Sunday, January 5, 2020

Debaran menanti pengumuman Dr Mahathir

SUSUPAN MALAM

SAAT saya menukil catatan ini mungkin Dr Mahathir Mohamad sudah pun ada nama yang hendak diumumkan esok sebagai pengganti Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan. Maszlee telah meletak jawatan pada 2 Januari lepas.

Dr Mahathir menerima peletakan jawatan Maszlee itu yang dibuat atas kehendak perdana menteri itu juga. Serentak itu kata Dr Mahathir beliau akan mengumumkan pengganti Maszlee sedikit masa lagi.

Masa yang dimaksudkan itu esok, Isnin. Jadi esok ramai orang menunggu-nunggu pengumuman daripada Dr Mahathir.

Sementara menanti nama pengganti Maszlee diumumkan Dr Mahathir, timbul berbagai spekulasi berupa lobi melobi. Ada beberapa nama disebut sebagai penggantinya. Macam-macam nama dan ulasan diberikan. Tidak perlu disebut ulang di sini nama-nama yang diperkatakan itu.

Apa yang masih menjadi tanda tanya apakah sempena pengumuman nama pengganti Maszlee itu turut sama disebut nama-nama lain atau pun berlaku pertukaran portfolio? Kalau sempena dengan pengumuman nama pengganti Maszlee itu berlaku rombakan kabinet ia sesuatu yang menarik untuk diberi perhatian esok. Kalau tidak ada, ia perkara biasa sahaja, kes Maszlee itu bak angin lalu sahaja dan ia tidak menarik isu yang menggemparkan.

Bagaimana pun bagi saya, saya percaya esok atau lusa atau dalam masa terdekat Dr Mahathir hanya mengumumkan pengganti Maszlee sahaja. Tidak ada keperluan untuk Dr Mahathir membuat rombakan besar-besaran memandangkan tidak ada keperluan buat dirinya. Jeritan dan permintaan di luar tidak akan dipedulikan.

Melainkan kalau esok belum ada pengumuman ia menampakkan akan ada rombakan kabinet seperti diharapkan. Dr Mahathir boleh tangguh untuk umum nama menteri pendidikan baru dan ia akan dibuat bersama rombakan besar nanti.

Walaupun ada permintaan beliau merombak kabinet ekoran kekalahan calon PH di Tanjung Piai tetapi tidak mudah untuk Dr Mahathir melaksanakan desakan itu. Dr Mahathir suka dengan menteri kabinet yang ada kini kerana mereka boleh diharap menjadi penyambung tali hayatnya dengan kesetiaan masing-masing.

Dr Mahathir tahu para menteri menerima dan menghormati pelantikan mereka sebagai budi daripadanya.

Untuk memahami ini mudah sahaja kenapa Maszlee dikorbankan menjadi menteri pertama di nyahkan kerana ia sedikit menyusahkan perdana menteri itu. Pemecatan Dr Maszlee itu secara tidak langsung isyarat atau amaran kepada mana-mana menteri yang cuba bertindak diluar kehendak perdana menteri.

Dalam kata lain nasib diterima Maszlee itu sebagai notis peringatan daripada Dr Mahathir.

Katalah esok perdana menteri itu bercadang untuk melakukan rombakan kabinet, ada beberapa perkara yang beliau perlu berikan perhatian. Serentak dengan pengumuman pengganti Maszlee itu beliau perlu juga menilai dan memberi perhatian kepada kekosongan satu jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ekoran kematian MP Tanjung Piai Md Fariq Mat Rafik.

Selain mengisi sama kekosongan ditinggalkan Allahyarham Md Fariq itu, kedudukan Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir yang kini keuzuran juga perlu diberi perhatian. Mungkin agak kejam untuk meminta Anuar Tahir berundur tetapi dengan keadaan beliau kini wajar kalau timbalan menteri itu diganti. Jangan bebankan Anuar dengan jawatan itu.

Apa yang penting semua pihak termasuk Dr Mahathir perlu melihat sesuatu jawatan itu bukan untuk individu tetapi untuk kebaikan kerajaan dan rakyat.

Apa dimaksudkan disini, serentak pengunduran Maszlee itu Anuar Tahir juga perlu berundur secara terhormat dan insaf, dan begitu juga mana-mana menteri menyedari keberadaan mereka di jawatan masing-masing yang tidak memberi perubahan kepada rakyat dan negara perlu berundur secara sukarela. Berdosa anda kalau terus memegang jawatan itu tetapi sumbanganya nol.

Kita benci kepada diktator dan mereka yang berlapuk dengan kuasa tanpa melakukan perubahan, nah anda juga perlu mengambil sikap sama sebelum anda ditolak rakyat.

Jika pun tidak berundur, tetapi ikhlaskan diri dengan meminta Dr Mahathir menukar portfolio atau kementerian masing-masing yang termampu dan munasabah dipikul oleh anda. Jangan bermegah dengan jawatan tetapi faedahnya tiada.

Hal ini perlu dilihat sama oleh Dr Mahathir sesuai dengan aspirasi Majlis Presiden PH yang bersidang baru-baru ini yang mahu kabinet dirombak. Apakah Dr Mahathir akan melakukan itu sama, atau pun tidak? Kita tunggu saja esok sambil jangan mudah berasakan mustahil dengan apa-apa perubahan dalam politik. Dr Mahathir seorang yang bertindak diluar kotak fikiran umum.

Yang pastinya sebelum Dr Mahathir membuka mulut mengumumkan pengganti Maszlee, ada menteri dan juga menteri yang berdebar dada dan tidak nyenyak tidur sejak peristiwa peletakan jawatan secara mengejut oleh Maszlee itu. [wm.kl.10: 43 pm 05/01/20]

No comments: