Wednesday, August 10, 2022

Tiga nama disebut bakal MB Kelantan

SUSUPAN PETANG

Dr Fadzli Hassan
SELAIN daripada isu kerjasama Pas dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, timbul juga cerita lain yang tidak kurang menariknya dalam kubang politik Pas Kelantan. 

Ceritanya mengenai kedudukan jawatan MB selepas Piraum ke-15 kelak. Siapakah akan jadi menteri besar selepas pilihan itu nanti, subjek itu menjadi tanda tanya, penilaian dan perhatian apabila ada desas desus Ahmad Yaakob ingin berundur atas faktor kesihatan.

Perhatian itu berpusat dalam kalangan Pas apabila dilihat parti itu masih mampu untuk mengekalkan pemerintahan di negeri berkenaan. Ukuran ini berdasarkan situasi semasa dimana pembangkang khas PH dalam keadaan lemah,  berkecamukkan sesama sendiri dan tiada strategi. Keadaan ini menjadikan oposisi tidak mungkin dapat mencabar Pas. 

Ura-ura akan wujud pakatan sesama pembangkang di Kelantan untuk menghadapi Pas-Bersatu secara satu lawan satu juga masih berbaur dan kabur. Tidak pasti apakah gabungan pembangkang itu nanti berlaku atau tidak. Walaupun hampir semua pihak bersetuju untuk menumbangkan Pas perlu kesatuan pembangkang, tetapi untuk merealisasinya bukan senang. Kerangka besar ke arah itu belum wujud.

PH, sejak kalah teruk dalam pilihan raya ke-14 lalu tidak ada apa-apa pelan pembangunan untuk koalisi itu.  Kekalahan itu tidak diambil iktibar untuk perkuatkan gabungan tersebut. Kerana kebetulan PH menjadi kerajaan di Kuala Lumpur, masing-masing pemuka parti lebih menjaga kepentingan diri "berebut" jawatan dalam kerajaan sehingga melupai masa depan parti. Perencanaan untuk menguatkan gabungan tidak ada sama sekali.  

Gara-gara perebutan itu ada yang rasa tersisih dan dengki mendengki antara satu sama lain, kesannya menyebabkan hubungan sesama sendiri renggang. Kemenangan di Kuala Lumpur menjadikan oposisi di Kelantan lupa diri, lalai serta ralik kerana mengira kemenangan itu akan kekal. 

Keadilan Kelantan misalnya tidak mempunyai pemimpin berwibawa untuk bangunkan parti itu. Keadilan mulanya menjadi tarikan apabila ada ahli Umno berhijrah kepada parti itu setelah Keadilan jadi kerajaan. Berbondong-bondong orang menyertai Keadilan termasuk beberapa pimpinan Umno peringkat bahagian. 

Namun setelah kerajaan PH tumbang, mereka berpatah balik semula kepada Umno. Mereka tinggalkan Keadilan seperti tinggalkan kereta privet sapu mampos. Mereka sedemikian merupakan oportunis politik, pencari untung dengan politik.

Sejarah dan kecemerlangan Keadilan Kelantan yang pernah menang di tiga kerusi parlimen tahun 2008 dan satu kerusi Dun pula tidak dijadikan semangat untuk membangun parti itu di Kelantan. Sebaliknya yang berlaku "berkekah belah" sesama sendiri.  

Pemimpin Keadilan hari ini gagal. Parti itu menjadi "kocel" di Kelantan apabila berlaku pengkhianatan meninggalkan parti ekoran langkah Sheraton. 

Nasaruddin Daud
Bekas ahli Umno Supardi Mohamad Noor yang diberi peluang memimpin Keadilan selaku pengerusi MPN Kelantan gagal menggunakan kesempatan itu seperti mana dibualkan, sebaliknya menjadikan Keadilan persis rumput tepi jalan hidup segan mati tidak mahu. Tidak ada sebarang progres yang dilaksanakan oleh beliau. Ahli tidak bertambah malahan berkurang ada.   

Demikian juga dengan rakan Keadilan dalam PH, Parti Amanah Negara (Amanah) berkucar "wak yah" tidak ketahui mana kepala mana ekor. Masing-masing hendak tunjuk lagak. 

Amanah yang mulanya dilihat parti masa depan, lebih retorik lagi menjadi pengganti Pas, akhirnya menjadi parti malap dan menyurut ke belakang. Parti itu jadi macam daun nipah kering menirus bukan berkembang macam daun sagu. Husam Musa yang sebelum ini memimpin Amanah mengambil sikap tidak aktif dalam parti itu. Beliau sendiri seperti putus angin dengan Amanah selepas kerajaan PH tumbang.

Kini bekas pengerusi Amanah negeri Kelantan itu bergerak secara terpisah dengan Amanah dengan menubuhkan Ngo SaveKelantan. Kemampuan SaveKelantan ini juga untuk menyaingi Pas diragui. Memang isu yang dimainkan SaveKelantan menjadi perhatian umum dan menggegarkan kerajaan Kelantan, tetapi ia tidak cukup kuat untuk menumbangkan kerajaan Pas yang sudah berusia 32 tahun. SaveKelantan memerlukan dokongan dan kerjasama dengan parti-parti politik juga.

Manakala Umno walaupun parit terbesar, tetapi parti itu juga menghadapi kelupusan semangat wira dan hilang keyakinan sendiri. Pemimpinya berbelah bahagi dan tidak selari pendapat. Setengah mahu meneruskan muafakat dengan Pas, setengah yang lain sudah menarik diri dan nekad untuk bertanding secara solo. Maufakat awal Umno dengan Pas dilihat mantap dan bakal mewujudkan kerjasama politik yang boleh memberi faedah kepada rakyat Kelantan. Namun ia relai sebelum tiba masanya.

Perpecahan atau perbezaan mazhab politik dalam Umno di Kuala Lumpur, ikut sama terbawa ke Kelantan. Sebahagian daripada pimpinan Umno khasnya mereka berjawatan mahu kekalkan kerjasama dengan Pas, manakala yang tidak berjawatan dan berada di luar kerajaan, mahu bertanding sendiri. Keadaan itulah menjadikan Umno tidak jauh bezanya dengan PH.

Sementara dalam suasana oposisi tidak sepakat, Pas makin kuat dan sepadu apabila seperti sudah sahih akan berkolaborasi dengan Bersatu. Pelancaran Perikatan Nasional peringkat Kelantan sudah pun diadakan bertempat di Tanah Merah. Sambutannya hangat walaupun dikerah dan dibayar. Melihat kepada sambutan majlis itu menunjukkan penyokong bawahan kedua pihak "berpalut" molek, macam pulut dengan santan. 

Lantaran itu peluang Pas untuk kekal di Kelantan semakin cerah. Justeru kondisi inilah juga menyebabkan timbul persoalan siapakah MB selepas pilihan raya akan datang. Nama bakal MB Kelantan selepas ini menjadi sebutan dan impian. Khabarnya Ahmad Yakob sudah berhajat untuk berundur atas faktor kesihatan. Jika benar begitu, secara hirearkinya Mohd Amar Nik Abdullah akan mengambil alih. Bagaimana pun Adun Pancor itu dikatakan ada masalah apabila pendekatan dan cara beliau berpolitik tidak disenangi oleh Pas.

Kerana ulah dan penampilan itu, kalau Mohd Amar dijual sebagai MB dibimbangi boleh menjejaskan pengaruh Pas dalam pilihan raya nanti. Justeru bagi mengelakkan berlaku penolakan kepada Pas gara-gara Mohd Amar, timbul dua nama lain akan diangkat untuk jadi MB. Merekalah adalah Adun Meranti Nasaruddin Daud dan Adun Temangan Dr Mohd Fadzli Hassan

Khabarnya kempen dan gerakan untuk mengangkat kedua namanya sebagai alternatif kepada Mohd Amar sedang berjalan secara senyap. Baik Nasaruddin maupun Dr Fadzli mempunyai penyokong dan dokongan tersendiri. Nsaruddin katanya mendapat restu daripada pihak wewenang manakala Dr Fadzli pula menjadi pilihan Ahmad Yaakob sendiri.

Mohd Amar
Golongan ketara menyokong Nasaruddin ialah golongan pondok. Golongan itu berpendapat  Adun Meranti itu lebih sesuai dengan pembawaan mereka. Baru-baru ini satu pertemuan dengan golongan pondok diadakan dengan mengundang Nasaruddin sebagai tetamu. Golongan Pondok dikatakan tidak berminat dengan Mohd Amar yang disifatkan beraliran mirip Wahabi. 

Sementara Dr Fadzli disenang pula menjadi pilihan Ahmad Yaakob. Ada maklumat menyebut sekiranya dalam pilihan raya ke-15 nanti Ahmad masih bertanding dan jadi MB, beliau mahukan Dr Fadzli menjadi TMB. Satu pelan sudah diatur Ahmad menjadi MB hanya seketika sahaja kemudian akan menyerahkan kepada Dr Fadzli.

Kesimpulannya ada tiga nama disebut bakal mengambil alih teraju selaku MB daripada Ahmad Yaakob selepas pilihan raya umum ke-15 kelak; Mohd Amar, Nasaruddin dan Fadzli. Tunggu sorotan lanjut. [wm.kl. 6:46 pm 10/08/2022].

No comments: