Friday, January 31, 2020

PPSMI Dr Mahathir walasal balik asal...

SUSUPAN SORE

Dr Mahathir Mohamad yang memangku jawatan Menteri Pendidikan selepas Dr Maszlee Malik diminta berundur mengumumkan bahasa pengantar pembelajaran Sains dan Matematik dikembalikan dalam bahasa Inggeris semula.

Pengumuman ini secara tidak langsung mendedahkan sebab musabab sebenar kenapa beliau meminta Maszlee berundur awal bulan lalu, rupa-rupanya beliau ingin meneruskan dasar pendidikan yang diyakininya.

Program pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPMSI) apabila ia dilaksanakan telah dibantah oleh "para pejuang bahasa Melayu" sebelum ini dengan alasan ia sebagai tidak bersemangat Melayu dan mengagungkan bahasa asing di samping pelaksanaan dasar itu tidak menghormati apa yang telah dilakukan. 
Mereka juga mendakwa program itu tidak patriotik dan memingkirkan bahasa Melayu.

Satu demonstrasi di awal tahun 20an juga pernah diadakan, dan kesan penentangan itu menyebabkan dasar itu tidak diteruskan.

Penentangan terhadap dasar berkenaan diterima oleh pembangkang ketika itu yang kini merupakan parti komponen PH kecuali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Apabila program pendidikan yang ditentang itu diterima semula hari ini menampakkan sesuatu yang songsang sedang berlaku dalam kerajaan hari ini. Kerajaan hari ini bolehlah dinamakan kerajaan "Chok chok kendong", atau kerajaan "walhasil balik asal".

Dr Mahathir ketika mengumumkan pengembalian semula dasar itu mengakui tindakan itu bakal tidak disetujui umum. Katanya pendapatnya sering tidak popular tetapi ia lakukan juga kerana kononnya untuk kepentingan bangsa Melayu. Baginya peningkatan kebolehan orang Melayu dalam mata pelajaran berkenaan akan bertambah jiwa program PPSMI dikembalikan semula. 

Walaupun beliau tahu dan sedar pendapatnya sering tidak popular bahkan ditolak, tetapi kenapa beliau "rewel" (bersikeras) untuk meneruskan juga. Ini menunjukkan sifat dan ciri-cirinya diktator yang ada kepada dirinya masih kekal dan belum berubah. 

Dr Mahathir boleh buat sadin dengan cemuhan itu tetapi beliau perlu sedar ianya menyumbang kepada kebimbangan umum yang beliau tidak akan patuh kepada konsensus untuk melepaskan jawatan kepada Anwar. Sudah pasti langkah terbaru itu akan dituduh beliau tidak akan akur dengan kehendak yang diputuskan sebelum ini.

Memang beliau tidak perlu merujuk kepada kabinet untuk membuat keputusan itu, kerana beliau boleh menggunakan kuasa prerogetif, tetapi beliau sepatutnya sedar bahawa kerajaan yang dipanggungi sekarang ini bukan kerajaan di era BN dimana ia mempunyai majoriti dua pertiga. 

Macam manakah kerajaan hari ini hendak menjustifikasikan tindakan mereka menentang dasar PPSMI sebelum ini tetapi hari ini ia diterima kembali. Tidakkah keadaan ini menyusahkan kerajaan sendiri dan ia akan dituduh oleh rakyat sebagai kerajaan tidak ada prinsip atau kerajaan menjadi pondan dan pandir bila berhadapan dengan Mahathir?

Dari sudut lain, kian ketara kenapa Dr Mahathir meminta Maszlee berundur baru-baru ini, antaranya ialah kerana beliau ingin melaksanakan apa yang dikehendakinya secara peribadi itu dan langsung tidak mendengar pandangan pihak lain. 

Apakah itu satu tindakan secara kolektif atau pun ia bersifat diktator? Tentu ianya atas kehendak nalurinya sahaja. Maaflah saya sudah lama melihat dalam diri Dr Mahathir ada apa dinamakan "virus" diktator demokrasi. Trims. [wm.kl. 4:08 pm 31/01/2020]

No comments: