Saturday, July 6, 2019

Apakah agenda tersembunyi Zahid kembali memimpin Umno?

ULASAN DAN ANALISA

Ahmad Zahid Hamidi
SAYA telah membaca dan menganalisa semua komen-komen mengenai Ahmad Zahid Hamidi yang menamatkan cuti "sabatikal" daripada menjalani tugas dan tanggungjawab sebagai presiden Umno. Tindakan Zahid itu ada pro dan kontra di kalangan Umno.

Kalau tidak sikat, lebih enam bulan beliau bercuti dan berada di luar koridor kekuasaan Umno sebagai pemerhati.

Beliau mengambil cuti, apabila ada desakan agar beliau berundur kononnya gagal meletakkan hala tuju Umno selepas mengambil alih jawatan itu dari Najib Razak secara rasmi.

Najib terpaksa menyerahkan jawatan itu kepada Zahid yang juga timbalan presiden ketika itu sebagai tanggungjawab berikutan kekalahan Umno dan tumbangnya kerajaan BN berusia 61 tahun.

Kedudukan Zahid sebagai presiden Umno ke - 8 disahkan dalam perhimpunan agung Umno setelah terpaksa berhadapan cabaran daripada bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan daripada ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang ikut mencuba untuk memimpin Umno.

Kemenangan Zahid itu mengesahkan beliau secara rasmi sebagai presiden Umno yang ke 8. Kemenangan Zahid itu menjadikan beliau anak kampung (anak Jawa) pertama sebagai presiden Umno. Sebelum ini Umno dipimpin oleh golongan bangsawan, bermula daripada Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn, Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

Peluang diperolehi Zahid itu memberi harapan baru kepada golongan marhaen yang mahu melihat parti kebangsaan itu dipimpin buat pertama kali oleh golongan marhaen. Bagaimana pun harapan itu seakan terbantut apabila Zahid tidak mampu untuk memenuhi harapan umum itu.

Penentang Zahid.
Antara yang lantang meminta Zahid berundur ketika itu ialah Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa pemimpin lain. Ia juga termasuk oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Ketidaksetujuan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah terhadap Zahid sebagai pengganti Najib digambarkan dengan penyertaan mereka merebut jawatan presiden Umno.

Kerana tidak tahan dengan asakan dan sembang sumbang di bawah yang mengkritik kepimpinannya, akhirnya  Zahid menyerahkan jawatan itu kepada Mohamad Hassan  (Mat Hasan) yang juga timbalannya. Beliau bercuti daripada melaksanakan tugas-tugas presiden. Perlepasan tugas dan tanggungjawab presiden kepada Mat Hassan oleh Zahid itu dialu-alukan oleh sebahagian ahli Umno. Ia dilihat satu tindakan tepat dan bakal merubah keadaan Umno. Kebetulan Mat Hassan juga dari golongan marhaen yang mana kehadirannya dapat melaksanakan impian kepada Zahid sebelum ini.

Ahli Umno menerima Mat Hassan untuk mengembalikan perjuangan Umno ke atas landasan sebenar dan meletakkan hala tuju menyakinkan. Penyerahan tugas-tugas presiden kepada Mat Hasan itu disambut dan Mat Hassan dilihat sebagai dukun muda yang akan memulihkan sakit ganjil dialami Umno selepas kalah teruk.

Penyerahan tugas dan tanggungjawab kepada Mat Hassan itu mendapat sokongan penuh dan Umno seperti menerima semangat baru. Kebetulan selama Mat Hassan menjalankan tugas kepresidenan parti itu mendapat kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil; di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau. Kejayaan ini menaikkan imej Umno dan Mat Hassan sekaligus.

Ada dikalangan Umno membuat perhitungan kejayaan itu membuktikan bahawa Umno sudah melalui pemulihan semangat baru. Sehubungan itu ada yang berharap agar Umno terus dipimpinkan oleh Mat Hassan. Mat Hassan dibaca sebagai lebih berkemampuan berbanding dengan Zahid.

Bagi mereka yang minat dengan Mat Hassan kemenangan Umno itu tidak dilihat langsung kerana kelemahan kerajaan PH yang masih terkial-kial membangun negara kerana kurang pengalaman, tetapi bagi mereka kemenangan itu kerana kehebatan dan keberkesanan Mat Hassan memimpin Umno.

Sehubungan itu perlahan-lahan ahli Umno tampaknya mulai serasi dengan kepimpinan Mat Hassan, dan beliau sendiri juga kelihatan seronok dengan jawatan itu. Ada beberapa pendekatan baru Umno diambil dan dilaksanakan dibawah Mat Hassan. Paling jelas dan nyata ialah berjaya membawa Parti Agama Malaysia (Pam), lebih rapat dengan Umno.

Pendakwaan dikenakan kepada Zahid secara tidak langsung menjarakkan Zahid dengan Umno dan diambil alasan untuk terus memisahkan Zahid dari Umno. Bagi setengah ahli Umno melihat petuduhan itu telah menjadi liabiliti kepada Umno dan menganggap elok Umno terus dipimpin oleh Mat Hassan. Zahid harus berundur dari jawatan presiden dan perlu menumpukan kepada kes-kes mahkamah dihadapinya. Zahid perlu menjarakkan diri dengan Umno.

Usaha singkir Zahid.
Dalam pada itu diam-diam ada usaha untuk menyingkirkan Zahid. Cadangan untuk meminda perlembagaan Umno bagi membolehkan mana-mana ahli yang didapati bersalah dengan kes rasuah, pengubahan wang haram, jenayah dan sebagainya dilucut daripada jawatan, dilihat pelan halus untuk menyingkirkan Zahid. Sebenarnya cadangan itu adalah isyarat tersembunyi kepada Zahid agar meletak jawatan secara terhormat selepas beliau didakwa dengan puluhan kes rasuah.

Disebabkan cadangan untuk pinda perlembagaan itu diberikan tugas kepada bekas MB Johor Khalid Nordin sebagai pengerusi meneliti perlembagaan Umno itu, ada berpendapat Mat Hassan bersekongkol dengan Khalid Nordin untuk merampas kuasa daripada Zahid. Golongan setia kepada Zahid membuat tuduhan itu.

Selain Zahid, beberapa orang pemimpin Umno berhadapan dengan kes mahkamah dan kes itu memberi kesan buruk kepada Umno. Mereka ialah Adnan Mansor, Bung Mokhtar Raden, Mahadzir Khalid, dan Najib Razak sendiri dan lain-lain. Sebenarnya usaha itu baik untuk membersihkan Umno.

Malang strategi dan isyarat itu dapat dihidu oleh Zahid bukan untuk kebaikan Umno sangat tetapi untuk menyingkirkannya. Inilah menyebabkan Zahid memendekkan percutiannya "sabatikal" nya enam bulan sahaja.

Jika kita membaca peta politik lebih luas, tindakan Zahid itu bukan sahaja untuk menyelamatkan dirinya sahaja, tetapi ia ada motif lain. Motif ini mungkin tidak tersuluh oleh orang ramai. Namun bagi mereka yang memahami dan arif mengenai politik, tahu akan hujung jatuh tindakan Zahid ini.

Pengembalian Zahid memegang jawatan dan berkuasa ke atas Umno itu, bukan sahaja untuk menyelamatkan dirinya daripada dipandang sepi daripada Umno, tetapi turut memberi impak dan ada kena mengena kepada perkembangan politik di luar Umno juga, malahan kaitan ini penting daripada kedudukan Zahid itu sendiri.

Umum tahu senario politik dalam Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan ini masih belum menentu terutamanya kedudukan Anwar Ibrahim sebagai pengganti Dr Mahathir sebagai PM. Mauduk itu masih terus menjadi tanda tanya. Konsensus yang dicapai, seperti ada pihak yang cuba menghasut Mahathir agar tidak akur daripada berundur setelah dua tahun. Walaupun Dr Mahathir dilihat tidak mempunyai kekuatan untuk akur, tetapi ia tetap juga merimaskan Anwar. Ini semua kerana mengambil iktibar apa yang pernah berlaku sebelum ini.

Meskipun berbeza parti tetapi persahabatan mereka
tetap terjalin. Zahid ketika melawat Anwar di hospital.
Tindakan dan sikap ditunjukkan oleh beberapa ahli parlimen Umno yang keluar meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu turut sama dilihat ia bukan sahaja disebabkan keberadaan Mahathir sebagai presiden Umno, tetapi disebalik itu ada motif lain. Motif inilah difikirkan Zahid dan dibimbangi. Penghijrahan MP Umno itu boleh menganggu pelan transisi penggantian Mahathir dengan Anwar.

Apakah keperluan itu buat Zahid? Orang yang cerdik dan membaca sejarah politik tidak akan melupai hubungan Zahid dengan Anwar. Malahan kedua mereka mempunyai chemistry perjuangan yang lama. Hubungan adik abang dan kuli dan bos, "imam dan khadam" mereka berdua tidak boleh dilupuskan. Apa orang hendak kata dan dimana kedudukan Zahid, presiden Umno itu tetap dilihat sebagai khadam politik Anwar. Apa lagi bila bercakap di antara Mahathir dengan Anwar beliau akan berpihak kepada Anwar.

Jika diibaratkan, kalau Mahathir dan Anwar ditakdir terjatuh ke dalam sungai dan berpotensi untuk lemas, Zahid ketika itu berada di darat akan menghulurkan kayu penyelamat kepada Anwar terlebih dahulu baharu kepada Dr Mahathir. Itulah hakikatnya.

Jadi pengembalian Zahid memegang presiden Umno itu ada dua maksud dalam satu tindakan; untuk menyelamatkan kuasanya serta membantu sahabat dan abangnya, Anwar jika diperlukan. Hal ini mungkin tidak ramai yang menyedarinya kerana ia sangat seni dan abstrak.

Tindakan 12 orang ahli parlimen Umno menyertai Bersatu ia bukan dibuat kerana saja-saja disebabkan mereka tidak percayakan Umno. Tetapi jauh dari itu ialah kerana mengisi perancangan dan agenda yang dirangkakan. Itulah sebabnya Naib Presiden Keadilan Nurul Izzah Anwar marah-marah sampai meletakkan semua jawatan.

Langkah itu adalah jelas, penyertaan MP Umno yang belut kepada Najib dan Zahid itu kerana ada sesuatu yang sedang dipelankan. Sebenarnya maklumat didedahkan oleh A Kadir Jasin kononnya terdapat 40 ahli parlimen Umno akan menyertai Bersatu itu benar. Tetapi ia tidak menjadi apabila hanya lapan atau 12 orang sahaja berbuat demikian.

Fenomena itu dilihat oleh Zahid. Sekiranya fenomena berhijrah itu berlaku ia boleh menyebabkan pelan transisi di antara Mahathir kepada Anwar boleh terbantut atau gagal sama sekali. Jadi untuk membendung kejadian itu berterusan, maka itulah Zahid perlu kembali segera menguasai Umno.

Kesimpulannya pengembalian Zahid kepada Umno dan menguasai parti itu atas maslahat tersendiri. Zahid tidak memikirkan apakah dia diterima atau tidak, yang penting dia dapat melakukan sesuatu (penyelamatan) yang diperlukan. Bagus juga kalau itu tindakan Zahid kerana beliau boleh menebus dosanya kepada Anwar dan gerakan Reformasi sebelum ini. [wm.kl.9:00 am 06/07/19]

No comments: