Saturday, November 29, 2008

Fokus Khas

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu
Uji Kemantapan Hubungan Pas dan Keadilan

PILIHAN RAYA kecil untuk kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan tidak lebih daripada 60 hari dari sekarang. Pilihan raya ini terpaksa diadakan ekoran kematian ahli Parlimennya, Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada Jumaat lalu.

Pilihan raya ini adalah pilihan raya kecil kedua selepas pilihan raya umum ke-12 lalu. Pilihan raya kecil pertama ialah di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang apabila wakilnya Dr Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sama seperti pilihan raya kecil Permatang Pauh, pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu penting dan akan signifiken dan tafsiran tersendiri. Ia akan menjadi medan menguji kekuatan dua gergasi politik Melayu Umno dan Pas. Kedua pihak sangat terdesak untuk memenangi kerusi yang mempunyai jumlah pengundi seramai 80, 325 orang itu.

Pilihan raya kecil itu nanti juga memberi makna tersendiri kepada Pas khasnya dan Pakatan Rakyat umumnya. Ia akan menguji sejauh manakah kekuatan semasa Pas. Ini kerana kerusi berkenaan adalah diperuntukan kepada Pas. Pas akan menjadikan keputusan pilihan itu sebagai satu kayu ukur baru untuk menguji kekuatannya selepas berlangsungnya pilihan raya umum.

Begitu juga dengan Umno. Parti itu pula merasakan penting kerana ia bakal menentukan apakah parti itu akan terus mendapat kepercayaan atau tidak. Kalah bermakna ia akan diterjemahkan Umno sudah mengalami penghakisan imej dan pengaruh sebagai sebuah parti yang dominan sebelum ini.

Kepada Umno usaha mengekalkan kerusi berkenaan dilihat lebih berat daripada Pas untuk merampas kerusi itu. Jika kalah ia memberi kesan psikologi tinggi buat Umno bukan saja di Terengganu tetapi di seluruh negara. Tambahan lagi BN/Umno baru saja malu dengan kekalahan teruk di Permatang Pauh.

Kekalahan itu nanti juga turut memberi kesan kepada Timbalan Presiden Umno Mohd Najib Razak secara peribadi. Kalah menang ia akan dikaitkan dengan Najib. Kalau kalah pemerhati akan melihat Najib tidak berkeupayaan untuk membawa perubahan dalam Umno. Kekalahan juga menyebabkan orang akan mengukur Najib masih tidak dapat menandingi pengaruh dan ketokohan Anwar Ibrahim seandainya Anwar turut sama komit dengan pilihan raya itu.

Dalam pilihan raya lalu, Allahyarham Razali Ismail (Umno) memenangi kerusi berkenaan mengalah dua calon, Mohammad Sabu dari Pas dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti kecil, 628 undi saja. Beliau mendapat 32, 562 menakala Mohamad Sabu 31,934 dan Maimun Yusuf 685 undi.

Daripada bedah siasat yang dibuat oleh pihak Mohamad Sabu kekalahan tipis beliau itu ialah disebabkan pengundi Melayu (Terengganu) tidak menerima calon luar. Rakyat Terengganu tidak seperti rakyat Kelantan akan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada siapa juga calon yang diletakkan oleh Pas di negeri itu. Kesemua calon luar yang bertanding di Kelantan dalam pilihan raya lalu menang.

Penganalisa dari Terengganu berpendapat sekiranya anak tempatan diletakkan di kerusi berkenaan, kerusi itu mungkin menjadi milik Pas. Apa lagi pada pilihan raya 1999 Pas memenang kerusi berkenaan menerusi calon mudanya Syed Azman Syed Ahmad.

Persoalan kini siapakah calon yang bakal diletakkan oleh Pas? Walaupun sudah ada suara yang mahukan Mohamamd Sabu dipertaruhkan sekali lagi, nampaknya bukan senang untuk Pas Terengganu menerima permintaan itu. Pas Terengganu tentu perlu membuat perhitungan mendalam kerana pilihan raya itu penting bagi dijadikan penanda aras kepada pengaruh Pas masa kini.

Pesuruhjaya Pas atau bos Pas Terengganu, Mustafa Ali barangkali ada percaturan sendiri. Beliau juga harus berwaspada dan berusaha sebaik mungkin bagi merampas kerusi berkenaan. Dalam suasana beliau semakin dilihat tidak relevan dan ditolak di Terengganu kerana faktor terlalu 'veteran' Mustafa perlu melakukan sesuatu yang ajaib dalam pilihan raya kecil itu nanti. Sekiranya Pas berjaya merampasnya, tentulah kemerosotan wibawanya akan pulih sedikit dan ini akan meletakkan beliau masih relevan untuk terus berperanan dalam Pas.

Berdasarkan suasana ini saya kira tidak mungkin Mohamad Sabu akan diletakan semula. Tentulah seorang tokoh dari Terengganu akan diberikan tanggungjawab. Dalam hal ini tidak mustahil kalau Pas meletakkan Adun Batu Buruk, Syed Azman Syed Ahmad (foto) untuk menjadi calon. Apa lagi Syed Azman pernah menjadi ahli Parlimen di kerusi berkenaan. Kalau ini berlaku ia akan menjadi terbalik kod, di mana kalau di Permatang Pauh BN/Umno meletakkan seorang Adun untuk bertanding menentang Anwar, iaitu Arif Shah Omar Shah.

Tertakdir Syed Azman dicalonkan ia tidak sukar untuk Pas Terengganu menarik seberapa ramai pemimpin Keadilan untuk turun berkempen kerana Adun Batu Buruk ini mempunyai hubungan dan reputasi baik dengan Keadilan khasnya dengan Penasihatnya, Anwar Ibrahim.

Biarlah kita serahkan kepada kebijaksanaan Mustafa Ali dalam mencatur untuk meraih kemenangan kali ini. Tetapi persoalan yang besar dilihat di sebalik pilihan raya itu nanti ialah apakah ia mendapat sokongan padu daripada komponen Pakatan Rakyat? Ini yang penting.

Sekiranya kerusi itu diserahkan kepada Pas, apakah Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) akan sedia membantu? Apakah kekompatan sokongan kalangan Pakatan Rakyat akan berlaku? Mungkinkah keadaan yang berlaku di Permatang Pauh terjadi, di mana pilihan raya membabitkan Anwar itu tidak mendapat dokongan semua pemimpin daripada Pas!

Pada pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu semacam ada pihak yang tidak memberi sokongan kepada Keadilan menghadapi pilihan raya berkenaan? Mustafa Ali sendiri bersama beberapa pemimpin lain tidak turun berkempen untuk Anwar? Apakah kali ini giliran pemimpin Keadilan pula berbuat demikian di pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu sebagai membalas dendam?

Persoalan ini sedikit sebanyak akan menentukan kalah menang calon Pakatan Rakyat (Pas)dalam pilihan raya kecil itu nanti. Justeru Mustafa Ali mempunyai tugas berat menghadapi pilihan raya berkenaan. Beliau perlu memerahkan kebijaksnaan bagai mana mengatasi masalah atau kerumitan yang bakal timbul. Penting juga, boleh dikatakan kesuksesan atau sebaliknya pilihan raya itu kelak akan menentukan masa depan politiknya baik di Terengganu maupun di peringkat pusat.

Justeru untuk kebaikan semua pihak pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu boleh dijadikan medan baru untuk menautkan kembali hubungan di kalangan sesetengah pemimpin Pas dengan sesetengah pemimpin Keadilan terutamanya antara Mustafa Ali dengan Anwar Ibrahim. Bagi Anwar dirasakan sekiranya beliau dijemput tidak ada sebab untuk beliau menolak kerana kemenangan calon Pakatan Rakyat nanti membawa tuah besar kepadanya.

Sekiranya Anwar masih terkilan kerana semasa beliau menghadapi musuh di Permatang Pauh tidak semua pemimpin Pas membantunya terutama dari Terengganu, namun beliau kena ingat kepada budi dan jasa dua orang besar dalam Pas iaitu Husam Musa dan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membantunya. Nik Aziz meskipun bertongkat masih mengagahi diri mengiringi Anwar ke penamaan calon.

Dan apa yang paling baik, Keadilan dan Pas yang kini kelihatan tidak berapa lendik wajar menjadikan pilihan raya itu kelak sebagai acuan untuk meluruskan semula salah faham dan salah silap mentafsir gerak politik antara keduanya sehingga membawa sedikit rasa gelisah di kalangan penyokong bawahan. Semoga! [d' kota 10:00 pm 28/11/08]

1 comment:

Ruzis said...

Salam Buat MSO,

Cuma ada dua pilihan:

1) Jika PAS berasakan kekuatan kesemua resourcenya, tanpa memerlukan sokongan PKR dan DAP, PAS boleh cuba.

2) Kalau PAS berasakan bahawa PAS boleh mengetepikan sentimen dan prejudis akar umbi dan sebahagian golongan yang berasakan mereka mempunyai kekuatan seperti didakwa, tentunya rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan membantu. Pada saya, ketika inilah untuk membuktikan ke mana arah dan pendirian Mustafa Ali.

Jika dilihat pada majoriti arwah Datuk razali yang hanya ratusan, tidak mustahil untuk PAS menawan kerusi ini.

Namun, Pilihanraya Kecil PRK merupakan medan berat sebelah. Segala jentera kerajaan, dan seluruh kekuatan BN akan difokuskan pada PRK ini - kewangan, jentera kerajaan, agen penguatkuasaan, dan kuasa-kuasa media. Mampukah PAS mengdapai ini secara bersendirian?

Bagaimanakah dengan sentimen pengundi atas pagar, golongan muda, bukan Melayu? Masihkah mereka kekal dengan momentum dulu, pada PRU12?

Isu-isu terkini yang membabitkan DAP-PAS, tidak menjejaskan sokongan orang Cina terhadap Pakatan rakyat.

Medan di Kuala Terengganu akan membuktikan, sesungguhnya membuktikan bahawa momentum rakyat pada PRU12 adalah benar-asli asli dan kekal.

Sekian.