Jangan Risau Orang Islam Malaysia Tak Akan Bersatu
[kemaskini] KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada majalah Herald - The Chatholic Weekly mengguna perkataan Allah telah panas dan menjadi polimek umum. Orang Islam sudah mula marah dan ada setengahnya darah sudah sampai ke belakang tengkok.
Ada yang sudah tunjuk perasaan dan memprotes. Melalak dan melolong macam anjing lekat tulang kerana saking marahnya dengan keputusan hakim, Lau Bee Lan tersebut. Para NGO Islam juga sudah membuka mulut mengeluarkan air liur basi masing-masing berkokok kemarahan. Mungkin satu lagi Majlis Tindakan (NGO Islam) sedang dibentuk untuk menentang keputusan itu.
Inilah keadaan yang berlaku setiap kali meletus isu-isu sensitif mengenai Islam dan Melayu di negara ini. NGO, pertubuhan Islam dan orang perseorangan akan bangkit bersuara menentang. Melaung-laung di jalan raya, mengangkat sepanduk dan menjulang manila kad di hadapan masjid dan bersunggut serta mengeluh di dada-dada akhbar dan skrin tv. Mereka akan berlagak macam pahlawan fisabilillah yang merindui syahid.
Sebenarnya itulah harapan. Setiap individu Islam berharap semua mereka akan bersatu dalam satu saf melupai kepentingan lain untuk menghadapi musuh yang satu. Semua diminta berganding bahu antara satu sama lain tanpa mengira warna ideologi politik yang berkarat di setengah otak penganutnya.
Impian dan harapan begitu menandakan orang Islam di negara ini masih berharap kepada kesatuan, ukhwah dan kerjasama. Mereka masih yakin dan percaya isu atau masalah besar yang menghimpit Islam dan bangsa itu akan dapat diatasi dengan bersatu saja. Dalam erti kata lain mereka masih yakin dan percaya kepada bidalan; bersatu teguh bercerai roboh.
Tetapi apakah harapan dan impian itu menjadi kenyataan? Harapan itu boleh menyelesaikan dan mengatasi masalah yang didepani orang Islam dan Melayu? Inilah yang memeningkan kepala ramai. Bukan sekali isu-isu sensitif yang mencabar kewibawaan Melayu dan menyentuh kekudusan agama Islam timbul. Sudah ribuan kali! Pengajaran yang dicampakkan ke atas kita seharusnya sudah cukup untuk kita insaf dan sedar yang kemudian bertindak mengejutkan hati musuh-musuh agama dan bangsa.
Isu murtad, penukaran agama oleh orang Melayu ke agama lain, pencerobohan masjid, membangkit dan mengungkitkan hak keistimewaan Melayu dan sebagainya sudah lama berlaku. Malahan sudah muak kita menyaksikan itu semua. Dalam isu agama ini kes Natrah di Singapura merupakan kes klasik yang tidak pernah lekang dalam ingatan. Begitu juga dengan kes melibat seorang pegawai bank yang murtad patut dikenang dan tidak dilupa walaupun sesaat. Kes-kes itu sepatutnya menjadi igauan yang terus menganggu tidur kita sebagai orang Islam.
Tetapi sejauh manakah kesannya? Apakah berlaku penyatuan atau kerjasama sesama orang Islam di negara ini bagi menghadapinya? Jawabnya (cepat), tidak ada penyatuan tuntas di kalangan Melayu dan Islam dan inilah menyebabkan masalah atau isu-isu itu sering berulang macam hujan malam di bulan Disember. Bila ini berlaku maka musuh pun semakin galak dan gila dengan usaha berterusan mereka.
Setiap kali timbul isu, maka riuh rendahlah orang Islam dari Johor hingga ke Perlis. Tetapi apa kesudahannya? Ia selalu berakhir dengan kemenangan di pihak lain dan menyebabkan orang Melayu terluka Islam tercemar dan terhina. Isu itu akan berlalu bagaikan angin saja dan ia akan diperkatakan bila ia datang kembali. Melayu tetap juga tidak bersatu dan asyik 'bercekah' sesama sendiri. Melayu hanya berani sesama sendiri saja.
Dalam kes terbaru ini kita akan saksikan keadaan yang sama berulang. Kebangkitan orang Melayu menerusi satu tindakan bersepadu tidak akan terjadi. Isu kebenaran penggunaan nama Allah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas permohonan pihak majalah dakyah Kristian ini akan berakhir begitu saja dengan perasaan hati umat Islam akan merana kesedihan. Isu ini dipercayai akan menjadi bahan sejarah yang akan diperkatakan lima puluh atau seratus tahun akan datang, itu pun kalau ada yang sudi menyebutnya.
Perbezaan pandangan dan komitmen orang Islam dalam hal ini sudah pun kelihatan. Tengok telatah dan kenyataan orang-orang politik dari berbagai parti. Kenyataan mereka tidak senada dan mempunyai pengertian berbeza. Pemimpin parti politik berlainan penerimaan dan persepsi mereka terhadap perkara itu. Mereka berbeza dengan suara NGO.
Sehingga kini ketiga buah parti utama negara yang didokong oleh orang Islam, Pas, Umno dan PKR masih terkial-kial mengenai kes ini. Belum ada kenyataan dan pendirian secara rasmi dikeluarkan oleh mana-mana parti berhubung kes ini. Apa yang ada ialah kalangan sesetengah pemimpiinnya saja. Kenapa Pas, Umno dan PKR berfikir panjang untuk menyatakan sikap dalam hal ini? Faham-fahamlah sendiri.
Sementrara dari kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin parti berkenaan ternyata ia berbeza antara satu sama lain. Ada yang marah dengan keputusan mahkamah itu dan menentangnya. Paling dikesalkan ada pemimpin dari parti Pas memberi kenyataan seakan penggunaan perkataan Allah itu dibolehkan dan tidak ada masalah. Walaupun pandangan itu bersifat peribadi namun ia boleh menjejaskan wibawa Pas sebagai Parti Islam se Malaysia.
Alasan diberikan pemimpin ini perkataan Allah itu boleh digunakan kerana ianya adalah hak sejagat. Perkataan Allah itu hak semua orang jadi tidak menjadi masalah kalau pihak mana hendak menggunakannya.
Saya tidak tahu sejauh mana pemimpin itu dapat membaca kilau dalam kilat dalam kes ini. Apakah pihak Kristian akan menggunapakai maksud perkataan Allah itu seperti mana difikirkan tokoh politik berkenaan atau sebaliknya? Tidakkah tokoh parti itu mengira bahawa ada maksud tersirat yang jauh lebih dalam di sebalik kesungguhan Kristian ingin mengguna perkataan berkenaan? Sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa machinery Kristinity lebih halus, canggih dan sistemetik.
Kenapa parti politik jadi bercabang lidah dan bercanggah akal dalam isu mengenai perkataan Allah dan seumpama dengannya ini? Jawabnya (sekali lagi cepat) mudah sebab parti politik lebih meletakkan kepentingan kuasa dan pengaruh daripada memperjuangkan hal-hal keagamaan. Mereka bimbang kalau mereka lantang mengkritik dan menentang penggunaan perkataan Allah itu parti mereka akan ditolak oleh anggotanya yang beragama Kristian. Sikap ini menjelaskan mereka lebih sayang dan obses memperjuangkan parti - kuasa dan pengaruh daripada memperjuangkan Ad-den.
Menyedari akan kenaifan perjuangan parti politik ini, pada saya apa juga hak dan kepentingan Islam tidak akan terbela kalau ianya diharapkan kepada orang politik. Orang politik tidak sesekali akan menangani apa juga isu termasuk agama sekiranya ia tidak memberi keuntungan kepada kuasa politik mereka. Malahan mereka akan sedia bersekongkol dengan musuh Islam asalkan mereka merasakan akan memperolehi kelabaan politik sementara yang bersifat duniawi itu. Mereka juga sanggup munafik demi kuasa dan jawatan di dunia. Merreka ini boleh menggadaikan Islam ke pajak gadai Islam demi untuk mengekalkan kuasa.
Sebab itulah saya prejudis dan berpandangan soal agama, bangsa dan negara tidak boleh diserahkan kepada orang politik. Agama, bangsa dan negara hanya boleh dan akan diperjuangkan oleh mereka yang tidak terkongkong dalam idealisme mana-mana politik. Sejarah dunia tidak ada agama dan bangsa tertegak kerana politik.
Jadi harapan untuk melihat orang politik akan membela apa jua isu mengenai Islam samalah seperti mengharap tumbuhnya ekor dari Orang Utan! Sama seperti mengharapkan kepada musang menjadi ayam. Kepada mereka yang ingin mengkhianati Islam di negara ini usahlah risau kerana umat Islam negara ini tidak akan bersatu mempertahankan agama mereka!
Lemparlah apa juga najis dan lanyaklah kepala mereka, mereka tidak akan bangkit, kerana mereka ada seribu helah untuk menjawab bagi melepaskan diri mereka dari tanggungjawab itu. [wm.kl. 10:40 pm 02/01/09]