Sunday, August 23, 2020

Khairuddin tetap bersalah walaupun derma empat bulan gaji

SESUDAH SUBUH
Khairuddin menteri kerajaan PN yang melang.

KEMURAHAN  hati ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aiman Razali memulangkan empat bulan gajinya sebagai Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi sebagai  pernyataan menyesal dan bersalah kerana melanggar peraturan tetap daripada menjalankan kuaratin kendiri selama 14 hari tidak menamatkan isu mengenainya. 

Tindakan memulangkan wang gaji sebagai menteri selama empat bulan dianggarkan kira-kira RM75,000 itu bukan hukuman yang boleh memaafkan Khairuddin. 
Bahkan kalau pun beliau sedia memulangkan setahun gajinya bersama elaun sebagai menteri ia tidak dapat menghapuskan dosa dan kesalahan itu. 

Kesalahan dilakukan Khairuddin bukan perkara kecil apabila dilihat kesan bakal ditanggung sekiranya beliau positif Covid-19 setelah terlepas daripada disaring. Kesalahan itu satu perbuatan jenayah disengajakan.  

Khairuddin perlu melalui proses perundangan sama seperti pesalahan lain. Selagi beliau tidak dihukum mengikut peruntukan undang-undang dibawah kesalahan dilakukannya, beliau tidak akan bersih selama-lamanya. Ia akan menjadi sebutan dan precedent di masa akan datang. Kes beliau itu akan dirujuk zaman berzaman dan dipertikaikan dalam journal undang-undang. 

Bukan sahaja untuk dirinya, tetapi apa yang terjadi itu terkena juga kepada pihak pelaksanaan undang-undang dalam menguatkuasakan undang-undang di dalam negara ini. Apa yang berlaku itu menyebabkan orang boleh ketawa terbahak-bahak, haha haha hehe hehe, melihat macam mana Malaysia melaksanakan undang-undangnya yang digubal kemudian diamalkannya. Orang akan membuat kesimpulan undang-undang Malaysia boleh diperolok-olokkan. 

Kunci syurga.
Kedudukan dan jawatan Khairuddin sebagai menteri tidak mengecualikan beliau daripada dikenakan tindakan undang-undang setimpal. Apa lagi dalam masa sama telah ada warga lain yang dikenakan tindakan lebih tegas atas kesalahan sama seperti dilakukan Khairuddin. Bukan bermakna kerana beliau ahli parti agama didakwa pemegang kunci syurga, boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas itu secara sengaja telah melanggarkan operasi standard (SOP) Covid-19 apabila tidak menjalani kuaratin wajib 14 hari sebaik pulang dari daripada Turki 7 Julai 2020 lalu. 

Beliau dilaporkan bergerak bebas menjalan beberapa urusannya sebagai menteri dan tanpa memakai gelang pink seperti orang lain. Beliau bukan saja melilau ke hujung kampung tetapi turut berada dalam Istana. 

Perbuatan dan kelalaian (sengaja) Khairuddin itu disedari oleh ahli Parlimen Seputih Teresa Kok yang membangkitkan dalam sidang parlimen pada 18 Ogos. Ketika Teresa bangkitkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan ia masih disiasat. Apa dibangkitkan Teresa itu bukan kejadian disebut di tepi telaga di Kelantan atau di tepi baruh di Terengganu tetapi di parlimen. Ertinya ia perkara besar dan penting.

Mulanya apa dibangkitkan oleh wakil Seputih itu dianggap sebagai satu gurauan atau dibuat atas perasaan benci kerana perbezaan parti. Tetapi apabila ditelusuri ianya sesuatu yang serius, telah berlaku pelanggaran undang-undang dan menyerlahkan sikap tindakan double standard dalam penguatkuasaan undang-undang di negara ini. Ada tindakan dua darjat. Ia juga mendapat perhatian dan reaksi bukan sahaja daripada pihak pembangkang tetapi daripada parti kerajaan sendiri.  
(Yang belum memberi reaksi dan ulasan adalah Menteri Agama yang bekas Mufti Wilayah itu. Ada pun ada beberapa Mufti turut memberi penjelasan dari segi soal tanggungjawab dan perlunya bersikap amanah kepada diri. Mungkin Menteri Agama masih tidur kerana kuat qiamulail di bulan Muharram).

Khairuddin mulanya cuba membela dirinya dengan berbagai helah termasuk mengatakan beliau telah menjalani saringan Covid sebanyak tiga kali dan didapati negatif. Selepas percubaan itu gagal menghentikan polemik mengenainya, pihak KKM pula mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan Khairuddin telah dikompaun sebanyak RM1,000. Tarikh kompaun itu dikenakan juga seakan berlaku pengunduran ke belakang tarikhnya. 

Khairuddin sendiri tidak memaklumkan yang dia telah membayar kompaun, tetapi ia dibuat dalam satu kenyataan akhbar oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Kejanggalan ini sekali lagi menjadi pertikaikan dan menjadi buah mulut umum. Ada yang tidak kena.

Tampaknya usaha KKM itu juga gagal, apabila isu kompoun itu terus dibangkitkan dan ada desakan berterusan supaya Khairuddin dikenakan tindakan lebih keras setanding dengan apa diterima oleh warga lain yang bukan sahaja didenda lebih tinggi sampai RM2,000, RM2,500 malahan RM8,000 tetapi turut sama dipenjarakan. Ada yang dikenakan penjara satu hari hingga berbulan. 

Alasan Khairuddin yang beliau negatif Covid tidak berbabangkit sama sekali, tetapi apa perlu dihormati peraturan telah dibuat, sesiapa yang melanggar SOP tidak lagi dikenakan kompaun tetapi terus dibawa ke mahkamah. Menteri Pertahanan sebagai Menteri Kanan Ismail Sabri Yaacob pada 13 Ogos telah mengumumkan setiap pesalah tidak lagi dikompaun tetap terus didakwa di mahkamah. 

Peraturan dan undang-undang itu seperti tidak berlaku terhadap Khairuddin. Beliau hanya dikompaun RM1,000 pada 8 Ogos 2020, (tarikh yang diragui) nilai kompuan itu pun jauh lebih rendah berbanding dengan pesalahan lain, didena sampai RM8,000.  

Apa dilakukan Khairuddin itu satu kesalahan bukan kecil bahkan ia berbahaya. Apabila beliau negatif Covid bukan bermakna beliau tidak berpotensi menjadi penyebar Covid, kerana beliau tidak mematuhi SOP sepatutnya ertinya perlepasan dirinya daripada Covid tidak rasmi kerana tidak melalui kuarantin kendiri 14 hari.

Apa dikesalkan ia berlaku kepada seorang menteri yang sepatutnya tidak terjadi. Menteri adalah orang yang menggubal dasar dan undang-undang, yang bercakar berdegar meminta rakyat menghormati dan mematuhi undang-undang tetapi dia sendiri melanggarnya. Bukankah itu tolol dan bahlul?

Sebagai menteri Khairuddin sepatutnya bertindak lebih profesional dan bertanggungjawab daripada rakyat marhaen lain. Tanpa diminta dan dipaksa beliau sepatutnya mengambil inisiatif untuk menjalani kuarantin kendiri  itu. Kalau Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri yang disyaki kemungkinan terbabit dengan Covid pun menjalani kuarantin wajib 14 hari kenapa tidak dengan menteri biasa? Hebat sangatkah menteri itu.

Sebagai penyelesaiannya dan terbaik, Khairuddin perlu diheret dan didakwa di mahkamah dan perlu menerima apa juga pertimbangan mahkamah nanti. Sekali lagi ditegaskan, kemurahan hatinya untuk memulangkan gajinya sebagai menteri selama empat bulan bukan menghalalkan kesalahan yang dibuatnya. Untuk jadi seorang menteri baik dan dihormati Khairuddin perlu bersedia menerima akibatnya. 

Teringat kata-kata arwah Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Amat kepada saya; air kencing tidak boleh dibuat ambil air sembahyang, dan air kencing juga tidak boleh digunakan buat basuh berak, walaupun dia bersifat air. [wm.kl. 6:54 am 23/08/2020]

No comments: