Saturday, June 22, 2019

Anwar jadi PM: Jangan sangsikan Mahathir

ULASAN

Pertemuan Mahathir - Anwar yang berlaku
secara hakikat.
SETIAP kali Dr Mahathir Mohamad ke luar negara dan mengadakan sidang akhbar beliau tidak dapat mengelak daripada menjawab pertanyaan "bila beliau akan serahkan jawatan Perdana Menteri (PM) kepada Anwar Ibrahim."

Soalan itu seperti soalan wajib yang akan diajukan kepada Mahathir. Ia seperti soalan subjek bahasa Malaysia dalam kertas SPM.

Kekerapan itu menyebabkan ada yang membuat tafsiran tersendiri berhubung hal itu. Ada yang menterjemahkan soalan itu ditanya bertubi kali kepada Mahathir kerana orang tidak yakin dengan yang Mahathir akan menyerahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim.

Tentulah sejarah masa lampau menjadi panduan dan iktibar kepada orang ramai dalam melihat diri kebolehpercayaan dan kebolehyakinan terhadap Mahathir mengenai janji-janji politiknya terutamanya bersangkutan dengan Anwar.

Mereka yang mempersoalkan persoalan itu seperti tidak berpuas hati dengan jawaban dan janji Mahathir. Mahathir pula berhadapan dengan persoalan sama, lagaknya seperti orang kena tuduh atau saksi dalam mahkamah, terpaksa menjelas persoalan sama daripada peguam atau pendakwa.

Kalau dalam kaedah soal siasat orang kena tuduh atau saksi dalam mahkamah berulang kali adalah teknik atau pun cara bagaimana peguam atau pendakwa untuk memasti dan menguji sejauh mana penjelasan saksi atau OKT itu konsisten dan tidak berganjak, nah barang kali begitulah juga kenapa ia dilakukan terhadap Mahathir.

Dalam kes Mahathir ini, seakan kaedah atau cara sama dilakukan oleh media massa yang mengasak Mahathir dengan soalan sama. Mungkin juga media sendiri sudah mengenal akan kelicitan atau pun cara Mahathir dalam berpolitik. Misalnya dalam kesediaan untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, mungkin media massa tidak mempercayai Mahathir menyebabkan ia ditanya bertubi kali.

Apakah Mahathir seorang kena tuduh atau saksi yang disangsi?

Bagi Mahathir persepsi atau pun rasa tidak mempercayai kepada dirinya itu merbahaya. Ia menggambarkan beliau seorang yang sukar dijangka. Seorang pemimpin sangat mengharapkan kepercayaan media massa kepadanya kerana kepercayaan itu sekaligus menunjukkan wibawanya. Apabila media mengulang hal sama ia tentu ada sesuatu yang tidak kena dan bukan sesuatu yang disengajakan.

Semasa ke Jepun baru-baru ini pun Dr Mahathir diajukan pertanyaan yang sama. Semasa ke China juga soalan sama menyambar telinga Mahathir; bilakah beliau akan berundur dan serahkan jawatan PM kepada Anwar. Dan jawaban yang diberikan tetap sama, beliau akan serahkan kepada Anwar, hanya dari lenggang lengguk yang berlainan.

Dan terbaharu ialah semasa di Bangkok semalam. Dalam temuramahnya dalam rancangan "The Future of Malaysia and Asean" di sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke -5 yang dihoskan oleh Ketua Koresponden Antarabangsa bagi Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin, beliau ditanya lagi sekali mengenai Anwar.

Dan jawaban yang diberikan Mahathir sama beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar. Jawabannya konsisten dan tidak berubah dan tegas bunyinya. Tetapi ia tetap mempunyai makna dua lapis. Walaupun cara beliau menjawab dan memberi jaminan itu subjektif, tetapi nama yang dipilih untuk menggantinya tetap Anwar, bukan sesiapa yang lain.

Jaminan itu sejajar dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) yang telah meletakkan Anwar adalah pengganti Dr Mahathir yang mutlak. Jawabannya konsisten. Dr Mahathir tidak tersasau menyebut nama lain walaupun ada yang mengharap demikian. Jaminan atau jawaban itu pula sejajar dengan konsensus PH. Apakah beliau bersikap begitu kerana tidak mahu dilihat sebagai mengkhianati konsensus PH tetapi akhirnya beliau akan mungkar juga?

Dalam konsensus dicapai PH sebelum Piraum ke-14 lagi, Mahathir hanya memegang jawatan selama dua tahun sahaja, kemudian akan dilepaskan kepada Anwar. Itu konsensus itu perjanjian yang tidak boleh didakwa takwil lagi. Itulah juga time frame. Selagi time frame itu tidak dicerobohi semua orang perlu akur dan hormat.

Ada yang mendesak Mahathir menyatakan tarikh dengan jelas. Tetapi itu sebenarnya tidak perlu. Cara mendesak Mahathir menyebut tarikh jelas itu cara budak-budak. Desakan itu tidak bersifat objektif dan ia meletakkan Mahathir sebagai orang yang tidak boleh dipercayai. Politik sebegitu kurang bijak sebenarnya. Dua tahun yang disebut itu adalah time frame.

Dalam menjawab itu Mahathir memberi alasan akan menyerahkan pemerintah kepada Anwar  dalam keadaan negara yang kondusif dan tidak berlaku bantrakan seperti mana sebelum ini. Apa yang menimpa negara semasa dua penggantinya sebelum ini, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak sudah mengecewakannya. Beliau tidak mahu apa yang berlaku dahulu berulang lagi di era Anwar.

Tampak Mahathir serius dan mempunyai alasan yang kejap mencari tempoh dan situasi aman untuk segmen penyerahan itu. Beliau menampak tidak mahu Anwar berhadapan dengan masalah dan negara ketika atau sesudah menerajui Malaysia. Ini adalah satu cara terbaik. Siapa tahu kalau jauh di sudut hatinya Mahathir melakukan itu sebagai satu acara penebusan dosanya kepada Anwar?

Hutang adalah alasan diberikan oleh Mahathir. Beliau akan cuba mengatasi masalah hutang negara, bermakna beliau akan menyerahkan Malaysia dalam keadaan tanpa risiko kepada Anwar. Soalnya apakah beliau tidak percaya kepada kebolehan Anwar menangani semua itu? Boleh jadi juga. Inilah yang menjadi teka teki dan persoalan umum.

Namun bagi saya, melihat cara Mahathir itu adalah untuk kebaikan buat Anwar. Mungkin juga ia satu pengorbanan beliau untuk menebus dosa yang dibuatnya sebelum ini yang memecat Anwar tahun 1998 lampau.

Mahathir tidak akan mengakui yang beliau bersalah dengan Anwar, tetapi dunia melihat tindakan beliau memecat Anwar kerana terpengaruh dengan konspirator itu adalah kesalahan terbesar beliau.
Mungkin ramai yang tidak setuju untuk mengatakan Mahathir terkhilaf dalam soal ini. Tetapi apabila beliau sedia berjumpa Anwar dan berjabat tangan sebelum pilihan raya umum ke-14, bagi saya itulah apolegetik termahal beliau kepada Anwar.

Kesimpulan saya yakin Mahathir akan tetap menyerahkan jawatan PM kepada Anwar. Beliau sendiri walaupun ada sejuring kebimbangan kepada Anwar, tetapi beliau tidak ada dua pilihan, melainkan satu hanya Anwar. Bukan itu sahaja menyerah jawatan itu kepada Anwar bukan sahaja, janji PH sesama mereka dan Mahathir, tetapi itu juga sebenarnya intipati kepada "manifesto" PH dalam pilihan raya lalu.

Selain daripada 100 perkara yang dibentangkan sebagai janji besar PH, meletakkan Mahathir sebagai PM dan Anwar sebagai penggantinya adalah menjadi roh kepada manifesto PH. Apakah Mahathir akan mengabaikan manifesto itu?  Tidak.

Saya tidak kira Mahathir akan menitikkan perjalanan politik dengan nama dan gelaran selain daripada seorang negarawan dan pembela di atas kesalahannya sebahagiannya dibuat sendiri. Beliau tentu mahu dijulang dan disanjung rakyat sebagai protagonis sebenar apabila menyerahkan jawatan PM kepada tokoh yang ditunggu rakyat Malaysia. [manjung. prk. 3:57 pm 22/06/19]

3 comments:

Anonymous said...

Betul ker anwar bakal pm8??
Bila ditanya wartawan baru2 ini semasa diselit soalan ketika mjwb isu semburit...madey kata akan melepaskan jwtn slps hutang negara diselesaikan.
Yg pasti hutang negara dah bertambah lebih rm100b tak sampai setahun ph jadi kerajaan. Adakah tempoh 2 tahun yg dijanjikan hanya tggl janji. Mgkin madey kecewa dan marah dgn isu semburit yg telah disebar oleh lawan anak angkatnya baru2 ini hingga janji melepaskan jwtn jadi taruhan.

Anonymous said...

Tak boleh percaya Mahathir ni...

monasis said...

Bila tu MSO?