Wednesday, November 25, 2020

Bajet 2021 indikator senario Piraum ke-15?

PERSEPSI

MATA pemerhati dan pemain politik kini tersorot kepada isu Bajet 2021 yang akan menemui titik akhir esok, 26 November. Esok Bajet 2021 akan diletakkan atas mirzan demokrasi. Persoalan yang tersebal dalam kepala hari ini apakah Bajet itu akan lepas ataupun tersekat. 

Bajet sulong kerajaan Curitokrasi ini benar-benar kontroversi menjadi Muhyiddin Yassin berdebar-debar dan tidak nyenyak tidur.

Debaran terhadap Bajet ini lebih tinggi denyutan debar semasa kali pertama Parlimen dibawah kerajaan PN bersidang untuk lantik Speaker dulu. 

Perihal Bajet ini ia juga menganggu tumpuan umum kerana telah terbit berbagai spekulasi ada yang indah dan buruk disebaliknya. Yang buruk memberi bayangan akan jatuhnya kerajaan PN berusia sembilan bulan itu dan akan naik semula kerajaan PH yang tumbang. Para penyokong bekas menteri kerajaan PH sedang rancak menjual cerita mereka akan kembali semula ke Putrajaya dan dapat guna semula kemudahan seperti kereta. 

Bayangan demikian diseronoki oleh mereka yang menyimpan dendam kepada pengkhianat terhadap kerajaan PH tanpa menyelidik apakah kemungkinan itu logik atau hanya ilusi tidak bertepi dan hanya satu psywar semata-mata. 

Untuk memastikan Bajet 2021 diterima diuar-uarkan kononnya Bajet untuk membantu rakyat, berbagai penganalisa baik amator ataupun professional dipanggil membuat ulasan. Naik muak saya mendengar analisa mereka yang obius senget sebelah. 

Mereka membuat ulasan bukan atas realiti tetapi mengikut kecenderongan dan bias, bergantung kepada kedudukan dan kepentingan mereka. Mereka bukan mewakili rakyat seperti orang politik tetapi mewakili kemahuan mereka. 

Kalau mereka kebetulan penjawat awam seperti pensyarah di IPTA, penganalisa itu akan memberi ulasan terhadap Bajet itu secantik-cantiknya dan sesempurna-sempurnanya. Jumlah besar Bajet itu yang pertama kali berlaku dalam sejarah diangkat-angkatkan seperti mengangkat badak jatuh ke longkang.

Mereka bercakap macam profesor Abu Nawas. 

Sebaliknya kalau mereka bebas tidak terikat dengan apa-apa etika, mereka akan mengulas berdasarkan realiti dan mendedahkan kecacatan dan keganjilan dalam proses menyiap dan meluluskan Bajet berkenaan berbanding dengan Bajet-bajet sebelum ini. Mereka akan menyebut beberapa butiran peruntukan melampau yang tidak perlu pun dimasukkan dalam Bajet.

Dikatakan dan digelarkan Bajet itu sebagai Bajet rasuah, menggula-gulakan rakyat dan membina kubu untuk mempertahankan diri. Hakikatnya selaku Bajet dalam perang maka sudah tentu ia tidak akan rasional sebaliknya abnormal. 

Mengenai kegelisahan kepada Bajet ini maka awal-awal lagi sudah ada semacam endorsement daripada kuasa tertinggi yang cuba membentuk pemikiran umum agar tidak membantah Bajet berkenaan. Ini belum pernah terjadi dan menampakkan bahawa Bajet kali ini dalam situasi desperate. Tidak terjadi Yang diPertuan Agong terpaksa mengeluarkan titah merayu agar Bajet diluluskan sebelum perbahasan diperingkat dasar.  

Pandemik Coronavirus dijadikan alasan untuk menerima Bajet itu seperti mana yang dirangka. Namun ada hal yang mengejutkan sekaligus menjawab persoalan sebelum ini yang mana semasa kerajaan PH lalu dilakukan penjimatan kewangan kerajaan yang ketat tetapi tiba-tiba kerajaan PN boleh berbelanja besar. Keadaan ini sangat kontradik.

Di sini saya tidak mahu membuat ulasan dan spekulasi apakah Bajet itu akan diluluskan ataupun tidak esok. Jika bertanya, hati kecil saya akan menjawab ia lepas. Ada petunjuk Bajet itu lepas. Mungkin kerana doa Muhyiddin? 

Apa yang saya hendak cuba memberi tafsiran dan gambaran daripada Bajet berkenaan ia adalah  permainan perebutan kuasa kalangan tertentu. Bajet 2021 menjdi kontroversi bukan kerana kecacatannya tetapi kerana manipulasi perebutan kuasa dan mahu menunjukkan kuasa. Bajet itu dijadikan satu perjudian antara ahli politik dan kumpulan tertentu.  

Pihak yang memanipulasikan Bajet ini untuk kepentingan diri, bukan sahaja antara pembangkang (PH) dengan kerajaan PN. Tetapi ia juga terbawa kepada perebutan kuasa peribadi antara OT95 dengan Anwar Ibrahim. Pertarungan klasik antara dua sosok ini masih berlaku dan belum ada tanda-tanda akan berakhir. Ia bukan berlaku secara sedar tetapi secara tidak sedar. Dan Bajet ini seperti pusingan separuh akhir buat kedua individu itu. 

Lantaran itu Anwar selaku Ketua Pembangkang bersama ahli Parlimen pembangkang cuba menolak Bajet berkenaan dengan pelbagai alasan dan fakta kerana hasilnya memberi implikasi kepada politik Muhyiddin. Penolakan Bajet itu menjadi indikator kepada kejatuhan Muhyiddin dan kerajaan PN. 

Maka kalau Bajet ditolak Muhyiddin perlu mengambil risiko dan tanggungjawab turun dari kerusi PM. Sebaik-baiknya kejatuhan kerajaan itu terus diganti dengan kerajaan baru dengan Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Dari senario Bajet ini juga OT95 ada signifikan tersendiri. Beliau juga menangguk di air keruh dan mahu melihat sejauh mana kekuatan Anwar. Bagi OT95 dia akan merasakan kalau Bajet itu ditolak ia memberi patanda kepada kemenangan kepada Anwar dan pembangkang yang beliau tidak bersama.;

Kerana itu tidak mahu Bajet itu memberi indikator kemenangan kepada Anwar. Beliau akan berusaha memastikan Bajet itu lulus bagi memberi simbolik Anwar kalah. Kemunculan OT95 dalam satu siaran wawancara  khas di sebuah stesen televisyen juga dilihat ada sangkut paut dengan usaha untuk menggagalkan lagi impian Anwar.

Selain Bajet itu memberi indikator siapa lebih berpengaruh antara Anwar dengan OT95, ia juga turut menjadi indikator kepada parti-parti politik, khasnya Umno dan Bersatu. Ketika ini Umno sedang berlumba dengan Bersatu untuk mengatasi antara satu sama lain. Keduanya sedang bersaing. 

Bagi Umno parti itu seperti menghadapi sedikit dilema kerana daripada 39 orang ahlinya berbelah bahagi. Ada yang tanpa segan silu memberi gambaran akan menolak Bajet berkenaan sementara sebahagian yang lain menegaskan akan menyokong khasnya mereka yang berjawatan. Suasana ini menjelaskan yang Umno dalam dilema.  

Sekiranya Bajet itu tewas kerana ada bantahan dari sebahagian MP Umno ia menjelaskan apa yang berlaku dalam pilihan raya akan datang. Kemungkinan besar Umno berpecah dua, satu yang berpihak kepada PN dibawah pimpinan Muhyiddin dan sebahagian lain akan memejam mata untuk bersama PH dibawah pimpinan Anwar Ibrahim.

Bajet 2021 ini bukan sahaja penting kepada rakyat tetapi ia menjadi indikator senario Piraum ke-15 kelak. [wm.kl.11:18 am 25/11/22] 

No comments: