Tuesday, January 19, 2010

Salam Sebelum Tidur

Salam buat Nazree Yunus

DARI dua sumber saya mendapat tahu Pengerusi Gerak akan meninggalkan NGO itu untuk menyertai Umno. Kalau benar ini bermakna Mohd Nazree Mohd Yunus memilih Umno sebagai wadah memulakan kerjayanya dalam politik. Bagaimana pun sehingga ini tidak ada sebarang penjelasan oleh Nazree menegnai desas desus. Saya boleh menghubungi anak muda ini, bertanyakan hal itu tetapi tidak mahu menyusahkannya.

Kerana kalau saya konteksnya saya akan bertanya untuk apa beliau menyertai Umno sedangkan tidak ada jaminan parti politik dapat merealisasikan kemurniaan perjuangan beliau hendak membenteras rasuah. Nanti sukar untuk beliau menjawab persoalan saya. Saya tidak fikir Nazree akan mencari pelbagai hujah untuk menghalalkan tindakan itu. Pada saya anak muda berkulit putih kuning ini seorang yang jujur dan berhati putih.

Bukan saja kalau Nazree menyertai Umno, tetapi kalau dia menyertai parti lain, Pas dan PKR juga saya akan bertanya Nazree sedemikian. Untuk apa dia memilih badan siasah bagi meneruskan perjuangannya.

Apakah beliau percaya parti politik dapat memenuhi aspirasinya? Bolehkah dia akan terus berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran dan melawan rasuah menerusi parti politik. Tidakkah beliau tahu betapa zalimnya politik! Apakah dia sanggup membuat laporan SPRM jika ahli partinya terlibat dengan rasuah? Saya rasa beliau tidak tergamak menyimpan 'nyamuk ades' dalam poket. Kalau kita bersedia munafik nah... sertailah politik.

Saya pernah berbicara dengannya sewaktu beliau mengunjungi pejabat saya tidak lama dulu. Dalam kesempatan itu saya melahirkan rasa kagum atas usahanya meneruskan kerja suci Ezam Mohammad Noor sebagai pengerusi Gerak. Saya nyatakan kepadanya beliau sudah berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang perjuang menerusi Gerak. Kesungguhan dan keberaniannya membuat laporan kepada SPRM tidak mengira siapa menyebabkan masyarakat mula melihat peranan dan kepentingan Gerak. Kewujudan dan keampuhan Gerak sudah dirasai orang.

Saya sendiri secara peribadi lebih suka kalau bekas pemimpin pelajar ini berjuang menerusi Gerak. Bagaimana pun kalau Nazree memilih untuk meletakkan kakinya dalam gelanggang poltiik itu adalah haknya. Nazree terntu ada agenda dan jadual perjuangan sendiri. Sebagai seorang ‘abang’ saya berdoa beliau akan berjaya dalam politik atau sekurangnya mencetakkan namanya sehebat semasa dalam Gerak.

Apapun saya lebih suka kalau Nazree tidak menyertai politik buat masa dan terus kekal bersama NGO! Salam. [wm.kl. 10: 15 pm 19/01/10]

No comments: