KAWAN saya seorang Umno yang fikirannya agak terbuka ada mengisahkan soal rasuah dalam partinya. Beliau melaporkan bagaimana rasuah berlaku dalam pemilihan Umno di Bahagian Pasir Mas. Saya hanya membaca laporan berkenaan tanpa merasa apa-apa perasaan. Tidak marah dan tidak kesal bukan kerana saya bukan ahli Umno, tetapi kerana saya mengenali rupa, wajah, hati perut dan pedal politik Pasir Mas.
Saya juga tahu sejarah dan lagenda politik di bahagian itu. Tahu sangat bahkan tersohor ke seluruh antero dunia bagaimana rasuah di daerah itu berkembang mjau dam membiak dan siapa yang menjadi juara dan pelopornya sejak dulu dan masih membayangi hingga kini.
Bagaimana ada bekas tokoh Umno di kawasan itu begitu percaya bahawa wanglah segla-galanya atau apa yang disebutkan sebagai "kepala rimau" atau "kepala agung" boleh merubah segala-galanya.
Bekas tokoh Umno itu percaya kepada kuasa wang. Secara tidak langsung apabila beliau yakin kepada wang boleh membeli kuasa, beliaulah yang bertanggungjawab merosakkan moral dan memburukkan maruah politik orang Melayu iaitu Umno.
Kerana itu bekas tokoh Umno itu menggunakan wang untuk mendapatkan apa saja.
Ini tidak hairan kerana rupa dan moral politik tokoh itu sendiri sangat buruk dan berbau. Bahkan baginya politik itu disifatkan sebagai tidak ada moral. Lantaran itu ia boleh memperkotak katakan para penyokong dan rakyat. Kalaulah beliau boleh berfalsafah begitu, betapa keji dan jijiknya politik beliau.
Politik wang atau rasuah sudah bermula sejak lama di Pasir Mas. Setiap kali pemilihan adalah dakwaan-dakwaan berlaku rasuah dan juga wujud surat-surat pengakuan seperti mana didedahkan oleh kawan saya sdr Haji Sabri Shafei seperti mana dalam blognya itu http://newkk.blogspot.com/2008/11/apabila-setiausaha-agong-tidak-setia.html. Kononnya ada orang menerima wang dari agen parti.
Terbuku dalam minda saya bagaimana pada pemilihan tahun 2004 surat seperti itu diikrarkan oleh seorang ketua cawangan mengakui beliau menerima wang dari seseorang mengakui wakil calon agar menyokong calon berkenaan.
Hasil dari ikrarnya itu, beliau dipukul dan ditumbuk kerana dianggap sebagai tidak jujur; wang terima tetapi dedahkan rahsia yang mengaibkan itu kepada umum. Dua kali ahli Umno itu boleh bala; sekali berdosa kerana menerima rasuah sekali lagi sakit kerana dibaham kerana tidak jujur dalam melakukan perbuatan jahat.
Permainan politik wang atau rasuah dalam Umno tidak akan berakhir di Pasir Mas, khasnya, dan begitu juga ditempat lain. Selagi saki baki atapun kepercayaan dan semangat yang diterapkan oleh bekas tokoh Umno itu - tokoh rasuah, dihayati dan diamalkan ia tidak akan hilang. Gara-gara ajaran rasuah itulah juga menyebabkan rasuah berleluasa di Pasir Mas dari peringkat bawah sampai ke peringkat atas.Seorang anak muda berkelulusan pengajian tinggi yang berminat dalam politik pernah mengeluh kepada saya, bahawa beliau tidak mungkin akan dapat menempatkan diri dalam Umno Pasir Mas. Apabila saya bertanya kenapa, sebab di Pasir Mas rasuahnya terlalu hebat dan sudah menjerat ke akar umbi.
Penyakit ataupun fenomena rasuah di dalam badan Umno Pasir Mas sudah jadi seperti penagih dadah, ianya tidak boleh dilakukan apa-apa saja lagi. Jika tidak diberikan rasuah, Umno Pasir Mas akan lumpuh walaupun mereka tahu dengan rasuah akhirnya ia akan membawa Umno berkubur.
Gara-gara itu di Pasir Mas sudah menjadi keaiban pula kepada mereka yang cuba bercakap dengan menggunakan air liur. Tanpa wang jangan mimpilah untuk memimpin Umno Pasir Mas. Bagi sesiapa yang miskin dan tidak sedia untuk berkecimpung dalam rasuah jangan sesekali berangan untuk menjadi pemimpin dalam Umno Pasir Mas.
Pernah disenaraikan mengenai harga untuk merebut jawatan di semua peringkat dalam Umno di Pasir Mas. Untuk jadi calon ketua bahagian seseorang itu memerlukan RM100,000 hingga RM500,000. Itu nilai pada tahun 2000, tetapi kini nilainya tentu sudah naik mencecah RM1 juta.
Jika diperhatikan kepada apa yang diikrarkan oleh orang bernama Ilias Hamad yang mengaku sebagai perwakilan dari Cawangan Ekor Pasir, Pasir Mas seperti mana termuat dalam blog Sabri itu iaitu beliau menerima sebanyak RM1,300 yang bertujuan supaya memilih seseorang. Bayangkan betapa jumlah yang harus disediakan oleh seseorang calon ketua bahagian. Kalau perwakilan ada 500 orang ini bermakna ia perlu menyediakan sebanyak RM 650,000.
Jadi saya tidak tahu apakah tujuan Sabri mendedahkan kejadian rasuah dalam Umno Pasir Mas itu. Kalau beliau berbuat begitu dengan harapan untuk membanteraskan rasuah saya rasa kerja beliau sia-sia sahaja. Ia seperti mencurahkan garam ke laut atau air ke daun keladi. Beliau hanya boleh pahala kebajikan tetapi akan kecewa melihat hasilnya. Rasuah tetap akan berlaku, apa lagi tokoh atau orang yang mempercayai rasuah masih lagi hidup dan masih menjadi pakar rujuk kepada Umno Pasir Mas.
Mengenai ikrar orang bernama Ilis Hamad itu saya tidak yakin ia memberi apa-apa kebaikan atau pun boleh membantu untuk menghapuskan rasuah politik di Pasir Mas. Bagi saya selagi tokoh rasuah yang ada di Pasir Mas tidak ditangkap dan dipenjarakan maka ia akan terus subur kerana perbuatan keji itu disokong oleh orang berkenaan. [wm.kl 2:00 pm 13/11/08]
No comments:
Post a Comment