Saturday, July 16, 2022

Anwar adalah sebuah tugu kepimpinan berintegriti

ULASAN

"Saya tidak rela berkompromi dengan 
rasuah dan bailout tidak munasabah."
SINDIRAN kepada Anwar Ibrahim sebelum ini yang mengalami kegagalan demi kegagalan untuk mendapat sokongan bagi menduduki kerusi nombor satu negara kemudian diejek dan dipersendakan sehingga dirasakan muka ahli Parlimen Port Dickson itu sudah hancur, (malu), hari ini terbela apabila beliau secara berterus terang dan bertanggungjawab menjelaskan apa dakwaanya sebelum ini adalah benar, bukan suatu dongengan. 

Bahawa dakwaannya beliau pernah mendapat sokongan mencukupi bagi dilantik menjadi perdana menteri bukan rekaan atau omong kosong bahkan surat (SD) sudah diperolehi dan sudah pun sampai kepada Yang diPertuan Agong namun ianya ditarik balik di saat-saat akhir kerana keengganannya berkompromi dengan kebobrokan. 

Apa yang diungkapkan hari ini mengejutkan ramai pihak dan mengenalkan semua orang tentang seorang Anwar yang bukan sahaja "tauhid" dalam perjuangan, tetapi berprinsip dan tidak sedia berkompromi dengan kemungkaran.

Ketika berucap merasmi Kongres Nasional Keadilan ke-16, di Shah Alam Anwar mengatakan kalau beliau hendak jadi perdana menteri, sejak tahun 1998 lagi beliau sudah bergelar perdana menteri sekiranya beliau bersedia untuk sekongkol dengan rasuah dan penyelewengan tidak munasabah. 

"Saya boleh jadi perdana menteri awal lagi tahun 1998, kalau saya sedia berkompromi dengan rasuah dan (menyetujui) bailout yang tidak munasabah," jelasnya. 

Pada tahun itu beliau menentang cadangan kerajaan (Dr Mahathir) agar bailout syarikat milik anak Dr Mahathir Mohamad yang mengalami kerugian, akibat daripada ketegasannya itu menyebabkan beliau dipecat daripada Umno dan Menteri Kewangan.

Sementara peluang kedua baginya untuk jadi perdana menteri ialah tahun lepas, apabila sudah mendapat sokongan daripada semua pembangkang (105) dan 15 daripada ahli parlimen Umno yang mana beliau sudah memperolehi 120 suara. 

Pengakuan sokongan itu sudah pun dihantar kepada Yang diPertuan Agong, namun rezekinya tidak ada apabila Umno menarik sokongan pada saat-saat akhir apabila beliau enggan memberi kepastian bagi memenuhi (kontra) daripada dua pemimpin Umno untuk membebaskan kes mahkamah mereka. Dua pemimpin itu ialah Zahid Hamidi dan Najib RAzak.

Menurutnya beliau diminta kepastian oleh kedua orang itu pada saat-saat akhir agar membebaskan kes mereka apabila menjadi PM kelak, tetapi beliau tidak menyetujuinya menyebabkan sokongan daripada Umno itu ditarik. 

"Bayangkan kalau Yang diPertuan Agong dipermainkan apa lagilah rakyat," ujarnya kesal mengimbau kejadian dramatik itu. 

Bagaimana pun katanya beliau tidak menyesal apa-apa yang berlaku dan tidak meminta maaf atas ketegasannya. 

"Sehingga ke saat akhir saya masih menerima mesej untuk menyatakan persetujuan bagi menutup kes melibatkan Najib dan Zahid," katanya. Namun beliau tetap dengan prinsipnya sama sekali tidak sedia berkompromi kandatipun tidak dapat menjadi perdana menteri.

Penjelasan hari ini dihadapan kira-kira 3,000 perwakilan dan permerhati serta ratusan pelayar maya yang mengikut kongres itu secara live, menjelaskan kebenaran dan keutuhan prinsip yang didokongnya selama ini. Dewan senyap sunyi tatkala mendengar penjelasan beliau itu yang mempamerkan sikapnya yang sungguh berintegriti.

Rakyat yang berprinsip dan menghormati integriti akan tetap bersamanya dan tidak akan kecewa, bahkan berterima kasih dan bangga dengan presiden Keadilan itu dengan prinsip dan pendirian tegasnya itu. Bagi rakyat tidak kisah kalau beliau tidak menjadi perdana menteri asalkan utuh dengan prinsip dan sikap itu. Rakyat mementingkan moral dan akhlak tidak tergamak untuk menjunjung mana-mana pemimpin yang naik hasil tindakan bobrok.

Bagi rakyat khasnya memperjuangkan Reformasi, pasti rela dan redha menunggu 1000 tahun lagi untuk Anwar jadi perdana menteri, bagi mereka biarlah lambat asalkan ia diperolehi secara suci, bersih dan prinsip demokrasi luhur bukan menerusi laluan kotor dan jorok. 

Sesungguhnya Anwar telah membangun sebuah tugu kepimpinan berintegiri dan berprinsip di negara ini. [wm.kl. 6:30 pm 16/07/2022]


No comments: