Tuesday, October 10, 2023

Bangunkan aplikasi untuk salurkan subsidi bahan bakar kepada nelayan

PANDANGAN

MASALAH ketirisan dalam pelbagai subsidi diberikan kerajaan kepada rakyat menyebabkan kerajaan akan memperkenalkan subsidi bersasar mulai tahun depan. Langkah ini boleh menjimatkan wang kerajaan membolehkan lebih banyak masyarakat berkepentingan mendapat manfaatnya. Ia juga untuk menyelamatkan pembaziran wang negara, dan penyelamatan itu membolehkan kerajaan menggunakan peruntukan itu untuk keperluan lain seperti pendidikan, kesihatan dan pertahanan yang banyak diperlukan. 

Pelaksanaan kaedah sebelum ini tidak praktikal lagi memadangkan banyak subsidi yang disalurkan untuk rakyat berkepentingan tidak tercapai seperti mana dihasratkan. Justeru kaedah itu diperkenalkan untuk mempastikan rakyat yang benar-benar memerlukannya memperolehi bantuan kerajaan dan mereka yang tidak layak tidak "mencuri"nya. 

Hasrat dan tujuan baik kerajaan ini hendaklah difahami betul-betul oleh semua pihak. Jangan pula ada golongan khususnya politik mengeksploitasikan kaedah ini sebagai kerajaan mahu mengurangkan subsidi atau menarik subsidi untuk rakyat. Usahkan mudah melelongkan hasrat baik ini. Kerajaan dan semua pihak yang ingin melihat negara ini makmur dan rakyat sejahtera, perlulah memahami polisi atau dasar baru kerajaan dalam aspek persubsidian ini.

Bagi saya persepakatan di antara pihak kerajaan dan pembangkang sangat penting bagi menjamin hasrat dan perubahan ini sukses. Dalam soal pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat pihak kerajaan dan pembangkang perlulah melangkah sederat dan mengurangkan politiking bodoh-bodohan.

Bahan Bakar.

Salah satu pembaziran dan ketirisan sering diperkatakan ialah mengenai bahan bakar (diesel dan pertrol). Pembaziran dalam aspek ini sangat banyak dan merugikan negara. Disepanjang tahun 2022 sahaja kerajaan membelanjakan RM30 billion untuk bahan bakar ini dimana sebanyak RM12 billion untuk diesel sahaja.

Yang sering diperkata dan dipertikaikan ialah subsidi diesel untuk nelayan, golongan B40. Sudah berdekad kerajaan menyalurkan subsidi kepada nelayan. Tujuannya  kerajaan memberi subsidi ini adalah untuk meringankan beban nelayan. Sebaliknya malang ia disalahgunakan dengan ada setengah nelayan sendiri atau pihak pembekal melakukan penjualan diesel kepada pihak-pihak lain. Dalam erti kata lain nilai diesel yang disubsidikan itu tidak dibelanjakan sewajarnya.

Dengan berlakunya kegiatan haram ini maka tidak hairanlah kalau nasib nelayan kita masih tidak terbela dan kekal di takuk lama. Tiada ada kejujuran dan ketulusan dalam hal ini akhirnya memeranakan diri sendiri. 

Kesan dari pengkhianatan itu menyebabkan matlamat kerajaan untuk meringan beban nelayan gagal. Dan tidak dinafikan nelayan atau mereka bertanggungjawab melakukan penyelewengan dan pengkhianatan itu mendapat laba atas darat, tanpa memikirkan kesan dan keburukan kepada negara. Mereka adalah oportunis. 

Melakukan penjualan dan penyeludupan diesel untuk meraihkan kekayaan segera adalah satu jenayah yang perlu dipandang berat. Mereka sanggup melakukan itu adalah anasir perosak negara perlu dihukum seberat-beratnya.

Cara konvensional.

Sehubungan itu pelbagai langkah diambil bagi memastikan aktiviti penjualan dan ketirisan itu tidak berterusan. Cara konvensional ialah dengan memperketatkkan penguat-kuasaan. Kita sering mendesak agar pegawai penguatkuasa dan skuad pemantau (Meritim) ditubuh dan diperbanyakan. Tidak dinafikan ia perlu tetapi langkah itu tidak menjamin aktiviti berkenaan dapat diatasi selagi tidak wujud kesedaran dan adanya integriti semua pihak.

Yang penting semua pihak kena amanah, bertanggungjawab dan berfikiran untuk kemaslahatan sejagat dan bukan untuk perut sendiri.

Sehubungan itu ada satu cadangan sangat signifikan kepada pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Ia boleh dicuba sebagai ujian dan melihat keberkesanannya. Wujudkan sistem pemberian subsidi secara tunai dengan mengenakan harga yang tidak disubsidikan. Itu cara terbaik. Dengan cara itu sahaja kegiatan menjual diesel tidak berlaku kerana si pengkhianat tidak akan mendapat keuntungan. Mereka bertindak menjadi pedagangan disel haram itu kerana mendapat kelabaan besar apabila membeli (mendapatnya) dengan harga murah. Ramai yang tidak tahu harga diesel yang dijual kini lebih murah daripada harga sepatutnya sehingga cecah lebih seringgit. 

Atau pun wujudkan satu sistem khas dengan membangunkan aplikasi tersendiri. Dengan adanya aplikasi ini ia akan merekod dan mencatatkan perjalanan dan kegiatan semua vesel-vesel yang keluar menangkap ikan. Mereka akan memaklumkan kagiatan mereka menerusi telefon pintar kepada pihak tertentu misalnya Jabatan Perikatan atau Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM).

Mereka perlu memberi maklumat ringkas kepada pihak berkuasa ini mengenai kapasiti vesel mereka, nama nohkoda, bilangan awak-awak, kawasan membabitkan penangkapan ikan secara umum serta memberi tarikh dan jangka masa berlepas dan pulang. 

Nelayan juga perlu memasukkan resit pembelian bahan bakar sebagai pengesahan yang telah dibuat. Apabila vesel telah kembali dari operasi menangkap ikan, langkah sama perlu dibuat dengan memberi maklumat tarikh dan masa tiba di pengkalan, nama jeti atau pelabuhan ikan didaratkan serta maklumat tangkapan secara umum.

Seterusnya setelah disahkan oleh pegawai Jabatan Perikanan atau LKIM, pihak diberikan tanggungjawab pemberian tunai subsidi seperti Pertubuhan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) atau Persatuan Kawasan boleh terus membuat bayaran secara online berdasarkan kadar yang telah ditetapkan seboleh-boleh dalam tempoh 24 jam selepas tiba di pengkalan.

Dalam pada itu Jabatan Perikatan dan LKIM bersama SPRM perlu membuat pemantauan secara rambang untuk memastikan maklumat diberikan asal dan betul. Sekiranya berlaku penipuan pemberian subsidi vesel atau lesen menangkap ikan perlu digantung serta merta. 

Dengan kaedah ini bukan sahaja dapat mengelakkan ketirisan, tetapi ianya dapat memastikan vesel-vesel keluar ke laut menangkap ikan yang membeli bahan bakar dan keluar ke laut menangkap ikan serta memastikan mereka pulang ke jeti tempatan sahaja, layak dan berhak menerima subsidi. Keadaan ini juga diyakini dapat mempertingkatkan tahap pengeluaran ikan negara.

Mungkin untuk menyediakan sistem atau aplikasi ini memerlukan sedikit perbelanjaan. Tetapi cara itu dikira masih menguntungkan memandang banyak berlaku ketirisan dan pembaziran. Mungkin pihak Nekmat atau LKIM sendiri atau pihak swasta lain yang berkeupayaan dan ada kepakaran dalam pembangunan aplikasi diberikan kesempatan dan kepercayaan. [wm.kl.10:51 am 10/10/2023]


No comments: