Friday, November 14, 2008

Sebelum Jumaat

Teruja Dengan Kehebatan Fong Po Kuan

KEBERANIAN, kreativiti dan bijak mengambil kesempatan, itulah ciri-ciri ataupun asas penting untuk seseorang ahli Parlimen muncul sebagai anggota dewan yang popular dan menjadi perhatian umum. Jika dilihat kepada nama-nama ahli Parlimen yang sedang dicatat atau sudah dirakam sejarah mengapa nama mereka meniti dari bibir ke bibir ialah kerana mereka memiliki ciri-ciri berkenaan.

Sudah pasti ahli Parlimen yang kurang atau tandus dengan ciri-ciri berkenaan tidak akan memberi faedah kepada rakyat yang diwakilinya dan kehadirannya ke Parlimen hanya sebagai pemungut elaun bulan saja. Ahli Parlimen begitu juga boleh dianggap sebagai tunggul dan mengsia-siakan pilihan rakyat ke atas mereka.

Perhatikan kepada kebolehan Lim Kit Siang, Karpal Singh, Mohamad Azmi Ali atau Ibrahim Ali atau bekas-bekas wakil rakyat seperti Prof Zulkifli Muhammad, Abdul Samad Gol Ahmad Mianji, Mohd Asri, Husam Musa dan lain-lain, nama-nama ini menjadi sebutan dan kemunculan mereka dinanti-nantikan pada setiap sidang dewan. Orang mahu tenguk apakah idea ataupun isu yang bakal dibangkitkan.

Kadang-kadang disebabkan kerana kerajinan dan kesungguhan mereka sampai mereka dibenci dan dicemburui apabila penampilan mereka terlalu kerap sehingga tidak membuka ruang kepada ahli lain.

Dalam memerhati dan menilai wakil rakyat (anggota Parlimen) baru ini saya tertarik dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjuk oleh ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan daripada DAP.

Memang ahli Parlimen bertubuh kecil dan cute ini tidak asing lagi. Beliau telah berjaya meletakkan dirinya sebagai ahli Parlimen yang popular, serius dan komited dengan tugas dan tanggungjawabnya.

Kehadiran Po Kuan benar-benar dirasai dan kerana itu apabila beliau merajuk untuk tidak bertanding dalam pilihan raya lalu ramai yang memujuk dan menasihatinya agar menarik balik rajukan politik itu. Jarang berlaku apabila seorang ahli politik wanita muda merajuk ada orang membujuknya.

Po Kuan sering kali bangkit menimbulkan atau bertanya apa-apa saja yang difikirannya wajar dan memenuhi tuntutan perjuangan partinya. Beliau tidak menghadiri dewan sekadar untuk menanda buku kedatangan bagi mendapat elaun mesyuarat kemudian bersembang di cafeteria.

Wakil rakyat ini juga mempunyai iltizam yang tinggi kepada perjuanganya partinya, namun beliau tidak mengkesampingkan isu-isu sosial yang melibatkan kepentingan semua kaum.

Khamis lepas Parlimen menjadi pasar ikan gara-gara Po Kuan bangkit dan menjerit mempertikaikan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi yang menghentikan kontrak Rafiah Salim sebagai Naib Censelor Universiti Malaya. Po Kuan menyifatkan tindakan itu sebagai mendiskriminasi kaum wanita.

Po Kuan berhujah dan melahirkan rasa tidak puas hati dengan Kementerian itu kerana membelakangkan kaum wanita. Menurutnya tidak sepatutnya kontrak Rafidah ditamatkan dan ia sepatut diteruskan sebagai menghormat dan mengenang wanita.

Menurut Po Kuan kini hanya tinggal seorang saja wanita menjawat jawatan itu iaini Naib Censelor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala 17 universiti lagi dikuasi oleh kaum lelaki.

Kelam kabut juga timbalan menteri berkenaan untuk melayan dan menepis hujah yang dibangkitkan oleh Po Kuan.

Saya jadi sedikit tergugah dan teruja dengan sikap dan komitmen Po Kuan dalam mempertahankan kepentingan kaum sejenisnya itu. Walaupun Rafiah itu bukan kaum Cina, tetapi Po Kuan mempertahankan dan membelanya atas semangat kewanitaan. Tidak ramai ahli Parlimen yang menyertai Po Kuan mempertikaikan tindakan itu, kecualinya rakannya, Chong Eng, ahli Parlimen Bukit Mertajam juga dari DAP.

Jika dikira dari segi ras dan kepentingan sepatutnya nasib malang yang diterima Rafiah itu dibela oleh ahli Parlimen Melayu. Tetapi nampaknya seorang pun ahli Parlimen Melayu tidak bangkit membelanya. Bukan saja dari BN/Umno tetapi daripada Pas juga.

Dua orang ahli Parlimen Pas yang bertaraf menteri, (bercita-cita untuk jadi menteri), Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Dr Mariah Mahmod (Kota Raja), tidak memberi apa-apa reaksi. Sepatutnya merekalah yang awal bangun mempertikiakan penamatan kontrak Rafiah itu.

Apakah kedua ahli Parlimen Pas itu kurang semangat feminis? Atau mereka bersikap tawar hati hendak mempertahankan Rafiah kerana Rafiah tidak pakai tudung, Islamik! Apakah dalam garis lintang perjuangan muslimah Pas, mereka hanya akan membela wanita yang bertudung saja dan akan membiarkan wanita tidak bertudung terus hanyut?

Saya sangat berharap semoga kedua ahli Parlimen Pas itu yang juga ahli Jawatankuasa Agung Pas menjelaskan kenapa mereka bersikap dingin dalam hal-hal feminis di Parlimen ataupun sememangnya saya kurang memerhati bahawa mereka telah banyak memperjuangkan hak-hak dan kepentingan wanita Islam sebenarnya? Pohon penjelasan! [wm.kl 10:30 am 14/11/08]

Celoteh Murai 14

Rafidah dan Orang Politik

MURAI awal-awal lagi sudah dapat membaca apa yang ada dalam skirt politik Rafidah Aziz. Apa yang tersirat sudah Murai baca dan tafsirkan. Mengapa beliau merencana pelan peralihan kuasa hingga Jun, kenapa tidak Mac serentak dengan peralihan kuasa Abdullah dengan Najib? Rafidah ada strateginya sendiri.

Mac Najib Razak akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Ketika itu Rafidah masih lagi Ketua Wanita Umno. Dengan kedudukan itu Rafidah boleh menuntut jawatan menteri daripada Najib. Najib pula akan menimbangkan kerana Rafidah juga berkerja keras untuk mempersarakan Abdulah Badawi lebih awal.

Rafidah berdoa agar Najib mengenang budi dan segala usaha-usaha beliau itu. Mana tahu kalau diberikan jawatan menteri dapatlah kumpul dua tiga billion lagi!

Sikap dan telatah Rafidah itu tidak menghairankan Murai. Sudah menjadi perangai orang politik bila sudah naik payah turun. Bila sudah duduk di kerusi empuk sukar melepaskannya. Biarlah orang kata tua, lembik, lemah tidak berwawasan dan sebagainya, mereka tidak akan pedulikan. Apa yang mereka tahu duduk di situ enak, sedap dan mendapat berbagai layanan istimewa; air orang hulur makan orang beri, nak berjalan orang membuka laluan.

Keadaan inilah juga menyebabkan Mahathir Mohamad menjadi seperti orang moryam apabila beliau berhenti menjadi Perdana Menteri. Beliau merasa terhina dan tidak dipedulikan lagi. Itulah sebab dia merayau siang malam. Ini terserlah bila mana Mahathir sering kali merintih, tidak ada lagi orang yang mencium tangannya selepas beliau tidak lagi berkuasa. Katanya semasa jadi PM dulu, tangan beliau sampai haus atau licin kerana dihidu dan dicium oleh orang ramai.

Bukan saja setakat tangan, punggungnya pun dicium! He...he...he...

Jadi bila sudah tidak jadi PM, segala keistimnewaan, penyanjungan dan pentaksuban itu hilang dari hidup Mahathir. Tangan dan punggung Mahathir juga sudah menjadi kasar dan berkerasak kerana tidak dielus dan dicium lagi.

Bukan saja Rafidah dan Mahathir, orang lain juga begitu. Masih mengaku kuat, sihat dan menggunakan berbagai alasan untuk terus menjadi orang besar. Walaupun mata sudah ruyup, dada selalu sakit, kaki sakit, kepala lutut (buah gomok) sakit tetapi masih nak jadi pembesar juga. Tidak mahu mengaku kalah dan menyerah kuasa kepada anak buah.

Biarlah berjalan pakai tongkat, orang papah tidak mengapa, asakan title keramat itu tidak hilang. Anih kenapa takut sangat kepada hal-hal pangkat dan kedudukan yang dianggap daki dunia itu? Selalu kita bercakap dan mengkritik orang yang sukar untuk berundur, tetapi bila sampai giliran kita, kita jadi dua kali lima sahaja. Inilah yang dikatakan cakap tak serupa bikin, buat tak serupa kata.

Kepada orang-orang politik yang degil nak turun dan nak buang kuasa, (atas apa jua alasan) usahlah mengeji Rafidah kalau nenek wanita Umno itu masih bercita-cita lagi untuk jadi menteri. Kalau kita juga serupa dengan mereka tindakan itu bagaikan dulang yang mengatakan paku serpih sahaja.

Dan fahamilah sikap dan fiil orang politik, selagi jasad mereka dapat dilihat selagi itu mereka akan berusaha untuk terus menahktai kuasa.

Murai: Berkicau seketika-seketika sahaja!

Thursday, November 13, 2008

Lastik Getah

Siapa Pelopor Rasuah Dalam Umno Pasir Mas?

KAWAN saya seorang Umno yang fikirannya agak terbuka ada mengisahkan soal rasuah dalam partinya. Beliau melaporkan bagaimana rasuah berlaku dalam pemilihan Umno di Bahagian Pasir Mas. Saya hanya membaca laporan berkenaan tanpa merasa apa-apa perasaan. Tidak marah dan tidak kesal bukan kerana saya bukan ahli Umno, tetapi kerana saya mengenali rupa, wajah, hati perut dan pedal politik Pasir Mas.

Saya juga tahu sejarah dan lagenda politik di bahagian itu. Tahu sangat bahkan tersohor ke seluruh antero dunia bagaimana rasuah di daerah itu berkembang mjau dam membiak dan siapa yang menjadi juara dan pelopornya sejak dulu dan masih membayangi hingga kini.

Bagaimana ada bekas tokoh Umno di kawasan itu begitu percaya bahawa wanglah segla-galanya atau apa yang disebutkan sebagai "kepala rimau" atau "kepala agung" boleh merubah segala-galanya.

Bekas tokoh Umno itu percaya kepada kuasa wang. Secara tidak langsung apabila beliau yakin kepada wang boleh membeli kuasa, beliaulah yang bertanggungjawab merosakkan moral dan memburukkan maruah politik orang Melayu iaitu Umno.
Kerana itu bekas tokoh Umno itu menggunakan wang untuk mendapatkan apa saja.

Ini tidak hairan kerana rupa dan moral politik tokoh itu sendiri sangat buruk dan berbau. Bahkan baginya politik itu disifatkan sebagai tidak ada moral. Lantaran itu ia boleh memperkotak katakan para penyokong dan rakyat. Kalaulah beliau boleh berfalsafah begitu, betapa keji dan jijiknya politik beliau.

Politik wang atau rasuah sudah bermula sejak lama di Pasir Mas. Setiap kali pemilihan adalah dakwaan-dakwaan berlaku rasuah dan juga wujud surat-surat pengakuan seperti mana didedahkan oleh kawan saya sdr Haji Sabri Shafei seperti mana dalam blognya itu http://newkk.blogspot.com/2008/11/apabila-setiausaha-agong-tidak-setia.html. Kononnya ada orang menerima wang dari agen parti.

Terbuku dalam minda saya bagaimana pada pemilihan tahun 2004 surat seperti itu diikrarkan oleh seorang ketua cawangan mengakui beliau menerima wang dari seseorang mengakui wakil calon agar menyokong calon berkenaan.

Hasil dari ikrarnya itu, beliau dipukul dan ditumbuk kerana dianggap sebagai tidak jujur; wang terima tetapi dedahkan rahsia yang mengaibkan itu kepada umum. Dua kali ahli Umno itu boleh bala; sekali berdosa kerana menerima rasuah sekali lagi sakit kerana dibaham kerana tidak jujur dalam melakukan perbuatan jahat.

Permainan politik wang atau rasuah dalam Umno tidak akan berakhir di Pasir Mas, khasnya, dan begitu juga ditempat lain. Selagi saki baki atapun kepercayaan dan semangat yang diterapkan oleh bekas tokoh Umno itu - tokoh rasuah, dihayati dan diamalkan ia tidak akan hilang. Gara-gara ajaran rasuah itulah juga menyebabkan rasuah berleluasa di Pasir Mas dari peringkat bawah sampai ke peringkat atas.

Seorang anak muda berkelulusan pengajian tinggi yang berminat dalam politik pernah mengeluh kepada saya, bahawa beliau tidak mungkin akan dapat menempatkan diri dalam Umno Pasir Mas. Apabila saya bertanya kenapa, sebab di Pasir Mas rasuahnya terlalu hebat dan sudah menjerat ke akar umbi.

Penyakit ataupun fenomena rasuah di dalam badan Umno Pasir Mas sudah jadi seperti penagih dadah, ianya tidak boleh dilakukan apa-apa saja lagi. Jika tidak diberikan rasuah, Umno Pasir Mas akan lumpuh walaupun mereka tahu dengan rasuah akhirnya ia akan membawa Umno berkubur.

Gara-gara itu di Pasir Mas sudah menjadi keaiban pula kepada mereka yang cuba bercakap dengan menggunakan air liur. Tanpa wang jangan mimpilah untuk memimpin Umno Pasir Mas. Bagi sesiapa yang miskin dan tidak sedia untuk berkecimpung dalam rasuah jangan sesekali berangan untuk menjadi pemimpin dalam Umno Pasir Mas.

Pernah disenaraikan mengenai harga untuk merebut jawatan di semua peringkat dalam Umno di Pasir Mas. Untuk jadi calon ketua bahagian seseorang itu memerlukan RM100,000 hingga RM500,000. Itu nilai pada tahun 2000, tetapi kini nilainya tentu sudah naik mencecah RM1 juta.

Jika diperhatikan kepada apa yang diikrarkan oleh orang bernama Ilias Hamad yang mengaku sebagai perwakilan dari Cawangan Ekor Pasir, Pasir Mas seperti mana termuat dalam blog Sabri itu iaitu beliau menerima sebanyak RM1,300 yang bertujuan supaya memilih seseorang. Bayangkan betapa jumlah yang harus disediakan oleh seseorang calon ketua bahagian. Kalau perwakilan ada 500 orang ini bermakna ia perlu menyediakan sebanyak RM 650,000.

Jadi saya tidak tahu apakah tujuan Sabri mendedahkan kejadian rasuah dalam Umno Pasir Mas itu. Kalau beliau berbuat begitu dengan harapan untuk membanteraskan rasuah saya rasa kerja beliau sia-sia sahaja. Ia seperti mencurahkan garam ke laut atau air ke daun keladi. Beliau hanya boleh pahala kebajikan tetapi akan kecewa melihat hasilnya. Rasuah tetap akan berlaku, apa lagi tokoh atau orang yang mempercayai rasuah masih lagi hidup dan masih menjadi pakar rujuk kepada Umno Pasir Mas.

Mengenai ikrar orang bernama Ilis Hamad itu saya tidak yakin ia memberi apa-apa kebaikan atau pun boleh membantu untuk menghapuskan rasuah politik di Pasir Mas. Bagi saya selagi tokoh rasuah yang ada di Pasir Mas tidak ditangkap dan dipenjarakan maka ia akan terus subur kerana perbuatan keji itu disokong oleh orang berkenaan. [wm.kl 2:00 pm 13/11/08]

Sebuka Mata

Penahanan Ronnie Liu Tepat Tetapi Tidak Kena

PENAHANAN terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu (foto) tidak mengejutkan. Ahli Dewan Undangan Negeri DUN, Pandamaran itu memang seorang yang kontroversial dan berpotensi untuk menghadapi berbagai tindakan undang-undang!

Sikap politik liberalnya menyebabkan ada kalanya menyinggung perasaan orang ramai khasnya umat Islam. Kalangan Pas Selangor kurang senang dengan kenyataan dan tindak tanduk Ronnie Liu yang dikatakan bertindak bersendirian dan mengenepikan semangat dan persefahaman Pakatan Rakyat. Beliau juga dikatakan kurang peka kepada sensitivi umat Islam.

Tidak dinafikan Ronnie Liu seorang aktivis politik yang ramah dan sering muncul di mana-mana saja dalam membela masyarakat.

Tetapi penahanannya oleh polis semalam ketika beliau siap untuk hadir ke mesyuarat Exco sesuatu yang dikira anih dan tidak berapa profesional. Alasan polis kenapa beliau ditahan ialah kerana terlibat dengan kejadian menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Beliau didakwa menghalang pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSY) dalam satu operasi mencegah maksiat di sebuah hotel di Puchung pada tahun 2007. Memang menjadi kesalahan orang awam menghalang tugas mana-mana penjawat awam. Manakala pihak polis pula boleh menahan termasuk menggari sesiapa saja yang disayaki melakukan kesalahan.

Polis mempunyai kuasa penuh menerusi peruntukan yang diberikan kepadanya. Bagaimana pun penahanan Ronnie Liu semalam agak aneh dan ganjil sedikit. Seperti penahanan itu disengaja untuk sesuatu tujuan lain dan bersifat politik. Ia juga seperti mahu menyusahkan ahli Exco itu saja.

Kenapa beliau harus ditahan di bangunan pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor. Apakah polis tidak ada tempat lain untuk menahan Ronnie Liu itu. Ataupun kenapakah pihak polis tidak menghubungi saja beliau (Ronnie) datang ke Balai Polis. Sebagai seorang Wakil Rakyat bukan payah sangat untuk polis menahan atau menghubungi Ronnie. Atau Ronnie tidak memberi kerjasama dalam hal ini?

Kes atau kesalahan yang didakwa ke atas Ronnie itu berlaku tahun 2007. Ini bermakna sudah hampir setahun. Kenapakah begitu lama pihak polis untuk mengambil tindakan menahan Ronnie? Kelemahan dan kelambatan inilah menyebabkan penahanan Ronnie itu dilihat ada motif dan tujuan lain. Ia bukan penahanan biasa. Polis seakan mencari masa yang sesuai!

Sekiranya kesalahan yang didakwa itu berat kenapa polis mengambil begitu lama sampai setahun untuk bertindak? Bayangkan kalau kelewatan ini berlaku ke atas tertuduh melibatkan jenayah berat seperti bunuh, rompak, rogol dan sebagainya sudah pasti orang yang disyaki itu sudah lama melarikan diri! Kelemahan dan kelambatan pihak polis ini akan dilihat kurang cekapnya polis dalam melaksanakan tugas mereka.

Di sini apa yang nampaknya ialah penahanan itu bagi menjejaskan imej Ronnie Liu sebagai wakil rakyat. Semacam ada seperti niat pihak berkuasa (Polis) untuk memberi gambaran kurang baik mengenai Ronnie kepada umum untuk kepentingan politik pihak lain. Dalam konteks penahanan itu seolah bukan sangat hendak mendakwa Ronnie tetapi untuk mendedahkan kepada umum mengenai tindak tanduk dan sikap Ronnie dalam isu maksiat.

Sudah pasti tindakan Ronnie Liu itu tidak akan disenangi oleh orang-orang Islam yang bagi mereka maksiat itu suatu kegiatan yang haram dan merosakkan moral rakyat. Orang ramai akan beranggapan Ronnie Liu sebagai pelindung maksiat. Justeru apa yang nak ditunjukkan di sini bahawa tindakan Ronnie itu kontras dengan kehendak dan aspirasi rakyat terutamanya Pas yang menjadi gabungan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Berdasarkan dapatan ini penahanan Ronnie itu Liu kerana menghalang kerja pencegahan maksiat satu tindakan wajar, tetapi masa yang dibuat polis itu tidak tepat. Kerana kelemahan itu menyebabkan orang ramai akan beranggapan polis sengaja mahu menyusahkan Ronnie dan memberi benefit kepada politik pihak lain.

Tanggapan demikian menyebabkan imej polis tercemar. Apa lagi sebelum ini sudah kerap polis bertindak tidak mengikuti garis undang-undang dan lebih kepada tindakan beremosi untuk kepentingan pihak lain!

Lain kali polis perlulah lebih berhati-hati dan bersikap profesional. Jangan kerana ada sesuatu kepentingan lain barulah tindakan diambil. [wm.kl 7:45 am 13/11/08]

Tuesday, November 11, 2008

Ulasan Isu

Kamilia Lebih Sesuai Untuk Pimpinan Wanita

TAHNIAH diucapkan kepada ketua wanita Kuala Kangsar, Kamilia Ibrahim (foto) kerana tegas dan konsisten dengan hasratnya untuk bertanding Naib Ketua Wanita. Kamilia menolak pelan peralihan kuasa yang dibuat oleh Rafidah Aziz yang berselindung disebalik untuk kepentingan parti namun hakikatnya bertujuan untuk mengekalkan kedudukan dan kekuasaannya dalam sayap kiri Umno itu.

Kamalia juga menolak keputusan yang dibuat oleh Exco Wanita yang mahukan pelan peralihan kuasa berjalan seperti mana dirancangkan iaitu pada Jun tahun depan dan yang memutuskan supaya jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita tidak dipertandingkan.

Alasan Kamilia untuk kekal dengan keputusan itu ialah kerana, tidak ada peruntukan dalam perlembagaan Umno yang menentukan apa-apa jawatan tidak boleh dipertandingkan dan keputusan Exco wanita itu bukan sesuatu yang dibenarkan oleh perlembagaan. "Saya tidak ikhtiraf pelan peralihan kuasa berkenaan," ujarnya.

Sikap yang diambil oleh Kamilia itu satu sikap tegas, berani dan terbuka yang harus ada pada semua ahli politik. Kamila ternyata mempunyai wawasan dan keyakinan tersendiri dan tidak mudah dijadikan lembu oleh Rafidah seperti mana beberapa Exco wanita lain. Kamilia juga ternyata bukan wanita yang mudah terpesona dengan perfume yang dipakai oleh Rafidah dan beliau ada pewanginya tersendiri.

Ada dua sebab menurut Kamilia kenapa beliau mahu meneruskan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita itu. Pertama, kerana Rafidah sudah mengumumkan untuk berundur dan kedua kerana ingin memperjuangkan Islam dan menaikkan martabat wanita. Menurutnya isu-isu Islam sering disebut dalam pergerakan itu sejak akhir-akhir ini.

Umum tahu bahawa Rafidah tidak begitu mementingkan isu Islam ataupun menjadi juara memperjuangkan isu Islam. Beliau lebih menampilkan dirinya sebagai seorang wanita moden yang bertaraf antarabangsa. Bibirnya tidak pernah kering atau pudar dengan gincu merah. Dengan penampilan ini menyebabkan tumpuannya kepada hal ehwal wanita terabai atau tidak diperhatikan langsung.

Apa yang berlaku wanita di zaman Rafidah ialah wanita yang tebal dengan gincu, tebal dengan kosmetik dan yang berat lengan dan bahu dengan barang kemas dan beg tangan besar. Keadaan itu menyebabkan wanita dilihat sebagai kumpulan modeling tua daripada wanita yang mempunyai aspirasi untuk perjuangan Melayu dan kaum itu sendiri.

Komitmen Rafidah kepada agama juga begitu rapuh. Hal ini boleh dilihat kepada sikap dan penerimaan kepada pakaian menutup aurat. Saya tidak mahu mengatakan tutup kepala itu wajib, namun fesyen yang menampilkan kesopanan wanita ini terang-terangan diketepikan oleh Rafidah. Beliau pernah mempersoalkan mengenai halal haram mengenai penutupan kepala (aurat) wanita semasa dalam Majlis Tertinggi Umno.

Nasib wanita terutamanya ibu tunggal juga tidak terbela dengan sepatutnya. Tidak ada apa-apa institusi yang diperkenalkan oleh Rafidah untuk membantu wanita golongan ini. Pendeknya wanita di zaman Rafidah hanya wanita bermerah-merahan sahaja.

Jadi apabila Kamilia sudah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua dengan membawa wawasan dan gagasan yang dilihat progresif itu seharusnya perwakilan wanita memberi perhatian. Apa lagi disaat Umno sedang menunju kehancuran kini eloklah kalau wanita juga turut sama memainkan peranan untuk membaiki dan mengembalikan mertabat dan wibawa Umno dimata umum khususnya kaum perempuan di negara ini. [wm.kl. 11:15 pm 11/11/08]

Monday, November 10, 2008

Riuh di Kampung

AJK Pemuda dan Wanita Umno Ditangkap Kerana Berkhalwat

INI ada cerita, satu cerita sedap! Cerita ini melengkapkan betapa buruk dan huduhnya parti Umno yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar itu. Cerita ini datangnya dari Rantau Panjang Kelantan bumi kelahiran saya. Yang membawa cerita ini sahabat saya, yang baru tiba dari kampung beberapa jam lalu.

Menurut sahabat saya itu, cerita ini ada dimuatkan dalam akhbar harian bersaiz tabloid. Tidak pasti apakah ianya terdapat dalam edisi nasional atau hanya disiarkan pada edisi pantai timur saja. Saya tidak membaca akhbar berkenaan jadi tidak tahulah samada ia ada menyiarkan berita berkenaan atau tidak.

Tetapi kata kawan saya itu, edisi pantai timur ada menyiarkannya dan beliau ada membacanya.

Ceritanya bukan seperti apa yang berlaku di Seremban kelmarin, perwakilan bertumbuk dan sampai masuk wad kecemasan. Tetapi cerita ini lain versinya namun ia merupakan cerita yang kerap kedengaran berlaku dalam Umno dari dulu, kini dan mungkin selamanya. Nauzubilahhiminazalik!

Saya kenal dengan watak dalam cerita ini. Dan lokasi kejadian juga saya tahu malah sering melalui lokasi berkenaan kalau sesekali balik kampung menggunakan ikut bawah - jalan raya. Malahan sewaktu kawan itu bercerita saya terbayang akan tempat kejadian itu. Memang saya arif benar dengan lokasi itu.

Ceritanya begini; seorang wanita Umno telah ditangkap sedang berkhalwat dengan bekas ahlijawatankuasa Pemuda Umno bahagian Rantau Panjang. Mereka dicekup ketika (katanya) sedang berasmara di dalam kebun getah. Tak terbayang bagaimana mereka boleh berasmara di tempat itu!

Wanita Umno itu masih bersuami dan bekas ahli jawatankuasa Pemuda itu juga ada isteri dan merupakan seorang guru kanan sebuah sekolah di kawasan itu. (Biarlah saya tidak sebut nama kampung... malu orang kampung itu nanti).

Menurut kawan saya itu mereka sudah lama mengadakan hubungan sulit itu dan diintip oleh pasukan Pencegah Maksiat. Ketika pasukan Pencegah Maksiat itu mengepung pasangan itu mereka tidak menyedari dan terus dengan 'politik' mereka itu. Selepas pasukan itu memperkenalkan diri baru mereka sedar dan terkejut besar. Katanya si perempuan itu cepat-cepat menarik kain dan mengemaskan pakaiannya, selamba saja. Rupanya dah... ter....

Kata kawan saya itu, pasangan itu kira berani juga. Kerana apabila pasukan Pencegah Maksiat memperkenalkan diri mereka juga turut memperkenalkan diri mereka. "Saya ahli jawatankuasa Pemuda Umno Rantau Panjang," kata si lelaki sambil mempamerkan kad keahliannya. "Saya ahli wanita Umno Rantau Panjang," ujar pula di perempuan dengan bangga dan yakin.

Mereka mengharap dan mengira apabila memperkenalkan diri mereka sebagai ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Perkembar) alias Umno itu, pihak pencegah tidak akan mengambil apa-apa tindakan dan melepaskan mereka. Namun keahlian itu tidak dipedulikan oleh pasukan Pencegah Maksiat itu. Mereka akhirnya dibawa ke Pejabat Agama dan katanya ditahan sehari semalam dalam lokap. Mereka akan didakwa!

Pemimpin Umno bahagian Rantau Panjang khabarnya ada menelefon pihak pencegah maksiat supaya melepaskan pasangan berkenaan dan tidak mengenakan apa-apa tindakan, tetapi tidak memberi apa-apa kesan. Pihak pencegah tetap dengan tugas dan tanggungjawabnya menahan dan mendakwa pasangan itu. Syabas kepada diucapkan kepaa pasukan Pencegah Maksiat itu kerana menjalankan tugas yang diamanahkan.

Saya mengeluh panjang mendengar cerita itu. Malu rasanya, apa lagi keduanya sudah bersuami dan beristeri dan sudah ada anak. Anak mereka pula dikatakan berkasih dan bercinta antara satu sama lain. Apa lagi si jantan itu seorang guru. Tidak patut melakukan kerja keji begitu. Tetapi apa nak dikata, jang itulah manusia yang kadang kala terbabas dan sering lupa daratan. Ada kalanya nafsu menguasai akal!

Bila saya balik kampung nanti tentu cerita ini akan didendangkan lagi dengan irama dan senikata serta dialog yang lebih menarik dan romantik lagi! [wm.kl. 10:30 pm 10/11/08]

Sunday, November 9, 2008

Susupan Malam

Umno Semakin Hari Semakin Buruk

BURUK dan busuknya Umnoku oh... bukan Umnomu! Umno yang mengakhiri persidangan peringkat bahagian hari ini meninggalkan beberapa tragedi dan peristiwa yang bukan saja busuk tetapi menakutkan. Segala macam keburukan, kejahatan dan kedurjaan nampaknya bersarang dalam Umno.

Sudah ada juga tanda-tanda bukan saja budaya samseng ala gedebe Kampung Dusun, tetapi budaya Tamil Elan juga ada.

Berbagai kejadian tidak elok dilaporkan berlaku di sepanjang mesyuarat bahagian Umno sejak sebulan lalu. Apa yang berlaku menunjukkan perkembangan tidak sihat sedang melanda parti orang Melayu itu. Empat bahagian ditangguhkan dan tidak dapat menyelesaikan mesyuarat mereka seperti mana dijadualkan. Kegagalan itu menjelaskan betapa Umno sedang berhadapan dengan masalah moral ataupun pentadbiran yang meruncing.

Empat bahagian itu dua di Kelantan masing-masing satu Perak dan satu di Negeri Sembilan.

Dua bahagian di Kelantan ialah Tanah Merah dan Pengkalan Chepa. Keduanya patut mengadakan persidangan semalam, namun ditangguhkan atas nasihat Ibu Pejabat Umno setelah merujuk kepada perundangan. Mesyuarat Umno bahagian Tanah Merah ditangguh ekoran bantahan ahli kepada ibu pejabat parti belum diputuskan.

Satu lagi bahagian ialah Pengkalan Chepa. Mesyuarat bahagian itu ditangguh atas arahan sepucuk surat dari ibu pejabat yang meminta agar semua cawangan dalam bahagian itu diadakan semula.

Satu bahagian di Perak di tangguhkan adalah di Larut. Masalahnya kerana pertikaian berlaku antara ketua bahagian itu Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dengan calon ketua, Hamzah Zainuddin. Hamzah dikatakan tidak berhak bertanding kerana beliau baru menjadi ahli Umno bahagian berkenaan. Kerana pertikaikan itu Raja Ahmad meminta agak mesyuarat ditangguhkan.

Manakala bahagian Seremban, Negeri Sembilan pula ditangguhkan, lagi teruk, apabila mesyuarat itu menajdi kecoh dan sampai baling kerusi. Dua ahli perwakilan dilaporkan mengalami cedera parah. Apa yang berlaku di Seremban hari ini adalah klimaks 'kemabukan kuasa' dalam Umno.

Jika diperhatikan apa yang berlaku dalam mesyuarat bahagian itu menunjukkan Umno berada dalam keadaan membimbangkan. Politik buruk, tidak bermoral yang sebelum ini berlaku dalam parti MIC, kini sudah diambil tempat pula oleh Umno.

Kenapa berlaku tragedi demikian? Apakah puncanya? Apakah yang menjadi ahli tidak berpuas hati dan terpaksa menggunakan kaedah atau mekanisme yang boleh mencemarkan maruah dan martabat orang Melayu? Kalau Onn Jaafar dan Tuanku Abdul Rahman masih hidup tentu mereka akan menangis melihat nasib dialami Umno kini.

Apakah kerana nilai atau pun pengagihan wang rasuah bagi menyokong calon tertentu tidak adil! Seperti mana diketahui umum masalah rasuah dalam Umno menjadi-jadi. Rasuah sudah menjadi budaya. Ahli sudah ada mindset, bahawa mereka hadir mesyuarat wajib diupah... dan menjadikan kehadiran itu sebagai sumber rezeki instant.

Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi ketika memberi pandangan berhubung kejadian di Seremban itu mengatakan ia satu kejadian yang memalukan. Siapa yang malu?
Memang memalukan. Umno sebagai parti tulang belakang dalam BN sepatutnya terhindar daripada terlibat dengan kejadian-kejadian memalukan itu. Dengan apa yang berlaku ia boleh menyebabkan parti komponen akan hilang penghormatan kepada Umno.

Jangan kesal dan salahkan orang kalau satu masa nanti MCA atau Gerakan atau MIC atau rakan dalam BN akan mempersoalkan wibawa Umno? Mereka akan hilang kepercayaan dan penghormatan kepada Umno. Dan jangan terkejut kalau mereka rama-ramai mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno bersendirian. Tidak mustahil.

Mungkin sebelum sampai ke perhimpunan agung Mac depan lagi banyak laporan kejadian tidak diingini dikemukakan. Menurut pihak Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudden Ismail pihaknya menerima 900 aduan berhubung salah laku disepanjang mesyuarat bahagian. Ini satu kes teruk.

Jumlah itu bukan sesuatu yang kecil. Ia angka yang menggerunkan dan perlu diberikan perhatian segera oleh seluruh ahli Umno. Sudah pasti angka aduan itu akan bertambah dari hari kesehari.

Melihat kepada masalah yang berlaku dalam persidangan peringkat bahagian yang penuh dengan masalah, kelam kabut, pertikaian dan bantah membantah itu apakah berkemungkinan persidangan Umno untuk semua bahagian akan dibatalkan dan diadakan semula?

Segalanya bergantung kepada keputusan Lembaga Disiplin yang akan membuat kajian dan penilaian. Kalau ianya dibatalkan maka sekali lagi Umno mencatat satu lagi sejarah hitam dalam usianya sesudah 62 tahun. Tidak mustahil semua ini, tidak mustahil! [wm.kl. 09/11/08]

Al Fatihah

Sirajuddin Rafia Meninggal Dunia

BEKAS Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia Sirajuddin Rafia, 59 telah kembali ke Rahmatullah malam tadi akibat serangan jantung. Beliau dikatakan terjatuh di dalam bailik air di rumahnya, demikian menurut sepupunya Zaki Abdul Rahman yang memaklumkan ketiadaan Sirajuddin.

Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Ulu Klang berhampiran masjid al Ridhuan sebelum Zohor ini.

Sirajuddin merupakan antara tokoh wartawan Utusan dan merupakan anak kelahiran Kelantan.

Jenazahnya kini berada di rumahnya di 67 Jalan Beverly Height, 2A, Beverly Height, Ampang, Selangor.
- Al Fatihah. [wm.kl 7:30 am 09/11/08]

Saturday, November 8, 2008

Celahan Rasa

Kenapa Khidmat Rafiah Salim Tidak Disambung?

TANPA ada apa-apa soksek-sokses tahu-tahu khidmat Rafiah Salim sebagai Naib Censelor Universiti Malaya (UM) tidak disambung. Perkhimatannya berakhir hari ini, 7 November. Beliau mengetahui kontraknya sebagai UN itu tidak disambung kelmarin iaitu 48 jam sebelum tarikh perkhidmatannya berakhir.

Beliau diberitakan tidak tahu menahu apa sebab-sebab kenapa kontraknya tidak disambung dan menganggap pemberhentian itu secara mendadak. Khabarnya dia terkilan dengan keputusan itu kerana usahanya untuk memulihkan kedudukan universiti itu di mata dunia tidak kesampaian.

Rafiah menganggap apa yang dilakukan di UM kini umpama sedang menanam benih dan hasilnya akan dapat dilihat tidak lama lagi. Usaha yang dilakukan selama dua tahun lalu seakan sia-sia saja kerana tindakan itu dan beliau secara peribadi tidak akan dapat menikmati hasil yang dilakukannya.

Seperti mana menurutnya, pihak kementerian ada memberi tahu kononnya ada beberapa aduan mengenai kehadirannya di UM itu tidak disenangi. Aduan itu mengenai beliau tidak mempunyai Phd dan bergelar profesor dijadikan alasan. Beliau mempersoalkan kenapa semasa hendak memilih beliau dulu soal itu tidak menjadi perkiraan oleh jawatankuasa pemilih? Ini menghairankan dan agak songsang.

Disebabkan 'penyingkiran' Rafiah itu agak kebur maka timbul sedikit persoalan apakah tindakan tidak menyambung perkhidmatan NC itu disebabkan kerana ada campur tangan politik? Maksudnya ada sentimen politik atas keputusan itu!

Rafiah adalah seorang pegawai Kerajaan yang tidak begitu menghirukan soal politik seperti mana NC di universiti lain. Baginya beliau bergerak atas landasan akademik yang sebenarnya dan tulus untuk mengembalikan kecemerlangan UM seperti mana disandanrkan ke atas bahunya.

Mungkin kerana tindakan itu (tidak peka kepada politik pemerintah) menyebabkan beliau telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menyingkirkan beliau dari UM.

Saya masih ingat pada tahun 2007 UM ada memanggil Tengku Razaleigh Hamzah memasuki kampus universiti itu untuk menyampaikan ucapan dibawah program Pengucapan Zaaba anjuran Fakulti Pengajian Melayu. Pada majlis itu Tengku Razaleigh memberi ucapan dibawah tajuk Pembangunan dan Kewangan. Sebagai tuan rumah Rafiah turut sama hadir dan kemudian menyampaikan cederamata kenangan kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Majlis untuk bekas Menteri Kewangan itu agak grand juga. Lebih 300 siswi dan kakitangan akademik hadir.

Apakah tindakan tidak menyambung perkhimdatan Rafiah itu ada kena mengena dengan kehadiran Tengku Razaleigh itu? Kalau ianya dibuat kerana hanya semata-mata Rafiah membenarkan Tengku Razaleigh hadir ke UM, ia adalah sesuatu yang menyesalkan. Tindakan itu menjelaskan bahawa UM masih tidak terbuka dan turut sama masih terukup di bawah bawah gua kejumudan seperti mana diamalkan oleh institusi milik kerajaan lain.

Adalah perlu (mungkin) untuk Menteri Pengajian Tinggi, Khalid Nordin memberi penjelasan berhubung perkara ini. Menjelaskan apakah sebab sebenar wanita pertama menjawat jawatan itu ditamatkan awal. Jika tidak nanti orang beranggap Khalid Nordin juga lebih kurang bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin sahaja! [wm.kl 9:30 am 08/11/08]

Selepas Subuh

Ketua Penerangan Pas Johor Perlu Banyak Belajar!

RASUAH perbuatan haram dan keji dalam Islam. Tanggungjawab mencegahnya milik sesiapa juga yang membencinya. Tetapi dalam membuat teguran ia ada batas dan susilanya. Dalam konteks parti politik (organisasi), sesebuah parti lain tidak wajar kalau ia cuba menegur dan memperbaiki parti lain, termasuk soal-soal rasuah.

Bukan tidak boleh, tetapi ia dilihat tidak beretika. Beretika menurut pengertian harafiahnya ialah tidak ikut peraturan dan kelazimannya. Dalam bahasa keras, tidak beradab dan tahu adab. Biasanya mereka tidak beretika mereka yang belum tamadun!

Apa yang dilakukan oleh Pas Johor yang diketuai oleh Ketua Peneranganya, Mazlan Aliman (foto) membuat laporan kononnya berlaku rasuah dalam mesyuarat Umno Bahagian Kota Tinggi adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan tidak kena pada tempatnya. Ia dilakukan untuk mencari publisiti murahan bersifat semasa.

Kenapa Ketua Penerangan Pas itu menganggu urusan parti orang lain? Apakah Umno Kota Tinggi, khususnya Syed Hamid Albar turut sama menganggui urusan parti Pas. Menganggu urusan rumah tangga orang lain hanya dilakukan oleh mereka yang tidak tahu etika atau tahu adab saja. Semisalnya kambing yang termasuk dalam kandang babi, adalah kambing yang buta ilmu dan jahil tatasusila!

Rasanya masih banyak lagi kalau Mazlan Aliman atau sesiapa orang Pas yang ingin mempopularkan diri. Masih banyak isu dan bukannya mencampuri hal ehwal orang lain secara langsung.

Seharusnya Mazlan mengetahui tata etika ini. Perbuatan beliau itu menampakkan sangat beliau dan Pas Johor sendiri tidak tahu etika atau tatacara berpolitik. Secara tidak langsung apa yang dilakukan oleh Mazlan ia menunjukkan tahap profesional dalam Pas boleh dipertikaikan. Elok kalau Pas Pusat memberi nasihat dan tunjuk ajar sewajarnya kepada orang-orang seperti Mazlan Aliman itu. Kalaupun perlu adakan kursus mengenai tatacara beretika.

Sering berlaku ada pemimpin-pemimpin Pas yang gatal mulut dan tidak cukup isu dengan memcampuri urusan peribadi Umno. Tindakan ini tidak wajar kerana Umno jarang sekali berbuat demikian. Misalnya semasa Umno riuh randah mengadakan mesyuarat, ada pemimpin Pas yang memberi komen agak melampau dan personal dan seolah-olah mereka menjadi pemantau kepada perjalanan mesyuarat Umno pula.

Sikap Mazlan ini tidak aneh sebenarnya kalau orang mengenali dan mengikuti politiknya. Ada sesuatu yang kurang dalam diri anak muda Pas Johor ini. Saya sendiri pernah ada pengalaman dan pernah menegur beliau secara langsung atas sesuatu yang beliau lakukan secara tidak beretika.

Saya membuat teguran itu ikhlas kerana pada awalnya saya melihat (mendengar ceamahnya) budak ini ada bakat dan keberanian untuk menempatkan diri dalam kepimpinan Pas di masa akan datang.

Bagaimana semasa dijemput berucap pada satu majlis mesyuarat Pemuda Pas Kelantan beliau tanpa berselindung menyindir orang baju petak-petak merah yang juga ketika itu ada tercatuk atas pentas. Kritikan beliau itu memberi gambaran akan keberaniannya walaupun ia sudah melanggar adat sopan. Sebagai tetamu Pas Kelantan beliau seharusnya tidak mengkritik secara berdepan begitu.

Apa lagi ketika itu beliau menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda Pas, peluangnya untuk jadi popular cerah baginya. Namun mungkin kerana kelemahan dan kekurangan ilmu tadi menyebabkan peluang itu terlepas begitu saja. Tahu-tahu beliau sudah tidak lagi menjadi Naib Ketua Pemuda Pas. Sepatutnya beliau menganjakkan kedudukan ke jawatan timbalan.

Kegagalan ini menunjukkan bahawsa Mazlan masih belum cukup ilmu politik. Dan apa yang dilakukan semalam melaporkan rasuah dalam politik Umno menjelaskan kedangkalan beliau dalam berorganisasi. Bagi saya daripada membuat laporan rasuah ke atas Umno Kota Tinggi, ia lebih pantas kalau beliau mengorekkan segala macam rasuah yang berlaku dalam kerajaan Johor itu termasuk membongkar apa yang pernah dilakukan bekas MB Johor yang menjual tanah untuk rakyat Singapura. [wm.kl 6:45 am 08/11/08]