Tuesday, January 26, 2010

Menganalisa Kawan

Azan Ismail Yang Lebih Kurang Zulkefli Nordin

RABU lepas saya terserempak dengan Ahli Parlimen Indra Mahkota, Azan Ismail di hadapan pejabat Celcom di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Dia nampak saya dari atas kereta dan turun mendapatkan saya. Dia pakai baju oren. Warna keceriaan. Tersengih-sengih dan ketawanya melucu. Perangainya memang macam tu sejak dulu hingga kini.

"Lama tak jumpa, enta sihat ke?" dia bertanya kepada saya. Saya sihat tak sihat akan tetap menjawab sihat. Saya tidak suka bermain dan bermanja dengan sakit. Kemampuan kita melawan sakit itulah kehebatan kita. Begitulah falsafah saya dalam menghadapi sakit.

"Enta macam mana?" tanya saya. Seorang lagi - pengawal peribadinya bertopi, rambut panjang ada ada atas kereta. Tak turun pun. Keretanya biasa saja, bukan baru, tidak segelamour kereta wakil rakyat UBN.

Saya mengamati wajah Azan yang lama tidak jumpa. Dia nampak kurus sikit dan kurang ceria. Wajahnya tak seceria warna baju yang dipakainya. Kali terakhir berjumpa dengan Azan di kopitiam di Danau Kota ketika itu bersama Zulkefli Nordin. Malam itu Zulkefli Nordin bawa seorang janda untuk ditengok oleh Azan. Astaghfirullah! Selepas di siasat janda itu berasal dari Temerloh, Pahang di bawa oleh Zulkefli untuk ditunjukkan kepada Azan bagi mendapatkan kerja. Begitulah menurut empunya cerita. Entah lah...

Rakan saya si lawyer Md Radzi Mustapa, juga ada sama malam itu. Begitu melihat janda itu saya mengenyit mata kepada Radzi? Radzi menggeleng-geleng kepala, dia juga tidak tahu. Akhirnya saya memberanikan diri bertanya kepada Azan. Perempuan itu duduk bersebelahan dengan Zulkefli. Mulanya saya fikir ia isteri muda Azan. Azan agak keberatan untuk menjelaskan. Setelah dia mengeja ... J...A...N...D...A., baru saya faham.

Lepas itu saya dan Azan tidak bertemu lagi. Walaupun ketika di kedai kopitiam itu dia berjanji untuk sama-sama ke pilihan raya kecil Permatang Pauh beberapa minggu selepas itu. Tetapi tidak jadi. Selalu kalau janji dengan Azan tidak pernah terpenuhi.

Dan pada Rabu itu dia membuat janji lagi untuk makan tengah hari. Beriya berjanji minta saya konteks selepas saya selesai mesyuarat.

Petang itu dia semacam ingin menceritakan sesuatu kepada saya. Dari mimik mukanya dia seperti menyimpan sesuatu hasrat yang berat untuk diluahkan. Mungkin hasratnya nak letak jawatan timbalan pengerusi PKR Pahang atau kecewa dengan kepimpinan PKR Pahang yang membelakangkannya?

"Sekarang kini kena berubah?" katanya membuka bicara. Mahu membuka isi hatinya. Saya sebenarnya serba salah nak layan Azan hari itu, kerana nak kejar mesyuarat. Kedua saya sudah geli geleman dengan MP Indra Mahkota ini. Saya tidak suka kepada sikap dan perangainya yang tidak menghormati janji.

"Berubah apa?" kata saya.

"Iya kita kena berubah, kena berani...," katanya tanpa melepaskan apa yang terbuku di dalam hatinya.

"Macam mana dengan Pahang, maksudnya PKR Pahang," tanya saya ingin memancing minatnya. Pertanyaan itu memberi ruang kepadanya untuk bercakap mengenai masalah di sekitar dirinya ketika itu.

"Inilah masalah sekarang. Sejak Datuk Fauzi Rahman jadi pengerusi ini macam-macam jadi," katanya. Saya hanya mendengar saja apa yang dibebelkan. Dari itu sudah saya agakkan dia sudah ada masalah dengan Fauzi Rahman. Sudah tidak nggam dan terasa dibayangi Fauzi.

"Dia nampak macam nak ambil tempat ana saja, kerusi Indra Mahkota..." jelasnya. Bila dia berkata begitu saya sudah faham kenapa 'perubahan' berlaku kepada wajah dan sikapnya. Saya sudah faham apa yang bergelora di dasar hatinya.

Perbualan itu tidak lama. Saya mahu ke mesyuarat dan dia mahu berlalu. Namun dia berjanji untuk bertemu untuk makan tengah hari. "Ok beres, di mana-mana saja, enta call ana," katanya bersungguh sambil berlalu. Saya meminta dia call Radzi untuk sama-sama makan tengah hari lagi pun kami sudah lama tidak bertemu.

Lepas saya mesyuarat kira-kira jam 2:30 Radzi datang ke pejabat. Saya minta Radzi tunggu jam 3:00 kerana Azan nak joit sekali. Tunggu punya tunggu sampai ke malam Azan tidak menjelma. Sebenarnya baik saya dan Radzi tidak kecewa kerana sudah kenal sangat dengan perangai ahli Parlimen peracut bertuah ini. Berjanji dengan Azan samalah berjanji dengan budak.

Saya tidak mahu menceritakan kepada Radzi mengenai apa yang berladum dalam hati Azan ketika itu. Biarlah Radzi tahu sendiri. Atau mungkin Radzi juga sudah tahu sebelum saya tahu bahawa Azan akan meninggalkan PKR, dan mungkin menyertai Umno? Sebab lama sebelum ini Azan sudah pun menyebut mengenai beberapa keburukan Anwar Ibrahim, dan ia disetujui oleh Radzi.

Jadi bila semalam Azan mengumumkan dia meletakkan jawatan sahlah apa yang saya bayangkan sebelum ini. Bagaimana pun tindakan Azan itu pada saya tidak cerdik dan menggambarkan jiwa besar beliau sebagai orang politik. Lagak Azan saya tenguk lebih kurang Zulkefli Nordin saja, kebudak-budakan dan suka melihat gambar sendiri dalam skrin tv. [wm.kl 8:00 pm 26/01/10]

2 comments:

ANAFAKIR said...

Tuan perlu senaraikan mana-mana tokoh politik yang mungkin akan bersikap menikam belakang kepada parti baik tokoh dalam PAS mahupun dalam PKR agar 'kejutan' yang bakal mereka ambil dalam waktu menangguk di air keruh tidak membuatkan pimpinan tertinggi PAS dan PKR berada dalam keadaan seperti 'terkena kejutan elektrik'.Kaku.'Terkema',salah aboh dan mengganggu perancangan parti seterusnya.

Tuan mungkin ada senarai tokoh politik dari Pakatan Rakyat yang memang mempunyai agenda tersembunyi, seolah-olah sudah dibeli secara terancang oleh UMNO atau pihak yang berkepentingan sepertinya.Nampak gayanya semacam ada satu gerakan terancang daripada tokoh tertentu dalam PKR untuk menikam DSAI dari belakang,merobohkan benteng Pakatan secara mengejut...

firdaus said...

kita perlu berpolitik melangkaui politik supaya akhirnya kita tak berpolitik untuk sesuatu yang sia-sia

akhirnya yang sia-sia itulah yang orang MELAYU selalu buat

orang MELAYU kuat merajuk

orang MELAYU kuat mengamuk

orang MELAYU kuat berangan-angan

orang MELAYU kuat untuk segala yang sia-sia sahaja

kelemahan MELAYU POLITIK terlalu nak cepat dan terlampau sangat nak cepat

MELAYU (bukan sebutan malay yang meloyakan) can't think and see BEYOND...