Wednesday, May 22, 2019

Dengarlah luahan hati kawanku...

Orang politik boleh berubah warna (sikap),
seperti si Chameleon (Pok Ka) ini.
CATATAN 

SEMALAM saya bersembang lama dengan seorang rakan. Beliau merupakan seorang penulis buku politik. Seperti juga saya beliau tidak menyertai mana-mana parti politik.

Kami seronok kekal sebagai penulis bebas dan menjadi pemerhati politik daripada menjadi politis. Bagaimana kami menjadi penyokong Pakatan Harapan (PH).
Kenapa kami sokong PH, sebabnya satu sahaja, untuk melihat kerajaan BN yang menguasai negara 61 tahun tumbang, demi untuk melihat sistem pentadbiran negara berubah.

Kami sependapat kerajaan yang ada (BN) perlu ditumbangkan kerana banyak merosakkan negara. Keparahan kerajaan BN ditangan Najib Razak jika tidak dibendung memarahkan masa depan negara.

Tidak ada maksud dan hajat lain, melainkan itu. Kami tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri dalam politik. Khususnya saya, tidak pernah terniat untuk mencari makan, mendapat apa-apa projek dan mengambil kesempatan dengan politik, (kerajaan PH yang berdiri kini). Meskipun pengakuan ini jujur dan orang tidak percaya, itu hal lain.

Kerajaan setahun jagung.
Dalam sembang semalam menerusi telefon lebih 45 minit itu, penulis veteran itu membangkit beberapa perkara yang tidak wajar diperkatakan memandagkan usia kerajaan PH baru setahun jagung. Ia sesuatu yang menyesalkan juga.

Apa dibangkitkan mengenai sikap para pemimpin kerajaan, khasnya di kalangan menteri hingga kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang tidak terduga sama sekali.

Menurut apa dilaluinya banyak pemimpin kerajaan kini termasuk para menteri tidak jauh bezanya dengan pemimpin, para menteri kerajaan dahulu, sombong? Bahkan dalam bab tertentu menteri dahulu lebih mesra dan baik dalam melayan rakyat (dia) berbanding dengan sesetengah pemimpin kerajaan hari ini.

Dakwaan itu beliau merujuk kepada kesukarannya untuk berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan beberapa menteri. Menurutnya dia berhajat untuk berjumpa dengan Mahathir bagi menyampaikan sesuatu yang dikira penting. Tetapi harapannya kecewa.

Sudah tiga bulan usaha untuk berjumpa dengan Mahathir gagal. Beliau telah berusaha dengan berbagai cara termasuk menerusi pegawai PM yang dikenalinya yang jugamenjadi rakan lamanya, namun ia tetap menghampakan.

Beliau menzahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku. Sikap Mahathir atau menteri ini berbeza dengan sebelum ini. Sebelum PH menang dan Mahathir jadi PM dia mudah untuk berjumpa dengan Mahathir dan menteri yang lain. Lambat dia hubungi atau hubungi orang dekat Mahathir, dia akan dipanggil ke Yayasan Perdana. Ada kala, katanya Dr Mahathir sendiri mengarahkan pegawainya menghubunginya agar datang ke Yayasan Perdana.

Payah jumpa Mahathir.
Sebaliknya selepas pilihan raya dan PH berjaya menjadi kerajaan, keadaan berubah 100 peratus. Untuk berjumpa Mahathir bukan semudah dahulu lagi. Kawalan tersangat ketat ini, banyak tapisan dan sekatan, keadaan ini bertentangan dengan piagam kerajaan PH kerajaan rakyat.

Mulanya saya agak terkejut dengan apa dibangkitkan itu. Tidak munasabah orang sepertinya yang ada nama dan pernah berbudi dengan Mahathir, tetapi sukar dan payah untuk berjumpa dengan Mahathir. Selepas beliau beriya-iya menceritakan keperitanyan – kesukarannya untuk berjumpa Mahathir itu, saya akhirnya akur juga. “Masakan…,” kata saya menyangsikan apa dimaklumkan.

“Iya.. saya cakap benda betul,” katanya serius.

Mengajar.
Saya jadi simpati dengan rakan saya itu. Lalu saya mengajar penulis veteran itu bagaimana cara untuk dapat berjumpa dengan Dr Mahathir. Mulanya saya cadangkan agar dia masuk meenerusi mana-mana pegawai Mahathir yang dia kenal. Gunakan "syufaat" mereka. Malang katanya dia telah meminta jasa baik mereka tetapi tetap gagal. Yang sedih katanya, ada pegawai Mahathir yang sebelum itu kerap menelefonnya tidak menjawab panggilan dan whatsapnya.

Saya mengajarnya lagi, kalau begitu tulis sahaja surat kepada Mahathir. Katanya, cara itu dia dah pun buat. “Saya dah buat ustaz, (dia panggil saya ustaz), tetapi tak jalan juga,” katanya ketawa kesal.

Sudah tiga pucuk surat dia hantar kepada Mahathir. Saya minta dia buat surat AR Registar dengan cara itu surat akan sampai kepada Mahathir dan tidak akan “melilau” di meja lain. “Buat surat AR Register,” cadang saya.

“Dah buat….haha.” Katanya sambil ketawa. “Tak ada balasan juga,” sambugnya lagi dengan nada kecewa.

“Takkan rakan *** ** yang ada kawan di PMO tidak boleh minta tolong, bukan apa nak jumpa dengan Mahathir sahaja,” ogeh saya.

“Tak jadi utaz, mereka dah jadi ikan belukang, bila dah kencang mana nak pedulikan orang lain lagi,” katanya. "Masing-masing nak kembungkan perut sendiri," sambungnya lagi.

Ketika membuat catatan ini selepas tarawih.
Apa yang boleh dilakukan, selainkan menumpahkan simpati secara diam kepada sahabat itu. Apa yang beliau ceritakan itu, bukan sahaja berlaku di sekitar Mahathir, Perdana Menteri tetapi dikalangan menteri lain juga.

Selain beliau, ada rakan-rakan lain membangkitkan perkara sama, menyatakan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan sikap dan tindakan tanduk menteri. Mereka berasa kesal dan kecewa kerana sebelum menjadi menteri mereka mudah ditemui tetapi tidak selepas bergelar YB Menteri.

Tidak pelik.
Saya tidak pelik dengana apa yang disebut oleh penulis yang sudah menghasilkan puluhan buah buku itu. Manusia politik memang begitu, mereka akan berubah sikap mengikut keadaan. Diri mereka macam Chameleon alias Pok Ko.

Apa dirasai oleh rakan itu hal normal dan lazim. Sikap dan perangai orang politik berbeza dari sebelum menang dengan selepas menang. Semasa tidak berkuasa mereka akan baik, mesra bersikap lembut gigi daripada lidah. Tetapi apabila sudah berkuasa dan kedudukan, mereka berubah 360 darjah. Mereka akan melupai daratan.

Saya tidak mahu salah mereka, kerana begitulah adat dan budaya insan politik. Yang perlu disalahkan ialah diri kita sendiri kerana meletakkan kepercayaan besar kepada mereka. Boleh untuk kita bersama mereka, tetapi jangan mengharap apa-apa.

Sebab itu saya tidak meletakkan harapan tinggi kepada orang politik, hatta dia adalah kawan rapat. Mereka akan melupa begitu sahaja selepas mereka berkuasa. Lagak mereka seperti si buta berjaya menyeberang jambatan, tongkat akan dilepaskan. Neon dan kemewahan menjadikan mereka kelabu mata.

Mereka akan baru teringatkan kita semua setelah kuasanya habis. Macam si buta yang sombong tadi akan teringkat balik kepada tongkat itu apabila ia ingin menyeberang semula jambatan untuk pulang. Nah, saat itulah baru dia akan rindu dan tergagai-gagai mencari tongkat yang dilemparkan itu. Makanya kepada rakan senasib dengan rakan saya itu, jangan bersedih, tunggulah dijambatan itu sementara menanti si buta mahu pulang.

Sempena dengan hari Nuzul Quran ini iginlah saya menasihati kepada para menteri, agar tidak sesekali anda jadi seperti si buta yang sombong itu. Ingatlah anda akan kembali semula ke jambatan itu dan memerlukan tongkat lagi sekali. Jangan sesekali buang tongkat itu, kerana ia akan diperlukan semula untuk memandu anda. Jangan mudah lupa kepada jasa dan budi orang yang pernah membantu kita, waima sedikit atau banyak.

Sebaiknya, jika ada rakan-rakan ingin pertolongan bantulah mereka setakat termampu dan selagi tidak melanggar perinsip kerajaan. Jika tidak dapat membantu berterus teranglah jangan berhelah. Jangan hampakan mereka. Jangan pula jadi seperti si buta sombong itu baru anda teringat kepada rakan setelah anda kehilangan kuasa. 

Dan lebih tidak ada guna lagi kalau selepas anda tidak mempunyai kuasa nanti anda akan berkata begini kepada rakan anda; "kenapa semasa saya jadi menteri dahulu awak tidak memohon apa-apa daripada saya.” Kata-kata seperti itu sudah tidak memberi apa-apa makna dan faedah lagi. Ia hanya sebuah kesalan yang tidak ada gunanyua baik kepada anda dan juga rakan anda melainkannya ia hanya menyakitkan hati sahaja.

Dan kepada rakan saya tadi diharap membaca cacatan di hari Nuzul Quran ini. [oldtown. Taman pertaman. 10:43 pm 22/05/19] 

No comments: