Wednesday, October 15, 2025

Keretakan dalam Bersatu sampai klimaks.

ULASAN PAGI

Dua hero dalam Bersatu
KERETAKAN dalam Bersatu sudah sampai ke klimaks apabila parti itu mengambil tindakan ke atas sekurang-kurang enam orang pemimpin parti tersebut termasuk yang berstatus ahli Parlimen. 

Bekas ketua Penerangan Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugur dipecat, manakala ahli pimpinan tertinggi yang juga ahli Parlimen  Macahang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung sepenggal.

Tindakan ke atas Wan Saiful paling kejam apabila beliau dipecat terus daripada parti berkenaan, manakala Wan Fayshal digantung sepenggal. Tindakan disiplin ke atas Wan Saiful dikira ada sangkut paut dengan serangan peribadi beliau ke atas Setiausaha Agung Bersatu Mohammad Azmin Ali. Wan Saiful mendedah isu video samburit Azmin ada bukti baru. 

Selain itu empat ketua bahagian ikut digantung, mereka ialah Saiful  Mohd Azrudin Md Idris dari bahagian (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang). Tindakan itu diambil mengikut perlembagaan Bersatu fasal 9.4.1 dan fasal 22.55.

Wednesday, October 8, 2025

Siapa bakal menyamai rekod Fuad Stephens sebagai KM Sabah

ULASAN PIRANE SABAH

Hajiji Noor
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah telah pun dibubarkan. Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri Hajiji Noor setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Sabah Tun Musa Aman. Hajiji menghadap Musa 6 Oktober sebelah pagi, petang beliau umumkan DUN bubar. Ini bererti nafirin perang pilihan raya telah ditiupkan secara rasmi.

Pirane – pilihan raya negeri, Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari bermula hari pembubaran. Hari ini, (8 Oktober), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetap 16 Oktober untuk mengadakan mesyuarat membincang tarikh berkaitan pilihan raya ke-17 Sabah. Mesyuarat itu akan menumpukan kepada penetapan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Mengikut lazimnya, SPR akan menetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi selepas mengadakan mesyuarat setelah pembubaran sesuatu Dewan Undangan Negeri. Dengan mengambil kira SPR ada tempoh 60 hari, ini bermakna tarikh tarikh penting itu di antara minggu kedua dan ketiga November manakala hari mengundi dua minggu kemudian.

Saya menjangkakan tarikh penamaan calon minggu ketiga November manakala hari mengundi pertengahan Disember, mungkin 20 Disember 2025. Bagaimana pun SPR ada petunjuk atau pun alasan tersendiri untuk menetapkan tarikh tarikh itu. 

Saturday, October 4, 2025

Pemuda PKR harus fikir bina negara untuk Palestin

PENDAPAT

Kamil Munir ketua pemuda PKR perlu
berfikir lebih jauh dan berani.

SEMALAM Ketua Pemuda Keadilan Muhammad Kamil Munir telah menyerahkan memorandum
kepada kedutaan Amerika di Kuala Lumpur mendesak agar kuasa dunia itu membebaskan 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi flotila yang ditahan oleh regim Zionis.  

Misi flotilla suatu gerombolan armada kapal dari pelbagai negara untuk menghantar bantuan makanan, perubatan dan barangan keperluan kepada rakyat Palestin yang dikepung Israel. Seusai solat Jumaat semalam, pemuda Keadilan bersama beberapa Ngo lain mengadakan tunjuk perasaan mengutuk dan mengecam Israel sambil minta jasa baik Amerika bebaskan segera anggota misi berkenaan.

Memorandum itu katanya diterima oleh pihak kedutaan Amerika, dan disifatkan suatu kejayaan buat PKR.  

Tuesday, September 30, 2025

Balada seorang sahahat

BELASUNGKAWA

Allahyarham menerima buku 
saya Noktah Sebuah Penantian.
MOHD Soberi Shafii
insan kerdil kepada sesetengah orang, bahkan ada yang tidak pun mengenali siapa sosok ini. Tetapi beliau adalah istimewa buat saya sebagai seorang rakan dan sahabat. 

Yang mengenali dan bersahabat dengannya sejak awal 1980-an, kenal dan tahu sangat nilai budi, fiil dan perjuangannya. Manakala yang mengenal di luar dirinya, kenal beliau dengan pelbagai nama dan watak antogonis.

Soberi seorang yang tenang tidak tahu marah. Seorang yang sedia mendengar dan akur. Kehebatannya menahan kemarahan dan tidak tahu menyimpan dendam. Punya PR - hubungan persahabatan yang cukup baik kerana itu beliau punyai ramai kawan dan sahabat. Soberi dikenali dengan "Boh Yie", menggambarkan beliau seorang yang dihormati dan boleh menguruskan manusia. 

Selain itu beliau juga punyai harga diri dan nilai diri tersendiri. Punya prinsip tersendiri yang sukar digugat. Bagi saya beliau seorang yang berjasa dan meninggalkan kenangan hidup yang indah serta membanggakan. Ini saya kembali melihat hubungan persahabatan dengannya. Pantang terdengar khabar saya sakit atau masuk hospital beliau akan bertanya khabar dan bertatih menjengok saya, walaupun keadaannya tidak begitu kondusif.

Dalam kancah politik era tahun 80-an 90-an kehadiran sosok ini; kesetiaannya kepada pemimpin dan perjuangan sangat istimewa khasnya di Kelantan. Walaupun beliau tidak dinobatkan sebagai wakil rakyat, tetapi seorang politis yang cukup signifikan di negeri Kelantan. Peranannya dalam menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada rakyat mengalahkan wakil rakyat.

Diperingkat nasional juga apa dilaluinya, tidak ramai yang tahu, hanya mereka yang hampir dan rapat dengannya saja mengetahui cerita dan balada di sebaliknya. Salah satu misalnya sewaktu Umno diharam tahun 1987 dalam usaha untuk menghidupkan Umno Baru oleh regim Dr Mahathir Mohamad, beliau adalah antara peribadi menjadi hamba atau kuli kepada pimpinan Umno untuk menghidupkan parti keramat itu. 

Beliau yang ketika itu merupakan anak didik atau bermajikan kepada Hussein Ahmad (Allahyarham) selaku Ketua Penerangan Umno Malaysia, menjadi pembantu setia Allahyarham Hussein Ahmad di ibu pejabat Umno di PWTC. Saat itu beliau berkerja dalam keadaan dicemuh oleh orang-orang yang membenci Dr Mahathir sebaliknya mendukung Tengku Razaleigh Hamzah.

Tidak ramai orang tahu akan jasa dan budinya dalam hal ini kepada Umno. Pengorbanan dan usahanya itu ironi apabila akhirnya beliau meninggalkan Umno setelah kecewa dengan permainan politik Umno di bahagiannya Ketereh. Saya masih ingat saat beliau ingin mengumumkan keputusan yang perit untuk keluar daripada parti di sebuah hotel di Kuala Lumpur, saya mengasaknya "apakah demo sudah buat keputusan nekad Yie?" 
Mengacing butang baju Allahyarham
biar smart.

Kekecewaan dialaminya kerana permainan politik peringkat bahagian menyebabkan beliau nekad dengan keputusannya itu. Serentak itu beliau meminta jasa baik saya agar membawanya menghadirkan diri untuk bertemu dengan Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Suatu Subuh hening saya membawanya berjumpa dengan Tok Guru di Pulau Melaka. Di atas masjid Tokguru di Pulau Melaka itu selepas solat Subuh beliau menyatakan hasratnya untuk menyertai Pas. 

Tokguru menerima dengan penuh tawaduk dengan lapaz Alhamdulilah hasrat murninya itu. Kalangan rakannya dari Umno mentertawakan tindakannya dan menuduh beliau sebagai kecewa. Tiada usaha memujuk dan memintanya untuk membatalkan niatnya itu, bahkan tindakannya keluar parti tidak pun diberi apa-apa respon dari ketua Umno bahagian Ketereh. Sebaliknya ada rakan-rakan mentertawakannya. Tidak siapa tahu apa terjadi selepas itu, alih-alih orang yang mentertawakannya itu sendiri menyertai Pas, selepas 10 tahun Soberi mengambil tindakan itu.

Perpecahan dalam Pas sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara mengecewakan Sobree. Beliau seperti pause dalam politik sekejap tanpa mengambil sikap politik, tetapi tetap mendokong PH. Kebersamaan Pas dengan PKR menerusi PH memberi ruang perjuangan baru kepadanaya apabila dilantik menjadi Sekretrait PH Kelantan. Dengan bakat, pengalaman, kegigihannya dan PR yang menyenangkan anak-anak muda beliau gerakkan PH di Kelantan menjelang pilihan raya tahun 2014. Beliau ikhlas bekerja walaupun tidak pernah diberikan apa-apa imbalan. Kemenangan kerajaan PH tidak menghadiahkan apa-apa buatnya, namun beliau setia dengan PH tanpa parti yang jelas.

Mengirang Tok Guru semasa di Sarawak.
Sebagai ahli asal Umno, jasa dan budinya tidak perlu disebut. Ketika era Umno berada di kemuncak tahun 70-an hingga 80-an, beliau adalah antara pemuda Umno yang hebat dan lasak di Kelantan. Jasa besarnya yang tidak diikhtiraf ialah mendokong Anwar Ibrahim yang baru menyertai Umno untuk jadi ketua pemuda Umno. Ketika itu Anwar sedang mengatur langkah untuk mencabar Suhaimi Kamaruddin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno. 

Soberi adalah antara ketua Pemuda bahagian yang memberanikan diri atau dikatakan sebagai menentang arus mengambil sikap mendokong Anwar bersama beberapa Exco lain seperti Tamrin Ghafar, sedangkan sebahagian besar ketua bahagain Umno di Kelantan berpihak kepada Suhaimi. Sayang dan kasihnya kepada Anwar bukan sahaja setakat itu, sewaktu Anwar menerima rawatan sakit belakang di Munich Jerman beliau adalah antara rakyat Malaysia yang datang menziarahi Anwar.

Disepanjang penglibatannya dalam politik Umno beliau pernah diberi peluang sekali bertanding dalam pilihan raya bagi DUN Salor, tetapi kalah. Selepas itu beliau tidak diberi lalu namun tetap istiqamah dalam perjuangan Umno sehinggalah beliau bertindak meninggalkan parti itu selepas dirasa dipermainkan. 

Sedikit sejarah ringkas pengenalan saya dengan beliau, kami mula berkawan awal tahun 1980-an, ketika kami sama-sama berada dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Pada masa itu beliau sudah aktif dalam pergerakan pemuda Umno dengan menjabat jawatan ketua Pemuda Ketereh dan dilantik menjadi Penyelia Kemas. 

Dalam skuad keselamatan parti beliau adalah skuad Pemuda bertindak menjadi pengintip di ceramah Pas untuk dilaporkan kepada pihak atasan bagi diambil tindakan. Semasa bertemu Tokguru Nik Aziz beliau mengakui yang pernah mengintip suatu ceramah Tokguru dan merakamnya kemudian bahan-bahan ceramah itu disampaikan kepada pihak Umno.

Sebagai seorang pejuang dan hamba Allah Soberi tidak terkecuali menghadapi ujian hidup daripada Ilahi. Hampir separuh pengenalan saya, diujung usia beliau sering dimpa sakit dengan berbagai-bagai. Bermula dengan pembedahan jantung, mengalami gangren kaki sekembali dari menunaikan umrah. Gangren itu semakin serius sehinggalah membawa kepada pembedahan sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.

Disamping itu beliau juga mengalami kegagalan buah pinggang yang terpaksa menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Sejak sebulan lepas beliau terlantar di hospital sehinggalah membawa kepada pembedahan untuk memotong kaki kiri.

Kebetulan sewaktu beliau ditidurkan 25 September saya pula ditahan di ward, untuk beberapa hari hanya mampu komunkasi dari katil hospital dengan isterinya Kak Ani dan anak-anak Renny bertanya khabar. Malam tadi berhajat untuk menziarahi sebaik saya keluar daripada hospital, tetapi bila diberi tahu Soberi akan jalani diliis saya batalkan untuk menjenguknya.

Sebahagian rakan dan sahabat menyolati jenazah
Allahyarham.
Sebaik Subuh tadi saya menerima panggilan daripada isteri dan whatsaap daripada anaknya mengatakan Soberi dalam keadaan kritikal apabila kadar oksigen dalam badannya merosot. Tanpa berlengah saya ke HKL, melihatnya yang sudah begitu tenat. Sebahagian anak-anak dan keluarga terdekatnya sudah berkerumun di katilnya. Saya sempat mengelus elus kepala sahabat saya beberapa kali sambil membisikkan kalimah mulia di kedua cuping telinganya. 

Seluruh kaki Boh Yie sudah dingin dan sejuk. Matanya sudah tertutup rapat. Jam 7:45 pagi Boh Ye berangkat dengan tenang ke sisi Rabbnya. Beliau tutup usia dalam usia 71 tahun, meninggalkan seorang isteri, lima anak, lapan cucu dan seorang cicit. [wm.kl. 7:24 pm 30/09/2025]






Monday, September 29, 2025

Kenapa Melayu tidak dapat bersatu?

PANDANGAN

PARTI politik adalah pertubuhan atau gerakan sosial yang khusus bertujuan menguruskan negara. Parti politik berbeza dengan badan ataupun pertubuhan lain, skopnya lebih luas dan besar. Peranannya lebih signifikan daripada mana-mana persatuan, sebab ia secara langsung bertanggungjawab dan fungusinya untuk mengurus, merancang dan mentadbir negara.

Dalam negara kita ada berpuluh, malahan ratusan parti politik yang ditubuh, bergerak dan ada yang sudah jadi mendiang dan gemulah. Selepas pasca merdeka kemunculan parti politik lebih ketara. Bagaimana pun antara parti yang terawal ditubuhkan masih survive sampai ke hari ini walaupun ada pasang surutnya, seperti Umno, Pas, McA, MiC dan lain lain. 

Thursday, September 18, 2025

Bukan Islam harus elakkan baca Quran untuk politik


PENDAPAT

N Balasubramaniam
TINDAKAN ketua dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Balasubramaniam membaca petikan ayat Quran surah as Saf ayat 4 ketika berucap menggulung perbahasan di muktamar Pas ke-71 di Kedah telah menjadi isu kontroversi.

Para pengkritik Pas berpendapat cara dan tindakan Balasubramaniam itu kurang manis, ada yang menganggap ia mencemarkan kesucian agam Islam. 

Ada pengkritik terdiri daripada influncer pro kerajaan mengira perbuatan Subramaniam itu menempelak Pas yang sebelum ini mengecam seorang pemimpin DAP Haword Lee yang memetik terjamahan Quran dalam pidatonya. Pemimpin DAP itu dikecam sehingga ke parlimen, gara gara itu beliau berjumpa dengan Menteri Agama dan menyatakan kemaafan.

Umat Islam mempersoalkan tindakan ketua DHPP itu apabila tidak ada teguran daripada Pas. Sikap Pas mendiamkan diri dengan kejadian itu dikatakan sebagai double standard apabila mereka membiarkan Subramaniam membaca ayat ayat Quran walaupun tidak betul dari segi makhraj dan tajuidnya. Kalau Subramaniam setakat membaca terjemahnya, seperti sebelum ini mungkin ia tidak menjadi masalah.

Sebelum ini beliau pernah membaca terjemahan ayat Quran dalam ucapan dimajlis sama. Kerana teruja dengan kemampuan Subramaniam itu mendorong pengerusi muktamar ketika itu yang berharap dan mencadangkan untuk masa akan datang Subramaniam membaca ayat Quran sekali. Mungkin kerana menyahut cabaran pengerusi itu, dalam muktamar kali ini beliau berani membaca ayat Quran surah as Saf ayat 4 itu.

Disini saya ingin memberi sedikit pandangan saya dalam hal ini. Sudah lama saya mengikuti kejadian seperti ini, orang Islam memetik ayat Quran sebagai hujah dalam ceramah politik mereka. Tindakan Subramaniam itu bukan baru, lama sebelum ini sudah ada pemimpin parti politik bukan beragama Islam menjadikan ayat Quran sebagai bahan ceramahnya. 

Di Kelantan pada era 80an seorang pemimpin MCA sering membaca ayat Quran dalam surah Ali Imran ayat 103, berbunyi (watasimum bihabilah...) yang bermaksud, "dan berpegang teguhlah sekalian kepada tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai berai," dalam ceramahnya, dalam hajat menyeru agar tidak ada pergaduhan dan berbaik baik sesama insan, sampai pemimpin MCA itu dikenali dengan "Ustaz Watasimum".

Tidak salah, kalau orang bukan Islam memetik dan membaca Al Quran, kerana al Quran itu sendiri bersifat petunjuk universal semua manusia dan makhluk. Tetapi kalau ia dipergunakan untuk kempen politik, ia sudah boleh dianggap mempersendakan Islam, kerana masakan orang tidak beriman dengan Quran, tetapi mengambil isinya sebagai hujah berpolitik. Perbuatan seperti itu jika diibaratkan kepada buah, kulitnya diambil isinya dibuang. 

Bukankah itu mempersendakan Quran, walaupun ia tidak salah, dan dari sisi agama ia dialu alukan kerana menunjukkan isu atau ajaran Islam itu dimanfaatkan, tetapi penggunaan cara itu tetap salah.

Bagi saya perbuatan itu tidak wajar seseorang bukan Islam untuk membaca ayat ayat Quran atau mentafsirnya apa lagi dalam majlis yang majoriti dihadiri umat Islam, terdiri daripada ustaz dan alim ulama. Dalam muktamar Pas itu saya yakin lebih 99 peratus dihadiri orang Islam, situasi itu sangat tidak kena.

Maaf saya katakan, walaupun tujuannya baik, tetapi kaedahnya tidak kena, tidak ada keberkatan kerana bacaan itu tidak ada roh Islami sebab yang membaca itu sendiri belum bersyahadat, atau beriman. Macam mana orang hendak akur dengan dakwah daripada seseorang yang belum mendapat hidayat dan bersyahadat?

Kita faham cara Subramaniam itu untuk menunjukkan kehebatan dan kesukaannya terhadap perjuangan Pas yang digembar gemburkan berlandaskan Islam. Ia cuba memberi gambaran perjuangan Pas diterima umum, dan Pas berbangga dengan kejadian itu. 

Namun dari sudut lain, iman dan akiqah, ia seperti songsong dan memalukan apabila orang bukan Islam, (mungkin juga beragama Hindu) membaca kitab suci al Quran untuk didengari dan difahami oleh orang yang sudah lama menerima hidayah dan bersyahat. Cara Subramaniam itu seperti kura kura atau labi labi dengan telornya, yang mengikut sesetengah mazhab, ibu tidak boleh dimakan, tetapi telor haruskan.

Sekiranya Subramaniam ini mengambil sipiritual agama dalam politiknya elok sahaja beliau memetik ayat-ayat atau pengajaran dalam kitab Hindu, seperti kitab Veda, Upanishad, Dharmashastra, Artha, Karna, Bhagavad Gita dan lain lain.

Melihat kejadian itu apa yang mendukacitakan, kesalahan sebutan ayat Quran itu tidak ditegur oleh para hafiz dan hafizah, ustaz dan ulama yang ada dalam majlis itu. Mereka sendiri seperti terpukau dengan kebolehan Subramaniam. 

Apakah mereka jadi buta atau syaitan bisu apabila tindakan Subramaniam itu menguntungkan dari aspek politik. Kalau begitu, kehadiran Subramaniam itu tidak lebih daripada menjadi lambang kepada lembu merah yang ditunggangi Pas.

Lain kali hal seperti ini patut dihindari, Pas tetap akan nampak lebih Islamik berbanding parti parti lain kalaupun ia tidak dibaji oleh orang atau individu seperti Subramaniam itu.

Dan kepada bukan Islam yang menyertai Pas, mereka dialu alukan kerana menerima menhaj perjuangan Pas sebagai bahtera mencapai cita cita politiknya,  tetapi jangan pandai pandai dan ghairah untuk memetik dan membaca al Quran untuk menunjukkan anda sudah mendalami Islam. Ayat Quran adalah mujizat yang suci dan perlu dihormatinya dan terpelihara.

Apa yang berlaku dalam muktamar Pas itu seharusnya ia diberi perhatian serius oleh menteri yang menjaga hal ehawal agama. Jangan baru hendak bertindak setelah ada laporan, kerana kejadian itu sudah riuh randah di segenap pejuru tanah air. Menteri jangan tidur dan asyik dengan majlis majlis ceremony sahaja, bertindak, gerakan kakitangan Jakim untuk membuat islah. [wm.kl. 8:37 pm 18/09/2025]


Wednesday, September 17, 2025

Percubaan mewujudkan AI Classroom World

ULASAN 

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan khas kepada teknologi Artificial Intelligence (AI). Sesuai dengan penemuan (kreativiti) teknologi baru ini, beliau sendiri juga seperti baru menyedari dan sedang mendalaminya. Anwar seorang pemimpin peka dan cepat bertindak ke atas perubahan global. 

Razman bersama pelajar terlibat
dengan projek perintis AICW
Misalnya dengan kemunculan AI ini, beliau menghabiskan banyak masa untuk memahami akan keistimewaan teknolgi baru ini. Khabarnya beliau memanggil para pakar AI untuk memberi “tausiyah” kepadanya.

Sebab itu dalam setiap ucapan di forum atau majlis himpunan baik dengan pelajar, guru atau penjawat awam beliau tidak ketinggalan menyebut akan kepentingan AI dan menekankan rakyat perlu memguasai dan melengkapkan diri denganya.

“Kejayaan AI bukan terletak pada betapa canggih kodnya, tetapi seberapa banyak ia meningkatkan kehidupan manusia — mencipta peluang, mengatasi cabaran, dan memastikan tiada siapa yang tertinggal.” Demikian ujar PM menunjukkan keperihatiannya terhadap teknologi baru ini.

Keseriusannya jelas apabila dalam masa tidak terlalu lama, kini sudah wujud fakuliti yang memperkenalkan AI di universiti tempatan dimana UITM menjadi universiti pertama menubuhkan fakulti AI.

Mengambil aspirasi.

Bertolak dan menerima cabaran perdana menteri itu seorang pakar IT, sdr Razman Salleh bangkit untuk menyahut seruan dan cabaran PM itu dengan mencipta satu kaedah atau sistem pembelajaran menggunakan AI di sekolah yang dinamakan AI Classroom World. Projek itu boleh membantu murid memahami pembelajaran dan guru dalam pengajaran. Menerusi sistem AI ini murid dapat memahami subjek yang rumit atau sukar. Manakala guru guru pula tidak terlalu dibebani dengan kerja, atau memudahkan penyediaan bahan pengajaran.

Untuk melaksana merintis projek itu Razman mendapat kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Anmad Razali Ampang, (SMKDAR). Pihak PPD, Pengetua sekolah Puan Rose Aliza Sutrisno dan Guru Kanan Mazian Osman sangat membantu. 

Projek ini membabitkan 12 orang murid dan 12 orang guru. Projek ini dibangunkan awal 2024, dapatan atau kajian dari projek itu menunjukkan kurang 40% pelajar berkata mereka memahami topik yang sukar dengan lebih jelas. Kurang 30% mengatakan sistem itu mengurangkan dengan ketara masa untuk kerja rumah dan ulang kaji, manakala lebih 50% meminta akses AI secara kekal.

Kesimpulannya sistem dibangunkan itu berkesan dalam membantu pembelajaran dan pengajaran selain merupakan aspek baru dalam kependidikan di negara ini. Projek rintis ini merupakan kelas atau bilik darjah Chatbot pertama di negara ini.

Sementara dipihak guru pula mendapati sistem atau platform itu dapat menggantikan papan hitam dan buku latihan manual dengan sepenuhnya. Kaedah atau sistem ini juga menjimatkan masa, meringkaskan kerja, tetapi dampaknya tinggi berbanding secara manual. Hanya peralatan tambahan diperlukan iaitu komputer atau laptop. Penambahan device ini bukan membebankan kerana komputer sudah merupakan keperluan di era ini.

Kejayaan Razman dengan projek dinamakan AI Classroom World (AICW) ini telah dilaporkan oleh sebuah portal berita di luar negara - Amerika Syarikat, NY Review dalam segmen Pendidikan Teknologi (EdTect), yang melaporkan kependidikan teknologi diseluruh dunia. Tanpa laporan NY Review mungkin projek perintis secara senyap dan lebih bersifat eksklusif ini tidak diketahui umum. https://nyreview.com/from-one-classroom-to-global-attention-how-a-malaysian-school-dared-to-ai-fy-learning/

InsyaAllah dengan hasil projek berkenaan Razman berharap semoga ia dapat dijadikan sumbangan baktinya dalam dunia kependidikan negara. Beliau sangat berharap projek rintis itu akan dipandang oleh pihak berkuasa, khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan jika diizinkan mahu membentangkan idea ini kepada perdana menteri sendiri. 

Adalah elok kalau pihak KPM mengarah Pejabat Pendidikan Negeri (PPN) untuk mencuba sistem ini di sekolah tertentu sebagai perintis. Untuk tujuan ini KPM tidak perlu mengeluar perbelanjaan dari perbendaharaan mungkin ia boleh ditampung oleh pihak sekolah seperti PIBG, orang perseorangan, korporat dan sebagainya. 

Sekiranya projek ini dilaksanakan di sekolah, dianggarkan seramai 300,000–400,000 pelajar akan mendapat pembelajaran yang adaptif, manakala lebih 20,000 pendidik akan disokong dengan alat AI yang mengurangkan tekanan dan keletihan kerja dan melancarkan pantadbiran. Manakala untuk tujuan itu sebanyak 10,000 bilik darjah akan diubah menjadi ruang digital sepenuhnya yang bersifat tahan lasak.

Sesungguhnya apa yang diusahakan Razman ini dengan inisiatif guru dan murid SMKAR berkenaan akan menjadi pemandu dan dorongan membantu KPM dalam usaha dan hajatnya untuk memanfaatkan teknologi AI sejajar pemesatan dunia pendidikan waktu ini, yang mana ia selaras dengan iltizam dan aspirasi perdana menteri.

Bertanya siapa yang berada di belakang membantunya, Razman tidak segan memberi tahu, seorang ahli perniagaan juga tokoh akademia yang bermurah hati dengannya, dan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang kuat mendorong dan beri semangat serta kepercayaan kepadanya bangunkan projek berkenaan. [wm.kl. 6:53 pm 17/09/2025]

Monday, September 15, 2025

Umur PM 70 tahun ke bawah, Hadi hantar mesej kepada Mahiaddin

ULASAN
Tenungan dan fokus Mahiaddin dan Hadi
tidak sehaluan. Foto MK.

ABDUL HADI Awang memberi masej jelas kepada Mahiaddin Yassin yang beliau tidak menerima ahli Parliman Pagoh itu sebagai calon PM untuk Perikatan Nasional (PN). 

Ketika bercakap kepada media selepas merasmi muktamar agung Pas ke 71, di Kedah hari ini, Hadi memberi pandangan seorang PM mestilah berumur di bawah 70 tahun disamping sihat tubuh badan.

Presiden Pas itu mengakui yang dia sendiri tidak layak untuk dicalonkan sebagai PM kerana faktor usia, dan sedia menerima sebagai penasihat sahaja.

Thursday, September 11, 2025

Wabak di Indonesia dan Nepal boleh merebak ke Malaysia

PANDANGAN


Keadaan di Nepal.
TUNJUK perasaan di Indonesia dan terbaru di Nepal yang bukan sahaja setakat melepas perasaan
menuntut sesuatu, tetapi melakukan keganasan dan penjarahan harta benda pemimpin dan awam, sesuatu insiden yang perlu diberi perhatian berat.


Kebimbangan kejadian itu akan berlaku di Malaysia tidak boleh dianggap remeh, kerana tidak ada garis tebal membezakan negara kita dengan dua buah negara itu, ia masih dalam kelompok Asia.


Genetik rakyat kita tidak jauh beza dengan rakyat Indonesia dan Nepal. Ketiga tiga negara dikelompokkan dalam negara sedang membangun atau negara ketiga dan belum sampai satu abad merdeka. Justeru jangan pelik kalau situasi itu juga meletus di negara ini. Apa lagi demonstrasi merupakan penyakit sosial dalam negara mengamalkan sistem demokrasi yang mudah berjangkit.


Bagaimana pun ada pihak tertentu seakan yakin ia tidak melarat ke Malaysia. Mereka yang yakin begitu adalah yang membela kerajaan terutamanya yang bertindak menjadi propagandis diupah puluhan ribu sebulan, mereka menolak kemungkinan yang berlaku di Indonesia dan Nepal itu akan merebak ke negara ini. 


Alasan diberikan kerana tuntutan rakyat dikedua buah negara itu kerana mereka menghadapi kesempitan hidup, berhadapan kos sara hidup yang meruncing dan peluang pekerjaan tiada.  Menurut oknum atau institusi pembela kerajaan, keadaan itu berbeza dengan rakyat di negara kita yang seolah olan terlepas dari kepitan itu.


Kata mereka pemerintah kita berbeza dalam menangani rakyat berbanding apa dilakukan pemerintah di negara itu. Kerajaan kita prihatin membantu rakyat. Kerajaan Madani memperkenalkan berbagai insentif untuk membantu rakyat, sampai orang kaya pun ikut mendapat wang SARA RM100 sama dengan rakyat marhaen. 


Hujah lain yang diberikan pemimpin kita khasnya Perdana Menteri begitu tawaduk sampai gaji pun tidak diambil. Logiknya begitu, tetapi belum tentu rakyat berpuas hati dengan keadaan yang ada. Cerita PM tidak ambil gaji hanya dianggap sebagai retorik semata. 


Apa yang perlu disedari dan dibimbangi penyemarakan tunjuk perasaan di Indonesia dan Nepal ialah kerana kesan daripada kebebasan bersuara, media sosial. Rakyat mendapat maklumat dan panggilan menerusi media sosial. Panggilan medsos itu sangat pantas dan mudah diakses di mana mana sahaja. Sebab itu tunjuk perasaan di Indonesia bukan sahaja terjadi di Jakarta, tetapi di seluruh ibu kota lain yang berlaku hampir serentak.


Medsos mudah memperdaya dan mempengaruhi rakyat yang kurang ilmu dan celik IT. Mereka akan percaya apa sahaja yang dihidangkan kepada mereka tanpa semakan dan penyelidikan. 


Keadaan di Indonesia.
Ada beberapa kes berlaku di negara ini yang disebarkan dalam medsos mendapat perhatian rakyat dan mereka bertindak atas penyebaran media sosial itu.


Ambil contoh macam mana isu seorang murid sekolah di Sabah yang meninggal secara misteri telah dieksploitasi oleh pihak tertentu menyebarkan berita tidak benar dan fitnah berkaitan kejadian itu. Alhasilnya sampai Menteri Pendidikan dicemuh dan dibenci serta kejadian itu seakan akan menteri itu bertangghngjawab. Pengaruh medsos menjadikan manusia tidak lagi waras.


Apa disebarkan medsos berkaitan fitnah kematian pelajar itu ditelan bulat bulat oleh  masyarakat, bukan sahaja yang tinggal di kampung, desa, hulu, tetapi di bandar juga. Ia jadi buruk apabila kejadian itu dipolitikan.


Satu lagi kes kematian seorang pelajar UPSI akibat kemalangan. Dihebohkan dalam media sosial kononnya mayat dan kubur pelajar itu siswi wangi. Maka berduyung duyunglah orang ramai untuk merasai kewangiannya itu tanpa berfikir apakah laporan itu benar dan apakah natijah dan manfaat jika ia benar.


Begitulah hebatnya kuasa media sosial ketika ini. Ia boleh menenggelamkan maklumat dan penjelasan dari radio, tv dan akhbar arus perdana. Kita sedia menerima maklumat tidak beretika dan ia sudah jadi semacam satu fenomena pula.


Lantaran itu walaupun kondisi negara ini berbeza dengan Indonesia dan Nepal tidak bermakna kekalutan itu tidak berlaku disini. Media sosial boleh memainkan peranan untuk menggerakkan rakyat melakukan sesuatu. Dalam kata lain kebenaran dan kebaikan yang kerajaan lakukan, ia boleh ditenggelamkan ataupun dinafikan dek maklumat fitnah dan palsu disebarkan media sosial.


Sehubungan ini, sangat diharapkan agar kerajaan memantau secara serius dan menyeluruh akan peranaan dan fungsi media sosial ini. Jangan biarkan penyebaran berita palsu, fitnah dan provokasi berleluasa dalam medsos. Kalau dengan cara atau langkah diambil sekarang ini kurang efektif untuk membendungnya mungkin satu mekenisme lain perlu difikir agar medsos tidak menjadi bahana yang boleh meruntuhkan kerajaan.


Dalam pada itu juga diharap rakyat negara kita berfikir secara matang sebelum bertindak dan memberi reaksi atas apa apa penyebaran yang tidak sah. Begitu juga kalaupun mahu mengadakan tunjuk perasaan jangan sampai merosakkan harta benda apa lagi menjarah harta orang lain, terikut ikut dengan apa yang berlaku di Indonesia dan Nepal. Setidak tidaknya tunjuklah kita lebih baik, bertanadun berbanding dengan mereka. 


Apa yang berlaku di Indonesia dan Nepal itu, tidak siapa yang untung melainkan negara dan rakyat juga yang menanggung kerugian. [wm.kl. 11: 13am. 11/09/2025]


Wednesday, September 10, 2025

Mencari calon PM dari Pas

PANDANGAN

Mohd Amar lebih layak 
jadi calon PM berbanding Annuar
Musa.
PARTI Islam se Malaysia, (PAS), seperti dalam kekaburan (blur) untuk menobatkan mana mana tokohnya sebagai calon PM bagi diletakkan sebaris dengan Mahiaddin Yassin. Selepas Tok Dor kian mereput ditelan usia dan keuzuran, parti itu seperti tercari-cari seseorang untuk diangkat atau dinamakan sebagai PM. Kalau pun ia tidak setanding dengan Mahiaddin tetapi cukup sebaris Hamzah Zainuddin (Mejah) ataupun Azmin Ali.

Pas tidak boleh berpegang selamanya kepada maslahat, atau alasan bahawa jawatan tidak perlu dicari, tetapi merupakan amanah atau anugerah Ilahi. Tidak ada satu benda dalam dunia ini yang bergerak secara semulajadi, yang bulat datang menggolek yang pipih datang melayang. Hatta hendak mati pun ia datang bersebab dan muasababnya.

Jawatan perana menteri bukan satu amanah, tetapi ia satu pemburuan dan perlu dirancang demikian rupa. Perlu ada strategi untuk meraihnya. Selepas ianya diperolehi, baru ia boleh dianggap amanah. Pemahaman ini kena mengerti sebaik mungkin agar kita tidak terpedaya dengan retorik fahaman palsu agama.

Kita faham kenapa kalau Pas seperti ketandusan atau tidak memiliki tokoh yang layak untuk menjadi PM. Krisis yang menimpa Pas tahun 2014 menjadikan Pas seperti kepupusan pemimpin berkualiti bila mana hampir separuh pimpinan tertingginya meninggalkan atau dipecat daripada Pas.

Nama-nama seperti Dr Hassan Ali, Husam Musa, Dr Dzulkifli Ahmad, Khalid Samad dan lain-lain adalah pemimpin berkualiti yang tidak malu kalau mereka dinamakan sebagai tokoh bertaraf PM. Mereka itu jauh lebih baik dan kompeten berbanding dengan Hamzah Zainuddin atau Azmin Alli, Khairy Jamaluddin yang pernah dinyanyikan untuk disandar ke jawatan itu.

Hari ini tokoh tokoh yang ada dalam Pas Tuan Ibrahim Tuan Man (Tuituman), jika diikutkan hirearki boleh disetandingkan. Namun keupayaan Tuituman untuk memegang jawatan itu sangat naif apabila dilihat kepada kenyataan dan juga ualasan dan khulasan politiknya. Ada kalanya ulasan dan pandangan beliau masih bersifat keanak-anakan atau ustaz kampung. Belum matang dan berwawasan.

Bukan itu ahaja, Tuituman juga kurang berani, bukan seorang fighter, dimana kekurangan sifat ini tidak melayakkan untuk beliau menjadi orang berada dihadapan. Bukan sahaja untuk menyanggah sesuatu pandangan presiden yang jelas dan terang bercanggah dengan prinsip demokrasi dan agama, tetapi untuk memeprtahankan kenyataannya sendiri juga Tuituman kelihatan sering kali terkial-kial. Apabila pendapatnya ditegur Tok Dor, beliau akan membisu seribu bahasa menjadi pokok semalu yang disentuh. Layu...

Sikap demikian bukan lagak sebagai seorang pemimpin jauh sekali untuk dinobatkan sebagai calon peradana menteri yang bukan sahaja memerlukan seorang yang punya pengalaman, tetapi ada wawasan dan political will yang jelas. Sebab itu beliau awal-awal lagi memberi ulasan berhubung pengumuman Mahiddin sebagai calon PM ke-11 oleh Bersatu, beliau menegur ringan mengatakan jawatan adalah amanah.

Dalam pada itu apakah beliau sendiri berpegang kepada falsafah dan maksud amanah itu. Kalau beliau benar-benar beramanah dengan jawatan, Tuituam sudah lama perlu melepaskan jawatan itu kerana beliau realtif gagal menjalankan tangungjawab sebagai seorang ahli Parlimen di Kubang Kerian. Ujian kemampuan juga boleh diperhatikan apabila beliau diberi tanggungjawab menjadi menteri Alam Sekitar dan Air sebelum ini.

Apabila Hadi dan Tuituman “terkehek” daripada menjadi calon PM, bukan bermakna Pas tidak ada sosok untuk diasah ke jawatan itu. Pas ada tiga naib presiden ditambah bersama beberapa pemimpin yang memegang jawatan seksekutif parti. Naib presiden sekarang ialah Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Nik Abdullah, disamping ada Sanusi Mohd Nor, yang memegang jawatan Pengarah Pilihan raya, Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung.

Lima nama ini boleh dianggap sebagai tokoh Pas yang kompeten sesuai dan pantas berbanding dengan seorang mualaf Pas yang cuba menonjolkan dirinya konon suci dan layak untuk dicalonkan sebagai PM. Secara diam dan taktikal orang ini, Annuar bin Musa sedang berusaha ke arah itu.

Sebab itu dalam ceramah dan forum-forumnya dia sering mengungkit dan mengangkat dirinya sediri sebagai seorang ahli politik veteran berpengalaman. Dia sering menceritakan yang dia sudah lama berjuang dengan memegang pelbagai jawatan dari ketua cawangan kepada Setiausaha Agung parti Umno, daripada menjadi Adun kepada Senator, ahli parlimen dan menjadi menteri dengan memegang beberapa kementerian. Cerita dan bual itu untuk menggambarkan kehebatan dirinya. Padahal dengan jawatan itu apa yang ditinggal dan dihadiahkan untuk negara dan warga ini nihil kabe nihil.

Tiada suatu pun yang menjadi tanda mata dari aspek jasa dan pembangunan buat Kelantan dan Malaysia melainkan rakyat masih ingat dua peristiwa besar dicatatnya, menabalkan seseorang sebagai Raja dibawah pokok ketapang, di Ketereh dan juga disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mercedesnya ditahan.

Bekas ahli Umno ini seorang bercita-cita dan bernafsu besar yang lupa diri bahawa dia hanya mualaf dalam Pas. Dia mengira dengan membasuh muka dengan air suci Pas, menukar pakaian dan budaya dia menjadi suci dan murni berbanding dengan orang yang sudah berkabut dalam Pas sendiri.

Mualaf bermaksud orang baru dalam Pas, sebelum menjadi mualaf dia adalah "kufar" penentang Pas nombor wahid, di Kelantan. Yang menyekasakan negeri dan rakyat Kelantan berdekad bersama Dr Mahathir adalah orang ini. Mereka yang waras masih mengingati apa yang dilakukan terhadap Pas. Melihat kepada sejarah dan dosanya terhadap PAS, tidak sesuai untuk beliau berada disitu apa lagi cuba berangan-angan untuk dicalonkan ke jabatan itu. Realiti itu automatik mualaf ini terbuang dari pencalonan itu. Apabila dia bersyahadat memeluk Pas tidak bermakna noda dan dosanya sudah terhapus.

Maka yang ada kini hanya dari kalangan naib presiden, Mohd Amar, Idris Ahmad dan Samsuri Mokhtar disampjng Sanusi Mohd Noor dan Takyuddin Hassan sahaja. Jika kita nilai dan ukur dari berbagai aspek, kita akan menemui seseorang yang kompeten untuk dinobatkan sebagai calon perdana menteri daripada Pas. Apa lagi kalau diambil Pas dalam rangka kepimpinan ulama. Orang ini ada ciri-ciri Islam serba sedikit berbanding yang lain. Dari latar belakang pendidikan dan keluarga ia mengatasi tokoh lain.

Dia yang dimaksudkan itu ialah Mohd Amar Nik Abdullah. Sebagai anak Nik Abdullah latar belakang perjuangan dalam Pas tidak asing lagi. Nik Abddulah adalah bekas timbalan Persuruhjaya Pas dan bekas Adun dan ahli Parlimen. Bahkan dia juga diakui sendiri oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz, sebagai guru politiknya. Walaupun Mohd Asri bertanggungjawab membawa Nik Aziz ke arena politik, tetapi bekas MB Kelantan itu mengikhtiraf Nik Abdullah sebagai guru politiknya. 

Jika hendak dikira kehampiran dan memahamai perjuangan Pas, kedudukan itu memberi markah tinggi buat Mohd Amar. Dua lagi naib preisden Samsuri dan Idris Ahmad boleh dianggap adik kepada Mohd Amar begitu juga dengan Takiyuddin dan Sanusi Mohd Nor. Di sini Mohd Amar adalah paling senior.

Manakala jika dibanding dengan Tuituman juga Mohd Amar lebih berpengalaman punya pandangan politik lebih global, tidak gopoh dan seperti nama berfikir panjang sebelum berbuat sesuatu. Peluangnya pernah belajar di England sedikit sebanyak mendedahkan Mohd Amar di persada antarabangsa. Sesungguhnya kalau Pas bercadang hendak menamakan calon PM, Mohd Amar leih baik dan berhak daripada Annuar Musa. [wm.kl. 8:57 10/09/2025]