KESIMPULAN
| Hajiji angkat sumpah sebagai KM. |
Saya terlewat untuk memberi sedikit kupasan ringkas kerana sewaktu keputusan pilihan raya itu saya berada di Makkah. Sepanjang di tanah haram saya tidak mahu mengotor ihram saya dengan politik, justeru saya berpuasa sunat politik seketika sehingga kembali ke tanahair malam 4 Disember.
Untuk melengkapkan ulasan saya mengenai pilihan raya Sabah, sebagai sambungan catat sebelum ini yang tak lengsai, saya cuba membuat sedikit ulasan dari persepktif saya sendiri dengan berpandukan pandangan peribadi.
Saya tidak ada figure dan data tertentu seperti mana penganalisa lain terutama badan penyelidik yang turun ke Sabah dengan team yang lengkap. Jadi ulasan dari mereka lebih menyeluruh dan lebih konkrit. Saya membuat pandangan saya berpandukan "makrifat" dan rasahati politik saya tentang negeri itu.
Dua kumpulan atau parti menang besar dalam pilihan raya itu saling mencabar ialah GRS dan Warisan. Ini tidak pelik ia menempati apa yang saya sebutkan sebelum ini Warisan parti yang kuat dan stabil sejak awal.Jangan rasa mustahil dengan politik, apa lagi di Sabah. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Politik Sabah sangat dinamik dan luar biasa serta banyak mencatat sejarah politik yang ganjil dan berani. Satu segi Sabah menjadi guru kepada politik Machiavelli atau pembina industeri politik lompat. Lautan politik di Sabah tidak pernah damai dan ia bergelora seperti Lautan China Selatan tanpa musim.
Walaupun mengikut hukum akal kedudukan kerajaan GRS dengan sokongan PH bersama beberapa parti lain serta bebas, tetapi tidak musthil ia boleh berubah dengan tiba-tiba masa sahaja. Kedudukan Warisan dengan 24 kerusi perlu dicurigai dan dipantau GRS kerana kedudukan itu boleh menggugatnya. Manakala kerjasama GRS dengan kerajaan Perpaduan tidak merupakan jaminan, apa lagi Warisan juga menambat kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
Dalam konteks ini, tiada apa apa jaminan istimewa daripada Kerajaan Persekutuan untuk GRS walaupun ia adalah kerajaan. Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang penting kedudukan atau sokongannya peringkat Persekutuan tidak terkesan. Beliau lebih menjaga kedudukan dirinya sendiri daripada apa-apa kepentingan mana-mana pihak.
Perkara kedua yang hendak saya sentuh ulas mengenai pencapaian parti Semenanjung, PKR, UMNO, DAP dan Periktan Nasional dalam pilihan raya itu. Yang paling malang ialah DAP, tanpa memenangi sebarang kerusi. Umno masih boleh berbangga kerana dapat pertahankan enam kerusi, begitu juga PH menerusi di PKR satu kerusi dan PN satu kerusi menerusi Pas.
Kekalahan DAP sesuatu mengejutkan boleh disimpulkan bahawa penolakan dan perubahan undi Cina. Hal ini tidak terduga sama sekali oleh DAP kerana mereka sebelum ini menguasai enam kerusi. Tanpa mendapat satu kerusi saguhati pun ia merupakan tragedi memeritkan. Mungkin penolakan undi Cina tidak ketara kepada DAP tetapi pengundi lokal menyumbangkan kekalahan itu.
Pengundi tempatan terutamanya golongan tua terikut dengan sentimen yang digumbakan Warisan dan GRS serta parti ethnik lain seperti Upko, KDM dan sebagainya.Mengenai PH khasnya PKR tentang pencapainnya saya sudah mengatakan, kalau parti itu menang dua kerusi dikira sudah kejayaan besar. Ada beberapa faktor mengapa naluri saya beranggapan demikian, antara perpecahan dalaman parti itu tidak membantu parti itu, bukan sahaja untuk menambah kerusi, mengekalkan tiga kerusi yang ada juga sangat "rohok".
Mungkin atas kegagalan PKR itu ada pihak yang tersenyum puas walaupun senyuman itu sebenarnya pahit untuk masa depannya.
Realitinya PKR menang hanya satu kerusi itu pun bukan menerusi calon originalnya. Mungkin kalau bukan Jamawi Jaafar, calon yang berpindah parti saat akhir mungkin PKR juga akan boleh telor.
Apa yang boleh disimpulkan kemerosotan PH itu ialah:
1. Bahawa rakyat Sabah lebih setia dan hampir dengan parti tempatan, baik GRS maupun Warisan, UPKO dan KDM.
2. Bagi rakyat Sabah mereka tidak teruja dengan pelaksanaan M63 yang sedang dilaksanakan dibawa kerajaan Madani kerana mereka menganggap itu kewajiban dan hak mereka. Pelunasan M63 itu bukan sesuatu yang boleh dianggap istimewa dan diimbuhkan dengan undi.
3. Penambahan peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak serta beberapa keistimewaan diberi kerajaan Madani tidak memberi kesan terima kasih pun kepada parti dari Semenanjung yang menerajui kerajaan Persekutuan.
Pilihan raya Sabah itu sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada pilihan raya umum akan datang. Mungkin pola pengundian dan sikap pengundian tempatan atau berasaskan kepada ethnik, pegangan agama dan bangsa tetap relevan.
Kesan awal bolah dilihat tahun hadapan apabila pilihan raya negeri Melaka dan Johor akan diadakan. Nota Pilihan raya Sabah tersebut sedikit terkesima berikutan meninggalnya pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Raden 4 Disember lalu. Semoga sedikit sebanyak dengan pemergian ahli Parlimen Kinabatangan itu ikut sama menenangkan politik Sabah. [wm.kl. 8:19 pm 07/12/2025]
Glossori
rohok = sukar, payah, sulit
1 comment:
Penggunaan perkataan "Preview" utk tajuk tulisan ini adalah tidak tepat. Preview bererti "tinjauan awal". Pilihanraya dah selesai, jadinya Preview dah tak boleh dipakai.
Perkataan yg sesuai ialah Post Mortem, yg bererti "Bedah Siasat". Sama lah mcm apa yg pakar pathologi buat dihospital tu. Dia bedah mayat utk mengetahui sebab musabab kematian.
Post a Comment