Saturday, February 17, 2018

Dr Radzi tinggal Hobart demi Ketereh

BIOGRAFI 

Dr Radzi Jidin, anak Ketereh jati.
MALAM semalam saya dan juga orang Ketereh dapat mengenali Dr Radzi Jidin, 41 dengan lebih dekat lagi. Walaupun saya pernah bersua dengannya di sebuah kedai makan di Ketereh, pertemuan itu tidak dapat saya mengenalinya lebih mendalam. Apa yang dapat dilakukan dalam pertemuan singkat itu, memerhati kepada wajah, perwatakannya dan rambutnya. Bagi saya ada "maknawi" tersendiri pada wajah anak muda ini. dirinya.

Semasa berceramah malam tadi di kawasan Ketereh, beliau menceritakan perihal dirinya. Cara dia bercerita teratur dan agak mendalam, persis seperti seorang calon memperkenalkan dirinya kepada pengundi.

Beliau bukan nak menunjuk-nunjuk apabila membuat penjelasan itu, tetapi kerana ada pihak-pihak tertentu di Ketereh cuba mempertikaikan kehadirannya di Ketereh dan menafikan peranannya dalam parti Umno, itulah menyebabkan beliau bercerita mengenai latar belakang dirinya.

Pengembaliannya ke Kelantan dan keberadaanya di kampung halamannya kini ditanya dan menjadi buah mulut masyarakat di Ketereh, khasnya di kalangan Umno yang mula menjadi skeptikal dengan kehadirannya. Kenapa? 

Sepatutnya orang Umno termasuk pemimpin utamanya mengalu-alukan kepulanganya yang boleh diibaratkan kepulangan anak muda yang merantau jauh mencari ilmu dan menimba pengalaman untuk kepentingan setempat. Sebaliknya setengah mencemuh dan memperlekehnya. Inilah kesilapan Umno dari dulu kini dan mungkin selamanya, tidak bersedia menerima perubahan dan mencurigai kepada anak muda seperti Dr Radzi. Hakikat inilah mengapa Dr Mahathir berkata Umno suka dipimpin oleh orang-orang yang bodoh.

Antara cemuhan terhadap Dr Radzi, kononnya beliau tidak pernah menjadi ahli Umno dan berjuang dalam parti itu. Justeru itu beliau didakwa tidak layak untuk memperkatakan tentang Umno. Seorang penceramah Umno kononnya telah membuat semakan, Dr Radzi tidak pun pernah menjadi ahli Umno pada bila-bila masa. Ternyata sekali orang yang jahil dan membutakan mata kepada sejarah dan perkembangan diri Dr Radzi.

Menjawab tuduhan itu, Dr Radzi memberi gambaran dan latang belakang diri dan keluarganya untuk difahami dan sekali gus menangkis segala tohmahan itu. Beliau dilahirkan tahun 1977 di Batu 11 setengah Ketereh.  Rumahnya berhadapan dengan pejabat Kada Ketereh. Beliau merupakan anak kelima pasangan Allahyarham cikgu Jidin dan Hajjah Zarina. 

Ayahnya berkhidmat sebagai guru dan telah berkhidmat di beberapa sekolah di sekitar Ketereh, bersara sebagai guru besar di sekolah dalam Kem Desa Pahlawan. Masyarakat Ketereh cukup mengenali cikgu Jidin sebagai seorang ahli dan pejuang tegar Umno. Di era 60an dan 70an cikgu dianggap sebagai pemuka masyarakat. Ayahnya ketika itu memiliki kereta Fiat DA 1970.

Dengan sedikit penerangan itu menolak tanggapan yang Dr Radzi asing dari masyarakat Ketereh. Beliau juga walaupun berada di Australia selama 20 tahun beliau sering berulang alik dari Malaysia ke Australia. Apa dikatakan itu benar, kerana dalam pengamatan saya, Dr Razdi bukan seorang yang muda lupa diri dan kampungnya. Kemampuannya berbicara dailek Kelantan dengan fasih dan pekat menunjukkan beliau seorang yang mempunyai saksiyah diri yang sebenar. Katanya anaknya walaupun berada di Australia tetapi tetap masih mampu berbahasa Malaysia dan cakap Kelantan.

Latar belakang pendidikan. 
Dr Radzi mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan menengah di Ketereh, kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera (RMC), Sungai Besi, sama kolej dengan Annuar Musa dan Alwi Che Amat. Pendeknya dari segi pendidikan beliau tidak terkalah bahkan dari segi pemilikan ijazah beliau lebih tinggi kerana memiliki Doktor Falsafah (Phd). 

Selepas keluar MRC dan tamat membuat persediaan untuk belajar di luar negara, beliau ke Australia mengikut pengajian Ijazah Pertama Perdagangan (Perakaunan dan Kewangan) di La Trobe University, Melbourne, Australia. Sebelum itu beliau kembali ke tanah air untuk menyiapkan Master di Universiti Utara Malaysia (UUM). Kemudian kembali ke Australia sekali lagi untuk mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (Phd) di The Australian National University. Selama hampir 20 tahun beliau berada di negara Kanggaroo itu dan berkhidmat di sana sebagai pensyarah dan pakar perunding.

Dr Radzi seorang murid yang cemerlang dan pintar.  Sepanjang pengajian beliau mendapat berbagai pengikhtirafan termasuk penerima Biasiswa Kecemerlangan Akademik dari Fakulti Pengurusan dan Undang-Undang La Trobe University.

Beliau juga terpilih untuk menerima biasiswa dari Harvard Business School Alumni Club of Malaysia. Jarang sekali pelajar dan anak Melayu yang mendapat peluang dan pengikhtirafan sebegitu.  

Semasa menjadi pelajar di Australia bergerak cergas dalam politik dan kesatuan Melayu di sana. Beliau bertanggungjawab menubuhkan Kelab Umno Australia dan News Zealand dan bertanggungjawab menjaga dan mengawal 12 kelab Umno di kedua-dua negara itu. Beliau juga dilantik menjadi Pengerusi Kelab Umno Australia dan New Zealand. 

Pada persidangan agung Umno 2005 beliau dipilih mewakili 52 kelab Umno sedunia untuk berucap di perhimpunan berkenaan. Kejayaan dan pencapaian Dr Radzi baik dalam aspek ini sesungguhnya membangga orang Ketereh. 

Mengenai penglibatan dan keaktifannya di Australian, semasa mula tiba di Australia lagi beliau dilantik menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di sana.

Aktiviti dan kebajikan bukan terhad disitu saja, beliau juga ikut sama bergerak cergas dalam kesatuan Melayu Islam di Canberra dengan dilantik menjadi Juruaudit Kehormat. Beliau juga dilantik menjadi Timbalan Presiden dan Penolong Bendahari  persatuan Melayu Islam New South Wales, Australia (IMAAN).

Menjawab kenapa beliau balik "berkubang" di Ketereh bukan, katanya bukan apa, melainkan kerana menyedari tanggungjawabnya. Walaupun beliau dapat berkhidmat dengan mendapat imbuhan lumayan di Australis sebagai pensyarah dan penyelidik di Universiti of Tasmania, Hobart dalam bidang perakaunan, pengauditan dan perakaunan forensik, namun jiwanya tidak puas kerana tempat perkhidmatannya itu di negara orang. Kerana itu beliau mengambil keputusan untuk kembali berkubang di tempat sendiri. Inilah dikatakan Dr Radzi seorang ada jati diri dan tidak mudah lupa daratan. 

Pemulaanya melangkah pulang, semuanya hasil daripada pemerhatian beliau kepada perjalanan tadbir urusan negara yang kacau. Isu dan skandal 1MDB yang melibatkan kelenyapan ribuan juta telah menjadi detik memulakan segala-galanya. Beliau benar-benar terkesan dengan masalah 1MDB. Baginya skandal itu sesuatu yang sangat malang dan menderitakan negara.

Mulanya beliau mengira skandal 1MDB hanya suatu rekayasa oleh pembangkang untuk memburuk-burukan Najib Razak dan kerajaan. Berminggu-minggu, bahkan berbulan beliau menggunakan ilmu dan kepakarannya sebagai seorang akauntan bertauliah (CPA) - Certified Practicing Accountants Australia, untuk menyelidik dan mengkaji, yang akhirnya menemukan beliau dengan jawaban, bahawa apa didakwa pembangkang itu benar.

"Selepas menemui jawaban mengenai penyelewengan dan kehilangan wang negara menerusi skandal 1MDB lah membuka hati saya untuk pulang bagi melakukan sesuatu yang sewajarnya," kata Dr Razdi.

Mulanya beliau cuba membantu kerajaan dengan memberi nasihat dan cadangan agar Najib dan kerajaan menyelesaikan isu tersebut dengan baik kerana baginya isu itu bakal menjadi masalah kepada Umno, tetapi tidak dilayan. Sikap endah tak endah itu sedangkan skandal itu malapetaka buat negara menjadi beliau mula curigai dan kesal dengan kerajaan lalu membuat tindakan dengan apa dilakukan kini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau membuat kesimpulan bahawa Umno bukan lagi wadah memperjuangkan nasib bangsa dan negara. Umno sudah jadi alat kepentingan golongan elit dalam Umno termasuk Najib Razak. Sekiranya pemimpin Umno dibiarkan terus berhamarajala dan Umno digunakan mekanisme dan alat menghalalkan tindakan mereka negara ini akan hancur dan musnah.

Pada saat beliau konfius itu kebetulan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan dan beliau melihat parti ini boleh menjadi alternatif kepada Umno maka beliau menyertai parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad ini dan bersedia menerima lantikan sebagai ketua penaja PPBM Ketereh. Katanya mulanya keberatan untuk beliau menerima kerana tanggungjawab itu besar. Tetapi demi memikirkan masa depan negara akhirnya beliau bersetuju.

Dengan bantuan rakan-rakan terdiri daripada veteran Umno Ketereh, antaranya Mohd Sobree Shafei, Dr Hanafi, Rusdi dan lain-lain, baru setahun Dr Razdi menjadi ketua penaja PBBM di Ketereh. Sungguhpun begitu hasil gerak kerja yang jitu dan kepercayaan serta keyakinan masyarakat Ketereh kepadanya berpandukan kepada latar belakang pendidikan dan seorang profesional bertaraf dunia, serta dukungan veteran bekas Umno, PBBM bergerak laju dan subur serta dikenali sama hebat dengan Umno dan parti agama.

Berkali-kali Dr Radzi menegaskan beliau balik meninggalkan Hobart Australia semata-mata demi rakyat dan negara, khasnya Ketereh. Dan kenapa beliau sanggup menerima lantikkan sebagai  ketua, ialah kerana beliau tidak percaya kepada integriti pemimpin Umno Ketereh khasnya ketuanya, Annuar Musa.

Sepatah ucapan Dr Radzi cukup signifikan semalam; "saya mengakui Annuar Musa berada dilebel lebih tinggi daripada saya, dalam politik, tetapi dari segi integriti saya lebih berintegriti daripadanya.” Kata-kata beliau itu disambut dengan tepuk sorak bergemuruh oleh para hadirin.

Ayat dan perkataan itu memahamkan kepada kita kenapa Dr Radzi sanggup pulang untuk berkhidmat kepada masyarakat di kampungnya kerana mencurigai kepada pemimpin Umno dan Umno bukan lagi parti yang raleven memperjuangkan nasib untung bangsa Melayu. Beliau sebagai anak muda berpengetahuan dapat membaca pelaluan Umno kalau ia terus dipimpin oleh mereka yang ada kini.

Ternyata kepulangan Dr Radzi bagaikan pulangnya seluang yang jauh melaut, yang akhirnya ke tepian pantai juga. Atau bak bangau yang terbang tinggi akhirnya ke belakang kerbau jua. Iya, dalam berhadapan dengan Annuar Musa, bak sireh pulang ke gagang atau kembalinya si perantau ke desa untuk menghapuskan segala petualang negara. 

Kerana wibawa dan latar belakang profesionalisme itulah walaupun hanya baru setahun beliau diamanahkan memimpin PPBM di Ketereh kesannya mula dirasi menjadikan orang-orang Umno Ketereh dalam keadaan gunda gulana. Kalau api ia sudah berasap yang akan menyala dan membara seketika nanti. [wm.kl. 11:25 am 17/02/18]

4 comments:

Quantum Metal Consultant said...

Dalam ucapannya di Kadok, Husam Musa sebagai Pengerusi PH Kelantan mengesahkan Dr Radzi calon Parlimen Ketereh.

muring.com said...

Seorang yg berilmu...oenah ziarah ambo walaupon tk kenal...kesungguhannya ambo pahe...tk leh nk ungkap dgn kata kata

Syed Alwi Aljufri said...

Jangan hairan Jika pada satu masa nanti Dr.Radzi akan menjadi satu nama besar dalam arena politik Malaysia,insya'allah ..!!

Mohamad Faizal Abdul Ralib said...

Seorang sahabat yg berilmu di dalam perakaunan. Moga perjuangan diberkati oleh Allah.