Friday, August 6, 2021

Shazni anak muda yang menjadi harapan

Belasungkawa

Allahyarham sewaktu serah 
memorandum di Kedutaan US.
 
SEMALAM sewaktu menerima berita kematian Allahyarham Mohd Fadli Yusof seorang pendakwah marathon, saya jadi terkedu kesedihan. Terbagar-bagar wajahnya hingga ke malam. Pemergian Fadli terlalu awal, pada saat peranan dan tanggungjawabnya kepada agama diperlukan. Kejayaannya menjadi pendakwah bebas berjaya menyebabkan pemergiannya dirasai.

Belum habis duka atas kehilangan itu, hari ini dikejutkan pula dengan pemergian sdr Mohd Shazni Munir Ithnin34, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), merangkap Ketua Pemuda PH. Sejak mengetahui beliau mengidap Covid-19 saya terkenang-kenang beliau. Semalam sewaktu Ustaz Yusri Maimon datang berkunjung ke rumah kami masih bertanya hal Allahyarham.
 
Kebetulan Allahyarham adalah junior Yusri semasa di Pengajian Islam Universiti Malaya sekitar tahun 2005 - 2009.

Pemergian mengejut Fadli menjadikan ingatan berpusat seluruhnya kepada Shazni dengan tetiba. Tetapi saya tidak ada sumber untuk mendapat maklumat lanjut mengenai perkembangannya yang sudah ditidurkan setelah menghidapi Covid stage lima, kecuali melalui Facebook tertentu yang update mengenai keadaanya.

Hari ini Jumaat yang mulia, sebelum Jumaat tersebar berita Allah telah menjemput Shazni pulang ke sisi-Nya. Sesungguhnya apa yang dapat diucapkan, Allah lebih mengetahui apa yang dikehendaki-Nya. Inalilah hiwainailahirajion.

Shazni seorang aktivis dan gerakan mahasiswa merupakan graduan pengajian Islam UM mempamerkan bakat kepimpinan sejak di kampus lagi. Semasa mengikuti program asasi di Akademi Islam Nilam Puri UM. Beliau dipilih menjadi presiden Akademi dan kemudian menjadi Presiden Persatuan Islam UM sekitar tahun 2005 - 2009. Beliau adalah antara anak muda yang berada di bawah naungan mata saya. Sejak beliau aktif dalam gerakan politik, menjabat jawatan naib ketua Pemuda Amanah, saya memerhati sosok ini.

Menjadi kesukaan saya melihat karakter dan potensi yang ada kepada anak-anak muda yang berada dalam siasah khasnya. Saya meletakkan harapan dan kepercayaan kepada anak muda yang bakal mengambil alih kepimpinan negara masa depan. Shazni adalah salah seorang. Allahyarham bagi saya ada kelebihannya dan terserlah kepimpinan. Allahyarham dari perspektif saya seorang berperwatakan tegas dan berwibawa. Pelantikannya sebagai ketua Pemuda PH merupakan penghormatan dan pengiktiarafan kepadanya. 

Yang paling menarik dan menyenangkan beliau seorang yang sedia untuk ditegur, tidak mudah melenting dan berfikiran terbuka.  

Saya tidak kerap berjumpa dengannya, hanya beberapa kali saja. Apabila saya mengkritiknya dalam media sosial beliau tidak melatah dan berusaha untuk menemui saya bagi memberi penjelasan dan mendapat maklum balas. Kami berjumpa dan berbincang. Dalam kesempatan itulah saya sempat menumpahkan sedikit pengalaman dan sejarah politik kepadanya. 

WhatsApp daripada Shazni 2017.
Beliau pendengar yang baik dan akur kesilapan dan berjanji untuk memperbetulkannya. Ertinya beliau seorang yang boleh dibentuk dan sedia belajar.

Bermula dari situ kami mesra dan akrab. Beliau akan mengirimkan apa-apa sahaja bahan berupa kenyataan daripadanya. Ada setengah beliau minta saya semak dan memberi ulasan.

Sikap itu menunjukkan Shazni seorang anak muda yang tidak mengikut hawa kemudaanya. Berfikiran terbuka dan sedia untuk dikritik. Menghormati orang lebih tua daripadanya, jauh sekali menggunakan kata-kata kesat dan menghina orang lain.

Daripada kenyataan dan reaksinya kepada isu-isu politik, laporan polis dibuat terhadap isu-isu tertentu, penyerahan memorandum kepada kuasa asing, menjelaskan Pemuda Amanah ini seorang yang berani, komited dan bertanggungjawab. Dari situ saya melihat beliau mempunyai masa depan yang menyakinkan. Mana-mana parti memilikinya, beruntung.

Permerginya sekejap tadi, (6/8/2021) kerana Covid, sesuatu kehilangan besar buat dunia politik khasnya Amanah. Dalam keadaan Amanah tidak memiliki ramai sosok berwibawa sebegitu, sedikit sebanyak ia boleh mengenjakkan gerakan parti tersebut. Pengkhianatan oleh ketua pemuda telah meletakkan tanggung-jawab besar kepadanya untuk memikul amanah perjuangan itu. Apapun bak kata pepatah patah tumbuh hilang berganti. Shazni tidak berkesempatan menunjukkan bakat pimpinannya dalam politik. 

Shazni asal Segamat, Johor pergi tanpa sempat menikmati apa-apa hasil perjuangan selama ini hatta sewaktu partinya (PH) menjadi kerajaan selama 22 bulan. Saya difahamkan beliau tidak diberi apa-apa tempat atau jawatan di mana-mana agensi kerajaan di peringkat Persekutuan, kecuali peranan di Melaka. Meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang juga turut dijangkiti Covid-19. 

Sama-sama kita mendoakan semoga rohnya ditempatkan Allah di makam mukhlisin. Takziah kepada keluarganya dan partinya. [wm.kl.2:59 pm 06/08/2021]

No comments: