Friday, April 23, 2021

Pintu Ajal Belum Terbuka

Bab Kelima 

TINDAKAN PANTAS 

TEMPOH sebulan yang ditetapkan oleh doktor pakar ENT Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Zakinah Yahya untuk aku menjalani ujian CT Scan adalah terlalu lama. Tempoh itu boleh memungkin sesuatu yang tidak baik buatku.  

Perkembangan sel kanser terlalu cepat. Itu yang aku tahu dan fikirkan. Makanya aku juga perlu bertindak tangkas dan cepat. Seboleh-bolehnya perlu laju dan cepat daripada pembiakannya? Tindakan segera memastikan segala kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini dapat diatasi. Perjalanan sel kanser harus dibantutkan?

Kelambatan untuk mendapatkan giliran menjalani imbasan CT Scan di HKL, aku sangat-sangat memahaminya kenapa, walhal masa untuk melaksanakannya tidak sampai 20 minit. Ramai pesakit yang menanti giliran untuk menjalani ujian berkenaan. Walaupun peralatan ini sudah lama diperkenalkan, tetapi ia masih belum mencukupi berbanding dengan (ratio) pesakit yang ada di negara ini. 

Adalah wajar kalau mesyen x-try  ini ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku kelewatan mendapat rawatan yang boleh menghadirkan kemungkinan-kemungkinan yang buruk itu. Maut.

Inilah bahana atau pun “ulah” yang terpaksa dilalui apabila mahu mendapat rawatan di hospital kerajaan. Terpaksa menunggu dan mengikut giliran. Keadaan ini menimpa sesiapa sahaja, tidak kira darjat dan juga kedudukannya. 

Sebab itulah bagi mereka berada (wang) dan mampu akan mendapatkan rawatan di hospital swasta. Sanggup bergadai dan berhutang untuk mendapat rawatan segera. Atau pun jika ada “cable” – orang berpengaruh dikenali, ia boleh dipercepatkan? 

Bersama Prof Madya Dr Razif yang membedah
tonsilku bersama dua doktor didikannya.
Tindakan itu pula bagi aku sesuatu yang tidak adil kepada yang sudah lama menunggu. Bagi aku melintasi penantian orang lain suatu dosa? Perlahan-lahan menjustifikasikan dengan pasrah mati itu ditangan Tuhan. 

Altenatif lain.

Disebabkan terlalu lama dan bimbang penyakit yang ditanggung mulai merebak aku mencari alternatif lain. Aku perlu berbuat sesuatu sebaik mungkin untuk diri sendiri. Dalam hal ini aku tidak perlu berkompromi dengan sesiapa. 

Sebaik meninggalkan HKL,  di dalam kereta ketika dalam perjalanan pulang lagi aku sudah berfikir mencari “jalan keluar”, alternatif. Aku perlu menyegerakan menjalani ujian berkenaan untuk mengetahui keadaan dan kondisi tubuhku. 

Mengikut prosuder selepas mendapat hasil CT Scan baharulah doktor akan mengetahui dan membuat bacaan (analisa) apa penyakit yang kita alami kemudian menentukan tindakan selanjutnya, proses perawatan yang perlu dilalui. Ujian pengimejan itu membantu menguatkan hasil atau petunjuk daripada ujian darah dan juga berdasar pengalaman dari pemeriksaan lisan oleh doktor pakar. Ianya akan diselaraskan bagi membuat kesimpulan apa sebenarnya yang berlaku dan tindakan selanjutnya.

Sebenarnya bayangan bahawa aku menghidap penyakit yang paling ditakuti itu membuatkan aku segera bertindak, membuka plan baharu serta merta. Mula aku berfikir untuk merayu kepada pendaftar unit Radiologis bagi mendapat laluan agar dipercepatkan. Terfikir juga mahu menghubungi pakar ENT HKL Dr Zakinah yang merawat aku memohon jasa baik dan rekmin daripadanya. Tetapi mengenangkan tindakan itu menyusahkannya, aku batalkan niat berbuat begitu. Aku sangat menghormati bidang kerja orang lain dan berdisiplin mengikut SOP yang ditetapkan.

***

Sebaik sampai di rumah aku menghubungi seorang kawan, Md Shaupi Deraman memperihalkan hal ku alami kepadanya. Aku teringat beliau ada kenalan seorang pakar di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras. Kawannya itu Profesor Hassan yang mengetuai salah satu Jabatan di PPHUKM. 

Md Shaupi tidak banyak cakap terus menghubungi kawannya itu. Beberapa jam kemudian aku mendapat maklum balas daripadanya, berupa cadangan dan pandangan daripada Prof Hassan yang meminta aku berjumpa dengan pakar ENT di pusat perubatan itu yang diaturnya.

Malam terlalu lama.

Benar kata orang penantian satu penyiksaan dan meresahkan. Ada dua kondisi dalam penanti; jika menanti untuk dibebaskan dari keseksaan sangat lambat, sebaliknya jika menanti bagi mendapat keseronokan terasa sekejap. Demikian halnya kalau menanti orang membayar hutang dalam jumlah agak besar, sangat lambat dan sukar.

Demikian menanti hari esok untuk berjumpa dengan pakar ENT bagi mengetahui kondisi diri, dirasakan sangat lama. Semacam jarum jam tidak berdetik dan matahari tidak berpusing untuk segera menghadirkan siang. Perasaan itu wujud semuanya kerana aku sudah mula dilambung cemas. Lagi pun menjadi tabiatku sesuatu perkara, sama ada berupa kerja atau apa-apa pun disegerakan dan kalau boleh semua kerja dan urusan mesti dibereskan dalam jam yang sama. 

Aku seorang yang tidak suka menangguh sesuatu melainkan melibatkan orang lain yang mana aku tidak dapat mengatasinya dengan bersendirian, jadi kena akur kepada pergerakan orang.

Esoknya selepas Subuh sebelum fajar Dudha menjenguk aku dengan ditemani Naimah sudah bergerak ke PPHUKM di Cheras yang jarak dari rumah 24 km. Pemergian ke PPHUKM itu adalah pertama kali secara rasmi aku mendapat rawatan di situ. Kali pertama aku menjejak pusat perubatan berkenaan ialah pada tahun 2001 kerana menziarahi sahabat aku Idris Othman (Allahyarham) yang sakit kerana kanser (esophagus) dan kedua ketika menziarahi jenazah bekas Presiden PAS Fadzil Mohd Noor yang juga meninggalkan kerana kanser. Kali terakhir ke situ untuk menziarahi jenazah sepupuku seorang tentera udara (...) yang meninggalkan akibat kaser sinus yang merebak ke otak.

Klinik pakar berkenaan terletak di Tingkat 7 di HUKM. Tingkat 7 menempatkan ward berbayar atau Private Wing. PPHUKM ada dua bahagian (sektor), satu untuk orang awam dimana kos perubatan dan rawatannya jauh lebih murah berbanding dengan Private Wing yang mengenakan kos yang sama mahal dengan lain-lain hospital swasta. Apabila aku diminta ke ward 7 terfikir mengenai bayaran?

Tempat pukul 9:30 pagi aku sudah memasuki ke klinik pakar PPHUKM. Selepas bertanya petugas di kaunter pendaftaran dan menjelaskan tujuan kedatanganku, serta menyebut nama pakar yang hendak aku temui, aku disuruh masuk ke klinik. Pakar yang aku hajati untuk ditemui Prof Madya Dr Razif sudah sedia menanti kedatanganku. Pertemuan itu mudah kerana temu janji telah diaturkan oleh Prof Hassan.

Tanpa banyak berbasa basi aku diperiksa. Dua orang doktor ENT, (aku percaya dibawa seliaan Prof Madya Dr Razif) membuat pemeriksaan lisan terhadapku. Mereka bertanya apa-apa yang wajar dan aku menjelaskan mengikut apa yang ditanya. Selepas mereka membuat pemeriksaan ke dalam rongga tekak, melihat tonsil dan bentuk serta kedudukannya baru Dr Razif “menangani” aku. Pemeriksaan tidak sampai 10 minit beliau terus membuat cadangan, agar dilakukan pembedahan untuk membuang tonsil.

“Kita operate sahaja, tonsil ini kena buang,” jelasnya. Cara dia menjelaskan dan melayani aku ringkas dan mudah. Penuh keyakinan. Nama lagi pakar dan caranya penuh psikologikal.

Sebelum itu Dr Razif memberi penerangan mengenai proses pembedahan dan perkhidmatan di antara Prvite Wing dengan ward umum. Maksudnya yang berbayar dan yang biasa. Menurutnya sekiranya pembedahaan dibuat di Private Wing kosnya agak tinggi, tetapi ia cepat. Sementara pembedahan di ward biasa, ia murah tetapi ia terpaksa menunggu masa sedikit, menanti giliran sebab ramai pesakit sedang menunggu giliran.

Aku hanya mendengar penjelasan itu tanpa apa-apa komenter. Aku tidak ada pilihan lain lagi melainkan apa yang diperlukan mempercepatkan proses pembedahan itu. Tindakan perlu segera, tonsil kena dinyahkan. Aku tidak mahu ia ada bersamaku.

“Kalau buat di sini (Private Wing) ia agak mahal, Encik Sayuti, tetapi boleh cepat, kalau di ward biasa lambat …  tetapi kosnya murah?” Jelas Dr Razif seakan memberi pilihan kepada aku dengan jujur dan penuh empati. Beliau ikhlas menyebabkan aku berasakan alternatif yang diberikan itu tidak menekan perasaan.

Bagi aku apa yang penting bukan lagi soal wang dan berapa nilainya, yang penting rawatan dan tindakan (pembedahan) perlu disegerakan. Tonsil harus dinyahkan. Wang dan segala kos dengan apa cara pun akan disediakan. Dalam keadaan kritikal begitu wang bukan menjadi perhitungan lagi. Harta benda bukan sesuatu yang perlu diperhitungan dalam situasi demikian walaupun aku seorang yang tangkai jering (ekonomik) untuk diri sendiri,  

Namun sebagai orang tidak berada, sebatang kara di kota Kosmopolitan ini terfikir juga, bahawa perbezaan kos itu sangat ketara. Walaupun wang tidak kisah, tetapi ia masih merupakan sesuatu perlu diambil kisah juga. Hidup yang sempurna itu antara penyebabnya ialah kebijaksanaan mengurus wang. Apa lagi waktu itu dua anak aku masih berada di bangku pengajian, seorang di IPTA sementara seorang di sekolah menengah. Untuk menjamin pendidikan mereka tidak “tertala”, (tergendala) wang harus senantiasa cukup.

Untuk mendapat penjelasan lanjut dan memuaskan hati, aku bertanya kepada Prof Madya Dr Razif suatu pertanyaan yang tidak sepatutnya diluahkan; “Ada beza ke di antara private wing dengan ward umum? Maksudnya peralatan yang digunakan, dan pakar mana yang melakukan pembedahan?”

“Sama sahaja, peralatan yang digunakan dan dewan bedah sama. Dan yang buat (bedah) pun saya juga” jelasnya cepat. Penjelasan itu memberi kelegaan kepadaku. Bahawa tidak ada perbezaan dari segi kualiti perubatan di private wing dengan wad biasa kecuali dari segi fasilitas dan jumlah kos? 

Apabila mendapat penjelasan itu, terfikir adalah lebih baik menjalani pembedahan dan rawatan di ward biasa, kerana ia boleh menjimatkan kos. Tetapi masalahnya ia terpaksa tunggu, menyebabkan aku tidak menghirau soal itu lalu menyerahkan kepada budi bicara Dr Razif.

“Saya serahkan kepada Dr, di sini pun boleh, di ward awam pun boleh?” Kata aku penuh keinsafan. Dr Razif mungkin dapat membaca air mukaku yang terdesak menyebabkan beliau memberi sedikit kelonggaran. “Saya akan cuba tengok jadual pembedahan dulu, kalau boleh buatlah di ward awam, jimat kos sikit,” katanya menyaran. Kata-kata itu melegakan aku dan ia merupakan satu penawar. Diplomasi Dr Razif sangat tinggi untuk orang yang dalam keadaan kecemasan dan terdesak seperti aku.

Aku terus terpaku di atas kerusi pemeriksaan, di samping Naimah yang hanya memerhati apa yang berlaku dengan penuh ta’akulan. Aku memahami apa yang berladum dalam hatinya sebagai seorang isteri. Kebimbangan yang bersarang diwajahnya dapat aku hidu dan selami sedalam-dalamnya. 

Sementara aku terdiam dan terpaku dan sesekali berintraksi dengan kaki tangan klinik bagi menyapu resah, Dr Razif menekan key borad komputer di meja kerjanya. Tanganya menggerakkan tetikus menaik turun menilik data atau jadual pembedahannya dalam komputer. Matanya tertumpu kepada skrin. Dia sedang melihat jadual tugas dan appoitment pembedahan yang tentu berjela-jela. Tekun sekali dia menyemak data-data dalam komputernya. Mata aku meleret mencuri tenguk apa dilakukan. dengan sedikit debaran disusik cemas. 

“Oh, minggu depan ada patien yang tangguhkan pembedahan. Kalau Encik Sayuti mahu, kita buat minggu depan,” kata Dr Razif sambil berpaling ke arah aku. Wajahnya berseri.

“Ini sahaja ada tarikh yang kosong, kalau tidak terpaksa tunggu lama …,” jelasnya lagi. Kata-kata itu sekali lagi menjadi penawar kepadaku. Aku berasakan rawatan terhadapku sudah pun berjalan. Tetapi…?

“Pembedahaan di sini ke, atau ward biasa?” Tanya aku mahukan kepastian. Sebenarnya pertanyaan itu tidak perlu apabila aku telah menyerahkan apa-apa mengenai diriku atas budibicara dan profesionalismenya. Semacam tidak ada keputusan pasti pula daripadaku. 

“Di ward biasa,” jelasnya. “Kalau setuju saya mark di sini dan kita buat minggu depan,” tukasnya lagi.

Aku menoleh ke arah Naimah. Dia merenung ke muka aku menyatakan persetujuan.  “Buatlah tak payah tunggu-tunggu,” suaranya mendesak dan memohon. Aku faham dia juga cemas kerana inilah pertama kali sepanjang berumah tangga denganku, mencecah 32 tahun aku akan menjalani pembedahan.

Ohya sebelum ini aku sudah hampir untuk menjalani pembedaan, kira-kira 20 tahun lalu. Ketika itu aku diserang batu karang hebat menyebabkan doktor menasihati aku melakukan pembedahan. Tetapi tidak jadi kerana aku “berhelah” sebenarnya takut. 

Dan hari itu Prof Madya Dr Razif telah menetapkan temu janji untuk pembedahan. Aku dikehendaki masuk ke ward 6H pada 23 November 2015. Aku harus ada dalam ward sekurang-sekurang satu malam untuk proses persiapan pembedahan, kuaratin menjalani pemeriksaan darah, tekanan jantung, gula dan segala macamnya. Tarikh ditetapkan untuk pembedahan ialah 28 November 2015.

Wangsa Melawati,
Kuala Lumpur. 

[wm.kl. 6:11 am 23/04/2021]


No comments: