gerakan dalam PDRM yang cuba merampas kedudukannya sebagai Ketua Polis Negeri. Hamid menyebut sebagai ada kartel dalam PDRM melibat pegawai muda dalam pasukan itu berusaha untuk mengambil alih jawatannya. 

Pendedahan beliau itu sesuatu yang mengejutkan kerana ia seperti meludah ke muka sendiri., menunjukkan kegagalan Hamid mengawasi PDRM selama beliau memegang jawatan tersebut. 

Apabila beliau meluahkan segalanya dalam sidang media khasnya semalam, jelas kepada umum siapa yang menjadi ketua kepada gerakan itu. Apabila dirujuk kepada rakaman video membabitkan Hamzah Zainuddin (telah disahkan sendiri olehnya), yang tular, seperti gerakan kartel itu direstui sendiri oleh Menteri Dalam Negeri itu. 

Apa dihadapi Hamid itu, pernah dihadapi oleh bekas ketua-ketua polis negara sebelum ini. Bezanya mereka (bekas IGP) tidak sampai mendedahkan masalah dalam pasukan seperti Hamid lakukan itu. Pendedahan Hamid itu boleh disifatkan berani, dan melakukan pengorbanan untuk menjaga imej dan maruah pasukan polis. 

Pendedahan dibuat pada saat persaraannya itu sepertilah melepaskan bom jangka yang sudah expired. 

Disamping orang ramai menjunjung tinggi keberanian dan keikhlasan Hamid menceritakan kebusukan dalam PDRM, orang juga mempersoalkan kenapa ia tidak dibuat awal-awal lagi atau sebaik beliau mengetahui dan berdepan dengannya dan kenapa tunggu disaat akhir. 

Mungkin kalau Hamid mengambil sikap meninggalkan pasukan itu sebelum menghampiri tarikh persaraan ia akan dilihat lebih bertanggungjawab dan berintergiti.

Apa jadi dengan segala masalah dibangkitkan Hamid itu termasuk rasuah politik dengan cara membeli ahli parlimen sekiranya beliau disambung untuk terus memegang jawatan itu untuk setahun lagi? Apakah beliau akan mengarahkan siasatan atau pun turut mengikut dan peka dengan "deham" perdana menteri? 

Apapun sesungguhnya apa diperkatakan Hamid itu suatu kebaikan demi menjaga integriti Polis di Raja Malaysia sebagai badan pengaman negara ini. Dengan halangan dan kekangan kuasa politik itu sudah pasti polis tidak dapat jalan dan melakanakan tugas dan tanggungnya dengan sempurna selaras dengan kehendak semangat pasukan itu sendiri. 

Hamid tidak akan mendapat "tabik spring" dengan apa didedahkan itu daripada kerajaan yang ada kini. Tetapi beliau akan mendapat "tabik hormat" daripada rakyat yang mengharapkan polis melaksanakan tugas dengan berkesan, adil dan penuh integriti. Yang diPertuan Agong sebagai kuasa tertinggi (merestui) pelantikan IGP dalam psukan juga perlu mengambil kira apa didedahkan oleh Hamid itu dengan segera. 

Sekali lagi ditegaskan apa yang perlu dielakkan jangan berlaku krisis kepercayaan rakyat dan orang ramai terhadap PDRM selepas ini. Cukuplah, rakyat bosan dengan permainan jual beli jawatan dalam politik, jangan pula ia terheret dalam pasukan atau institusi seperti PDRM itu kerana ia memberi kesan buruk kepada negara dan bangsa. [wm.kl. 8:02 am 01/05/2021]

No comments: