Tuesday, March 5, 2019

Bergabung: Umno - Pas lakukan Harakiri.

SUSUPAN PETANG

Kenyataan bersama pemimpin Umno dan Pas
ke arah penggabungan.
URA-URA, sebenarnya bukan ura-ura lagi tetapi sudah jadi kenyataan Umno dan Pas bergabung. Bukan cubaan tetapi benar-benar. Hanya tunggu perasmian sahaja. Sebelum itu orang Pas berapi-rapi penaka jilatan "Hutamah" menuduh dan menganggap rancangan itu sebagai fitnah dan ia untuk memburuk-burukkan Pas.


Puak yang teruk djadikan mangsa Pas dalam kasus inilah ialah bekas ahli parti itu yang kini berada dalam Parti Amanah Negara (Amanah).

Para pemimpin Amanah sudah lama berijtihad berpandukan bahasa badan Pas dan Umno mengenai rancangan kerjasama ini. Pembaca politik yang cerah mata dan waras (bukan ta'asubiyah)  dapat melihatnya dengan jelas, rintisan ke atas penyatuan atau kerjasama itu dilakukan sejak BN mengalami kemerosotan undi dalam dua pilihan raya umum sebelum ini, 2008 dan 2013.

Apa yang dikatakan fitnah oleh Pas itu kini sudah ditelan bulat-bulat oleh orang-orang parti agama itu. Mereka menelannya macam telan biji rambutan telan. Walaupun bergeliuk tengkuk tetapi dipaksa telan juga. Digagahi menelannya ditolak dengan air jampi daripada ayat-ayat Quran, Hadith dan sirrah yang dibaca oleh para "ostaz" Pas.

Ayat-ayat Quran dan Hadith serta sunnah mendamaikan jiwa mereka untuk menerima Umno tanpa syak dan ragu-ragu lagi. Disinilah mujarabnya ayat-ayat Quraan dan Hadith versi Pas yang ditafsirkan oleh para pemimpinnnya.

Mengenai penggabungan Pas-Umno itu ada yang bimbang dan takut, mereka mengira kerjasama itu akan memberi kesan dan menjejas kerajaan PH kini. Memang niat dan matlamat kedua-dua parti itu bergabung untuk menumbangkan kerajaan PH. Itulah cita-cita dan harapan mereka. PH tidak perlu mencari maknawi lain lagi selain itu.

Kejayaan didua Pirake. 
Kejayaan dan kemenangan BN di Pirake Cameron Highlands dan Semenyih, dijadikan kayu ukur oleh BN untuk meletakkan kerjasama dengan Pas bakal membawa hasil lumayan. Kedua-dua pilihan raya kecil dimenangi oleh BN atas sokongan padu daripada Pas. Kemenangan inilah yang menjadikan Pas tambah "gelenyer".

Kedua kejayaan itu menjadi penanda aras dan perhitungan Umno dan Pas untuk merealisasikan penggabungan mereka secara terang. Kejayaan di kedua pilihan raya kecil itu menjadikan tidak ada kebimbangan lagi kerjasama dibentuk itu akan ditolak atau dibantah ahli dan penyokong kedua-dua parti itu. Mereka yakin ahli dan penyokong mereka turut terpesona dengan kemenangan itu.

Keputusan untuk bergabung itu ia bukan satu yang sahih dan mutlak kedua parti akan mencapai kemenangan dengan usaha itu. Usaha itu adalah sebuah teori politik bagi parti yang terdesak. Usaha penggabungan boleh dianggap sebagai satu eksperimen. Atas sifatnya sebagai teori dan eksperimen ia tidak perlu dibimbangi. PH tidak perlu give-up dengan kerjasama itu sebaik-baiknya bersedia untuk berlawan secara gentlemen, berlawan mendada satu lawan satu.

Dari satu sisi perwujudan kerjasama secara terangan itu memberi keuntungan bukan saja dari segi masa tetapi politik juga kepada PH kerana mereka tidak perlu memberi penjelasan kepada ahli Pas dan Umno mengenai hal itu yang selama ini dinafikan. PH tidak payah membuang masa menunjukkan dalil-dalil politik untuk menjelas dan menyakinkan ahli kedua parti itu yang parti mereka akan bergabung.
Dari segi politik juga penggabungan Umno-Pas menyebabkan PH akan dapat menambahkan undi dari kaum lain yang pasti tidak senang dengan langkah Pas - Umno itu dilihat berpolitik secara sempit. Pastinya langkah kedua parti itu menimbulkan kecurigaan bukan Melayu. 
Sebagai satu teori dan formula, ia adalah satu eksprimen sahaja. Eksprimen boleh jadi ia bejaya dan boleh jadi ia gagal. Ada kalanya kerana bereksprimen menyebabkan sesuatu itu musnah teruk. Berapa banyak nilai dan harga yang perlu dibayar oleh eksperimentor.

Justeru penggabungan Umno - Pas tidak perlu diletakkan ia dalam minda sehingga ia boleh menganggu kerja-kerja lain. Begitu juga dengan ahli dan penyokong Pas dan Umno jangan ghairah sangat untuk mengutip kemenangan dengan penggabungan itu dibimbangi mereka akan ditimpa kekecewaan berganda.

Eksperimen Umno-Pas itu dikira berani. Mungkin kedua parti sudah membuat perhitungan mendalam sebelum mengistyharkan penggabungan itu. Atau mereka sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi selain bergabung selepas terlanjur jauh. Seperti pasangan teruna dan dara yang terlanjur dan sudah "termengandung". Cara terbaik ialah dikahwinkan untuk memikul tanggungjawab dan mengelakkan malu tercoreng di muka.

Teori lalu sudah gagal.
Kepada yang kurang mengerti teori politik sebegini telah pernah berlaku. Dalam pilihan raya umum lalu, Pas dan Umno sudah pun mengemukakan satu teori yang ternyata meleset. Bukan itu sahaja teori itu menyebabkan Umno kehilangan kerajaan. Dalam Piraum ke-14 kedua-dua parti mengambil keputusan untuk meletakkan calon berlawan di antara satu sama lain, tiga penjuru. Pas meletak calon di mana Umno bertanding dan begitu juga sebaliknya.

Teori yang difikirkan ketika itu menguntungkan mereka terjadi sebaliknya. Dengan teori itu Pas mengira BN (Umno) akan menang mudah dan dengan itu BN akan berjaya mengekalkan kerajaanya. Pas tahu yang mereka tidak dapat menguasai negara tetapi kemenangan BN adalah rezeki buat mereka. Mereka mahu menumpang "tui" BN. Malangnya teori tiga penjuru itu tidak menjadi, BN kalah dan Pas juga melopong.

Apakah teori atau eksprimen yang lebih berani ini akan membawa hasil. Itu yang diharapkan Umno dan Pas. Berpandukan kepada teori (penyatuan) sebelum ini, teori baharu ini juga akan gagal. Bahkan kegagalan kali ini membawa parah kepada kedua-dua parti itu. Penggabungan itu seperti mereka sedang melakukan harakiri. 

Apakah yang boleh dijangkakan nanti dengan formula perlawanan dua penjuru di antara BN-Pas dengan PH, akan berlaku perebutan calon di antara Pas dengan Umno. Perebutan tidak dapat dielak kerana mereka akan bertanding di atas kerusi yang bertindih di antara satu sama lain.

Kedua parti itu akan menumpu kawasan majoriti Melayu. Kawasan majoriti Melayu terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menjadi harapan mereka. Apakah kedua parti itu boleh memberi jaminan tidak akan berebut kerusi di antara satu sama lain? Kegagalan mengtasi kemelut ini menyebabkan Pas dan Umno menghadapi masalah.

Relakan Pas atau Umno menyerah kerusi yang menjadi milik mereka yang mempunyai peluang besar untuk menang selama ini kepada di antara satu lain. Bolehkah parti itu redha dan akur dengan pembahaginya kelak? Ini menjadi tanda tanda soal dan masalah bakal melanda Pas dan Umno. Penyelesaian dalam hal ini sangat rumit, apa lagi dalam politik Melayu terkenal dengan "cah genting" atau "peteh betis".

Jadi phobia.
Jika dilihat kepada sejarah masa lampau ia bukan satu perkara yang mudah untuk diatasi, menjamin penyatuan ini kekal lama. Sebelum ini tahun 1974 Pas dan Umno sudah pun "bernikah" atas pelamin bernama BN tetapi akhirnya terpaksa bercerai kerana tidak wujud persefahaman. Masalah yang menyebabkan Pas ditendang keluar dari BN ialah kerana, wujud irihati daripada BN. Perkahwinan atau kebersamaan itu hanya lima tahun sahaja. Pastinya peristiwa tersebut menjadi phobia kepada kedua pihak.

Menarik penggabungan Pas - BN dahulu pun bertolak daripada isu kepentingan kaum dan keselamatan negara. Isu itu adalah satu alasan kuat untuk mereka bersatu ketika itu. Samalah seperti hari ini gabungan dilakukan atas kepentingan bangsa dan agama. Jika hendak dikira, penyatuan dahulu dalam skop lebih luas kerana ia diwujudkan demi keselamatan negara, yang melibatkan penyertaan beberapa buat parti suku kaum lain. Sedang penyatuan hari ini terkhusus di antara parti satu kaum Melayu sahaja.

Penyatuan dibentuk Pas - Umno itu bersifat rasis dari konteks negara ini yang bermasyarakat majmuk ia tidak mudah diterima. Penyatuan sebegitu sudah tidak relevan lagi dengan keadaan negara waktu ini.

Penyatuan dibentuk hari ini bukan lagi dibuat atas semengat zaman sebelum merdeka dahulu. Sebaliknya ia dibuat atas rasa kekecewaan, sedih dan marah kepada. Penyatuan hari ini bermiripkan nafsu amarah. Kalau benar Umno dan Pas bersatu demi Melayu, mereka tidak bertindak secara terpisah sebalik bersatu dalam kesatuan besar Melayu, caranya dengan menyokong kerajaan PH.

Jadi penyatuan hari ini sudah tidak relevan lagi dengan keadaan negara waktu ini yang sudah merdeka selama 60 tahun. Apakah penyatuan rasis ini menjamin masa depan Pas dan Umno?

Sejauh manakah Umno - Pas yakin mereka dapat menguasai negara ini dengan berharap sokongan Melayu sahaja? Dan apakah mereka yakin penyatuan mereka itu akan disertai oleh suku bangsa lain? Jawabannya tidak. Sokongan bangsa lain kepada Umno selama ini, akan berkurangan. Langkah terbaharu diambil MCA dan MIC memberi gambaran bangsa lain juga sudah tidak yakinkan Umno.

Kesimpulan awal dapat dirungkaikan di sini, penggabungan Umno - Pas tanpa mengambil kira komponen parti sukuan lain, ia tidak membawa kedua-dua parti itu jauh ke hapadan sebaliknya akan mengurung ke belakang. Penyatuan itu boleh memporak perandakan kedua-duanya sekaligus. Selisih malaikat 44. [wm.kl. 9:05 pm 05/03/19]

No comments: