Monday, September 15, 2008

Kemelut Pas

Kenapa Jadikan Anwar Sebagai Bala Pas

SEDAR atau tidak sedar, setuju atau tidak setuju, projek 16 September kini menjadi seperti api dalam sekam memakan dan memamah keharmonian Pas selama ini. Projek itu telah menjadi bala kepada Pas meretakkan ukhwah sesamanya. Projek berkenaan yang sepatutnya tidak ada sangkut paut dengan Pas kerana ia adalah agenda peribadi PKR dan penasihatnya Anwar Ibrahim, namun kini menjadi isu yang mengeruhkan suasana dalam Pas.

Pas seharusnya memerhati dari jauh berhubung projek berkenaan tanpa menyusahkan diri dengannya. Pas boleh mengaut keuntungan daripada projek itu tanpa ikut sama mencelup tangan hingga sampai ke pangkal lengan dalam projek berkenaan. Cara itu lebih baik kerana kalau ia tidak berlaku Pas tidak akan terkena bau busuknya.

Gara-gara projek itu kini Pas semacam retak. Ada dua pendapat saling bertentangan berhubung dengannya. Satu pihak mempercayainya hidup-hidup kepada projek berkenaan dan satu pihak lagi menolaknya mentah-mentah. Kedua pihak ada sebab dan hujah tersendiri untuk menerima dan menafikannya.
Strategi politik

Pertentangan berhubung projek ini yang membawa kepada pertentangan kepercayaan bukan saja kepada strategi politik itu tapi membabitkan keyakinan kepada Anwar itu sendiri sedkit sebanyak terobek.

Ia semakin merebak apabila pertentangan itu bukan berlaku dari kalangan individu bawahan tetapi sudah terarah kepada pembentukan dua kelompok yang kontras dalam Pas; yang menyokong Anwar dan yang menentang Anwar.

Hari ini perwujudan kelompok itu sangat jelas dan sudah menjadi sebutan dengan berbagai nama ataupun gelaran. Kedua kelompok ini masing-masing membicara mengikut gaya dan keyakinan tersendiri dan tidak mahu bertemu untuk membincang secara bersama lagi. Ia juga menampakkan konflit sesama sendiri yang cenderung kepada keadaan yang meruncing jika tidak disedari segera kedua pihak.

Pergeseran dan perbezaan pendapat tidak menjadi masalah. Pas selalu mengalami pergeseran dalam mencari kesimpulan berhubung sesuatu isu. Tetapi kalau pergeseran kerana menegakkan batang tubuh manusia di luar parti itu ia menghairankan. Ia agak ganjil sedikit! Bila masa pula Pas bertindak menjadi NGO menjaga hak asasi seseorang?

Anwar adalah individu di luar Pas. Kenapa Pas harus menjadikan batang tubuhnya sebagai pemecah belahkan Pas? Beliau tidak ada kaitan dengan Pas. Sedangkan apa yang berlaku kini ialah disebabkan Anwar. Di sinilah kesilapannya dan menampakkan kurang matangnya siasah Pas.
Perkara ini tidak boleh disembunyikan lagi. Ia semakin ketara dan nyata. Walaupun ada pihak dalam Pas yang ingin mendamai dan menyembunyikannya namun tidak berhasil. Kerana kedua terlibat mempunyai pengaruh yang besar ke atas satu sama lain. Keyakinan dan ego (amarah) manusia menjadikan manusia lupa kepada amanah dan tanggungjawab perjuangan dan menjaga kepentingan ahli Pas.

Mereka yang bersetuju dengan projek 16 September ini atau tepatnya terpesona dengan Anwar ialah Husam Musa, Naib Presiden Pas, (beliau boleh dianggap sebagai ketua), Kamaruddin Jaaffar, Setiausaha Agung, Zulkifly Ahmad, Pengarah Strategi Pas, Mohd Hatta Ramli, Bendahari Agung Pas, Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Pas, Syed Azman Syed Mohamad AJK Pas, Abdul Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam. Mereka ini dibantu oleh Dr Mariah Mahmood dan Dr Lo' Lo' Ghazali keduanya AJK Pas Pusat.

Dijadikan perkakas

Dan kelompok ini merasakan mereka merdeka dan menang apabila Musyidul Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat sebagai memberi mata dan sedia membentangkan belakangnya untuk dijadikan perkakas usang oleh kelompok ini.

Manakala pihak yang tidak setuju dan tidak yakin dengan projek berkenaan ialah Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden, Mustafa Ali, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas. Mereka ini dibantu oleh Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am Pas, Harun Taib bersama beberapa tokoh veteran Pas Terengganu, Kedah, Kelantan, Johor dan lain-lain.

Disebabkan Mustafa dilihat vokal dan menjadi penasihat politik Abdul Hadi Awang maka beliau dicap sebagai ketua di sebelah sini.

Jelas kalau dilihat kepada klasifikasi ini ia menggambarkan Pas kini sudah berpecah dua kumpulan dan di mana kekuatan kedua pihak kelihatan sama gagah kerana keduanya diketuai oleh pucuk pimpinan Pas tertinggi.

Pada dasarnya kedua kelompok ini ada hujah dan alasan kenapa mereka menolak dan menyokongnya. Namun sayang hujah dan alasan ini tidak dapat mempengaruhi di antara satu sama lain sebaliknya keyakinan ini mereka saling bertentangan.

Pada hemat saya, puak yang menyokong Anwar atau yakin dengan projek peralihan kuasa 16 September (esok) itu mereka sedar hakikat kekosongan angan-angan itu. Tetapi kenapa mereka sokong ialah kerana motif lain. Saya tidak kira Husam Musa (arkitek baru Pas) buta dan jahil mengenai hal ini. Beliau tentu sekali nampak dan bermain politik untuk kepentingan partinya dan juga dirinya di sebalik menyokong projek itu.

Daripada apa yang dilakukan, menjelaskan Husam seakan sedang menguji sejauh mana kehebatan dirinya dengan isu berkenaan. Cara beliau menggerakkan isu itu dan bermain politik dengannya seakan beliau sedang membuat persiapan untuk masa depan politiknya. Secara tidak langsung kini umum sudah melihat semacam ada perlumbaan pengaruh antara Husam dengan tokoh-tokoh tertentu dalam Pas. Jangan terkejut kalau pada pemilihan pucuk pimpinan Pas tahun depan Husam akan mencabar Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden!

Demikian juga dengan kumpulan yang tidak yakin dengan projek berkenaan. Mereka tidak setuju bukan kerana projek itu projek Mat Jenin; tetapi kerana alasan-alasan lain yang sangat jelas dan konkrit kepada mereka. Di sini saya nampak mereka bukan tidak suka kepada projek berkenaan tetapi tidak boleh menerima sikap dan keperibadian pengilham projek berkenaan, Anwar Ibrahim.
Adapun mengapa mereka tidak bersedia menerima Anwar ialah kerana masalah peribadi yang dihadapi Penasihat PKR itu. Tuduhan liwat ke atas Anwar atau sejarah politik Anwar dizaman gemilangnya dalam BN dulu yang menghentam dan menganiaya Pas menyebabkan mereka sukar untuk menerima Anwar. Dalam erti kata lain gara-gara sejarah hitam dan parut itu mereka hilang penghormatan kepada Anwar.

Tikaman Anwar

Tentu berlain dengan mereka yang tidak mengenali Anwar dan baru mengenalinya seharian dua ini, tidak merasai betapa sakitnya tikaman Anwar terhadap Pas sebelum ini. Mungkin kesan dan sejarah itu menyebabkan mereka berhati-hati untuk menerima Anwar. Mungkin dalam hal ini bagaimana peritnya Nik Aziz terhadap Umno yang menendang Pas keluar BN mungkin begitulah juga peritnya kelompak ini kepada Anwar.

Apa yang berlaku ini walaupun melibatkan Anwar, penasihat PK itu tidak boleh disalahkan. Beliau tidak berdosa dalam hal ini. Anwar tidak memangil dan meminta secara rasmi agar menyokongnya. Pihak yang menyokongnya mahu menumpang tuah dan auranya. Mereka mengira Anwar boleh melakukan sesuatu termasuk meruntuhkan kerajaan BN yang menjadi harapan bersama.

Dalam menangani kemelut ini pada hemat saya Pas kurang berhati-hati dan tidak ceramat. Sepatutnya Pas selesai dengan cara baik dan tidak membuka ruang perbezaan dan konflit antara satu sama lain dengan lebih luas. Perselisihan itu berlaku menampakkan keretakan dalam Pas. Kematangan Pas selama 52 tahun juga boleh dipertikaikan.

Misalnya teguran Nik Abdul Aziz Nik Mat ke atas Mustafa Ali yang meluahkan pandanganya tidak percaya kepada projek itu tidak bijaksana. Nik Aziz sebagai Mursyidul Am tidak sepatut membuat teguran terbuka begitu dengan mengedarkan kenyataan akhbar mengkritik Mustafa Ali ke dalam blog dan internet.

Tindakan itu tidak fatanah dan bertentang dengan ciri kepimpinan para sahabat yang menjadi idola dan teladan pemimpin Pas. Nik Aziz agak emosional dalam melayani kerenah Mustafa Ali itu. Nik Aziz patut lebih menjaga kedudukannya sebagai Mursyidul Am di mana jawatan tertinggi dalam hirerki Pas daripada turut menjadi broker atau proksi kepada puak yang menyokong Anwar dan sanggup singsing jubah turun padang.

Dalam perhatian saya mengenai isu sokongan kepada Anwar ini Nik Aziz menggunakan sepenuhnya baju dan jubahnya sebagai Mursyidul Am Pas untuk menyokong bekas TPM itu. Pandangan Majlis Syura pun dilanggarnya! Perangai ini sungguh aneh. Beliau seakan lebihkan kepada Anwar daripada menjaga perasaan dan kepentingan pemimpin Pas sendiri. Nik Aziz harus sedar dan jangan mudah nyanyuk bahawa Pas itu adalah hak jemaah dan bukan kepunyaannya. Sehebat mana ilmunya dan sebesar mana pengaruhnya ia tetap dipayungi oleh Pas.

Dalam apa juga keadaan dan berdepan dengan krisis dan perbalahan beliau tidak wajar berpihak dan patut berada di tengah. Jawatan Mursyidul Am itu sendiri adalah sebagai penasihat dan pemberi kata putus. Ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya apa lagi mengikut sentimen dan apa lagi kalau sanggup bercakap dengan menggunakan air liur orang lain.

Kini tidak ada siapa lagi yang boleh menjadi orang tengah dan penasihat yang adil dan dihormati dalam Pas apabila Mursyidul Am Pas sendiri boleh dipertikaikan keadilan dan tanggungjawabnya. Perkembangan ini agak malang bagi Pas. Dalam Umno dituduh berkecamuk, Pas juga nampaknya terikut sama bercelaru dengan bergaduh dan singgung menyinggung sesama sendiri sampai terselak barang dalam kain. Barangkali sudah begitu takdir Allah! [wm.kl 10:30 am 15/09/08]

15 comments:

Anonymous said...

saya bersetuju dgan anda.. entah di mana hebatnya anwar, TGNA sgt sgt sgt sgt sgt sgt menruh harapan terhadap dia.. jika itu saja, xpe la kan, ini sampai mengetpikan beberapa pandangan pemimpin2 pas yg lain.. mereka ade sebab utk mengatakan itu ini walaupon bertantangan dgn usul muktamar.. menyokong bukan bererti bersetuju 100%.. apa salahnya jika dia mnyuarakan pandangan nya.. kalo ty aku pon, aku akan cakap 16 september takkan berlaku..n i have so many reasons for that.. some of them have been told by mustafa ali.. sejak bila pas mnutup pintu menyuarakan pendapat? perkembanagan muktakhir ni buatkan aku xsabar utk suatu saf kepimpinan yg baru.. i donno why.. sbb arini ramai pemimpin yg opportunist jer.. haih..

moga Allah selamatkan perjuanagan ini..aminn

Anonymous said...

Salam Sdr MSO.
Berdasarkan perkembangan politik semasa dalamam PAS sejak akhir-akhir ini memang agak 'panas' dan 'menjarak' tidak 'bulat'. Isunya kerana DSAI.
Syabas DSAI, di atas kehadiran DSAI berjaya membentuk kelompok dalam PAS,DSAI berjaya memecahkan solidiriti dalam PAS,TGNA satu pihak, TGHA dipihak yang lain.Kedua2 tokoh ada pengikut masing-masing.Demikianlah PAS 'terbelah'hanya kerana 'aura' DSAI.
Syabas kepada pimpinan PAS anda telah melakukan yang terbaik untuk Agama, bangsa,negara dan kekuasaan anda?
afja02.

suparjo@blogspot.com said...

Pak Sayuti, hal Anwar ini sebenarnya untuk menduga sejauhmana kewarasan dan kematangan minda para pemimpin dalam Pas. Tapi saya tidak keget kerna sebagaiamana yg pernah Pak Sayuti sebutkan, orang politik adakalanya baagai anak-anak. Soalnya adakah itu wajaha sebenar para pemimpin Pas? Harap mereka kambali sadar, tentang yang mereka perkatakan, yang diperjuangkan selama ini. Aduhai, janganlah kerna Anwar dalam Pas jadi berantakan.

Anonymous said...

Saya sangat setuju pendapat MSO. PAS perlu berhati 100% menangani situasi dgn mesyuarah dan hujah bukan emosi. Kami penyokong PAS sayangkan PAS dan bertaat setia berwalakan pemimpinan selagi menjungjung Islam. Sejarah mengajar dan berulang2 setiap zaman, bahawa opportunists dlm gerakkan Islam di mana2 jua tak bertahan lama dan bersifat sementara cuma.

Anonymous said...

saya sedih. semoga husam sedar dosanya dalam mengeruhkan hubungan antara dua ulama besar.

Anonymous said...

Sdra mso, PAS berjaya membina kekuatan berasaskan matlamat perjuangan yang jelas, iaitu menegakkan pemerintahan berasaskan siatem Islam di bumi Malaysia. Kekuatan PAS berada di kemuncak menjelang PRU12, kerana PAS mengambil pendekatan TIDAK BERKOMPROMI dengan kumpulan yang dianggapnya sekular. Malah UMNO yang mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam juga masih dianggap 'secular' oleh PAS, dan tidak layak dijadikan sekutu perjuangan.

Oleh itu, PAS telah menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP di dalam menghadapi PRU12. DAP sekian lama MENOLAK gagasan negara Islam.

Namun begitu, 'musibah' mendapat sedikit kuasa telah melanda PAS.
Sebahagian pemimpin PAS telah mengulangi sikap gelojoh merebut kuasa, persis pasukan pemanah Rasulullah saw yang telah meninggalkan kedudukan strategik di Bukit Uhud kerana terdorong untuk merebut harta rampasan perang, yang telah membuka pertahanan Islam kepada serangan balas musuh Islam.

Kalau pasukan pemanah Rasulullah saw di dalam perang Uhud telah terpedaya dengan harta rampasan perang, sebahagian pemimpin PAS hari ini telah terpedaya dengan jawatan Menteri Besar, EXCO dan ahli majlis yang ditawarkan oleh sekutu barunya, DAP dan PKR. Sedangkan DAP dan PKR adalah BAPA SEKULARISMA di Malaysia.

painah said...

Ahli dan kepimpinan pas pun manusia spt saya juga, punya nafsu dan ada akal, yg adakalanya bodoh. Ada ketikanya juga bercakap macam orang yg kerasukan bila ditanya pemberita. Jadi apa yg nak diherankan ini semua.

Ustaz selalu kata dalam politik segalanya memungkinkan dan sekarang ni serba mungkin berlaku dalam pas. Tak perlu malu, ini raliti politik.

Ramai juga segelintir ahli dan kepimpinan pas yg bercakap macam dia tahu semuanya agaknya mereka tak pernah fikir bahawa pas tidak akan berjaya dengan impian negara Islam jika masih sinis terhadap DSAI dan PR.

Sebagai sebahagian dr PR, pas sepatutnya memberi sokongan bukan mematahkan semangat.

Ini baru kes 16 sep dah macam nak perang, kalu dah memerintah negara nanti apa pulak jadinya?

CuCu MaTSaLLeH said...

Salam Ramadhan Utk Semua...
Menganalisis senario politik mutakhir ini....Inilah bahana atau penangan yg jelas suatu perancangan licik yg dibuat oleh DSAI.

Akibat kelicikan DSAI...kita melihat sekarang,dalam kepimpinan tertinggi PAS sudah jelas lagi bersuluh terdapat 2 kelompok yg masing-masing mempunyai idealogi atau dalam erti kata lain pro dan kontra tentang pembawaan yg dicetuskan oleh DSAI..

suasana ini amat menyedihkan khususnya kepada PAS itu sendiri kerana disebabkan oleh BATANG TUBUH DSAI...PAS dilihat belum begitu matang dalam menangani permasalahan2 politik semasa.

Yang lebih menyedihkan...puak2 yang menyokong dan mengagung-agungkan BATANG TUBUH DSAI dikalngan pemimpin PAS memperlihatkan tahap keilmuan,intelektualan dan keperibadian mereka khususnya dalam bab berpolitik (as-siasyah)masih boleh dipertikaikan dan belum layak untuk menerajui kepimpinan tertinggi PAS...

Secara peribadi...saya amat menyokong 300% tulisan yg saudara MSO dlm blog ini sebagai satu kritikan dan teguran ikhlas kepada mereka-mereka yang berkenaan...

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM...DULU,KINI DAN SELAMANYA...

TIDAK PERCAYA DGN DSAI...DULU,KINI DAN SELAMANYA...

Anonymous said...

PROJECT 169
bukan salah TGNA dlm soal perbalahan yg dimaksudkan dua team ini namun TGNA dibayangi oleh mrk2 yg berada dibwhnya yg taksub dgn kelahiran Anuar itu. Jelas, sekali saudara MSO lebih arif ada tahu siapa di sebaliknya (MSO lebih celik dan tidak buta dlm permainan politik kebudak-budakan oleh dua tiga spesis manusia yg gilerkan RM). Mrk2 inilah yg menggunakan TGNA dlm soal ini.
Jelas skli mrk ini hanya akan menumpang tuah Anuar untuk berada di puncak. Moga2 air mata TGNA akan mengalir hari ini bukannya selepas ini. Insyallah.

Anonymous said...

Gara-gara bermain politik tanpa kenal apa itu politik dengan erti kata sebenar dan apa itu parti politik yang didukung dan disokong, maka jadilah apa yang sedang terjadi.
Kerana bermain politik tanpa kenal apa itu politik dengan erti kata sebenar, maka kalau ditegur cepat melenting, cepat tolak mentah-mentah, mudah anggap penegur sudah dibeli oleh pihak lawan.
Kemudian akan segera ditanya, penegur lepas universiti mana, Azhar, Jordan, Libya atau macam-macam universiti timur tengah.
Falsafah di sebalik si pincang yang menusukkan mata pedangnya ke leher Umar Al-Khatab tidak cuba dijadikan panduan supaya segala teguran diterima secara positif.
Si pincang itu kalau zaman kita ni barangkali bolehlah disamakan dengan kalangan yang hanya belajar 4 thanawi atau lebih rendah lagi tetapi ada ketajaman dan kegigihan untuk selamat parti melalui teguran dan krtikan yang barangkali panas, pedih dan tidak menyeronokkan pihak yang kena tegur tetapi keutamaan dalam membuat teguran adalah kepentingan parti, bukannya kepentingan orang parti dan pimpinan parti yang boleh bersilih ganti.
Percayalah dalah apa hal pun, mencegah adalah lebih baik dari berubat. Kalau dah wujud dua puak (saya yakin ada lebih dari dua puak dalam Pas berhubung isu 916 yang sepatutnya Pas dan pimpinan Pas dalam bentuk invidu tidak masuk campur) untuk pulihkan semula akan memakan masa yang panjang.
Kerana itu bagi saya memang mewah dan menang besar bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kalau pimpinan dan ahli parti belum cukup persediaan dari sudut fizikal dan mental menerima kemenangan. SSelain dari harta yang banyak boleh bawa ke neraka, kuasa, pengaruh besar dan kemenangan besar juga boleh menyebabkan kita dihumban ke neraka jika silap ganya.

Anonymous said...

Salam, Saya secara peribadi amat terkilan dengan cara TGNA menegur cikgu pa , sepatut nya ia tidak disampaikan melalui bloger dan media secara meluas . Secara Peribadi tidak bolehkan Tgna menelefon terus kepada yang berkenaan . MAlah kalau kita singkap ucapan dato' pa lebih kurang ucapan abang mat , dan saya melihat ucapannya itu berdasarkan perhatiannya terhadap ucapan dasar Tghah .dan diakhir perenggan seolah-olah sangkaan buruk menunjukkan Dato'Pa seorang yang mahu meninggalkan parti . Sedangkan kalau dia berminat dengan pangkat , dia pasti sudah tidak bersama gerakan islam ketika menjadi timbalan menteri era kerajaan campuran . Saya sayang kan kedua2 pemimpin parti ini .
harus diingat ,Anwar orang luar dari parti islam !! ideologinya berbeza dengan pemimpin pAs !!
Menegakan islam tercinta , lebih penting dari segalanya !!

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan anda.

Nampak gaya DSAI telah berjaya dalam misinya untuk memecahbelahkan PAS. PAS hanyalah kuda tumpangan DSAI untuk menarik balik sokongan popularitinya.

Yang jelasnya kredibiliti PAS telah menjunam teruk pada pandangan golongan pertengahan, yang merupakan majoriti pengundi pilihanraya, kerana dilihat
(1) sebagai parti yang gagal mengotakan Islam
(2) tidak cerdik, menjadi kuda tunggangan PKR
(3) Penakut, tidak berintegriti - semata-mata kerana ingin dilihat sebagai demokratik pada pandangan golongan human right aktivis, tetapi sanggup menghalalkan cara. Ini termasuklah perkongisan dengan DAP

Anonymous said...

Pertelingkahan dalam PAS.

Apa sudah jadi dengan PAS? Kenapa wujud dua kelompok yang berbeza pandangan dalam PAS? Adakah ini tanda retak menanti belah? Saya amat-amatlah terkilan dengan kejadian seumpama ini. Kita sedang sabar menanti keretakan yang menjadi-jadi di dalam UMNO. Hanya tunggu dan lihat bila mana UMNO akan hancur dan pupus langsung dari arena politik tanahair. Apa yang kita rancangkan selama ini bakal menjadi kenyataan. Sudah lama kita mengidam saat-saat ini. Sejak memenangi PRU yang lepas yang membolehkan kita memerintah lima buah negeri, kita berusaha agar kita mampu pergi lebih jauh dari apa yang kita ada sekarang. Namun tiba-tiba perkara sebegini pula terjadi. Saya menjadi hairan kerana lain yang ditunggu, lain yang datang. Semacam mengharap langit cerah hingga ke petang tapi hujan pula di tengahari. Jadi apa perasaan dan tanggapan saya sekarang?

Saya bukan ahli PAS atau ahli mana-mana parti politik. Saya hanya pemerhati bebas yang memerhati dan menilai dari luar. Saya tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini. Sifat saya yang tidak mahu terkongkong dalam mana-mana parti politik membolehkan saya mengkritik secara bebas tanpa tertakluk pada mana-mana perlembagaan atau peraturan parti. Namun saya berusaha untuk berkempen dengan cara saya demi memastikan Pakatan Rakyat dapat pergi jauh lagi. Saban hari saya mengikuti perkembangan-perkembangan terkini berkenaan hala tuju Pakatan Rakyat dan kemusnahan yang sedang melanda Barisan Nasional. Saya benar-benar teruja apabila Saudara Anwar Ibrahim telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini dengan majoriti yang besar. Saya melihat ini sebagai satu petanda yang amat positif dalam mencapai cita-cita untuk memerintah negara pada suatu masa nanti.

Yang mengecewakan saya apabila ada suara-suara sumbang di dalam PAS yang meragui akan hakikat ini. Saya menjadi kaget bila ada segolongan ahli-ahli PAS (yang bukan duduk di bawah) yang mula bising-bising tentang ketidak yakinan mereka akan tercapai hasrat ini. Pelik tapi benar. PAS yang menjadi salah satu anggota Pakatan Pakyat mula buat hal. Apa sudah jadi? Keputusan muktamar yang lalu yang sepakat untuk memperkukuhkan dan terus menyokong hala tuju Pakatan Rakyat mahu dicampakkan ke mana? Dengar keputusan dicapai sebulat suara dengan ‘standing ovation’ lagi. Jadi, adakah itu semua sandiwara semata-mata? Hanya sekadar seronok-seronok ‘meeting old friends’, salam-salam bertanya khabar? Hai-hai, helo-helo, how are you?

Titik tolak peristiwa ini bermula apabila ada segolongan ahli-ahli tertinggi PAS yang beria-ria untuk bermuqabalah dengan UMNO. Wah, dengan tiba-tiba ‘mereka ini’ berasa patut duduk semeja dengan orang UMNO. Wah, dengan tiba-tiba ‘mereka ini’ jadi besar kepala (maklum dah menang besar dalam PRU yang lepas) lalu sanggup untuk duduk sekapal dengan UMNO. Saya hairan, kenapa begitu beria-ria nak ‘bersatu’ dengan UMNO yang selama ini diketahui adalah musuh ketat PAS? Mungkinkah disebabkan mengenangkan nasib orang melayu yang diwar-warkan sedang berpecah belah ke tahap yang begitu kritikal? Atau mungkinkah ‘mereka ini’ risau akan kebangkitan kaum bukan melayu secara tiba-tiba? Kalau inilah alasannya, mudah sungguh ‘mereka ini’ diperdayakan oleh dakyah-dakyah orang-orang UMNO yang kita tahu hanya mementingkan kuasa. Bodoh sangatkah ‘mereka ini’ sampai termakan cerita-cerita dongeng orang-orang UMNO ini yang konon-konon memperjuangkan nasib orang-orang melayu? Tidak perlu rasanya saya mendedahkan siapa ‘mereka ini’ kerana semua sudah sedia maklum lagi-lagi orang-orang dalam PAS sendiri.

Saya rasa ‘mereka ini’ tidak bodoh. Saya pasti ‘mereka ini’ lebih cerdik dari yang lain. Bak kata orang, ‘cunning like a fox’. Ada agenda lain yang tersemat di hati kalian sekian lama yang perlu dilampiaskan seberapa segera yang mungkin. Ada keinginan yang terpendam yang perlu diberi perhatian secukupnya. Apa itu, ya? Tepuk dada tanya selera. Selak-selaklah selalu pasti ketemu jawapannya. Jagalah tepi kain ‘mereka ini’ selalu, londehkan kalau perlu. Biar nyata lagi terang.

Rakyat tengah hiba, berduka dan pilu dengan keadaan politik tanahair. Rintih terus merintih. Mereka mengharapkan agar ada suluh sinar yang dapat menerangkan kegelapan. Ada gula yang akan memaniskan kepahitan hidup. Dan semua itu ada pada Pakatan Rakyat dan ada pada seseorang itu. Dan orang itu adalah Saudara Anwar Ibrahim. Dia diwar-warkan untuk mengantikan PM yang dilihat begitu longlai sekarang. Tup, tup ada pula yang tidak setuju. Siapa? ‘Mereka ini’ lah.

‘Mereka ini’ mencadangkan yang Abdul Hadi Awang diangkat sebagai PM Malaysia instead of Saudara Anwar Ibrahim. Come on, be rasional. Abdul Hadi Awang nak dicalonkan sebagai PM? Terengganu yang kecil tu pun di bawah kepimpinan beliau tak bertahan lama, inikan pula nak memimpin negara Malaysia. Bukan saya cuba nak merendah-rendahkan kewibawaan Abdul Hadi Awang tapi hakikat tetap hakikat. Kalau nak calon juga orang PAS, lebih baik Nik Abdul Aziz yang berjaya memerintah negeri Kelantan (negeri kelahiran saya) selama 18 tahun. Bukan calang-calang orang yang mampu melakukannya. Macam kata Mufti Perlis, Dr. Asri yang turut mencalonkan Nik Abdul Aziz. Ataupun Saudara Husam Musa. Janganlah kita semborono mencadangkan itu dan ini semata-mata tidak setuju dengan pilihan ramai. Ingat, rakyat yang ada kuasa untuk memilih siapa yang mereka mahu. Buktinya jelas terpampang di piliharaya kecil Permatang Pauh. Jangan kita memadai-madai membuat kenyataan yang dilihat menyimpang jauh dari tujuan asal iaitu untuk memerintah negara. Hanya kerana objektif beliau tidak selari dengan objektif ‘mereka ini’ maka ‘mereka ini’ menjadi ‘rogue’. Janganlah sibuk nak memerintah dan berebut kuasa. Fikir pasal rakyat. RAKYAT JELATA yang memilih siapa yang dimahu dan siapa yang dicemuh! Jangan jadi macam ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

Jangan sekali-kali menganggu-gugat kerjasama yang sedia terjalin di antara parti-parti di dalam Pakatan Rakyat hanya kerana mengimpi kerusi yang lebih empuk di Putrajaya. Sepakat membawa berkat. Saya bukan penyokong fanatik Saudara Anwar Ibrahim, namun saya waras dengan melihat jauh ke hadapan. Saya nampak akan hala tuju yang mahu dibawa Saudara Anwar Ibrahim. Saya setuju dengan pandangan dan visi beliau. Dan yang paling penting beliau ada ketokohan dalam memimpin. Bukan calang-calang manusia dapat menyatukan parti PAS dengan parti DAP untuk bekerjasama dalam PRU yang lepas. Macam mencampurkan api dengan minyak, pasti terbakar hangus. Beliau telah membuktikan yang ini mampu dicapai. Sememangnya beliau pernah bersekongkol dengan UMNO di suatu masa dahulu. Itu tidak dinafikan. Tapi beliau telah menerima balasannya atas apa yang telah beliau lakukan semasa berada di dalam UMNO. Jadi apa salahnya beri beliau peluang. Jika ada yang tidak kena, kita ‘halau’ beliau melalui pilihanraya yang akan datang.

Nasihat saya pada ‘mereka ini’, jangan lemparkan hasil perjuangan selama ini keluar tingkap semata-mata ianya tidak memenuhi citarasa kita. Tidak ada gunanya berjuang kalau di akhirannya nafsu untuk berkuasa menang sudah. Ingat, kemenangan besar Pakatan Rakyat baru-baru ini bukan milik total PAS atau DAP atau Parti Keadilan Rakyat. Ianya milik rakyat. Jadi pulangkan balik kepada rakyat untuk menentukan hala tuju negara ini. Jangan sibuk bergeser sama sendiri, tiada membawa faedah langsung. Rapatkan saf dan tingkatkan ukhwah jemaah. Sama-sama kita menentang kezaliman dan kemungkaran. Moga-moga dirahmati Allah S.W.T.

Wassalam

Mohd Azmel Mohd Noor
Poliklinik Fitrah, Bagan Serai.

P.S. Tahniah atas kemenangan PAS di DUN Sanglang. Itu tandanya Allah S.W.T merestui perjuangan kita lebih-lebih lagi di bulan yang teramat mulia ini, bulan Ramadan al-Mubarak.

painah said...

Bro Mohd Azmel Mohd Noor...

saya setuju sangat dengan pandangan anda. Harap2 mereka dapat berdiri dengan realiti bukan seronok ngan 'umpan' balaci yg ada disekeliling.

Saya pun tidak mengagungkan DSAI ketahap yg terlampau tetapi buatlah perbandingan atas kebolehan diri sendiri. Sebagai ahli politik yg berpengalaman tentunya kalian berpengalaman membaca gelombang perubahan yg diinginkan rakyat.

Bla membaca komen TGHH dlm um semalam, saya rasa amat terkilan sekali, mengapa mengeluarkan komen sehingga begitu sekali. Sejak bila pula menjadi jurucakap united malay national organisation? (meminjam kata TGNA)

Anonymous said...

Saya bukanlah ahli mana² parti politik, saya suka dengan keadaan ini kerana saya boleh berdiri membawa aspirasi saya sebagai sebahagian suara "rakyat jelata". Tanpa perlu ada pertimbangan ke arah inginkan pengaruh kuasa politik saya lebih bebas bersuara. Namun demikian dalam keadaan manapun parti yang membawa islam tetap menjadi keutamaan saya. Biarlah saya yang tentukan parti dan “pemimpin” mana yang lebih berkeinginan ke arah Islam atau mementingkan pengaruh dan kuasa politik.

ALLAH telah mengajar kita bagaimana pengaruh Islam boleh terhakis bilamana pemimpin mulai merayakan “kemenangan” dan bersikap gah dengan “kuasa politik” yang diperolehi. Kenapa PAS yang begitu matang dalam arena politik mulai tergugat dengan kehadiran DSAI? Lupakah PAS pengajaran yang telah diberikan ALLAH dalam “kekalahan” pahit yang telah diperolehi dlm PRU11 setelah “menang” besar dlm PRU10.

Nampaknya “Kemenangan” PAS kali ini telah menyebabkan sebahagian pemimpin lupa kepada tugas utama yang perlu dilakukan, tugas yang kita namakan “DAKWAH”. Sejarah perang UHUD berulang. Sebahagian pemimpin telah mulai meninggalkan medan peperangan lalu turun untuk mengaut harta yang terhidang. 2 negeri yang telah jatuh ke tangan PAS dan 1 negeri lagi yang diberikan oleh ALLAH melalui persetujuan paksa-rela oleh rakan² satu medan peperangan dilihat terlalu kecil jika dibandingkan harta yang ditinggalkan oleh musuh nun dibawah sana. Hanya dengan satu mesej “perpaduan” kesemua “harta²” dibawah sana sudah boleh menjadi milik “PAS” asalkan kita tinggalkan kawan² yang berjuang bersama kita.

Sedih bila memikirkan keadaan ini. Apakah batang tubuh DSAI ataupun “harta” perang UHUD lebih besar berbanding tugas dakwah kepada rakan² seperjuangan? Campakkanlah rasa benci kepada batang tubuh DSAI ataupun cita² kepada “harta” perang UHUD itu jauh². ALLAH telah berikan kita tugas besar untuk dilaksanakan. Ramai rakan² yang telah mulai rapat kepada PAS. Kenapa lupa dengan tugas “DAKWAH” kepada mereka ini? Tertubuhnya kelab penyokong PAS yang bagaikan cendawan bukan berlaku kerana PAS telah hebat tetapi ALLAH ingin menguji PAS dengan satu tugas besar selepas diberinya PAS kemenangan. Apakah PAS fikir kelab ini akan terus wujud, apabila PAS meninggalkan rakan² seperjuangan sebelum ini?

Jangan asyik dengan kuasa politik DSAI, laksanakan mesej yang telah pun diputuskan di dlm muktamar. Sungguh sedih bilamana teguran pemimpin tertinggi PAS TGNAA pun telah mulai dipertikaikan. Kita yang dahulunya menangis bersama TGNAA memohon kemenangan dari ALLAH telah mulai mempersoalkan kepemimpinan beliau dan mahu meninggalkan rakan seperjuangan kita???

Terlihat sudah air mata TGNAA dan rakan² seperti saya tertumpah lagi…