Saturday, June 12, 2021

Debar 16 Jun menguli-uli jiwa

ULASAN

Anwar beri kenyataan ringkas sebaik
keluar dari Istana Negara.
SIRI pertemuan ketua-ketua parti dengan Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah hampir selesai. Semua ketua parti utama di negara ini dipanggil menghadap secara seorang demi seorang. 

Pertemuan itu adalah merupakan interaksi eksklusif ketua-ketua parti dengan Yang diPertuan Agong yang dilihat sebagai satu stail pemerintahan Yang diPertuan Agong ke 16 ini. 

Pertemuan itu berlangsung selama tiga hari bermula 9 Jun (Rabu) hingga Jumaat (11 Jun), dan disambung ke Isnin. Pertemuan itu dimulai dengan Mahiadddin Md Yassin. Adapun pertemuan Mahiaddin itu dianggap sesetengah qual tidak rasmi kerana menjadi rutin beliau menghadap Agong sebelum mengadakan mesyuarat kabinet.

Mahiaddin berjumpa dengan Agong pada pagi Rabu. 

Boleh dianggap siri pertemuan itu dimulai dengan Anwar Ibrahim (Keadilan) kerana Anwar individu yang masuk menghadap Agong selepas Mahiaddin keluar. Kemudian baru ia diikuti oleh Mohamad Sabu (Amanah), kemudian Lim Guan Eng (DAP) disebelah petang. 

Keesokannya pula giliran Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas), Wee Ka Siong (MCA), Mahathir Mohamad, (tanpa parti sebab Pejuang belum didaftar lagi yang mana kedudukan Mahathir sama taraf dengan Syed Saddiq Abdul Rahman, yang partinya Muda belum didaftar) dan Shafie Apdal (Warisan). Tuan Ibrahim walaupun beliau timbalan presiden, hadir sebagai mewakili presiden yang sakit dan tak larat.

Dipanggil menghadap juga Vigneswaran (MIC) kemudian Zahid Hamidi (Umno) dan diakhiri Maximus Ongkili (PBS). Diberitakan Agong akan berintrasi dengan wakil GPS pada Isnin nanti. 

Layan sama adil.

Agong memberi layanan sama rata dan sama adil kepada semua ketua-ketua parti apabila dilaporkan setiap daripada mereka berinteraksi selama kira-kira satu jam. Tentulah dalam pertemuan itu, ketua-ketua parti dapat meluahkan segala isi hati yang terbuku dan tersumbat sebelum ini dengan lancar dan lawas tanpa gangguan. Sebelum ini mereka jadi "kebuluran" untuk menghadap Agong sehinggakan menunggu-nunggu tarikh dan masa ditetapkan. Atas kelewatan itu pula macam-macam dilemparkan sehingga ada yang nakal boleh dituduh sebagai menghina Agong ditangkap.

Untuk segera menghadap Agong kerana mereka semua berada dalam ketidaktentuan arah, ibarat sebuah keluarga, adik beradik bergaduh sesama sendiri kerana berebut barang yang mahu menunggu sang ayah menyelesaikan. Agong adalah ayah yang mereka perlu meminta kata putus dan mencari jalan penyelesaian penuh keadilan. Apabila mereka berjumpa dan mendengar kata nasihat dan cadangan sang ayah maka akan legalah.

Timbul persoalan apakah setelah berhadapan itu mereka berani untuk menyampai sesuatu yang dianggap penting dan segera dilakukan kepada Agong, atau terkunci mulut ketika berhadapan dengan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah? Kita tahu orang Melayu tinggi dengan adat sopan serta dengan sifat bual besarnya. Orang Melayu hanya berani berkata-kata di belakang, tetapi mati kutu bila berhadapan. Sikap rumah siap pahat berbunyi adalah pakaian tenunan orang Melayu. 

Kita bimbang sifat itu terbawa-bawa kepada mereka. Ketika berinteraksi dengan Agong mereka jadi terkucil-kucil dan gugup gagap seperti mana berlaku kepada Sudin (S Shamsudin) dalam filem Pendekar Bujang Lapok, yang berjumpa Pengarah Kemat Hasan untuk minta pinjam duit. Bukan main lagi sebelum berjumpa Kemat Hassan, Sudin beriya-iya dan nekad nak pinjamkan RM350 bagi membantu kawannya (P. Ramlee) untuk berkahwin, siap dengan jampi serapah lagi dan penuh konfiden. 

Bila berhadapan dengan Kemat Hassan apa yang dirancang tidak menjadi. Sergahan Kemat Hassan (secara tak sengaja) menjadi Sudin hilang semangat dan lupa tujuannya. Daripada hendak pinjam RM350 bertukar jadi RM5.00. Begitu jugakah keadaan ketua-ketua parti itu masa jumpa Agong?

"Nak kawin apa Din, RM5....". Akhirnya frust menonggeng P Ramlee kerana tak boleh kahwin.

Saya kira tidak begitu. Setiap mereka menyampaikan apa yang terbuka di dalam hati mereka dan apa yang mereka inginkan dengan penuh jujur dan tanggungjawab. Tidak ada yang menyimpan jarum dicelah gunting. Atau membawa badi dalam kilas.  

Selepas mereka menghadap Agong semasa keluar dari Istana Negara ada ketua yang memberi penjelasan langsung kepada para wartawan yang sejak awal-awal lagi mengerumuni di pintu masuk ke istana. Walaupun begitu, kita percaya tidak semua yang diperkatakan kepada Agong, dijelas atau didedahkan kerana butiran perbualan dengan seorang raja tidak layak didedahkan kepada umum. Berbual dengan raja yang baik diluahkan yang buruk ditelah memerut. 

Ada yang yang membuat penjelasan dalam talian dari pejabatnya. Mungkin mahukan kebebasan dan keselesaan. 

Apa yang boleh difahami, semua butir perbualan dengan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkisar kepada masalah dihadapi negara waktu ini yang sangat ditunggu oleh rakyat akan penyelesaiannya. 

Beberapa masalah besar dihadapi negara itu bersumber atau berfaktor daripada kerajaan yang lemah dan lembab = GAGAL. Antaranya mengenai pandemik dengan kes ratusan ribu, pemberian vaksin, kesan ke atas ekonomi, masalah rakyat apabila diadakan PKP 3.0 atau total lockdown, dan lain-lain. Itu adalah topik besar yang diangkat dan diperkatakan oleh semua ketua-ktua parti.

Sebagai solusinya mereka meminta dan menuntut dilakukan tindakan serta diadakan perubahan beberapa perkara. Paling utama ialah membuka parlimen dan menamatkan darurat. Dari minda pembangkang dua perkara inilah halangan besar buat mereka untuk menjaring kuasa. 

Presiden Keadilan Anwar Ibrahim dua perkara itu menjadi keutamaannya atau mauduk pertemuannya dengan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Selain itu beliau menimbulkan masalah pemberian vaksin yang lambat serta bantuan kepada rakyat. Mohamad Sabu dan Guan Eng juga membawa hal sama. Mereka sebagai gabungan dalam PH telah mengeluarkan kenyataan pasca perjumpaan dengan Agong.

Guan Eng lebih menumpukan kepada keperluan rakyat untuk mendapat moratorium secara automatik kepada B40 serta perihal ekonomi negara. Al maklumlah bekas menteri kewangan 22 bulan mungkin beliau ada sedikit pengalaman berbanding Mohamad bin Sabu. Hal sama juga turut disentuh oleh presiden Umno Zahid Hamidi. 

Sementara Tuan Ibrahim yang pertama kali menjalani tugas sebagai "pemangku" presiden Pas pula tidak menghuraikan apakah butiran pertemuan beliau dengan Agong. Tetapi status media sosial dikeluarkan oleh Abdul Hadi Awang sebelum itu menjadi intipati butir bicara Tuan Ibrahim. Hadi dalam hantaran mesejnya di Facebook memberi ingatkan agar jangan sokongan usaha untuk rampas kerajaan dengan memberi perumpamaan di zaman Nabi perihal tebuk kapal. Nasib baik bukan tebuk Tupai?

Bagi Hadi yang berfikir dari jendela IJN mengira pertemuan ketua-ketua parti dengan Agong itu sebagai usaha atau agenda untuk merampas kerajaan disekongkolinya. Biasalah bagi seorang pencuri dia akan dikejar bayangan kesalahannya, pengawal keselamatan pun kadang-kadang disangka Polis. Maka jadilah orang begitu berlari setempat.  

Ketua-ketua parti lain dilihat jujur dan lebih hati-hati serta serius untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negara. Namun berbeza dengan kekanda tua mereka Dr Mahathir Mohamad (OT95) yang dalam pertemuan dengan Agong itu menyebut cadangannya agar dibentuk kerajaan Mageran. Yang mengejutkan (sebenarnya lebih melucukan), beliau mahukan dilantik sebagai Pengerusi Mageran. Rupa-rupa cita-cita nak jadi PM belum khalas lagi. 

Kononnya cadangan mewujudkan kerajaan Mageran itu adalah terbaik daripadanya bagi menyelesaikan kemelut negara yang sebahagian besar berpunca daripadanya sendiri. Cis. Bagaimana pun cadangan OT95 itu ditolak oleh hampir semua ketua-ketua parti lain, kerana tidak mahu memikul risiko dengannya. 

Bukan tidak praktikal cadangan itu, tetapi kerana orang sudah lama mengenal dirinya persis Singa tua yang sudah tidak larat mencari makan dan survive dengan menipu dan perdayakan orang dari dalam gua. Apakah anda ingat kisah Singa tua ini? Ia sudah tidak larat untuk memburu haiwan sebagai makananya. Maka ia masuk ke dalam sebuah gua dan memanggil segala haiwan masuk ke gua berkenaan kononnya didalamnya banyak makanan berupa buah-bauah. 

Semua binatang terpedaya dengan Singa nyanyuk ini. Bagaimana rahsianya terbongkar apabila sampai giliran Snag Kancil, dia enggan masuk ke dalam gua itu apabila timbul kemusykilan kepadanya. Dalam pemerhatian Sang Kancil, semua haiwan yang masuk ke dalam guan itu tidak keluar-keluar. Baru ia tahu rupa-rupanya semua haiwan itu dibaham oleh Singa tua berdebah berkenaan.

Jadi tujuan Mahathir mencadangkan agar dibentuk kerajaan Mageran untuk menjamin survivenya semata-mata bukan untuk rakyat dan negara. Dia mahu bertindak seperti Singa tua itu. Cis sekali lagi.

Kesimpulan. 

Kesimpulannya siri pertemuan itu berjalan lancar. Ia memuaskan hati semua pihak khasnya ketua-ketua parti politik yang ingin mendapat perhatian Agong. Rakyat di luar sana juga sedikit terubat dengan peristiwa itu, kerana setelah negara yang dilihat "kucar kacir" dan tidak terurus mudah-mudahan dapat diselamatkan dengan pertemuan seperti itu.

Dalam pada itu peristiwa itu membawa beberapa maksud atau signifikan tersendiri.

1. Apa bila Yang diPertuan Agong bersedia untuk berjumpa dengan ketua-ketua parti maka ia membawa makna dan signifikan buat Mahiddin Md Yassin. Pertemuan itu bertolak daripada kelemahan dan kegagalan kerajaan pimpinannya. Maksudnya Agong mengakui perkara itu. Jika tidak masakan Agong sedia melayani. Natijah dari itu, ada dua ketetapan, tukar perdana menteri atau pecat Mahiaddin.

Menyedari itu maka elok kalau Mahiaddin bersiap atau ambil keputusan berundur. Beliau tidak perlu sampai disingkir secara memalukan. Beliau tidak perlu sampai peristiwa di Perancis dua tiga hari lepas berlaku dan berulang ke atasnya (nauzubillah minzalik) baru beliau kabar atau sedar untuk bertindak. 

2. Dalam pertemuan itu saya tidak fikir ada ketua parti tergamak mencadangkan kepada Agong agar menyingkir Mahiaddin. Tetapi daripada segala masalah yang diperkatakan seharusnya menjadi perhatian berat untuk Yang diPertuan Agong berbuat sesuatu yang lebih bererti. Baginda tidak ada kuasa untuk memecat, tetapi ada kuasa melantik. Namun kita percaya kalau baginda memberi mesej cukup dengan menyebut; "Beta tidak berpuas hati dengan perjalanan kerajaan," yang memberi kefahaman berdarah buat Mahiaddin. Mahiaddin akan dengar kecuali dia pekak. 

Itu adalah kemuncak tuntutan ketua-ketua parti itu kecuali Pas. Sekiranya tuntutan itu tidak dapat dilaksanakan untuk mengelakkan berlaku "kesipuan" mungkin tuntutan lain menjurus ke arah itu  seperti menamat darurat diterima. Penamatan darurat memberi maksud membuka pagar penyelamat yang digunakan Mahiaddin untuk mengukuhkan diri dan kerajaannya.

Tentulah sekiranya Mahiaddin tidak diapa-apakan mereka menuntut agar diadakan pilihan raya umum ke-15. Tetapi menyadari situasi dan kondisi hari ini tidak mengizinkan, keperluan untuki diadakan pilihan raya menjadi keperluanm seterusnya bukan utama buat masa ini. 

Atas segala itu, pertemuan dan interaksi ketua-ketua parti dengan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  itu dipercaya akan dirumuskan dan terjawab selepas berlangsungnya pertemuan Raja-Raja Melayu dalam majlis perbicangan yang akan diadakan 16 Jun ini. Selepas itu nanti, Yang dipertuan Agong akan mengeluarkan suatu rumusan daripada yang dianyam dan dijalin hasil daripada pertemuan dengan ketua-ketua parti itu.  

Tidak pula diketahui apakah bentuk dan naratif perbincangan itu kelak. Apakah Yang diPertuan Agong akan turut meminta dan mendengar apa-apa cadangan daripada Baginda Raja-Raja Melayu. Mungkin Raja-Raja Melayu juga ada pandangan dan kebijakan-kebijakan mereka sendiri dalam hal ini. 

Secara ikhlas dan menurut firasat saya, kedudukan Mahiaddin tidak akan berubah. Kerajaan Mageran yang diimpikan oleh OT95 juga ditolak. Hanya mungkin yang memberi kesan dan sedikit kelegaan apabila parlimen diumumkan DIBUKA untuk persidangan manakalah DARURAT TIDAK AKAN DISAMBUNG. Selain daripada dua keputusan itu keputusan atau tuntutan-tuntutan lain yang menjadi penting kepada pihak-pihak tertentu tidak akan berlaku. 

Bagi yang diPertuan Agong sendiri sebagai tugas dan tanggungjawab sebagai payung rakyat terlepas apabila baginda sudah pun jalan dan melaksanakan tanggungjawab mendengar segala luahan dan rintihan perasaan rakyat. Manakala pihak ketua-ketua parti juga tidak boleh mendakwa dakwi apa-apa lagi kerana permintaan mereka sudah pun terpenuhi. 

Sebaiknya semua pihak berterima kasih kepada Agong dan syukur serta insaf bahawa apa yang kita kehendak tidak semuanya dapat, dan semua yang kita minta dan tuntut tidak semuanya dibuang. Kita akan tenang dan harmoni jika kita dapat menghayati realiti ini. Buang yang keruh ambil yang jernih, biduk lalu kiambang bertaut. [wm.kl.10:34 am 12/06/2021]

No comments: