Wednesday, October 6, 2021

Tiga beranak hidup pindah randah macam nomad

KEMANUSIAAN

Nur Faradilla, anak dan suaminya
Ahmad Nur Nizam.

BERBILLION ringgit yang diperuntukan kerajaan untuk membantu rakyat mengatasi keperitan hidup kerana dibaham pandemik, tetapi tidak semua rakyat bernasib baik menerima dan mengecapi nikmati bantuan itu. 

Peruntukan mencecah lebih RM500 bilion ringgit sejak pandemik mengancam negara awal tahun 2020, tidak menjamin semua rakyat mendapat manfaat daripadanya. 

Pakej demi pakej rangsangan ekonomi membantu menjanakan ekonomi rakyat, bantuan Prihatin Rakyat (BPR), bantuan perniagaan, juga tidak menjamin semua rakyat bebas dari menghadapi keperitan hidup kerana pandemik. Begitu juga ratusan ribu bakul makanan diperuntukan menerusi wakil-wakil rakyat atau Ngo, tidak menjamin semua diberikan sama rata dan sama rasa, serta dirasai semua mereka berhak menerimanya. Ketirisan dan kepincangan tetap berlaku.

Pemandangan dalam "pongek"
kereta Ahmad Nur Nizam..
Lantaran terlepas pandang, diskriminasi atau kerana ada sikap rakyat sendiri yang pesimis dengan bantuan kerajaan, bukan sedikit mereka terancam dan terkesan dengan kemelesetan ekonomi di era pandemik. Masih ada yang terus merana dan dhaif menjalani kehidupan. Kerana itu seolah-olah usaha kerajaan itu seperti tidak berkesan atau hanya bersifat formaliti semata. 

Gara-gara takdir Covid, ribuan orang kehilangan mata pencarian.  Terpaksa hidup mengikat perut dan berjimat cermat. Dalam pelbagai cerita suka duka itu ada insan-insan yang terus "tercekik kesengsaraan" hidup tanpa dipedulikan.

Dalam kereta penuh dengan kain dan
bungkusan.

Covid mengubah hidup dan kehidupan seratus peratus. Ada yang terpaksa menempuh normal baharu yang merujakan. Daripada ada kerja, menganggur dengan tiba-tiba. Daripada memiliki rumah tempat berteduh, tiba-tiba ternafi kerana tidak mampu untuk menanggung membayar sewa dan sebagainya.  Ada keluarga yang sebelum ini hidup bahagia bercemperaian kerana tidak tahan menanggung ujian. 

Turut menjadi mangsa pandemik sepasang suami isteri bersama seorang anaknya. Pandemik merubahkan kehidupan mereka, menjadikan mereka hidup seperti gelandangan, berpindah randah dari satu lokasi ke lokasi seperti nomad. Nasib atau suasana hidup pasangan ini berlaku sejak sebulan lepas. 

Pasangan malang itu ialah AHMAD NOR NIZAM MAHARANI, 45 bersama isterinya NOOR FARADILLA ZAKARIA, 40, dan anaknya dikenali dengan Muhammad Firdauz Imam 3, tahun.

Pasangan ini mula hidup bagai gelandangan sejak setahun lalu apabila terpaksa keluar daripada rumah sewa di Pandan kerana tidak mampu membayar sewa. Sebelum ini mereka menyewa sebuah bilik di bangunan rumah kedai dengan kadar RM500 sebulan. Tetapi terpaksa keluar apabila tidak mampu membayar sewa rumah selama tiga bulan berturut-turut.  

Sejak itu pasangan ini mengambil keputusan untuk hidup bergelandangan dengan menjadi kereta Waja usang sebagai rumah atau tempat kediaman mereka bertiga beranak. 

"Sejak keluar dari rumah kami hidup berpindah randah, dan menjadi kereta ini sebagai rumah kami, tempat tidur," cerita Ahmad Nur Nizam sewaktu ditemuinya di Hentian dan Rehat (R & R)  Awan Besar, di Bukit Jalil. Menurutnya, beliau memilih tempat itu sebagai tempat parking keretanya kerana untuk mendapat kemudahan menggunakan tandas dan bilik air untuk mandi manda, membasuh kain baju dan Wifi di hentian itu

Dalam kereta inilah
tiga beranak tidur.
Menurutnya menjelang petang mereka akan pulang untuk parking di situ kemudian esok atau bila-bila masa bergerak untuk memburu rezeki. Zone pergerakan mereka ke Kuala Lumpur dan hingga Kelang, Shah Alam dan lain-lain semata-mata untuk memburu rezeki.

Mencerita rentetan nasib malangnya itu, Ahmad Nur Nizam berasal yang berasal Bentung, Pahang, menceritakan mulanya dia bekerja di sebuah syarikat pembinaan dan menyewa rumah dibangunan kedai di Pandan. Disebabkan pandemik beliau diberhentikan dan terus kehilangan kerja. 

Sementara isterinya Nur Faradila berasal dari Sekinchan Selangor, mulanya menjalankan perniagaan secara on line dengan menjual bermacam-macam keperluan tetapi terpaksa berhenti apabila perniagaan merosot setelah pandemik.

"Saya buat macam-macam kerja untuk menerus kehidupan, mula berniaga secara on line, mula ok, tetapi berhenti apabila kehabisan modal," ceritanya dengan nada sedih sambil mengawal anaknya yang meronta-ronta. Sambungnya lagi, beliau juga pernah mengambil upah menjaga anak seorang warga Filipina dengan janji diupah sebanyak RM1,500 sebulan bagaimana pun tertipu.

Selepas itu dia terus tidak bekerja kerana terpaksa menjaga anaknya yang berpenyakit. Anaknya Muhammad Firdauz Imam merupakan anak hyper aktif yang tidak boleh dilepaskan dan senantiasa meronta-ronta. Adakalanya Muhammad Firdauz Imam diserang kekejangan menyebabkan sukar bernafas. Anaknya juga ada masalah jantung yang memerlukan ubat sepanjang masa. 

Selepas keluar daripada rumah itulah hidup mereka merempat dan menjadikan kereta sebagai tempat tinggal malam dan siang. Hidup mereka berpindah dari satu lokasi ke lokasi  bagaikan pelarian nomad untuk memburu rezeki dan juga mencari kerja. Di mana ada tempat disediakan makanan untuk gelandangang mereka akan pergi mendapatkan makanan.

Menurut Ahmad Nur Nizam beliau sudah berusaha macam-macam cara untuk menampung kehidupannya bertiga beranak tetapi belum berhasil. "Saya ada mohon macam-macam kerja tetapi belum dapat. jadi sementara terpaksa mengemis," ujarnya tanpa segan silu. 

Difahamkan kenapa sebab beliau sukar untuk mendapatkan kerja kerana belum mendapat suntikan vaksin. Sesetengah tempat yang dipohon kerja meminta sijil vaksinasi. Sebuah stesen minyak ada menawarkan kerja dengan gaji RM1,2000 tetapi tidak dapat dipenuhi kerana ketiadaan vaksin.  

Bertanya khabar dan dengar 
cerita dari Ahmad Nur Nizam.

Apabila ditanya kenapa dia dan isterinya tidak mendapat suntikan vaksin, pasangan itu memberi alasan, kerana sangat susah untuk mendapatkannya. Menurutnya mereka sudah pergi beberapa kali ke Pusat Vaksinasi (PPV) untuk mendapatkan suntikan tetapi gagal. 

Apa yang menjadi masalah kata mereka, PPV mahukan pengesahan mereka tinggal di sesuatu tempat dengan meminta bil eletrik dan air dan syarat lain sebagai pengesahan. "Mereka minta bil air dan api, kami mana ada, sebab rumah pun tidak ada macam mana minta bil air dan api," jelas mereka kesal.

Bagaimana pun cerita mereka ini tidak tersaul dek akal saya, masakan begitu sekali kerenah birokrasi PPV. Tidak munasabah kalau rakyat negara sendiri ini sukar untuk mendapatkan vaksin sedangkan warga asing, boleh mendapatkannya dengan mudah. Semacam ada sesuatu yang sengaja dielakkan oleh suami isterinya? 

Mengisahkan macam mana pasangan malang tiga beranak ini sampai ke pengetahuan saya, ia bermula apabila suatu hari pasangan ini terserempak dengan seorang lelaki budiman yang melakukan kerja-kerja kebajikan membahagikan (menginfakkan) makanan kepada gelandangan di sekitar di Lembah Pengharapan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Lelaki budiman ini hampir setiap hari membahagikan makanan kepada kira-kira 100 gelandangan di situ sejak sebulan lampau. 

Lelaki itu menyiarkan kisah kesusahan tiga beranak gelandang ini dalam Tiktok. Cerita itu menyentuh perasaan saya, menjadikan saya terpanggil untuk menemuinya sendiri bagi menyelongkarkan kisah kehidupan mereka.

Jadi petang semalam saya bersama lelaki budiman itu mencari pasangan tiga beranak ini. Destinasi yang dituju ialah ke (R n R) Awan Besar, Bukit Jalil kerana dipercayai pasangan itu akan parking keretanya untuk bermalam di situ.

Niat kami berhasil. Ternyata kereta pasangan itu ada di parking di kawasan itu, berhampiran dengan wakaf. Sewaktu kami tiba ketiga beranak itu sedang lena tidur. Mungkin selepas mereka makan tengah hari? Kami tidak mengganggu tidur mereka dan menunggu sehingga mereka tiga beranak sedar. 

Sebaik mereka sedar dan menyedari kedatangan kami Ahmad Nur Nizam cepat-cepat mendapatkan kami. Mungkin dia sudah mengetahui kedatangan kami. Yang pastinya dia sudah cam wajah lelaki budiman yang membantunya itu. 

Hati saya dikutir kesayuan tatkala melihat ke dalam keretanya yang dijadikan rumah itu. Di dalam keretanya penuh dengan barang berupa pakaian mereka bertiga dan juga bungkusan makanan yang mereka dapat dari sesiapa sedekahkan kepadanya. Keadaan dalam kereta kurang selesa, apa lagi untuk menempatkan anaknya yang mengalami masalah kesihatan itu. Ia sangat tidak kondusif. Tubuh anak sudah kelihatan kering dan jelas sekali kekurangan zat makanan.   

Kami menghabiskan masa hampir satu jam berbicara dan saya menyelidiki asal usulnya serta mencari solusi menyelesaikan masalahnya di atas wakaf itu. Menurut Ahmad Nur Nizam dia berasal dari Kuantan Pahang. Tetapi menurut alamat dalam kad pengenalan alamat di Bentung Pahang. 

Mulanya dia tinggal dan bekerja di Kuantan kira-kira dua tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Sementara isterinya berasal dari Batu Kikir Negeri Sembilan, alamat dalam kad pengenalan di Sekinchan Selangor. Kedua mereka merupakan pengundi berdaftar di Sekinchan dan Bentung.

Mereka mempunyai tiga anak, seorang telah meninggal, yakni kembar kepada Mohamad. Sementara yang perempuan anak tirinya, (anak Nur Faradilla) tinggal bersama neneknya di kampung. 

Ditanya mengenai kaum keluarga, mereka menjelaskan terputus dengan kaum keluarga masing-masing. Masing-masing membawa diri dan tidak mempedulikan diri mereka. Dari sini saya dapat memahami mereka bertiga beranak ini seperti dibuang oleh keluarga masing-masing. Nur Faradilla enggan mencerita lanjut bila diaju perkara ini. Saya tidak meneruskan untuk membendung perasaannya terusik. 

"Ada waris dan adik beradik tetapi masing-masing hidup sendiri-sendiri," ujarnya denga nada mengelam.

Ditanya apakah yang diperlukan pasangan ini waktu ini, jawabnya ialah rumah kediaman. Jika mereka ada rumah mungkin senang untuk atur kehidupan dan memulakan penghidupan baru. "Yang paling diperlukan ialah rumah tempat tinggal," " ujar Ahmad Nur Mizan sambil menekan kalau boleh di kawasan luar bandar pun tidak mengapa. Menurutnya beliau sudah berusaha untuk mendapat rumah sewa, tetapi buat masa ini tidak mampu kerana penyewa mahukan deposit yang tinggi, beliau tidak mampu.

"Ada dua tiga kali saya tanya rumah untuk disewa tetapi semua minta wang pendahuluan sampai RM1,000 hingga RM1,500, saya tidak mampu untuk memenuhinya. Jadi sementara terpaksalah hidup cara ini, tidur dalam kereta," katanya sayu. 

Apabila ditanya, macam mana dia dapat memiliki kereta? Jelasnya, kereta itu dibeli hasil daripada wang simpanan KWSP yang dikeluarkan menerusi I-Citra. "Saya keluarkan wang KWSP saya campur dengan wang simpanan KWSP isteri, dapat saya beli kereta ini, harganya kira-kira RM4,000," katanya jujur. Pembelian kereta itu untuk memudahkan bergerak dan kini bertindak menjadi rumah. "Mujurlah ada kereta ini dapat dijadikan tempat berlindung kami anak beranak," sambungnya sambil menyebut beberapa kali terpaksa meminta wang daripada orang untuk mengisikan minyak.

 Dengan bersangka baik, pasangan ini tergolong dalam mereka bernasib malang dan perlu dibantu. Mereka perlu diheret keluar dari terowong kesusahan itu. Sebenarnya bukan sahaja pemuda Budiman dari Lembah Pengharapan itu perlu dan diharap terus membantunya, tetapi kita semua juga. Berbagai agensi kerajaan yang ada, baik jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, boleh membantu bagi meringankan beban pasangan ini anak beranak.

Walaupun kes ini kes terpencil (mungkin) tetapi ia perlu dibantu. Kes kes kemelaratan hidup seperti dialami pasangan ini sesuatu yang tidak patut berlaku dalam negara Malaysia yang aman makmur dan terkenal dengan rakyat berhati mulia dan suka membantu. Apa lagi dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tempat bermungkinkan gelandang yang Majlis Agama Islamnya (Maip) terkenal dengan memiliki kekayaan dan mempunyai simpanan derma dan sedekah orang ramai yang banyak, wajar menggunakan wang itu untuk membantu orang seperti keluarga ini bukan digunakan untuk pelaburan bagi memboyokan akaun Maip.  

Adalah memalukan kalau dalam wilayah yang kantung majlis agamanya lumayan tetapi masing ada asnaf-anaf kesusahan dan kelaparan seperti itu, ia sesuatu yang menyesalkan.

Diharap pihak-pihak berkenaan, khasnya Kementerian Kesihatan, termasuk menterinya sendiri Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Majlis Agama Wilayah Persekutuan (Maip), Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh mengambil kes ini sebagai kes-kes terlepas pandang yang boleh mencacatkan kesyumulan dan tujuan agensi berkenaan diwujudkan untuk membantu dan menangani kes-kes seperti dialami gelandangan nomad ini.

Perkara paling utama diperlukan dan tidak ada halangan untuk membantunya bagi vaksinasi kepada mereka dengan segera untuk membolehkan pasangan ini khasnya Ahmad Nur Nizam bergerak bagi mendapatkan kerja untuk memelihara isteri dan anaknya. Kedua tentu tempat tinggal walaupun tidak selesa, tetapi mengelakkan mereka tidak tidur dalam kereta. 

Dalam kawasan Kuala Lumpur banyak rumah kerajaan atau flat kerajaan terbiar tidak digunakan, sementara rumah itu diroboh dan dibangun semula, ambil satu unit berikan kepada mereka untuk dijadikan tempat berlindung dari hujan dan panas sementara waktu, mengganti kereta sebagai rumah itu. Foto: Zamani Yaakob. [wm.kl.1: 32 pm 06/10/2021] Up: Ingin mendapat maklumat lanjut sila WhatsApp: 016 8443996.

No comments: