Kempen pilihan raya kecil N 25 DUN Kajang sudah berlalu hampir separuh. Ia bermula sebaik selesai proses penamaan calon pada 11 Mach dan akan berakhir menjelang tengah malam hari mengundi 23 Mac. Kegiatan kempen kedua-dua pihak, PR dan BN berjalan seperti biasa walaupun pilihan raya berkenaan seakan terganggu dek kehilangan pesawat MH 370 yang membawa 239 penumpang sampai ke saat ini masih belum terjawab.
| Husam berkempen di mini stadium Kajang. |
Selain faktor kehilangan pesawat MH 370 itu, pilihan raya itu juga menjadi dingin apabila calon awal yang digembar gemburkan akan diturunkan oleh PR (PKR) menerusi projek apa dinamakan Kajang Move tidak menjadi kenyataan. Kekosongan kerusi berkenaan adalah untuk membolehkan Anwar Ibrahim bertanding bagi dilantik menjadi Menteri Besar Selangor.