Allahyarham menghadiahkan buku barunya kepada saya. |
BELASUNGKAWA
SEORANG demi seorang rakan penulis dan wartawan telah pergi menyahut panggilan Ilahi. Jelang pagi tadi, kira-kira jam 2.30 pagi, seorang lagi rakan dan teman penulisan politik telah dipanggil pulang ke Rahmatullah.
Sdr Ahmad Lutfi Othman rakan seperjuangan pernah duduk sebumbung menerbitkan akhbar Siasah, telah pergi menyahut panggilan Ilahi saat jemaah sedang berwukuf di Arafah. Al Fatihah.
Allahyarham Lutfi tutup usia dalam 59 tahun, tepat pada hari kelahirannya 9 Julai 1963. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital Uitm Puncak Alam, Selangor.
Kira-kira tiga bulan lalu, tepatnya 10 April 2022, teman dan rakan sepenulisan Norzah Kepol yang mengusahakan akhbar Buletin Rakyat telah meninggal dunia. Norzah adalah satu-satu wartawan dan penulis buku politik wanita yang rajin.
Lama sakit.
Lutfi sudah lama menderita sakit kencing manis sehingga terpaksa menjalani hemodialisis tiga kali seminggu. Beliau dimasukkan ke hospital Sungai Buluh kerana masalah jantung. Sebelum ini beliau pernah menjalani pembedahan jantung.
Disebabkan jangkitan kuman, menyebabkan beliau terpaksa dipindah ke hospital Uitm di Puncak Alam untuk mendapat rawatan lanjut.
Beliau yang kerap berulang alik ke hospital ekoran masalah kencing manis dan sebelumnya jantung. Kemasukannya ke hospital kali ini agak lama kira-kira sebulan, kerana jangkitan kuman. Kerana masalahnya kritikal beliau terpaksa ditidurkan untuk merehatkan bagi membolehkan hemodialisis dijalankan.
Tiga hari lepas, Rabu, saya sempat menziarahinya. Ketika itu beliau sedar daripada ditidurkan tetapi keadaanya sangat lemah. Bagaimana pun beliau sedar dan dapat berintraksi dengan pelawatnya. Beliau sedar dan dapat mendengar suara dan memberi reaksi. Paling menyayukan saat tangan kami bergenggaman antara satu sama lain, dia seperti sukar untuk melepaskannya.
Tidak sangka kunjungan saya itu adalah kali terakhir, bertemu dan berintraksi dengannya, dan persalaman kami persis persalaman perpisahan.
Menurut anak lelaki sulongnya Luqman, ayahnya sempat menjalani hemodialisis selama empat jam, tetapi keadaanya tidak banyak berubah. Hinggalah jam 2:27 pagi tadi penulis kelahiran Kedah itu menghembuskan nafas terakhir.
Sentimental.
Saya menghadiahkan buku baru saya ketika itu kepadanya. |
Seperti para seniman dan penulis lain, Lutfi pergi tanpa meninggalkan apa-apa harta dan kekayaan. Beliau juga tidak mempunyai atau sempat mempunyai zuriat yang ramai. Belum seorang pun anaknya berumah tangga. Namun apa yang membanggakan beliau banyak meninggalkan khazanah berupa buku-buku politik yang dihasilkan sejak awal meninggalkan kampus sekitar tahun 1987. Buku-buku itulah menjadi legasinya. Buku-buku peninggalan itulah kenangan dan harta buatnya.
Buku terakhir beliau, Revolusi Tanpa Darah yang diterbitkan 2019. Dalam masa menjadi penerbit, beliau juga berkhidmat dengan akhbar Harakah media Pas sebagai Editor. Perkembangan Harakah ini banyak diusaha olehnya. Semasa beliau memegang jawatan inilah, Harakah menjadi satu-satunya akhbar milik pembangkang yang menyaingi jumlah edaran akhbar arus perdana khasnya diera Reformasi.
Dalam dunia penulisan politik dan penerbitan, nama Lutfi sebaris dengan nama-nama sasterawan dan penyair agung negara yang dianugerahkan berbagai gelaran. Penglibatannya dalam dunia penulisan seharusnya diikhtiraf. Beliau boleh dinobatkan sebagai pelopor kewartawanan dan penerbitan media bebas Malaysia.
Sepanjang hayatnya beliau tidak pernah berkerja dengan media mainstream, dan bertindak menerbit akhbar dan majalah tidak berkala sendiri. Semua penerbitannya mengkritik pemerintah, khasnya dalam menuntut kebebasan bersuara. Pendirian Lutfi sangat jelas beliau seorang penulis dan karyawan media yang indenpendent. Sifat yang menjadi rupa dirinya ialah sifat tegas dan tidak mudah gentar menghadapi cabaran birokrasi. Sepanjang dia mengusahakan akhbar bebas (no permit) beberapa kali beliau naik turun ke mahkamah.
Membalik sejarah pengenalan saya dengan beliau, bermula pada tahun 1986, ketika itu saya bekerja di Mingguan Islam. Beliau yang merupakan aktivis siswa yang mempertahankan isu purdah di UTM, sering kali berjumpa dengan saya untuk minta menyiarkan artikel dan tulisan-tulisannya. Diwaktu ini beliau sudah mempamerkan minatnya dalam dunia penulisan dan mengkritik pihak senat universiti yang mengharamkan pemakaian purdah.
Keberanian dan kegigihan Lutfi terserlah ketika melawan senat dalam isu purdah ini. Gara-gara memperjuangkan purdah inilah beliau bersama lapan siswa lain dipecat dari universiti ketika berada di tahun akhir dalam jurusan Kejuruteraan Awam.
Ketika beliau sedang berhadapan dengan tindakan kampus, saya pernah memberi nasihat kepadanya agar menumpukan kepada pengajian terlebih dahulu sebelum berjuang. Namun beliau seorang yang mempunyai pendirian dan prinsip, apa yang saya sebut itu hanya diangguk sahaja tetapi tidak sedia akur.
Seperti dikatakan, saya sempat berada di satu bumbung dengan beliau semasa menerbitkan akhbar Siasah (2004). Apabila beliau diminta kembali untuk menguruskan Harakah, akhbar Siasah ditinggalkan kepada saya kemudian bergabung bersama Zulkifli Sulong.
Lutfi bagi saya seorang yang berprinsip, tidak mudah tunduk dengan tekanan. Disebalik sifatnya pendiam, berjiwa sentimental dia miliki sekeping hati "bugis" menyakini apa yang diperjuangkan dan tidak sedia berkompromi dengan ketidakadilan khasnya menghalang kebebasan bersuara dan halangan untuk mendapatkan permit penerbitan. Lutfi adalah lambang pejuang kebebasan bersuara dan media bebas Malaysia.
Semoga apa yang telah diperbuat dan ditinggalkan untuk negara dan dunia ini akan diperkirakan Allah sebagai imbuhan pahala buat menghadapi Rabul Jalil. Takziah, Amin. [wm.kl.1:39 pm 09/07/2022]
No comments:
Post a Comment