MENJADI ORANG MATI
Bab Kelima (ii).
Kenangan 45 tahun lalu semasa melalui ujian badanian dalam satu pengajian, kembali ke dalam diri. Iya, inilah manfaat hasil daripada demonstrasi. Masa kecil dulu aku pernah diusung dalam keranda buluh dalam satu permainan “spiritual” mati olok-olok bersama rakan-rakan sekampung.Permainan itu "simulasi" dilakukan upacara pengembumian. Aku seorang anak yang agak nakal dan tidak tahu takut melakukan sesuatu yang aneh dan pelik. Hari itu aku dan rakan ke kuburan, kebetulan dua tiga hari lepas ada jiran yang baharu meninggal. Jadi kerandanya masih belum dirombak dan dibiarkan di atas kubur. (Dulu keranda dibuat daripada buluh setiap kali ada kematian, keranda akan dibuat untuk membawa jenazah ke kubur). Kami gunakan keranda itu untuk main mati-mati.
Selepas Asar aku dan kekawan ke kubur. Salah seorang ditawarkan untuk menjadi si mati. Selepas tidak ada sesiapa untuk jadi si mati, aku menyanggupi. Aku masuk ke dalam keranda dan berbaring dan ditutup. Penutupnya dibuat daripada buloh dan pelepah sagu. Di atas penutup itulah diletakkan "kain senduk".
Kawan-kawan mengangkat dan mengusung mengelilingi wakaf yang terdapat di atas perkuburan, dua tiga kali. Sambil mengusung mereka berzikir dan bersalawat selepas membaca al Fatihah dan Kul Huallah tujuh kali. Selepas beberapa kali mengelilingi wakaf mereka letak perlahan-lahan betul-betul dekat dengan kuburan yang baharu itu, persis mayat hendak dikebumikan.
Selepas diletakkan mereka membaca Talkin kemudian bertahlil. Aku yang menjadi mayat terus terkujur kaku di atas tanah, tanpa bergerak sambil kedua belah mata pejam rapat.
Kenangan itu datang menerawang ke dalam diri di sepanjang berada atas katil yang sedang ditolak ke bilik OT. Apa dirasai 45 tahun lalu semacam berulang kepada aku ketika ditolak masuk ke dewan bedah. Ada baiknya juga aku kerana pernah main mati-mati sekurang-kurangnya dapat merasakan keadaan itu pada saat yang genting begitu.
Pembedahan ringkas.
Iya, walaupun pembedahan itu ringkas sahaja, – minor surgery, demikian menurut pakar ENT, tetapi sesekali fikiran liar menerawang juga kepada situasi yang pernah dilalui itu. Angkara bius menyebab kita tidak sedar, ada kes-kes langsung tidak sedar yang membawa kepada kematian? Perasaan itu agak mengusik hati juga. Jadi saya harus sumbatkan diri dengan zikir sebanyak mungkin bagi menghilang kebimbangan itu. Zikir mengingati Allah, dan kalau tidak kepadaNya kepada siapa lagi harus berserah? Kalau hendak ghaib biarlah bersama Allah.
Perjalanan ke lif, dirasakan sekejap sahaja. Memang pun attandan yang menolak cepat dan agak rakus. Mereka sudah tidak ada rasa empati dan kesian belas lagi. Apa yang mereka tahu ialah menjalankan urusan mereka. Hantar di bilik OT, tinggal dan bila sudah sampai tempoh mereka datang untuk mengambil bagi dihantar semula ke ward atau pun ke bilik mayat (forensik) Bila ia sudah menjadi rutin begitulah kerja dan cara kerjanya. Perasaan (feeling) sudah tidak ada lagi.
Perjalanan ke OT melalui dua lif, selepas masuk lif dari tingkat “serata” dengan ward, kemudian keluar lif dan masuk lif khas laluan pesakit menuju dewan bedah. Sampai di satu pojok aku “disendur” seketika. Di situ terdapat beberapa katil lain dengan pesakit masing-masing menanti giliran untuk ditolak ke dalam dewan bedah. Keadaannya seperti di ruang kecemasan, penuh dengan katil.
Di sebelah aku seorang kanak-kanak yang juga berpakaian sepertiku, pakai; baju serba putih. Dia juga akan menjalani pembedahan, tetapi tidak pasti apa jenis penyakitnya. Dia ditemani ibunya sejak dari luar lagi. Wajah si ibu kelihatan sugul sekali. Melihat itu menimbulkan simpati aku kepada kanak-kanak itu memandangkan dia kanak-kanak yang kalau ikut ghalibnya tidak sepatut berada di situ, tapi itulah dinamakan takdir.
Sakit dan ujian tidak terkecuali dan mengikut usia gender dan etnik. Ia boleh singgah ke atas sesiapa sahaja yang telah ditetapkan.
Menanti di situ, tunggu saat sahaja bila akan ditolak ke ruang pembedahan. Aku menanti-nanti apakah yang akan dilakukan seterusnya. Aku mengira aku akan disuntik dengan obat tertentu. Tidak ada penerangan apa-apa dibuat lagi. Cuma jururawat dalam OT bertanyaku, mahukan kepastian apakah namaku “Mohd Sayuti bin Omar”, dia mahu pastikan bahawa aku adalah aku. Atau pertanyaan itu termasuk dalam proses menguji ingatan aku dan disamping pengesahan bahawa pesakit yang berada di katil itu adalah benar aku.
Di sudut yang tersendur itu, aku pasrah menanti tindakan seterusnya. Di dinding tergantung tiga keping potret pembesar negara yang salah seorangnya memedihkan mata untuk melihatnya. Tetapi apakan daya, tidak ada apa-apa yang hendak direnungkan. Fikiran sesekali berputar ke luar mengintai Naimah dan anak-anak, kadang kala sampai ke rumah. Jenguk masuk ke dalam rumah. Anehnya tidak ada apa-apa yang tersandar dalam kepala.
Tiba-tiba katil aku bergerak. “Encik Sayuti kita nak masuk ke OT,” ujar jururawat perlahan seakan berbisik dan sangat jelas bagi telingaku. Suaranya lembut penuh hormat tidak seperti masa mengajak ke OT dari ward tadi.
“Ok,” balas aku menurut sahaja dan terus menanti rasa dan tindakan selanjutnya. Mulanya aku ingin menoleh untuk merenung Naimah dan anak-anak, tetapi mereka sudah terhalang oleh tembok OT. Aku yakin mereka juga sedang meninjau dengan cara tersendiri.
Kemudian katil aku didorong masuk ke satu ruangan khas. Bilik yang aneh. Di bahagian atas ada alat semacam “sakak” ayam. Kepala aku diletakkan betul-betul bertentangan dengannya. Kiri kanan ada “wayer” dan beberapa barang berbentuk kotak, penal. Satu wayer dimasukkan ke tangan aku menerusi “tali hidung” (pot) yang sedia dipasang sejak dalam ward.
Ada beberapa orang team bedah. Aku tidak kenal siapa mereka. Mereka mengenakan baju labuh berwarna hijau. Mukanya tertutup dengan topeng macam orang atas kapal angkasa. Tetapi jauh di sudut hati, aku mengira salah daripada mereka ialah Prof Madya Razif, doktor pakar yang mula-mula memeriksa aku semasa ku mendapatkan pemeriksaan minggu lepas. Menurutnya dialah yang mengetuai pembedahan?
Dalam menanti dengan penuh perasaan itu, tiba-tiba aku, mamai, hanyut dan ghaib. Aku tidak tahu apa lagi yang berlaku selepas itu. Pakar mana yang berdiri di kepala dan hujung kaki dan sebelah kiri dan kanan. Semua muka berbungkus macam hantu. Tidak kenal sesiapa. Mereka juga tidak bercakap antara satu sama lain. Mereka berkomunikasi menerusi kod-kod tertentu atau pun body language yang mereka sahaja fahami.
Sedar-sedar saya sudah berada di luar.
“Encik Sayuti, kita nak bawa balik?” Bagitahu jururawat yang membawa aku tadi.
“Nak balik?” Aku terkejut dalam keadaan sedar dengan tidak. Mamai.
“Kenapa? Tidak jadi operate ke?” Tanya aku sedikit gusar takut ada apa-apa yang tidak beres, sedangkan aku mengharap semuanya OK.
“Dah selesai, kita nak bawa ke ward,” jelas jururawat itu. Mendengar itu ia sungguh melegakan. Aku membisik terima kasih dalam hati entah kepada sesiapa. Syukur sedalam-dalam kepada Tuhan Raabulitzati. Aku masih hidup.
Terasa sekali proses pembedahan itu begitu cepat. Tempoh pembedahan selama satu jam lebih itu dirasakan hanya dua minit setengah sahaja. Aku sangat gembira dan seronok dengan apa yang berlaku. Rasa gerun dan takut yang bertandang di hujung hati tidak sedikit pun menakutkan. Apa yang aku alami pengalaman melalui pembedahan itu menafikan apa yang dibayangkan sebelum ini.
Begitulah keadaan kalau kita tidak sedarkan diri. Apa yang dilakukan kepada kita tidak diketahui. Fikir aku begitulah juga setelah mati nanti kelak. Masa yang dilalui sekejap sahaja, bagi yang ralik dan lena, tetapi menjadi panjang kepada yang resah dengan penantian. Soal tempoh adalah subjektif kepada seseorang hamba itu. (Seperti kisah pemuda Ashabul al Kahfi) pemuda yang tertidur selama tiga abad atau 309 tahun.) Bagi kita yang menjaga, melihat dan memikir tentang ia sangat lama tetapi bagi mereka yang mengalami dalam dunianya sendiri sekejap sahaja.
Dalam ward 6 ditemani Eza Elhanis. |
Keadaan ini dapat dipadankan dengan apa yang berlaku hari ini. Masa itu akan cepat berlalu bila kita ralik dan seronok dengan sesuatu keadaan. Semisalnya masa bertemu kekasih atau menonton sesuatu pertunjukan yang menggembirakan kita, ia akan berlalu sangat cepat. Masa berdecak lalu tidak disedari. Sebaliknya kalau menanti sesuatu yang memerlukan segera ia akan lambat, menjemu dan meresahkan.
Di luar bilik OT Naimah dan anak-anak menanti dengan sejuta doa begitu melihat katil aku diheret keluar Naimah dan anak-anak mendekatiku. Mereka semua melemparkan senyuman kesyukuran kerana aku selamat menjalani pembedaha.
“Satu jam 25 minit,” kata Naimah pasti dia mencatat masanya. Ah dia dan anak-anak menghitung detik-detik cemas aku sepanjang berada dalam dewan bedah.
29/03/16
[wm.kl.6:42 am 29/04/21]
No comments:
Post a Comment