Tuesday, January 26, 2016

Najib dibebas di luar mahkamah

PELIT BENAR

Bukan lelucoh tetapi ia satu kenyataan yang berlaku hari ini. Peguam Negara Mohamad Apandi Ali telah "membebaskan" Perdana Menteri Najib Razak daripada terlibat dengan salah laku menerima wang dana sebanyak RM2.6 billion yang lama mengusut dalam kepala umum selama ini.

Alasan mudah yang diberikan oleh Peguam Negara untuk melepaskan Najib dan tidak mendakwanya dengan apa-apa kesalahan di mahkamah kerana Najib telah mengembalikan semula wang derma yang diterimanya sebanyak AS$620.000.000 (RM2.036 billion) yang diberikan oleh seorang keluaraga di Raja Arab Saudi.

Apandi bagaimana mengakui sebanyak AS$681 juta (RM2.08 billion) telah didepositkan ke dalam akaun Najib antara 22 Mac 2013 dan April 2014.

Menurut Apandi, Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung wang berkenaan kerana telah mengembalikan semula wang berkenaan. Dan Najib juga tidak menggunakan wang berkenaan untuk apa-apa tujuan termasuk mempengaruhi undi bagi kemenangan BN dalam pilihan raya yang lalu.

Jelas Peguam Negara itu berdasarkan keterangan saksi dan dokumen dikemukakan oleh pihak SPRM juga wang itu adalah sumbangan peribadi untuk Najib.

Sehubungan penjelasan dan perkembangan itu juga Peguam Negara mengarahkan SPRM supaya menutup kertas siasatan ke atas Najib. Ertinya kerja keras SPRM selama ini sehingga menimbulkan keributan berakhir begitu sahaja tanpa membawa apa-apa kesan. Apakah SPRM pandir dalam kerja-kerja penyiasatannya?

Sekali tenguk isu wang dana RM2.6 billion sudah selesai dan Najib dilihat bersih tanpa terkarut (terkait) dengan apa-apa apa-apa jenayah dengan wang berkenaan. Tetapi persoalan kini apakah sikap dan pandangan umum berhubung kes berkenaan?

Apakah Najib dilihat bersih dan tidak ternoda dengan apa yang berlaku itu? Bagi saya, walaupun Najib dibersihkan oleh Peguam Negara tetapi daki-daki tanggapan kotor kepadanya tetap juga akan melekat dalam kepala orang ramai.

Mekanisme melepaskan Najib ini akan dianggap sama dengan kes pembunuhan Altantuya Shaarribbu yang sudah menjadi sejarah tetapi tetap dipersoalkan hingga kini. Walaupun mahkamah sudah menjatuhkan hukuman mati kepada mereka yang dituduh membunuh modeling Mongolia itu, tetapi dalam kepala orang ramai masih meragui akan keadilannya, kerana beberapa faktor lain. Antaranya ialah orang mencari apakah motif pembunuhan itu.

Biarpun mahkamah sudah melengsaikan kes itu, tetapi persepsi orang ramai masih lekat di minda. Jenayah itu masih diperkatakan sampai kini. Dunia masih membicarakan kes pembunuhan itu dan seolah-olah orang yang dihukum itu masih belum terhukum.

Nah, begini juga dalam kes Najib dengan dana RM2.6 billion ini. Orang akan bertanya dan berasa pelik kenapa kalau wang itu tidak bernajis kenapa Najib kembalikan semula kepada penderma asalnya? Untuk apa Najib mengembalikan wang itu sedang beliau sangat memerlukan wang demi menjaga kuasa dan kedudukannya yang kian goyah kini?

Kalau wang itu untuk peribadinya tidak patut Najib kembalikan. Ataupun sememangnya Najib tidak mengembalikan dan masih menggunakan wang berkenaan? Perkara ini pun menjadi persoalan.

Penjelasan juga mungkin perlu untuk melihat sejauh mana kebenaran didakwa oleh Peguam Negara itu, dimana wang itu dikatakan telah dikembalikan. Sungguhkah? Penderma di Raja Arab Saudi itu perlu menjelaskan akan perkara itu. Selagi penderma itu tidak tampil mengiyakan apa yang didakwa Peguam Negara itu, maka tanggapan bahawa wang itu dikembalikan boleh dipertikaikan.

Ertinya membebaskan Najib di luar mahkamah tanpa diheret di muka pengadilan, memberi anologi cara membebaskan Najib berhubung wang berkenaan itu persis dibuat dalam mahkamah beruk sahaja. [wm.kl.4:11 pm 26/01/16]

No comments: