Saturday, June 26, 2021

Tawarikh Amanat Haji Hadi

ARTIKEL KHAS 

AMANAT Haji Hadi tidak dapat dinafikan satu pesanan yang dijadikan pegangan politik yang jijik dan kotor jadi budaya Pas yang dipelopori oleh Abdul Hadi Awang. Amanat bermaksud "pesanan yang wajib ditunaikan," itu merupakan satu fatwa khas Pas menjadi pegangan ahlinya dan juga senjata ampuh Pas untuk memastikan penyokongnya kekal dengan Pas. 

Maksud Amanat berkenaan dizahirkan satu matlamat sahaja, agar rakyat khasnya orang Melayu menolak Umno.

Amanat yang menjadi benih atau doktrin ditanam oleh Pas itu sebenarnya bukan bermula pada tahun 1981 selepas ucapan Haji Hadi di Banggul Peradong (7 April 1981), kemudian disebut atau disifatkan sebagai Amanat, tetapi ia wujud lebih awal daripada itu. Pas menanamkam atau indoktrininasi orang Melayu bahawa Umno itu parti kafir sejak awal penubuhannya tahun 1951 lagi.

Penubuhan Pas tahun 1951 sendiri bertitik tolak daripada pengasas Pas ketika itu terdiri daripada alim ulamak tidak bersetuju dengan dasar-dasar perjuangan Umno yang menggunakan perlembagaan penjajah dan meniru cara berorganisasi ala Barat. 

Doktrin itu membawa keuntungan kepada Pas, apabila parti itu berjaya dalam menawan Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya tahun 1959. Dengan kejayaan menawan dua buah negeri itu Pas merasakan doktrin itu berjaya mencapai maksudnya untuk menjadi parti pemerintah yang lebih lebih luas lagi. 

Lantaran berlaku diskriminasi oleh kerajaan Perikatan terhadap kerajaan Pas, menyebabkan kemarahan Pas membara dan tanggapan Umno kafir semakin galak dan meliar.

Bertolak dari situ Pas terus menggunakan doktrin atau serangan mengkafirkan Umno sebagai senjata ampuhnya yang tetap. Atas usaha itu maka timbullah persepsi bahawa Pas sebagai parti Islam manakala Umno parti kafir. Kebetulan pula nama parti Pas itu didaftarkan dengan nama Parti Islam se Malaysia atau (PAS) dan simbolnya pula bulan sabit berbintang lima yang sangat menjiwa orang Islam.

Alasan dan hujah Umno kafir hanya helah politik semata-mata. Ia modal politik sama seperti kepentingan Hudud yang dijaja Pas itu tetapi "sonyap" kini. Kerana menyedari doktrin berkenaan merbahaya dimana boleh menyebabkan ummah Melayu dan Islam negara ini berpecah belah dan terpisah kepada dua kelompok, maka Mohd Asri Muda (foto) yang menjadi presiden Pas mengambil inisiatif untuk mendamaikan orang Melayu. 

Tanggungjawab Asri inilah disalah tanggap sehinggakan beliau secara senyap dimusuhi oleh para ustaz dalam Pas yang ekstrim dengan pegangan tadi.

Tragedi 13 Mei, dijadikan langkah mula untuk menyelesaikan isu berkenaan. Tahun 1971 Asri membawa Pas bekerjasama mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno dibawah pimpinan Abdul Razak Hussein. Usaha itu terbentuk secara fizikal apabila dalam tahun 1974 Pas menyertai Barisan Nasional dan menghadapi Piraum bersama.

Ternyata kerjasama Pas dengan Umno membuahkan hasil besar. BN yang ditulangi Umno dan Pas serta parti-parti kaum lain, MCA, MIC menang besar dalam pilihan raya. Kemenangan itu secara automatik isu pengkafiran oleh Pas kepada Umno mereda. Orang-orang Umno dan Pas boleh saling bekerjasama dan mendirikan solat dalam masjid sama serta memakan sembelihan yang sama.

Panas tidak ke petang.

Bagaimana pun langit tidak selalu cerah dan panas tidak sampai ke petang. Tahun 1978 isu pengkafiran Pas kepada Umno cambah dan tumbuh kembali apabila kerjasama Pas dengan Umno pecah. Ia berlaku apabila Pas tidak lagi bersama BN, setelah dipecat kerana tidak bersetuju terhadap beberapa tindakan politik yang dibuat oleh Umno dalam kerajaan Kelantan yang dilihat tidak adil oleh Pas.

Pemecatan dan keluarnya Pas dari BN ini suatu sejarah huduh bagi orang Melayu khasnya dan rakyat negara ini. Ia didalangi oleh desperado politik yang gila kuasa dan kedudukan, yang lebih melihat survive politik diri daripada survive politik ummah. Ia dilakukan oleh mereka yang "bole" mata untuk melihat hasrat dan aspirasi besar Asri - Razak. 

Dalam pilihan raya selepas tahun 1978 Pas menggunakan semula isu pengkafiran berkenaan. Segelintir ahli dan pemimpin Pas yang menolak sejak awal-awal kerjasama Pas dengan Umno mengambil kesempatan menempelak Asri dan pemimpin Pas yang bergabung dengan Umno dalam BN sebelum itu. Mereka menjadi penggumba hangit isu berkenaan.

Umno yang sudah dianggap sebagai saudara seagama bermula tahun 1974 itu, kembali menjadi lawan Pas semula dan Pas melawannya seperti melawan kaum kafir. Umno jadi kafir untuk kedua kali. 

Kesemarakan isu itu digemukan apabila berlaku Resolusi Iran tahun 1979. Semangat Revolusi Iran dicetuskan Khomeini di import oleh Pas menerusi duta-duta mereka yang belajar atau menuntut di Timur Tengah. Salah seorangnya ialah Abdul Hadi Awang yang menjadi ahli syarah dan pemidato Pas terhandal dan popular dekad 80-an.

Pada satu ucapannya di Banggul Peradong tanggal 7 April 1981 Hadi mengupas dan memberikan tafsiran antara batas-batas imam dan kufur dalam ceramah berkenaan. Bermula dari ceramah beliau disitulah maka berlaku pengisytiharan fatwa baru yang Umno adalah parti kafir dan dituntut agar melawannya atas kewajiban jihad. Ucapan itu kemudian dijadikan Amanat dan fatwa yang ditulis dengan tinta emas dinamakan dengan "Amanat Haji Hadi".

Apa dinamakan Amanat Haji Hadi itu dijadikan risalah emas oleh orang-orang Pas. Dijadikan sebagai azimat atau tangkai pengeras semangat juang. Semua ahli dan penyokong Pas memiliki sekeping seorang Amanat tersebut dan mereka dengan bangga menampal di dinding rumah dan markas Pas. Amanat itu juga seakan menjadi surat jemputan ke syurga. Amanat Hadi itu sekaligus memadamkan keseluruhan hubungan erat dan perpaduan antara Pas dengan Umno yang dirintis oleh Asri Muda - Razak Hussein pada tahun 1971. Amanat itu memutuskan semula tali ukhuwah. 

Perbezaan politik Nik Aziz.

Kemenangan Pas di Kelantan tahun 1990 dengan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi MB, menjadikan pengkafiran terhadap Umno kendur sedikit. Nik Aziz tidak gemar dengan cara pengkafiran itu, pembawaan politik beliau damai bukan perang sejajar dengan akhlak Muhammad. 

Dalam kata lain baginya Umno tidak termasuk dalam golongan kafir yang perlu diserang seperti mana ditegas dan diseru dalam Amanat Haji Hadi itu. Bagaimana pun beliau tidak menyebut larangan atau menyatakan ketidak-setujuan itu, tetapi beliau bertindak secara senyap dan penuh diplomasi. Berhikmah. Secara tidak langsung Nik Aziz bersetuju dengan political approach politik dilaksanakan Asri tahun 1974.

Perkara paling jelas, Pas Kelantan dibawah pimpinan Nik Aziz tidak gemar mengundang penceramah daripada Terengganu yang totok berpegang dengan Amanat Haji Hadi berkenaan atau yang lantang mengkafirkan orang Umno. Dan disuatu masa Allahyarham pernah bertanya kepada saya, agar memberi penilaian bentuk pentadbirannya di Kelantan dengan Hadi Awang di Terengganu semasa Hadi menjadi MB tahun 1999. 
"Macam mana enta tengok cara ana dengan Haji Hadi di Terengganu," tanya beliau. "Enta rasa cara dia agak keras sedikit, dak.." tungkasnya lagi tanpa menunggu saya menjawab. Saya hanya mengangguk sahaja. Apa disebut Nik Aziz itu mungkin setelah melihat sebaik Pas menguasai Terengganu, kerajaan Pas menutup Tadika Umno yang beroperasi di premis kerajaan. Tindakan itu berlainan dengan beliau lakukan di Kelantan membenarkan Tabika Kemas terus beroperasi sampai kini.

Justeru meskipun di Kelantan isu itu kendur, tetapi tidak di Terengganu. Isu itu terus menjadi modal utama Pas untuk menyerang Umno dan mempertahankan ahli dan penyokongnya istiqamah dengan Pas. Hal demikian juga berlaku di Kedah. Walaupun Pas menang di Terengganu pada tahun 1999 sebagai mengekori kejayaan Pas di Kelantan, tetapi isu pengkafiran (takfirin) itu tidak juga dikendurkan.

Sebaliknya di Terengganu isu berkenaan masih berkembang maju. Demikian juga di Kedah. Walaupun Pas menang di Terengganu tahun 1999, tetapi ia tidak dinutralisasikan seperti mana di Kelantan yang mengendurkan isu itu selepas kejayaan Pas dalam tahun 1990. Berdasarkan realiti inilah saya mengolongkan orang Pas di Terengganu sangat fanatik berbeza dengan orang Pas di Kelantan lebih rasional.  

Isu pengkafiran ini tenggelam timbul mengikut keadaan, masa dan zone politik. Di kawasan luar bandar yang mana pengetahuan umat Islam cetek mengenai agama, yang berpegang kepada penjelasan ustaz-ustaz kilas ke dalam, memegangnya sekejap mungkin. Di Terengganu negeri yang Pas diketuai Abdul Hadi Awang tidak berubah. Sebab itu kesan daripada isu berkenaan ketara di Terengganu berbanding dengan Kelantan dan Kedah hingga ke hari ini.

Nik Aziz bangga dengan kunjungan
bekas PM Singapura Lee Kuan Yeu.
Di Terengganu gara-gara Amanat itu menyebabkan umat Islam dan orang Melayu kampung berpecah kepada dua dan terjadi pulau memulau. Pemulauan itu sangat menyedihkan sampai berlaku sembahyang dua imam, pengembumian jenazah di kubur berlainan, malah di sebuah kubur di Terengganu katanya ada dua cangkul, satu dikhas untuk menggali kubur orang Pas dan satu untuk gali kubur orang Umno. Keadaan yang menyedihkan ini masih berlaku di tempat-tempat tertentu di Terengganu khasnya di Besut.
 
Umno gagal tangani.

Berbagai cara diambil untuk mengatasi perpecahan ummah ini oleh kerajaan BN melalui agensi khas seperti Jabatan Agama Islam dan juga Jasa. Penerangan, sebaran maklumat berupa risalah dan sebagainya dikeluarkan. Diundang tokoh-tokoh agama dari luar menjelaskan isu berkenaan, tetapi tidak berjaya. Bahkan satu masa diadakan satu debat olok-olok berkisar kepada isu berkenaan, namun tidak "bedegis."

Terdapat juga pemimpin Pas yang insaf awal dan mengakui pegangan mereka selama ini yang disebarkan Pas itu sebagai salah dan sesat, namun mereka pula yang dikecam yang dikatakan sebagai sesat dan murtad dan dipulaukan. Secata totalnya kerajaan BN, gagal untuk membendungkan perpecahan disebabkan isu berkenaan. 

Allahamdulillah hanya tahun 2020 baru orang Pas mendapat taufik dan hidayah daripada Allah untuk Pas mengakhiri secara tuntas isu berkenaan, apabila Abdul Hadi mengambil pendekatan berbaik dan menerima Umno sebagai ikhwan Pas. Kerjasama atau ta'awun politik Pas dengan Umno menamatkan pergeseran berkaitan isu tersebut.

Satu majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional diadakan di PWTC sebagai perasmian tamatnya sengketa atau krisis persaudaraan antara Pas dengan Umno. Dengan berlangsungnya majlis itu Umno kembali kepada Islam semula, mengikut kamus Pas. 

Tawarikh pengkafiran ini panjang dan dramatik. Setelah 70 tahun sejak tahun 1951 isu berkenaan rehat sekejap apabila Pas berada dalam BN, (1971 - 1978), kemudian disambung Hadi dari selama 42 tahun barulah timbul kesedaran kepada Hadi Awang untuk menghentikan penggunaan senjata beracun itu menyerang Umno. Semua orang perlu bersujud syukur dan atas "hidayah" ini. Saya secara peribadi sejak dari tahun 1960 lagi meragui akan fatwa ini dan sudah lama mengusahakan agar Pas berbaik dengan Umno.  

[Bagaimana pun sejauh mana Umno akan kekal dalam Islam dari kamus Pas itu tidak dapat dipastikan, kerana waktu ini ada desas desus menunjukkan Pas akan bersengketa semula dengan Umno. Nauzubilah minazalik.] 

Walaupun Hadi sudah insaf dengan apa yang berlaku begitu lama, bagaimana pun dosanya kerana Amanatnya itu belum terhapus secara tuntasnya. Beliau perlu menarik balik dengan rasmi Amanat yang tersebar selama 42 tahun ditangani itu yang telah menimbulkan banyak kerosakan agama, mencetuskan perpecahan umah dan kesan-kesan lain secara rasmi. Beliau tidak perlu malu untuk berbuat demikian. Kalau dia "melucutkan" nama gelaran Datuk Serinya, apalah salah beliau juga membuat apologetik.

Penarikan balik fatwa tentang Amanat itu oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dari laman sesawangnya, tidak menamatkan isu berkenaan. Penarikan balik dikatakan atas pandai-pandai Ketua Pengarah Jakim itu bukan dari kerelaan sanubari Abdul Hadi Awang. Penarikan itu tidak sah dan tidak akan menyelesaikan isu berkenaan.

Selagi tidak ada penarikan secara rasmi ia akan disebut dan Hadi masih mempunyai tanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang risiko, kecelakaan dan implikasi yang hadir daripada Amanatnya itu. Saya akan angkat tabik 10 jari kepada Abdul Hadi sekiranya beliau rela berbuat demikian. [wm.kl. 7:03 pm 25/06/2021]

Glossori:
bedegis = bergerak. 

No comments: