Wednesday, April 14, 2021

Pintu Ajal Belum Terbuka

Bab Keempat (i)

TERIMA KASIH TONSIL

TIDAK pasti apakah semasa kecil aku menghidap radang tonsil atau tidak? Mungkin berlaku, sebab ghalibnya tonsil adalah penyakit yang sering dialami kanak-kanak. 

Tetapi yang pasti keadaanya tidak separah hari ini, menghidap tonsil setelah usia lebih setengah abad sesuatu yang memelikkan dan mencabar.

Pada usia kanak-kanak atau remaja kita mempunyai daya pertahanan diri (antibodi) yang ampuh. Jadi kalau sesekali diserang tonsil atau apa-apa penyakit lain; demam selesema, batuk dan sebagainya ia berlalu begitu sahaja. Tonsil menurut kajian perubatan bukan penyakit yang kronik walaupun kadang-kadang ada tahap yang membahayakan.

Di zaman kecil, zaman dunia perubatan belum canggih, ubat-ubatan untuk tonsil ada di sekeliling rumah sahaja. Mungkin orang tua-tua hanya memberikan makan atau minum air pelbagai pucuk kayu yang bertindak menjadi herba penawar sekira ada anak beranak yang mengidap tonsil. 

Daun-daun seperti samak, mengkudu, kunyit, mempelas, sireh, kadok, celagi, kandis dan sebagainya, dipercayai menjadi ubat mujarab untuk sesuatu penyakit. Boleh jadi juga waktu itu kanak-kanak hatta saya menghidap tonsil diberi segala itu kemudian surut.

Daripada istilah perubatan tonsil adalah sejenis tisu limfoid yang terletak dalam tekak berhampiran dengan anak tekak. Ia merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Tisu limfoid ini terdiri daripada sejenis sel dipanggil limfosit. Fungisnya untuk bertindak melawan penyakit. Bolehlah dikatakan penawar (sel) semula jadi yang disediakan Tuhan untuk hamba-Nya.

Di Seri Lanka, selepas kembali dari sinilah 
aku mula bertindak dengan pergi ke klinik ENT.
Sekiranya kita menyedari kewujudannya dan dengan segala fungsi hebat yang disediakan, ia menginsafkan kita, bahawa Tuhan mencipta manusia itu dengan lengkap dan ideal. Jika kita menghayati itu maka tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya pun akan makin menebal tanpa sebarang keraguan.

Tiga jenis tonsil

Penemuan dalam aspek perubatan (medic) ada tiga jenis tonsil yang berada dalam rongga mulut.

1. Adenoids – tonsil yang terletak di bahagian belakang hidung.

2. Lingual tonsils – yang terletak di belakang lidah.

3. Palatina tonsils – yang terletak di tekak.

Tonsil yang ketiga inilah yang wujud atau hadir kepada diriku, dan menyebabkan aku berterima kasih kepadanya. Pelik dan anih juga kenapa aku berterima kasih kepada tonsil, walhal ia satu penyakit? Dan selalunya penyakit itu bahaya dan berusaha mengelaknya.

Kebaikan awal bagi aku apabila menghidap penyakit ini, aku mengetahui banyak ilmu mengenai tonsil ini. Aku memperolehi ilmu baharu dan seakan berada dalam sekolah perubatan pula. Ini termasuk  mengetahui secara saintifik macam mana tonsil boleh wujud dan kaedah-kaedah pencegahannya serta implikasi buruknya.

Dan satu pengalaman baru untuk aku dalam menghadapi tribulasi kehidupan juga ditemui dengan kehadiran penyakit ini.

Antara sebab berlaku tonsil ialah kerana jangkitan virus atau bakteria di dalam tekak. Jangkitan bakteria seperti streptococcus menyebabkan tonsil bengkak dan bernanah. Begitu juga dengan jangkitan virus seperti epstein barr virus, adenovirus atau measles boleh juga menyebabkan berlaku pembengkakan. Jalan penyelesaian yang paling kemuncak ialah dengan membedah untuk membuangnya.

Adapun gejala atau implikasi kerana tonsil ini, ada beberapa kesan yang tidak menyenangkan dan ini menyebabkan seseorang yang mengalaminya rasa terganggu. Kesan-kesan lazim ialah, sakit tekak, tidak boleh menelan atau perit semasa menelan air atau minum. Demam yang ada kalanya ke tahap panas yang tinggi. Kepala juga sakit-sakit yang membawa kepada hilang suara. Bengkak pada leher, boleh menyebabkan leher jadi benjol, mulut berbau busuk dan berdengkur waktu malam.

Anihnya gejala itu semua tidak ada kepada aku bagi menandakan wujud “YBhg” Tonsil, melainkan berdengkur. Dengkuran aku semasa tidur memang kuat dan ia boleh menganggu teman lain yang tidur berdekatan denganku. Begitu pun isteri tidak pernah merasa terganggu(?), buktinya kalau beliau terganggu pasti bila diajak untuk tidur bersama dia akan menolak. 

Ada masanya dia yang mahu bermanja-manjaan denganku, dan sudah pasti dengkuran aku tidak menjadi masalah bahkan mungkin merupakan satu irama mengasyik dan menghiburnya?

Kehadiran tonsil yang keramat ini aku tidak pun diserang demam. Kepala juga tidak pening-pening. Apa lagi tekak tidak merasa pedih dan perik. Tidak berlaku kebengkakan atau benjolan di mana-mana bahagian di leherku. Disebabkan tiada gejala itu maka aku tidak pernah menganggap aku sedang “bertonsil”, atau diserang tonsil. 

Lantas sedikit gangguan di tekak itu aku anggap biasa dan membiarkan ia berlalu beberapa hari bahkan berminggu. Kesibukan dan keseronokan bermain dengan kata-kata, melayani rakan facebook, twitter dan bloging menjadi aku mangli dengan ketidakselesaan itu dan pada masa itu memberi kesempatan untuk ia membesar.

Sikap “lerel” sebegini sebenarnya tidak bagus. Mungkin kerana sikap “lerel” ini akhirnya ia membawa padah dan petaka menakutkan.

BERSAMBUING. [wm.kl. 10.04 am 14/04/2021]

Glosori:

Lerel(kn) = tidak peduli, hanyut, tidak mengambil beret.

No comments: