Friday, March 8, 2019

Hadi, Mat Hassan alatkan Dr Mahathir untuk singkir Anwar?

ULASAN 

Usaha untuk gugatkan hubungan Dr M - Anwar.
RAMAI yang seronok dan menadah tangan bersyukur, apabila Pas dan Umno mengambil keputusan untuk bergabung dengan menjadikan Melayu dan agama sebagai landasan.

Kedua parti itu menjadikan keadaan bangsa Melayu yang kritikal dan kedudukan Islam terancam dewasa ini, dibawah kerajaan PH menyebabkan mereka mengambil keputusan.

Kalau benar tindakan itu dibuat kerana alasan itu, ia sesuatu yang bagus. Sebagai parti Melayu terbesar sewajarnya kedua parti itu mengambil pendekatan itu dan menghentikan perbalahan selama ini yang tidak menguntung. Soalnya benarkah begitu?

Kemusykilan itu timbul apabila penggabungan itu menggunakan alasan itu. Apakah benar kedudukan Melayu terancam dan kedudukan agama kritikal. Tidak jelas dari sudut manakah ancaman didakwa itu. Perkembangan Islam masih berjalan dengan tenang dan tidak ada apa-apa kepentingan Islam berkurangan.

Bahkan kalau di Pulau Pinang kerajaan negeri itu memperuntukan banyak peruntukan untuk institusi agama di negeri itu. Begitu juga dengan kedudukan bangsa Melayu. Apakah kekurangan keistimewaan Melayu yang berlaku kini?

Tidak nampak dimana kebenaran segala tuduhan itu. Justeru alasan dijadikan asas untuk bergabung itu hanya rekacipta sahaja.

Sejarah lampau.
Lama sebelum ini kedua parti itu pernah bergabung menerusi BN pada awal tahun 1970an. Alasan diguna ketika itu sama yang digunakan kini, untuk perpaduan ummah dan kekuatan orang Melayu. Peristiwa 13 Mei dijadikan penyebab untuk membawa Melayu Pas dan Umno bersatu dalam BN.

Bagaimana pun kebersamaan itu hanya sekejap sahaja, tidak sampai pun satu dekad. Kira-kira empat tahun selepas penyertaan Pas dalam BN parti agama itu ditendang keluar.  Apakah tindakan menendang keluar itu setelah Umno berasakan Melayu sudah kaut? Yang jelasnya Umno berbuat demikian sesudah ia mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya tahun 1974. Nampak di sini Umno mengajak Pas untuk bersama mereka kerana mahu mendapat laba besar dalam pilihan raya.

Apakah situasi sama berulang kembali. Penggabungan yang diperlukan oleh kedua parti itu, khasnya Umno dilihat atas motif politik untuk saling memperalatkan di antara satu sama lain? Yang paling terdesak untuk bergabung ialah Umno, setelah ia kehilangan kerajaan dalam pilihan raya lalu. Ini rahsianya.

Pas juga turut merasai kecewa apabila mereka juga kalah dan gagal untuk membentuk kerajaan Malaysia seperti mana diimpi-impikan. Kekecewaan dan malu itu lagi dirasai apabila kawan-kawan mereka dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mereka hina dan cerca telah berjaya menjadi anggota kerajaan walaupun parti mereka berumur setahun jagung.

Lantaran itu sangat jelas penggabungan Umno dengan Pas itu dilakukan berlandaskan rasa kecewa dan ingin membalas dendam. Ia sama sekali tidak atas alasan seperti mana diuar-uarkan dan dijual kepada orang ramai kononnya Melayu dan islam dalam situasi kritikal waktu ini.

Sekarang ini berbagai isu dicanang untuk memperlihatkan kononnya Melayu dan agama Islam terancam. DAP pula dijadikan senjata dan modal untuk membenarkan apa yang dicanang itu. Kononnya DAP menjadi tuan kepada kerajaan PH hari ini. Ketakutan kepada DAP yang digambarkan persis ketakutan budak kepada burung geruda dan kutilanak yang dongeng.

Dari sisi motif politik yang "mikro" penggabungan itu adalah tektik Umno - Pas juga untuk menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi PM. Hal ini nampak begitu jelas apabila Presiden Pas Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk jadi PM sehingga habis penggal kelima. Kenapa sokongan sekerat jalan sahaja kepada Dr Mahathir kenapa tidak sampai habis?

Kenyataan sama juga dizahirkan oleh Pemangku Presiden Umno, Mohamad Hassan selepas kedua parti itu mengadakan mesyuarat untuk mengesahkan penggabungan itu. Mereka sepakat mempergunakan Dr Mahathir demi menghalang Anwar.

Isu yang dijual mereka akan menyokong Dr Mahathir kononnya PM itu akan menghadapi undi tidak percaya di parlimen. Isu itu direkacipta oleh Umno dan Pas untuk menimbulkan keadaan tidak selesa dalam PH.  Dari segi logik politik langsung tidak ada.

Usaha itu pasti gagal. Dr Mahathir tidak mudah menjadi budak yang boleh diperolok-olokkan oleh Pas dan Umno untuk menurut kemahuan mereka.

Konsensus dan persetujuan yang telah dicapai oleh PH bahawa Anwar akan mengambil alih kepimpinan daripada Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun tidak boleh dirubahkan lagi. Dr Mahathir sendiri menyedari apa yang dipersetujui itu. Konsensus itulah merupakan roh kepada kerajaan PH.

Timbul juga kemusykilan kepada saya, siapakah yang menjadi tukang reka (master mind) kononnya akan berlaku undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir itu? Apakah ia dilakukan sendiri oleh orang dalam PH yang juga menyimpan cita-cita untuk menjadi PM?

Kesimpulannya penggabungan Umbo dan Pas bukan berasaskan kepentingan Melayu dan agama, tetapi ia adalah bertitik tolak daripada kekecewaan kerana kalah, tidak dapat membentuk kerajaan dan berasaskan amarah untuk menghalang Anwar daripada menjadi PM. [wm.kl.6:10 08/0319]

No comments: