Wednesday, October 13, 2021

Gelandangan nomad sudah dapat rumah

KEMANUSIAAN

Ahmad Nor Nizam menerima kunci daripada
Mohd Isa diperhati Abil Faizal.
SEBAIK kebenaran merentasi sempadan (negeri) diberikan bermula kelmarin (11/10), saya sudah mula memanjangkan langkah, dihari pertama mengunjungi kompleks Global Ikhwan Sdn Berhad (GISB), syarikat konglomerat Islam yang menyambung perjuangan Darul Arqam bertempat Country Home, Rawang.

Semalam (12/10) lanjutkan langkah  ke Tanjung Malim Perak pula dalam memenuhi tanggungjawab misi kemanusiaan dan melaksanakan amanah sesama manusia, habluminanas.

Saya akan membuat sedikit catatan ringkas disini permulaan langkah panjang saya itu, dengan memulakan catatan ke Tanjung Malim, kemudian diikuti catatan ke Country Home yang penuh nostalgik itu di kesempatan yang lain. 

Misi ke Tanjung Malim lebih bererti bagi saya kerana dapat menyempurnakan hajat dan keinginan insan-insan tertentu dalam mengeratkan tali silaturahim dan berbuat kebajikan sesama manusia. 

Walaupun semalam kepala saya berat, pening-pening untuk berjalan, mungkin faktor darah, saya gagahi juga diri untuk melihat peristiwa yang kepada saya penting dan sangat bererti. Jika tidak dijemput Abil Faisal Mohamed dan Mohd Zamany Yaakub mungkin saya tak sempat ke sana kerana tidak larat untuk pandu kereta sendiri. 
 
Sebesar hama.

Sebahagian pemandangan dalam
pangsapuri kediaman baru Nor Nizam. 
Apa yang berlaku semalam mungkin sehalus hama sahaja kalau hendak dikira dengan projek-projek atau pun kerja orang-orang politik. Tetapi bagi saya dan mereka terlibat, sangat besar ertinya, yang mana peristiwa seperti semalam tidak mudah tersentuh oleh orang politik yang lebih melihat keuntungan yang diraihnya daripada keredhaan Allah. Mungkin mereka (orang politik) sengaja biarkan kerja seperti itu untuk membahagi pintu syurga dengan kami.  

Sudah menjadi kelaziman orang politik setiap apa yang mereka lakukan perlu mendapat pulangan tinggi, jarang ada yang diberi secara gratis. Semua harus berbalas setidak-tidaknya dengan satu undi.  

Sementara kerja dan amalan kami lakukan semalam adalah kebajikan yang tidak akan mendapat apa-apa laba pun dari konteks politik. 

Saya juga percaya apa yang berlaku semalam tidak semudah itu kerana kalau ia membabitkan tangan politik atau kerajaan ia perlu melalui SOP tertentu dan menghadapi kerenah birokrasi yang berbelit-belit. 

Paling cepat selesai pun mungkin enam bulan. Bagaimana alhmadulilah, apa yang diusahakan semalam berhasil tidak sampai setengah bulan.

Kerja semalam yang dimaksudkan ialah menyaksikan penyerahan kunci rumah oleh seorang hamba Allah kepada hamba Allah yang lain. Sdr Mohd Isa Jaias dari Kampung Gajah, Perak yang merupa seorang pembaca setia blog ini telah bermurah hati untuk membenarkan unit pangsapurinya yang terletak di Ulu Bernam Selangor bersebelahan di Tanjung Malim untuk kediaman sdr Ahmad Nor Nizam bersama isteri dan anaknya.

Kisah Ahmad Nor Nizam bersama isteri Nurfadilla Zakaria dan seorang anak lelakinya Muhammad Firdauz Aman berusia tiga tahun hidup bergelandangan, berpindah randah ke serata tempat kerana mengalami masalah kesulitan hidup gara-gara pandemik dimuatkan dalam blog ini. 

Kisah beliau itu mendapat perhatian sdr Mohd Isa kemudian menghubungi saya menyatakan kepiluan hatinya dan berhajat untuk membantu Nor Nizam. Selepas itu sdr Abil menghubung Mohd Isa bagi tujuan penyerahan rumah itu semalam: https://msomelayu.blogspot.com/2021/10/tiga-beranak-hidup-pindah-randah-macam.html#more

Budi baik dan kemurahan Mohd Isa sangat bererti bukan sahaja kepada Ahmad Nor Azam bersama anak dan isterinya, tetapi turut sama membanggakan saya dan juga sdr Abil Faizal bersama Mohd Zamany ginfakkan makan dan keperluan lain hampir setiap hari.

Mungkin apa dilakukan oleh Mohd Isa, serta khidmat menginfak makanan kepada gelandangan oleh Abil dan Zamani (Abel Global) itu usaha kecil dan mudah sahaja dan perkara biasa. Namun jika tidak ada kecelakan dan rasa kemanusiaan yang tinggi dalam diri ia tidak mudah dilaksanakan.

Ramai orang kaya raya dan mempunyai berpuloh buah rumah dan banglow, ada yang dibiarkan didiam semak samun dan haiwan atau jadi rumah hantu, tetapi tidak seorang pun terbuka hati untuk membantu keluarga gelandangan seperti Ahmad Nor Nizam itu. Setengah rela membiarkan sahaja harta benda yang boleh dimanfaat oleh mereka memerlukannya itu begitu sahaja. 

Khairy Jamaluddin.

Usahkan rela untuk memberi pinjam rumah, perkara sekecil bantu untuk mendapat vaksin bagi Ahmad Nor Nizam dan Nurfaradilla itu pun sukar. Saya telah memaklum dan mohon jasa baik kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi twitter tetapi masih belum berbalas. Khairy telah lantik 13 orang pegawai untuk membantunya bagi memudahakan kerja-kerja tolong rakyat tetapi belum mendapat apa-apa respon sehingga catatan ini dibuat. Disebabkan kerenah birokrasi menyebabkan Nor Azam dan isteri masih belum dapat vaksin.

Itu saya katakan budi baik dan keikhlasan hati Mohd Isa bukan sesuatu yang kecil kepada saya. Ia boleh dikatakan satu dalam seribu. Misalnya yang membaca blog saya atau mengetahui kisah Ahmad Nor Nizam bukan sedikit, tetapi hanya beberapa orang sahaja terkedu dan mempedulikan dengan nasib gelandangan nomad ini dan sudi menghubungi saya bertanya khabar. Nilai kemanusiaan kita kian kering.

Demikian juga dengan usaha Abil Faisal dan Zamany menerusi Abel Global itu menginfak makanan kepada gelandangan bukan kerja mudah dan sanggup dilakukan semua orang. Lagipun apakah manfaat dari segi politik dengan kerja mulia itu. Saya kagum usaha dua lelaki ini membantu gelandangan di Lembah Pengharapan. Usaha suka rela dan iklhas mereka sepatutnya disokongi kita semua. 

Hanya orang yang mempunyai daya simpati tinggi dan kasihan serta prihatin sesama makhluk sahaja serta tidak mengharap benefit keduniaan sahaja sanggup melakukannya. Sebab itu Allah menyediakan imbuhan dan imbalan tinggi kepada hamba-Nya yang ikhlas menderma, melakukan kerja amal dan kebajikan lain.

Kemurahan hati Mohd Isa itu, tentu sekali menggembira saya. Mungkin saya tidak terlibat secara langsung menyediakan atau memberi apa-apa material buat Ahmad Nor Nizam, tetapi sumbangan kecil saya menerusi penulisan yang saya anggap perjuangan ini, sedikit sebanyak telah membantu membuka jalan cerita dan mendedahkan sinopsis kehidupan ini untuk disambung plotnya oleh yang lain. 

Insya-Allah usaha atau misi kemanusiaan menerusi blog ini yang telah bermula sejak lama dahulu akan diteruskan selain daripada melaporkan perkembangan politik yang kian "sinting" dalam negara waktu ini. Misi Kemanusiaan blog ini sebenarnya seakan terhenti sejak enam tahun lalau ketika kebetulan saya uzur kerana kanser Limfoma. Kepada semua pembaca budiman yang ikut membantu dan simpati dengan saya menggerakkan misi kemanusiaan diucapkan berbanyak terima kasih. 

Sebak.

Diupacara penyerahan kunci dan masuk kediaman semalam, bukan sahaja air mata Ahmad Nor Nizam terjun laju dari jendela matanya saat menerima kunci daripada Mohd Isa, tetapi hati saya juga turut bera dan bengkak. Apa yang saya rasa ketika itu ialah betapa ikhlas dan prihatinya Mohd Isa kepada nasib Ahmad Nor Nizam sekeluarga. 

Terbetik dalam fikiran saya kalau kita semua mempunyai sikap prihatin dan kemurahan hati seperti beliau, pasti tidak ada akan manusia susah hidup merempat dalam negara ini. Apa lagi berbagai Ngo yang wujud atas maksud sama dan juga berbagai institusi kebajikan seperti Majlis Agama Islam, Perkim, Ja'miah Islam dan lain-lain merupakan institusi berlandaskan kebajikan yang sememangnya ditubuh untuk membantu sesama insan dan memiliki kewangan yang banyak. 

Ahmad yang datang dengan ditemani ibunya, Sofiah bet Awang di majlis itu, dengan rendah diri menyatakan, apa yang dilakukan itu memberi tempat tinggal kepada Ahmad Nizam adalah sebagai kewajiban sesama manusia seperti mana yang dianjurkan oleh Allah.

Ditanya macam mana beliau menyedari kehidupan Nor Nizam yang tidak menentu itu beliau menjelaskan setelah membacanya daripada blog Merah Tinta.

"Saya terpanggil untuk membantunya setelah membaca blog Mohd Sayuti Omar (Merah Tinta), dari situ saya hati saya terbuka untuk membantunya. Kebetulan saya ada kediaman yang tidak diduduki, jadi saya fikir, baik rumah ini didiami oleh Ahmad Nor Nizam besama aisteri dan anaknya daripada terbiar begitu sahaja," ceritanya sambil berharap mudah-mudahan dengana ada tempat tinggal yang kekal, Nor Nizam dapat menjalankan kehidupan baru yang selesa.

Gambar kenangan berlatar belakangkan
pangsapuri Sri Hormoni kediman Nor Nizam.
Kemurahan hati Mohd Isa disambut dengan rasa syukur dan perasaan sebak oleh Ahmad Nor Nizam yang berjanji akan menjaga rumah itu sebaik mungkin dan berazam akan berusaha untuk membaiki kehidupannya sekeluarga. 

"Saya mengucapkan terima kasih banyak kepada Encik Mohd Isa yang bermurah hati membenarkan saya bersama isteri dan anak-anak tinggal disini.

"Sebenarhya kalau saya bersendirian saya tidak kisah hidup merempat dan tidur di mana sahaja, tetapi saya bersama isteri dan dianugerahkan pula anak oleh Allah, ini menyebabkan saya jadi tertekan dan rasa bersalah," katanya tidak dapat meneruskan kata-kata.

"Saya juga berterima kasih kepada Encik Abil dan Abem Global yang banyak membantu saya selama ini," sambung Nor Nizam, sekali lagi dia sebabk dan tidak dapat berkata-kata.

Beberapa jurus kemudian baru beliau menyambung kata sambil menyapu air mata yang makin lebat turun," saya tidak tahu hendak balas dengan apa jasa tuan tuan, cuma saya berdoa dan minta Allah Swt membantu tuan-tuan semua diberikan keberkatan dan murah rezeki untuk terus membantu orang-orang seperti saya," katanya sambil berjanji akan membina kehidupan baru dengan mendapatkan apa saja kerja.

"Saya sedia melakukan apa sahaja kerja untuk keperluan hidup saya anak beranak," ujarnya semacam menawarkan diri untuk berkerja dengan sesiapa dan apa jua jenis kerja bagi memulakan kehidupan baru.

Seusai upacara itu Mohd Isa mengajak Nor Nizam dan kami semua makan tengah hari di restoran berdekatan dengan pangsapuri berkenaan. Seperti sakit yang dicabut, sepanjang pulang dari majlis itu kepala saya yang berat tadi menjadi ringan dan dimata terbayang bagaimana gembira dan bahagiannya Ahmad Nor Nizam bersam isteri dan anaknya kerana selepas ini kehidupan mereka sebagai gelandangan nomad itu sudah berakhir. [wm.kl.9:43 am 13/10/2021]


No comments: