Wednesday, October 3, 2018

Mengapa Mustapa tinggal Umno?

KUPASAN

LANGKAH ahli Parlimen Jeli yang juga Adun Air Lanas Mustapa Mohamed mengumum meninggalkan Umno menjelang beberapa hari persidangan agung (PAU), disambut berbagai rasa oleh pemerhati politik dan juga ahli Umno.

Ada yang menyifatkan langkah itu tepat dan ada sebaliknya. Orang-orang Umno yang kesal dengan tindakan itu jadi histeria dengan keputusan Mustapa itu. Mereka kecewa sambil itu membuat pelbagai tuduhan dan mencela Mustapa.

Ada yang menyifatkan tindakan Mustapa itu sebagai tidak mengenang jasa parti dan pengkhianat. Yang lebih sadis ada beranggapan Mustapa telah dibeli oleh kerajaan baharu, lebih mengutamakan kepentingan diri. Daim Zainuddin dikatakan mengecek Mustapa agar bersamanya untuk membantu kerajaan Harapan.

Kerana terlalu marah dan geram, ada yang mendesak Mustapa mengosongkan kerusi yang disandangnya kini atas alasan ia adalah kerusi Umno. Kerusi diduduki Mustapa itu perlu diserahkan semula kepada rakyat untuk membuat pemilihan baharu.

Tidak cukup itu, kecaman kepada Mustapa juga terheret ke dalam perhimpunan agung Umno yang baru berlalu. Ada yang mengkritik pedas, ada yang menyinis sehingga melupai segala jasa dan pengorbanan, idea dan fikirannya untuk kecemerlangan kerajaan Umno selama ini. Umno seakan tidak mengenang langsung jasa Mustapa sebelum ini.

Tindakan Mustapa itu dilihat memberi impak besar kepada Umno dan benar-benar mengugatkan parti itu. Walaupun sebelum Mustapa keluar Umno, sudah ada beberapa ahli parlimen lain berbuat demikian, tetapi tindakan mereka itu tidak diberi perhatian seperti mana perhatian dan kejian terhadap Mustapa. Kenapa? Jawabannya mudah kerana Mustapa adalah pemimpin berintegriti di mana apabila beliau mengambil keputusan itu bermakna ada sesuatu yang sangat tidak kena berlaku dan mencabar dirinya.

Sebelum ini ahli parlimen Masjid Tanah, Mas Ermeiyanti Samsudin, ahli parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali, ahli parlimen Bukit Gantang Syed Abu Husin Syed Abdul Faisal telah bertindak meninggalkan parti. Ia kemudian diikuti oleh ahli parlimen Kimanis Anifah Aman berbuat hal sama selepas beberapa jam Mustapa keluar Umno.

Reaksi keras.
Presiden Umno Zahid Hamidi sendiri memberi reaksi keras di atas tindakan Mustapa itu mengancam untuk mengambil tindakan mahkamah menuntut Mustapa mengembalikan wang Umno yang digunakan olehnya sewaktu pilihan raya. Zahid menyatakan pihak parti telah pun menghantar warit saman terhadap Mustapa dan wakil rakyat lain juga yang keluar parti. 

Zahid berhak kesal ke atas tindakan itu, bagaimana pun tindakan dan kecaman Zahid itu dilihat kebudak-budakkan. Ia tidak menggambarkan sikap sebagai seorang presiden yang sepatutnya tidak kalut dan perlu cold  menerima kejadian itu. Beliau perlu lebih tenang dan bersikap politik dengan mengalu-alukan keputusan mereka itu bukan menunjukkan sikap benci dan dendam.

Mengenai tindakan menyaman wakil rakyat yang keluar parti itu, ia bukan satu perkara mudah kerana kedudukan atau jawatan mereka itu dilindungi perlembangaan. Apakah Zahid tidak menghafal perlembagaan dan seenaknnya membuat kenyataan begitu? Inilah kedangkalan dan kerendahan daya intelektual Zahid sebagai presiden parti. 

Iya, Mustapa mendapat bantuan Umno semasa bertanding di Jeli dan Air Lanas kerana ketika itu beliau ahli Umno. Tetapi perkara yang kena juga dilihat bukan beliau menang kerana duit Umno semata-mata. Kemenangan beliau juga adalah kerana keperibadian dan kewibawaan dirinya. Jadi Umno tidak boleh tuntut kemenangan itu sebagai haknya tanpa mengambil kira ia juga adalah hak mutlak Mustapa. Mungkin kalau bukan Mustapa bertanding di situ, parlimen Jeli dan Adun Air Lanas tidak menjadi milik Umno.

Sudah lima kali beliau bertanding di Jeli, hanya kalah sekali. Sekiranya duit menjamin kemenangan sudah tentu calon-calon lain di Kelantan akan menang, kerana menggunakan wang daripada Umno. Tetapi yang dapat mempertahankan kerusi hanya beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang lain kemenangan mereka "cerlang cerluk". Kemenangan Mustapa di kersi parlimen Jeli juga dengan majoriti besar.

Justeru cadangan untuk menuntut wang Umno daripada Mustapa dan yang lain tidak praktikal. Tindakan itu "buruk siku". Kalau Umno benar yakin yang Jeli dan Air Lanas menang kerana wang Umno, tunggu pilihan raya ke 15 nanti, Umno cuba bertanding dengan meletakkan calon lain di situ. Tengok apakah kerusi Jeli itu dapat dipertahankan dengan jumlah majoriti besar seperti diraih Mustapa atau tidak.

Tuduhan tidak tepat.

Saya kurang sertuju dengan tuduhan dilemparkan kepada Mustapa beliau keluar Umno kerana ingin mencari keutungan diri atau tergilakan jawatan. Beliau berbuat begitu bukan kerana nafsu itu. Sebaliknya saya yakin ada perkara yang menghambat dirinya sehingga beliau meninggalkan parti disertai 40 tahun itu. Sekiranya perkara itu tidak mendesaknya tidak mungkin beliau sanggup meninggalkan parti yang disertai selama 40 tahun. Kita mengenali Mustapa beliau bukan seorang yang mengejar jawatan dan bernafsu besar.

Tentulah ada sebab besar yang menganggu perasaannya.  Kita kenal Mustapa seorang pemimpin yang kuat bekerja, yang ikhlas untuk membantu rakyat tanpa mengira masa dan tempat. Beliau tidak suka menimbulkan kontroversi. Beliau juga tidak suka berebut jawatan. Apa yang beliau tahu ialah bekerja dan berkhidmat kepada rakyat. Ramai yang tidak tahu yang Mustapa berkerja dan berkhidmat untuk rakyat dan negara sepanjang hari dan malam. 

Yang dapat saya duga kenapa beliau hilang kepercayaan kepada Umno dan apa yang diambil kini melakukan escapism,  meninggalkan Umno apabila beberapa isu penyelewengan dilakukan bekas Perdana Menteri Najib Razak terbongkar. Salah satu dan ini saya kira menjadi titik tolaknya ialah berkaitan dengan skandal 1MDB. 

Sebaik sahaja Dr Mahathir Mohamad mengambil alih teraju negara, bebrapa episod mengenai 1MDB yang sebelum ini disembunyikan terdedah. Satu demi satu penyelewengan dalam skandal itu dibongkar oleh Lim Guan Eng, mengejutkan Mustapa. Banyak perkara yang di luar pengetahuan dan pengiraannya mulai terdedah. Mungkin itulah menyebabkan beliau rasa tertipu dan amat sedih dengan apa dilakukan Najib sebelum ini.

Walaupun Muhyiddin Yassin dan Shafei Afdal cuba mencungkilkan apa yang berlaku dalam 1MDB sehingga mereka kemudian dipecat oleh Najib, mungkin ia tidak sampai Mustapa untuk berbuat apa-apa. Ketika itu beliau masih mengira Najib berada di pihak benar. Sebagai seorang yang jujur beliau melihat apa dilakukan Muhyiddin dan Shafei itu lebih kepada tindakan politik untuk memburukkan Najib bukan menegakkan kebenaran. Maka itu beliau tidak mempercayai apa yang diceritakan Muhyiddin dan Shafei dan masih setia dengan Najib. 

Tetapi selepas satu demi satu kemungkaran 1MDB dikorek dan didedahkan, ia mengugahkan kepercayaan Mustapa kepada kejujuran Najib yang diakui sebelum ini. Rampasan wang dan barang kemas dari rumah Najib bernilai ratusan juta mungkin mengejutkannya. Perkara itu tidak terfikir malahan akan "dibangkit lawak", (dikatakan bohong) kalau pun diceritakan. Sesiapa pun tidak pernah menyangka begitu banyak sekali wang ringgit dan barang kemas disimpan di rumah Najib yang ada kemungkinan diperolehi daripada perdagangan 1MDB?

Jadi maklumat dan perolehan bukti-bukti penyelewengan terbaharu itu semualah menyebabkan Mustapa terpaksa membuat semakan dan mahasabah dirinya dalam menyakini Najib Razak seratus peratus. Kerana selama ini beliau menyerahkan kepercayaan kepada Najib dan bekerja tanpa pamrih, apabila dia mengetahui itu semua, ia mengejutkannya.

Rasa terkejut di luar kotak fikirannya itulah menyebabkan beliau tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa melarikan diri daripada Umno sebagai penebusan ke atas dosa-dosa tidak tersedar olehnya selama ini.

Iya, sebagai seorang yang jujur, ikhlas dan mementingkan integriti, Mustapa tentu tidak tergamak untuk terus berada dalam keadaan bersubahat. Selagi beliau bersama Umno selama itulah beliau akan bersubahat dengan kejahatan dilakukan Najib Razak. Apa lagi beliau menyedari Umno selepas ditinggalkan Najib masih mahu meneruskan budaya Najib dan mendewakan si pesalah itu sebagai pemimpin yang tidak bersalah.

Saya percaya dan yakin kalau tidak ada apa-apa perkara baharu yang menjelekkan dalam skandal 1MDB, Mustapa tidak akan tergamak untuk meninggalkan Umno. Beliau tahu dengan tindakannya itu beliau akan dikecam dan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Mustapa seorang rakan yang setia tetapi dia tidak boleh berkompromi dengan kedurjanaan. 

Namun semua itu sudah dihitung panjang olehnya. Mungkin sebelum membuat keputusan itu beliau sudah tidak jenak tidur kerana memikirkan solusi terbaik buatnya. Beliau sayangkan kepada parti yang berjasa kepadanya, tetapi beliau tidak rela merendamkan diri dalam kekotoran dilakukan Najib dengan skandal terbesar didunia itu, 1MDB. Mustapa tidak mahu bersubahat maka beliau memejam mata mengambil jalan meminggirkan dirinya dari bencana durjana itu. [wm.kl.11:06 am 03/10/18]


No comments: