Friday, September 16, 2011

Ulasan Isu

Pemansuhan ISA Umpan Pilihan Raya

SATU persatu tampaknya Najib Razak telah cuba memenuhi tuntutan dan desakan rakyat. Apa yang disuarakan oleh rakyat dan digemakan oleh Pakatan Rakyat cuba ditunai dengan harapan rakyat tidak akan marah dan meradang kepadanya. Dari satu sisi ia memperlihatkan Najib seorang pemimpin yang sedia mematuhi kehendak rakyat atau pun memahami apa yang bergelora dalam rongga jiwa rakyat.

Malam tadi, satu lagi desakan rakyat telah dilunasi oleh Najib apabila beliau mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang berusia lebih 50 tahun yang zalim dan menyeksakan itu akan dimansuhkan. Pastinya pengumuman itu melegakan hati setiap rakyat negara ini dan mengejutkan kalangan mereka yang mempertahankan akta itu selama ini.

Tidak syak sesetengah merasa terkaget dengan tindakan Najib itu. Mereka seolah tidak percaya kalau Najib sedia membuat pengumuman itu. Apakah Najib sudah membuang tabiat? Yang pastinya Najib sudah membuat perhitungan mengenai untung dan rugi, luar dan dalam kalau akta itu dikekalkan atau dimansuhkan.

Dalam neraca atau mirzan ini Najib mengira pemansuhan itu akan menguntungkan politiknya. Dalam kata lain pemansuhan itu bukan sangat atas kepentingannya atau munasabah kenapa akta itu perlu dimansuhkan tetapi kerana mengharap benefit politik?

Sudah lama para aktivis yang terdedah dengan tindakan menerusi akta berkenaan membantah. Mereka yang ingin bergerak secara agresif dan niat serong ke atas negara akan merasa gerun dengan adanya ISA. Golongan hak asasi negara ini juga mendesak agar ia dimansuhkan. Akta berkenaan yang boleh menahan seseorang dalam tempoh 60 hari tanpa bicara satu kezaliman, demikian tafsiran mereka. Oposisi pula yang memperjuangkan agar akta itu tidak membayangi mereka menganggap ISA sebagai undang-undang kuno.

Akta itu ditubuhkan di zaman darurat. Ia mempunyai signifiken tersendiri. Tujuannya untuk menghalang kegiatan subversif serta mereka yang ada niat menganggu gugat ketenteraman negara. Bagi saya kewujudan ISA ini subjektif, ada baik dan ada buruknya. Tidak baiknya apabila akta itu dieksploitasi untuk kepentingan politik dan beberapa peraturan melaksanakannya dilihat sebagai sadis dan bertentangan dengan prinsip agama.

Akta berkenaan dari satu sisi sangat penting buat negara yang kondisi warganya yang rencam untuk menjamin keselamatan. Pada saya ISA masih relevan tetapi beberapa perkara mengenai yang tidak relevan dan perlu diperbaiki. Sebelum ini pihak yang mahu akta berkenaan dikekalkan meminta ianya diperkemaskan dan membuang mana-mana ciri-ciri yang kejam dan zalim, bukan mansuhkan terus. Akta itu tetap baik tetapi perlaksanaanya yang perlu dipertikaikan. Seperti mana kewujudan Inchek Ibrahim Ali sebagai manusia tetap baik tetapi moral politiknya buruk dan busuk.

Sebenarnya dalam melihat kewujudan akta tersebut tidak boleh diukur dengan perkembangan dunia. Negara ini tidak boleh dipadan dengan negara-negara luar. Bukan bermakna bila negara lain tidak ada ISA, maka kita juga perlu mansuhkan ISA. Kalau ukuran itu dibuat ia satu kesilapan. Najib atau sesiapa juga memerintah tidak seharusnya mengikut rentak dan gendang dunia seluruhnya sebab rupa negara kita berbeza.

Seperti mana hukum hudud, qias dan sebagainya, hukuman itu baik dan membawa keberkatan tetapi yang dipersoalkan perlaksanaan. Apa-apa pun undang-undang dan peraturan asasnya ia digubal dengan niat yang baik. Demikian dengan matlamat penggubalan ISA itu sendiri ia bermaksud untuk kebaikan negara.

Hari ini, atau malam tadi Najib mengumumkan ISA dan beberapa akta lain dimansuhkan atau akan dikaji. Antaranya akta Buang Negeri 1959. Turut sama mengalami perubahan ialah Akta Mesen Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kediaman Tetap 1933 juga akan disemak semula begitu juga dengan Seksyen 27 Akta Polis 1967 akan dikaji semula dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Secara umumnya pemansuhan itu dialu-alukan dalam konteks naluri rakyat tetapi belum dapat disahkan apakah ia berkesan atau benar-benar mencapai kehendak rakyat sebelum ini. Misalnya Akta Mesen Cetak dan Penerbitan 1984 permansuhan pembaharuan permit pada setiap tahun adalah langkah yang tepat kerana proses pembaharuan yang diamalkan selama ini sudah kuno dan menyusahkan. Dengan peraturan dan prosuder yang ada menyebabkan pegawai yang menguruskannya boleh buat ikut suka mereka saja.

Menilai tindakan dan hadiah Najib kepada rakyat yang diumumkan sempena Hari Malaysia itu sesuatu yang perlu diterima dengan baik tetapi tetap ada kecacatan dan kepincangannya. Apa dilakukan Najib pada saya satu keberanian seorang perdana menteri. Ia mengatasi apa dilakukan oleh bekas dua PM sebelum ini, Abdullah Badawi dan juga Mahathir Mohamad. Untuk itu tahniahlah Najib.

Kalau Abdullah membuka ruang kebebasan kepada akhbar, tetapi Najib nampak membuka pintu penjara ISA di mana ia akan disambut rasa lega. Manakala kalau Mahathir suka menyumbat orang ke dalam ISA, tetapi Najib nampaknya menutup pintu penjara ISA. Menyimpul segala perubahan dan perubahan Najib itu adalah perubahan yang dituntut oleh rakyat. Ianya sudah lama ditagihi oleh rakyat sehinggakan ia telah menjadi 'lagu kebangsaan' buat mereka. Terbentuknya GMI - Gerakan Mansuhkan Isa, menandakan betapa klasiknya kebencian kepada akta berkenaan.

Sekiranya Najib atau UBN mengharap rakyat berterima kasih dan merasai senang dengan kerajaan UBN atas pemansuhan itu ia mungkin satu kesilapan. Jikalau pemansuhan beberapa akta dan undang-undang diharap rakyat akan memberi sokongan, ia tidak begitu berkesan, kerana pada rakyat yang terlibat dalam menuntut itu merasakan pemansuhan itu kemenangan mereka bukan kerana jasa kerajaan khasnya Najib.

Kesimpulannya natijah politik yang diharapkan Najib tidak banyak memberi untung. Apa lagi pemansuhan itu dibuat saat menjelang pilihan raya ia tidak dapat tidak akan ditafsirkan sebagai umpan pilihan raya. Apa saja yang disifatkan sebagai umpan ia adalah satu penipuan atau tektik, seperti mana umpan disangkut dimata kail untuk menangkap ikan.

Walhasilnya tindakan Najib itu samalah dengan mencurah garam ke laut atau memberi dedak kepada lembu yang selamanya memakan rumput! He he.... teringat Mat Maslan ketawa. [wm.kl.11:02 am 16/09/11]

No comments: