FOKUS
SEBELUM Azmin Ali melakukan "harakiri" meninggalkan Keadilan dan mengkhianati rakan-rakan dan bosnya Anwar Ibrahim, tentu beliau sudah membuat perhitungan rapi.Atas perbuatannya itu, berkomplot dengan Mahiaddin Md. Yassin, hari ini Azmin dicemuhi dan disumpah. Perbuatannya itu melukakan hati banyak pihak. Beliau sudah menjangka hal itu dan berusaha untuk membendungnya. Mustahil kalau Azmin tidak istikharah tentang politiknya sebelum bertindak.
Satu segi seperti suatu kerugian apa dilakukan Azmin itu. Kalau beliau kekal seperti sedia kala, istiqamah dalam Keadilan beliau adalah antara sosok yang bakal muncul menjadi pemimpin masa depan.
Tilikan.
Saya pernah memfirasat cekerawala siasahnya berdasarkan perwatakan, cita-cita besar, kelincahannya dalam berpolitik, beliau berhak untuk memanggung jawatan perdana menteri suatu hari nanti sekiranya jawatan itu jatuh kepada Anwar Ibrahim. Suka atau tidak, Azmin ada gaya dan bakat itu. Dengan posisinya sebagai timbalan presiden sudah tidak ada tokoh lain boleh mengatasinya.
Kini potensi itu sudah hilang gara-gara tindakan politiknya. Beliau dicemuhi, dimarahi dan didendami oleh semua orang. Bukan sahaja orang Keadilan yang penasaran mengharapkan Anwar jadi PM, tetapi khalayak yang mengimpikan politik bersih dan bermoral juga marahkan kepadanya. Mereka yang memangkah PH dalam Piraum ke-14 turut sama kecewa dan "berbulu" dengannya.
Walaupun Azmin kini merupakan pemimpin utama dalam dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai Ketua Penerangan, tetapi kedudukan itu tidak segah semasa beliau berada dalam Keadilan dan PH dahulu. Bersatu wujud dipertengahan jalan untuk jadi kenderaan sementara bagi tiba di pengkalan yang entah. Ia bukan sebuah parti mempunyai idealisme, wawasan dan komitmen seperti Keadilan. Bersatu tidak ada penyokong fundalmental, Bersatu tidak ada matlamat perjuangan.
Bersatu parti baru yang umurnya setahun jagung dan kekuatannya masih belum diuji. Jika diibaratkan kepada kedai runcit ia baru dibuka belum ada pelanggan tetap. Cashier pun masih guna manual belum ada lagi calculator. Kemenangan beberapa calonnya dalam pilihan raya lalu pun kerana menumpang tuah Keadilan, DAP dan Amanah.
Tetapi Azmin mengambil risiko itu. Satu perjudian besar untuk dirinya sendiri. Suatu keberanian luar biasa.
Terumbang ambing.
Nasib Azmin kini terumbang ambing. Piraum ke-15 adalah penting buatnya. Pilihan raya itu akan menjawab apakah usia politiknya panjang atau tidak. Apakah dunia politiknya mengelap zulmat atau cerah cuaca. Perjudian itu harus ditanggung untung dan rugi dalam Piraum kelak. Dalam apa sahaja game silap percaturan akan musnah. Dunia politik macam meniti atas bara. Botol racun dan penawar senantiasa berada di hadapan.
Seperti dinyatakan tadi, hari ini orang Keadilan dan PH serta pengkagum Anwar "murih" dan berdendam dengan Azmin. Bagi mereka Azmin bukan saja menafikan Anwar untuk jadi PM, tetapi merampas harapan mereka untuk melihat sebuah perubahan, reform. Keadaan ini dapat disaksi dengan jelas. Apabila saya mengangkat status mengenai Azmin di Facebook ada pengomen yang meluahkan rasa marah tanpa segan silu. Mengakui mereka pengundi Azmin selama ini, tetapi tidak lagi dimasa akan datang.
"Saya mengundi Azmin berkali-kali, tetapi tidak untuk pilihan raya ke-15 nanti. Hapuskan pengkhianat," tulis seorang pengomen. Manakala seorang pengundi di Dun Hulu Kelang menulis; "Di rumah saya ada empat undi, bukan untuk Azmin lagi". Seorang lagi nun dari Kelantan menulis, "biarlah analisa Tokti terhadap Azmin nanti menggambarkan ketewasan Azmin." Perasaan itu semua merupakan luapan kemarahan dan kebencian kepada menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu..
Suara itu adalah mewakili suara akar umbi pengundi di Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa.
Apa yang dipancarkan itu sesuatu yang sangat membimbangkan. Ia menjadikan Azmin tidak senang duduk dan perlu bekerja kuat untuk mempertahankan kedudukannya di kerusi parlimen Gombak dan juga Dun Bukit Antarabangsa.
Bukan mudah jatuhkan Azmin.
Sungguh pun begitu, bukan hal mudah untuk menewaskan Azmin dikedua-dua kerusi itu. Marah, benci dan dendam tidak menjamin beliau akan tumbang. Sumpah seranah tidak cukup untuk mengnyahkannya. Azmin bukan sembarangan politis. Beliau sudah melalui banyak liku dan banyak memakan gula dan garam dalam politik. Reformasi turut mendewasakannya.
Beliau sudah memenangi parlimen Gombak tiga penggal berturut-turut bermula tahun Piraum ke-12 (2008) hingga ke Piraum ke-14 (2018) kini. Begitu juga untuk Dun Bukit Antarabangsa sudah tiga penggal dari tahun 2008, 2013, 2018. Tahun 1999 beliau mewakili Dun Hulu Kelang. Empat penggal sebagai Ahli Dewangan Undangan Negeri dan tiga penggal sebagai ahli Parlimen.
Dengan kedudukan itu pengaruhnya meluas dan berakar umbi di Gombak. Beliau tentu mempunyai rangkaian yang luas dan jauh. Tentu mempunyai pekerja yang setia dan rajin. Ada pasukan atau skuad khas di kawasan itu.
Prestasi Azmin dapat dilihat kepada pencapaiannya dalam beberapa siri pilihan raya yang dilaluinya. Untuk kerusi Dun kali pertama beliau bertanding di Hulu Kelang, beliau mendapat 9,186 undi dengan majoriti 1,146. Tahun 2008 bertanding di Dun Bukit Antarabangsa beliau menambah undi kepada 11,731 dengan majoriti 1,381 undi. Tahun 2004 beliau tidak bertanding kerana terhalang dengan kes mahkamah. Sementara tahun 2018 beliau menangi Dun tersebut mendapat 30,892 undi dengan majoriti 25,512 undi.
Angka itu menjelaskan prestasi dan populariti Azmin sebagai wakil rakyat memberangsangkan.
Parlimen Gombak pula yang dikuasai sudah tiga penggal, Piruam ke-12, 13, dan Piraum ke-14. Dalam Piraum lepas beliau menang majoriti besar dengan menewaskan calon BN dan Pas dengan meraih undi sebanyak 75,113 dengan majoriti 48,721. Beliau memperolehi 53.2% undi (75,113) sementara lawannya daripada BN Abdul Rahim mendapat 18.7% (26,392) manakala calon Pas Khairil Nizam mendapat 12.4% (17,537).
Dalam pertandingan pertama kali di kerusi itu Piraum ke-12 (2008) beliau mengutip 40,334 dengan majoriti 6,867 manakala dalam Piraum ke-13 (2013) sebanyak 54,827 majoriti 4,734. Dari angka itu menampakkan pertambahan undi dirangkulnya, begitu juga peningkatan ketara majoriti diraihnya. Angka itu menunjukkan kedudukannya semakin kemas.
Peluang beliau menjadi MB Selangor dari tahun 2014 hingga 2018, membolehkan beliau membina pengaruhnya di situ lebih mantap lagi. Segala kemudahan dan peluang selaku ketua eksekutif (MB) Selangor digunakan sebaik mungkin untuk kepentingannya. Dan kedudukan hari ini sebagai menteri MITI sudah tentu dilipatgandakan digunakan untuk mempastikan pengaruhnya tidak banyak terjejas.
Apakah Azmin akan berjaya di Gombak pada Piraum ke-15 kelak? Ini yang kita hendak bahas di sini. Ini yang semua pemerhati dan pengamat politik sedang menghisab dan menunggunya. Dan kita juga tahu para pengundi di Gombak sedang mengasah parang dan golok untuk menakeknya.
Statistik parlimen Gombak.
Berdasarkan kepada statistik Piraum lepas, jumlah pengundi parlimen Gombak berjumlah 141,000 dengan ceraian pengundi mengikut etnik, Melayu 75.8%, China 10.6% India 10.77% dan lain-lain etnik 0.53% Gombak boleh dianggap kawasan dominasi Melayu. Namun pengundi Cina dan India 21.37% jadi penentu. Dalam pilihan raya lalu seramai 119,042 yang keluar mengundi kira-kira 85%.
Dalam parlimen Gombak, Ada tiga Dun, Gombak Setia yang diwakili oleh Hilman Idham (Keadilan), Sungai Tua diwakili Amirudin Shari (Keadilan) dan Hulu Kelang diwakili Shaari Sungip. (Amanah)
Gombak merupakan kawasan dianggap kubu Keadilan sejak awal-awal lagi. Pengundi Cina dan India lebih berpihak kepada Keadilan. Sementara Melayu pula berpecah kepada tiga, Umno, Keadilan dan Pas. Waktu ini berlaku perpecahan dalam Pas, apabila Parti Amanah Negara ditubuhkan. Ertinya undi Pas sudah tidak sekuat dahulu lagi.
Demikian juga dengan Umno, berlaku perpecahan apabila tertubuhnya Bersatu. Secara umumnya ketiga-tiga parti dominan di Gombak, Umno, Pas dan Keadilan mengalami keretakan dan perpecahan. Hanya yang tidak dapat disukat berapa peratuskah masing-masing mengalami penguncupan. Penguncupan tidak dapat tidak pasti berlaku.
Tetapi yang jelasnya undi Cina dan India tidak terkesan, etnik itu tidak mengalami perpecahan mereka masih yakin dengan konsep parti multi racial ala PH. Dengan mengambil kira 80% mereka memberi undi kepada PH (Keadilan), ertinya undi Cina dan India tidak terjejas bagi Keadilan.
Berapa peratus pengaruh peribadi Azmin di Gombak?
Apabila Azmin telah meninggalkan parti asalnya, untuk survive beliau dimasa depan adalah pengaruh peribadinya.
Berdasarkan angka yang dicatat pada Piraum lalu, (sebanyak 53.2% menerusi Keadilan) katakan Azmin dapat meraih sekitar 10% hingga 15% undi peribadinya. Bermakna undi Keadilan pula tinggal 38.2%. Keadilan atau PH dan Azmin akan menghadapi pilihan raya dengan bermodal asas berdasarkan pecahan itu. Masalah bagi Azmin pengaruh peribadinya dari Dun Bukit Antarabangsa tidak dapat membantunya di parlimen Gombak. Sekiranya pengaruh peribadinya di Dun Bukit Antarabangsa membantunya, mungkin pengaruh peribadinya boleh cecah hingga 20%.
Hari ini Azmin bersama Bersatu parti serpihan dalam Umno yang juga boleh dinamakan parti Kulut Mawar. Umno tidak mempunyai keretakan parah di Gombak, dengan mengandaikan 3% hingga 5% sahaja orang Umno menyokong Bersatu. Peratus itu akan berganjak kepada Azmin. Mencampurkan peratus serpihan itu, Azmin menambah menjadi undi asasnya kita sekitar 20% sahaja.
Pas dikenal pasti meminati Azmin. Saya yakin kalau Azmin bertanding di Gombak, Pas tidak akan meletakkan calonnya walaupun pada awalnya Pas "memalu geduk" dengan kuat akan menentang Umno parti yang dulunya dikafir itu. Bila Azmin tayang ringgit gema geduk sudah lenyap. Pas berhenti "azan" untuk lawan Umno. Lagi pun bagi Pas lebih baik mereka menerima imbuhan daripada bertanding dalam pilihan raya yang tentu kalah.
Berdasarkan Piraum lalu Pas memperolehi 12.4% undi. Jika angka ini menjadi milik Azmin, beliau kini mempunyai 32.4% sebagai modal asas. Sukar untuk kesemua 12.4% undi Pas itu akan mengalir ke peti undi Azmin. Orang Pas yang celik dan tidak terus tertipu dengan Pas akan meralat balik sokongan mereka kepada parti agama itu.
Kepercayaan orang Pas kepada parti kini sudah berubah sejak Pas jadi sesuku daripada kerajaan PN. Banyak apa yang diucap dan dicanangkan Pas sebelum menjadi kerajaan tidak dilaksana walaupun sudah setahun lebih jadi kerajaan. Bukan itu saja kelemahan dan ketidak mampuan dan "kekampungan" Pas menjadi kerajaan terserlah. Bahawa Pas bukan parti layak menjadi kerajaan, melainkan parti layak menjadi anjing salakan semata.
Dengan bermodalkan 32.4% undi, Azmin masih samar untuk mengekalkan kerusi Gombak berbanding undi asas Keadilan setelah ditolak undi peribadinya tinggal 38.2%. Bermakna Keadilan masih boleh menang dengan beza 5.8%.
Dalam pada itu peluang untuk Keadilan mengekalkan kerusi itu tanpa Azmin juga bergantung kepada percaturan politik menjelang pilihan raya kelak. Begitu juga dengan Azmin. Azmin melalui jalan sukar kerana undi simpati bakal diraihnya tidak seperti beberapa tokoh yang bertanding atas tikit bebas sebelum ini yang mendapat undi simpati kerana beliau bukan dipecat oleh parti tetapi beliau yang khianat parti. Simpatinya kurang.
Sekiranya ura-ura Umno akan bekerjasama dengan PH, sudah nyata kerusi Parlimen Gombak akan diboloti oleh PH dengan kemenangan besar. Diyakini kira-kira 15% undi Umno setelah ditolak berubah ke Bersatu akan berpihak kepada PH. Ini bermakna Keadilan atau PH akan meraih 53.2% undi.
Sebaliknya kalau berlaku percaturan lain, seperti Umno dan Pas kekal dalam Muafakat Nasional (MN), ia memberi berita gembira kepada Azmin. Sekiranya wujud gabungan tiga buah parti itu, Keadilan atau PH akan gagal untuk mengekalkan kerusi Gombak sekaligus menafikan Azmin daripada masuk ke parlimen. Azmin kekal sebagai ahli Parlimen Gombak dengan kemenangan yang mewah.
Kesimpulannya waktu ini kita tidak dapat mengatakan dengan mudah Azmin akan tersungkur di Gombak. Azmin akan gagal sekiranya perkiraan-perkiraan tadi berlaku. Keadaan akan berubah sekiranya berlaku percaturan dan strategi politik yang tak terduga seperti kerjasama Azmin (Bersatu) dengan Pas dan Umno. Maka semua pihak jangan bertepuk terlalu awal bimbang takut pedih tangan saja-saja.
Lawan Azmin.
Dalam pada itu, untuk merebahkan Azmin soal calon juga memainkan peranan penting. Keadilan atau PH perlu meletakkan calon yang benar-benar dapat bersaing dengan Azmin baik dari segi wibawa, kecekapan mengurus (politik) dan juga kewangan. Tiga perkara itu penting untuk berhadapan dengan Azmin terutama kewangan.Azmin mengumpul modal dan wang bukan sebulan dua, tetapi sejak bertahun lepas. Beliau mempunyai persiapan rapi dan keperluan logistik mencukupi. Beliau memiliki bank khas untuk mendanai pilihan raya. Di pihak Keadilan hanya semangat dan luapan kemarahan dan dendam sahaja itu tidak mencukupi.
Ada beberapa tokoh telah disebut-sebut akan diletakkan untuk berhadapan Azmin di Gombak. Antaranya, MB Selangor Amirudin Shari. Perkara ini belum rasmi tetapi itulah yang kedengaran. Kononnya Amirudin layak untuk berhadapan dengan Azmin sekaligus sebagai menguji kesetiaan MB kepada parti. MB itu diketahui sebagai "budak" Azmin.
Kalaulah itu alasannya ia sesuatu yang tidak praktikal.
Ada juga yang menawarkan diri dari jauh untuk berhadapan dengan Azmin atas rasa marah melangit. Shaari Sungi, Adun Hulu Kelang juga bersedia untuk berhadapan dengan Azmin. Tawaran Shaari itu lebih kepada rasa marah dan kecewanya atas perbuatan Azmin. Shaari adalah antara kuli dan panglima Azmin di Gombak.
Nama Husam Musa juga diheret sama untuk diletakkan bertanding di Gombak. Nama Husam itu dikira hanya gurauan sahaja. Nama Ezam Muhamamd Noor lebih serius. Kalaupun Husam ada niat untuk bertanding di luar Kelantan sekali lagi, kawasan paling sesuai baginya ialah di Putrajaya atau Temerloh, Pahang.
Jika dikira lebih pantas dan untuk menyaksikan dua anak buah anak Anwar berentap, Ezam lebih sesuai untuk diadukan dengan Azmin. Tetapi Ezam ada masalah, setengah orang Keadilan yang kemetot politiknya, masih belum dapat melupai sejarah hitam Ezam yang dicoretkan kepada Anwar dan Keadilan. Citrawara dalam politik masih belum difahami.
Sebenarnya untuk mencapai sesuatu agenda besar dan penting, menumbangkan Azmin, sejarah sedemikian patut diketepikan. Apapun kalau saya sebagai presiden Keadilan saya akan menghantar Nurul Izzah di Gombak untuk berhadapan dengan Azmin. Nurul Izzah boleh mewakili batang tubuh ayah dan ibunya untuk menghapuskan sang pengkhianat itu. Ia juga sesuai kerana Nurul Izzah antara pemimpin Keadilan yang sangat marahkan Azmin.
Pertemuan Nurul Izzah dengan Azmin akan melempiaskan dendam antara keduanya. Perlawanan kedua mereka bolehlah dianggap sebagai perjumpaan buku dengan ruas. [wm.kl. 11:16 am 08/06/2021]
No comments:
Post a Comment