Thursday, May 12, 2022

Perebutan jawatan dalam Keadilan jangan ulang peristiwa 2018

RENCANA KHAS

Harap salam ini kemas sampai akhir.
SEMASA Keadilan mengadakan pemilihan tahun 2018 saya menulis artikel ini, https://msomelayu.blogspot.com/2018/08/pertembungan-rafizi-azmin-sulitkan.html#more menerusinya saya menyatakan kebimbangan tentang kesan pertandingan antara Rafizi Ramli dengan Azmin Ali

Mesej artikel itu saya pertikaikan cara Rafizi Ramli mengumumkan calon-calon pasukannya sungguh grand untuk melawan orang ditentangnya Azmin Ali, penyandang jawatan timbalan presiden Keadilan. 

Melihat kepada suasana itu saya menyarankan kepada Anwar Ibrahim supaya nasihatkan perebutan itu berjalan dengan baik. Tetapi atas alasan Keadilan mengamalkan politik demokratik ia dibiarkan. Ertinya saranan saya itu diketepikan. 

Alhasil apa yang saya walangi itu menjadi kenyataan. Pertandingan itu memberi kesan buruk kepada Keadilan. Ia retak membawa belah dan menghadirkan tragedi kepada parti. Berlaku perbalahan besar dalam parti itu, berkemuncak dengan  Azmin meninggalkan parti sekaligus meranapkan kerajaan PH. 

Dan Rafizi pula tidak boleh menerima kekalahannya, lalu mengambil cuti daripada aktif dalam parti. Beliau bercuti selama empat tahun. Langkah diambil Rafizi itu boleh disifatkan sebagai merajuk dan tidak dapat menerima hakikat kesan sebuah pertandingan. 

Walaupun parti melantiknya sebagai salah seorang naib presiden, tetapi beliau tidak menghargainya. Keadilan pula menerima bahana itu sebagai sudah jatuh ditimpa tangga. Ketiadaan Rafizi dalam parti menyuramkan parti tersebut.  

Tindakan Rafizi itu menyebabkan Anwar seperti berseorangan menguruskan partinya. Yang tinggal hanya Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail yang "sukur sebam" membantu Anwar menyelamatkan parti. Memarahkan lagi keadaan, apabila dua naib presiden Zuraida Kamaruddin dan Xavier Jayakumar Arulanadam meninggalkan parti.  Zuraida lebih setia dan percayakan kepada Azmin berbanding dengan Anwar sebagai presiden parti. Xavier meninggal parti kerana ada masalah peribadi. 

Dalam keseorangan inilah Anwar membawa dan memancu perjuangan reformasi dan Keadilan untuk menghadapi pilihan raya di Melaka, Sabah, Sarawak dan Johor dimana berkesudahan Keadilan kalah total di Melaka, Johor dan Sarawak. Kekalahan itu memberi petunjuk dan alamat buruk kepada masa depan Keadilan. Akibat kekalahan itu menyebabkan Keadilan dilihat tidak segagah dahulu. 

Kini Keadilan sedang dikocak dengan ombak pertandingan dimana sekali lagi Rafizi ikut sama bergelumang. Suasana pertandingan kali ini sama dengan pertandingan empat tahun lalu. Beliau yang sebelum ini bercuti muncul kembali dengan slogan "Ayuh Malaysia". Beliau membuat come back dengan penuh keyakinan membawa obor untuk kemenangan Keadilan. Beliau hadir seolah-olah sesudah tamat betapa dan penuh ilmu setelah meninggalkan parti selama dua atau tiga tahun dengan semangat baru.  

Kemunculannya dialu-alukan kerana kehilangannya sebelum ini dirasai. Memang beliau adalah aset kepada Keadilan berdasarkan kepada kebolehan dan kepakaran yang dimilikinya. Beliau seorang profesional dan berterus terang hatta sedia membantah apa yang disuarakan presiden.

Keadilan membenarkan pertandingan merebut jawatan untuk membuktikan ia sebuah parti demokratik tulen. Tidak ada apa hendak digeruni dengan pertandingan. Keadilan tidak seperti Umno yang menangguhkan perebutan jawatan sampai perlu meminda perlembagaan parti. Dalam kasus ini Keadilan lebih gentlemen berbanding Umno.

Pertandingan antara Rafizi dengan Saifuddin ini menarik. Keduanya telah menjalankan kempen dan sudah sampai ke kemuncaknya. Semua ahli Keadilan rasanya sudah faham dan mengerti iltizam masing-masing. Pengundian dalam talian dan fizikal bermula pada 13 hingga 28 Mei. 

Baik Rafizi dan Saifuddin bersungguh dalam merebut jawatan itu. Mereka masing-masing membentuk kem dan kumpulan masing-masing. Pembentukan, team atau bertanding secara berkumpulan ini yang membimbangkan. Jika ia tidak difahami dan dihayati dengan semangat demoktrasi berpaksikan idealisme parti, kemungkinan peristiwa 2018 akan berulang kembali. 

Ahli parti Keadilan perlu menginsaf akan hal ini dan, berdoalah semoga pertandingan ini berlangsung dengan baik dan semangat ukhwah dan reformasi. Pokok pangkalnya ia nanti terletak kepada kedua orang itu Saifuddin dan Rafizi. 

Saifuddin mengulang beberapa kali, bahawa pertandingan bukan untuk mencarikkan persahabatan, dan memecah mecilkan parti, sebaliknya mengukuhkan parti. Beliau berjanji kalau dia tertakdir kalah dia akan tetap berada dalam bahtera parti dan sedia bekerjasama dengan Rafizi. Semangat dan pegangan demikian juga seharusnya ada kepada Rafizi nanti. 

Dalam beberapa siri kempen tidak kedengaran penegasan Rafizi seperti itu. Mungkin beliau sudah mengambil dan menggunakan pakai semangat Saifuddin itu. Cuma saya nak sebut secara berterus terang juga di sini, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, Keadilan akan berhadapan dengan masalah sekali lagi sekiranya Rafizi tidak terpilih sebagai presiden?

Dan sekiranya Saifuddin memenangi pertandingan itu, tugas utama nanti ialah menyatu padukan parti, mengikis semangat kepuakan yang terbentuk dalam masa disepanjang proses kempen parti itu. Pertandingan dan pemilihan dalam parti Keadilan bukan sahaja untuk mengembalikan kekuatan Keadilan tetapi lebih penting menobatkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Justeru baik Saifuddin maupun Rafizi, mesti menjadikan matlamat pertandingan itu ke arah mencapai tujuan yang satu bukan untuk menunjukkan akulah yang kuat, akulah yang hebat. Satu hakikat perlu diterima juga kepada ahli Keadilan, sesiapa bakal dipilih jadi timbalan presiden, kemungkinan besar beliaulah akan menerajui Keadilan di masa hadapan. Selamat memilih dengan sebuah pesan, Keadilan kuat bukan kerana seorang tokoh, tetapi Keadilan kuat kerana semua orang bersatu. [wm.kl. 2:14 pm 12/05/2022]


No comments: