Friday, June 7, 2019

Pelantikan Latheefa sudah tepat, salahnya sikit sahaja

ULASAN

DALAM status FB pagi ini saya mempertikaikan sikap para menteri yang tidak bersuara langsung menegur tindakan Dr Mahathir Mohamad melantik Latheefa Bibee Koya sebagai Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), dan menganggap mereka bagaikan sang tikus yang jatuh ke genak beras ada asasnya.

Asas utama ialah pelantikan Latheefa itu dibuat semata-mata atas kuasa proregetif Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dimana kuasa ini menjadi pertikaian sebelum ini.

Perlu difahami dan diingati, kenapa rakyat berbondong-bodong keluar mengundi untuk menjatuhkan "keliptokrator" Najib Razak 9 Mei tahun lalu ialah kerana hendak membersih sistem pentadbiran negara daripada korup dan menjadi bobrok.

Jadi apabila apa dilakukan Najib turut sama diamalkan Dr Mahathir maka rakyat merasakan mereka tertipu dan tidak dihormati. Itulah menyebabkan pelantikan Latheefa sedikit menjadi riuh dan geger.

Benar Dr Mahathir mempunyai kuasa proregetif dan beliau perlu melakukan hak itu. Tetapi bukan dalam soal atau aspek pelantikan penjawat awam seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM itu. Kuasa proregetif sebagai seorang PM patut hanya dilaksanakan dalam situasi tertentu, misalnya dalam membuat keputusan segera mengenai soal keselamatan negara, atau soal-soal yang tidak perlu campur tangan banyak pihak, jemaah menteri.

Keputusan bersendirian sebagai PM itu bukan dalam soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mana ia diperlukan mendapat perbincangan pihak sepatutnya.

Soal pelantikan KP SPRM itu sendiri jelas diakui Dr Mahathir ia tidak dibawa berbincang ke dalam kabinet dan juga tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden, dimana Majlis Presiden merupakan dewan tertinggi Pakatan Harapan (PH). Dr Mahathir memberi tahu beliau tidak memberi tahu sesiapa? Tetapi yang jelas beliau ada berbincang dengan individu tertentu sebelum melantik Latheefa.

Pemakluman kepada majlis presiden itu adalah sebagai menghormati majlis sebagai dewan tertinggi. Apabila ia dibelakangkan bererti dewan itu tidak dihormati dan ini dianggap melanggar prinsip dan dasar kerajaan PH.

Dua keadaan itu Dr Mahathir dilihat telah membelakangkan forum sepatutnya dan meletakkan dewan itu - kabinet dan majlis presiden semacam tidak diberi fungsi. Dan selalunya juga dalam amalan pentadbiran sebelum ini, apa-apa perlantikan yang hendak dibuat PM akan memberi tahu sekurang-kurang tiga indvidu penting dibawahnya sebagai makluman, Timbalan Perdana Menteri dan juga Ketua Setiausaha Negara (KSN). Tampaknya berdasarkan pengakuannya, Dr Mahathir tidak meneruskan amalan ini.

Selain itu, rasa terkilan orang ramai juga berasaskan kepada perjanjian dibuat oleh PH sebelum ini. Dimana soal pelantikan penjawat awam utama, seperti Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebagainya hendaklah dibawa ke pengetahuan kabinet dan juga parlimen.

Benar semua lantikan itu hak perdana menteri dan beliau tidak perlu terikat dengan mana-mana dewan, pihak berkuasa (dewan), untuk menjaga integritinya, tetapi bukankah penggunaan kuasa proregatif itu sudah disetujui dan menjadi janji untuk dikurangkan di bawah kerajaan baharu ini.

Dr Mahathir pula mengakui pelantikan Latheefa itu dilakukan bersendirian tanpa berbincang dengan sesiapa pun. Pemilihan Latheefa itu kerana beliau tertarik dengan latar belakang Latheefa sebagai seorang aktivis dan peguam yang prihatin. Memang dari konteks apa yang Mahathir lihat itu Latheefa tepat serta berwibawa untuk dilantik sebagai bos SPRM, cuma masalahnya teknikal lantikan itu boleh dipertikaiakan.

Berdasarkan perjanjian awal itu, Dr Mahathir seharusnya membawa ke pengetahuan jemaah menteri atau Majlis Presiden mengenai cadangan itu. Saya yakin dan percaya kalau beliau bawa ke pengetahuan kabinet dan majlis presiden, atau kepada kaukas parlimen pelantikan itu tetap juga akan diterima, kerana seperti saya nyatakan Latheefa mempunyai sifat dan perwatakan sesuai untuk memegang jawatan itu.

Cuma kalau beliau bawa ke pengetahuan kabinet atau majlis presiden atau ke parlimen, ia tidak jadi perkara berbangkit dan semua orang berpuas hati kerana mereka akan dapat menyalurkan apa-apa pandangan sebelum Dr Mahathir memutus dengan kuasa mutlaknya. Tanpa perbincangan itulah menjadikan orang terkilan dan pelantikan itu berpotensi menjadi isu politik.

Kerana kepincangan itu bagi saya, sepatutnya para menteri kabinet membuat teguran dan tidak melihat dan membiarkan Dr Mahathir berbuat sesuatu yang boleh dikira melanggar persetujuan awal yang mana intipati persetujuan itulah terletakkan keunggulan dan keunikan kerajaan baharu ini.

Saya turunkan status dalam Facebook saya:

PARA MENTERI JANGAN JADI TIKUS JATUH KE GENAK
Sikap menerima seadanya dan berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad oleh para pemimpin PH khususnya di kalangan anggota kabinet dengan apa dilakukan oleh PM itu saya lihat tidak begitu kondusif.
Kesemua anggota kabinet, baik menteri dan timbalan menteri mendiamkan diri daripada memberi pandangan agak kritikal bahkan terus bungkam dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Sikap diam mereka itu kontradik dengan aspirasi rakyat dan janji mereka untuk mengubah sistem pentadbiran negara yang lama kepada yang baharu.
Yang berani mengkritik dan memberi pandangan agak kritikal ialah mereka yang tidak memegang jawatan dalam jemaah menteri sahaja. Mereka masih ada suara dan menggunakan suara untuk menjamin apa yang dijanjikan sebelum ini. Sementara yang ada jawatan senyap tupas.
Saya mengambil beberapa contoh dimana tindakan Dr Mahathir dilihat bertentangan dengan aspirasi dan harapan rakyat, terbaharu ialah pelantikan Latheefa Bibee Koya sebagai Ketua Pengarah SPRM. Pelantikan itu dilihat sebagai tidak begitu lendik.
Oh sebelum itu saya nak jelaskan sikap saya dengan pelantikan ini, ia tidak menjadi masalah. Tetapi dari konteks apa yang diperjuang dan diingini ia bersalahan. Sebelum ini para menteri begitu berhati-hati untuk membuat lantikan orang politik memegang mana-mana jawatan dalam kerajaan, sampaikan ketegasan mereka itu ramai yang kecewa termasuk kekawan sendiri. Tetapi apabila sampai giliran Mahathir, semuanya diam dan bungkam. Mahathir boleh melantik orang politik tetapi tidak orang lain. Kenapa? Bagi Dr Mahathir semua halal, proregatif yang ada kepadanya menjadi lesen yang tak boleh ditakwilkan.
Kenapa para menteri tidak berapa bersuara menyanggah Dr apa-apa tindakan Dr Mahathir yang sumbang? Apakah kerana mereka terikat dengan akur janji atau pun kerana masih teruja dengan lantikan mereka sebagai anggota kabinet. Mana suara-suara lantang mereka sebelum ini yang menuntut keadilan dan kebebasan. Apakah sudah sirna ditelah neon bergemerlapan dan punggung berlapikkan kerusi empuk?
Saya senaraikan orang-orang yang selama ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan kronisme dan nepitisme atau pun pemimpin melantik dikalangan DNA sendiri sebagai pemimpin di era Najib Razak. Mereka ramai, dan boleh dikatakan semua yang menjadi menteri kini sebelum ini lantang. Tetapi hari ini mereka kehilangan suara hatta bukan sakit tekak pun.
Mana Lim Gua Eng, Mohamad Sabu, Khalid Samad, Hanifa Maidin, Anthony Loke, Gobind Singh Deo, Azmin Ali, Shamsul Iskandar Md Akin dan lain-lain lagi. Mana suara mereka dan mana pandangan peribadi mereka. Semuanya diam bagaikan ayam takutkan geruda daripada memberi pandangan terhadap lantikan Latheefa Beebi Koya sebagai KP SPRM?
Kenapa mereka diam membisu. Apakah kerana mereka sudah dikunci oleh Dr Mahathir dengan jawatan yang memberikan habuan mereka puluhan ribu dolar Malaysia sebulan? Kalau itu, maka mereka berubah sikap tidak mahu memberi teguran bagi memperbetulkan dasar, kewujudan mereka sama dengan para menteri yang mengampu Najib Razak sebelum ini. Lebih kurang Mat Maslan dan Teku Adnan Mansor sahaja.
Saya perhatikan yang bersuara memberi pandangan dan teguran atau melahirkan rasa tidak puas terhadap pelantikan Latheefa Koya, adalah mereka diluar kerajaan. Mereka yang tidak mengangkat tangan, mengakui taat setiap kepada Dr Mahathir sahaja.
Saya nak kata, mereka tidak perlu bungkam dan menjadi burung puyuh yang enggan menunjukkan kepala apabila ada ribut atau hujan lebat turun. Mereka harus berani bangkit dan tegakkan sikap mereka. Mereka tidak berdosa untuk memberi pandangan. Dan saya yakin Dr Mahathir juga suka kalau ada orang menyanggah pandangan dan pilihannnya. Sebagai orang yang berfikiran praktikal beliau akan mendengarnya dan tidak akan bertindak melulu tanpa usul periksa. Dr Mahathir bukan "Diktator Absolute", tetapi "Diktator Demokrasi".
Cuma kalau anda tidak bersuara, maka beliau akan menerima apa-apa keputusannya sebagai sokongan, manakala mereka yang bersuara itu akan dianggap suara minoriti yang beliau tidak perlu hormati.
Kepada para menteri dan timbalan menteri janganlah bersikap menjadi inau dalam belukar dan bersikap tikus yang jatuh ke dalam genak (bekas) beras. Penuhi harapan tinggi rakyat kepada anda semua. Dan sekira kalau anda (para menteri) malu alah untuk menegur Dr Mahathir demi kebaikan, elok anda berundur secara terhormat, sebab sikap anda mementingkan diri sendiri itu dibenci oleh rakyat dan keberadaan anda di situ hanya sebagai sampah sahaja. Trims. 

Dan kesimpulan berhubung pelantikan Latheefa ini pihak kerajaan dan PH seharusnya tidak akan memperpanjangkan lagi sehingga ia boleh diambil kesempatan oleh musuh bagi meretakkan hubungan silodariti dalam PH. Pihak PH juga perlu cermat mengulas isu ini bagi mengelakkan ia "berborak" menjadi isu besar.

Sebaik-baik sikap dan komen mengenai hal itu tirulah apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim yang terbuka dan meminta Dr Mahathir memberi penjelasan mengenai pelantikan itu. 

Katanya; "Sudah tentu satu penjelasan diperlukan, kerana perkara ini adalah apa yang kita janjikan, tapi kita perlu melalui forum yang teratur (untuk penjelasan), seperti (mesyuarat) kabinet atau Majlis Presiden Pakatan Harapan, jika kita mahu dapatkan penjelasan yang sebenar.

"Manifesto tidak dipatuhi, dan nampak seperti lantikan politik… saya rasa perlu penjelasan diberikan kepada orang ramai berhubung isu itu, mengapa manifesto tidak dipatuhi, tidak dihormati, walaupun saya rasa Latheefa mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk kedudukan itu," kata Anwar, seperti dilapor.

Sementara soal Latheefa bekas ahli Keadilaan tidak timbul. Setidak-tidaknya sebagai orang yang pernah menyertai politik komponen PH, Latheefa dapat memainkan peranannya dengan kedudukan itu menambahkan wibawa kerajaan PH.

Dan yang paling penting, semua pihak kena memberi kepercayaan yang diberikan oleh Dr Mahathir itu tentu bersebab. Dalam hal ini kita berharap Latheefa dapat memikul tanggungjawab itu dan beliau kena buktikan beliau akan berkhidmat dan berkesan daripada bekas KP SPRM Mohd Shukri Abdull.

Kita tidak mahu menunggu lama kesan besar yang bakal dilakukan Latheefa dalam SPRM itu.

Kalau SPRM masih berada ditahap sama, tidak ada guna satu sen pun beliau berada disitu dan ia bolehlah dianggap Dr Mahathir sengaja mahu memberikan Latheefa kuasa dan sedikit habuan kerana kegiatan yang diserta selama ini. Kalau keberadaan Latheefa disitu sekadar memanas kerusi KP SPRM ia tidak ada guna sedikit pun. [kuantan. phg. 1:12 pm 07/06/19]

No comments: