Sunday, April 21, 2024

Addendum senjata baru pembangkang

ULASAN DAN PENDAPAT

Anwar bersama Zahid Hamidi, gabungan 
menjadi paksi kerajaan Madani.
KEMERIAHAN Aidilfitri 1445 ini digerhanai oleh cerita baru yang "digumbakan" untuk menganggu ketenteraman kerajaan Madani amnya, dan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri khususnya.

Gangguan ini bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan ini. Selepas projek tebuk atap khalaf, kini timbul pula isu addendum (titah tambahan), pengampunan terhadap bekas PM Mohd Najib Razak. Dengki dan dendam kepada Anwar tidak habis-habis.

Titah tambahan atau addendum berhubung pengampunan terhadap Najib dijadikan modal untuk menggugat kerajaan Madani dan Anwar. Iya menambahkan kegembiraan pihak membenci Anwar apabila adendum itu diikrarkan (dijadikan afidivit) oleh Zahid Hamidi menyokong semakan kehakiman oleh Najib Razak. 

Sokongan Zahid Hamidi itu sedikit mencelarukan keadaan memandangkan beliau berada dalam kerajaan, sikapnya itu seperti memijak ekor sendiri. 

Sebenarnya apa dilakukan Zahid itu tidak perlu diragui jika kita mengetahui sejarah politiknya. Maaf saya cukup faham hipokrasi politik Zahid. Adalah naif kalau Zahid tidak faham akan implikasi perbuatan itu. Beliau kini ditekan dari dalam Umno kononnya tidak berbuat apa-apa untuk proses pengampunan dan membebaskan Najib. Para penyodok punggung Najib malam siang menghentam Zahid menuduh Zahid sudah jadi kacang lupakan kulit terhadap Najib.

Ikrar afidivit atau menjadi saksi "kritikal" itu adalah bukti yang beliau membela bosnya itu. Jadi apa dilakukan Zahid itu tanpa mengira implikasinya untuk membuktikan bahawa dia masih setia dan berusaha untuk membebaskan Najib. 

Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April lalu bagi mendapatkan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan yang dipertuan Agong ke-16 berhubung pengampunan untuknya. Apa menjadi masalah adendum berkenaan sebelum ini tidak berbangkit. 

Najib terus memperjuangkan
kebebasan mutlak.
Dalam titah tambahan itu memberi pengampunan supaya bekas PM itu menjalani pemenjaraan selama enam tahun di rumah. Sebelum ini pengampunan sudah diberikan kepada Najib dengan memotong tempoh pemenjaraan 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM120 juta kepada RM50 juta.

Zahid membuat afidivit itu, mengakui mengetahui akan titah tambahan itu apabila beliau dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika mereka bertemu di rumah Zahid di Country Height pada 30 Januari.

Ekoran penemuan titah tambahan itu yang kemudian dijadikan afidivit bagi menyokong semakan kehakiman Najib ia menimbulkan polemik sehingga ada yang beranggapan ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam kerajaan sehingga ada yang menyangka ada keretakan dalam kerajaan. Ada yang menuduh anggota kabinet berbohong mengenai pengampunan terhadap Najib dengan menyembunyikan titah tambahan itu, dan "sepoi"nya ada cuba mengaitkan wujud campur tangan perdana menteri sama. 

Antara individu terpalit dengan tuduhan, Saifuddin Nasution Ismail selaku menteri Dalam Negeri (KDN) dituduh sebagai bertanggungjawab mengenai hal itu dengan tidak berterus terang. Apabila Saifuddin diserang, ertinya serangan itu tertuju kepada PM.

Ironisnya, addendum itu menjadi perkara yang turut disinggung oleh seorang ahli Parlimen Kerajaan, Hassan Karim (Pasir Gudang) yang mempersoalkan tindakan Zahid membuat afidivit yang menyokong semakan kehakiman Najib itu sebagai mencabar kerajaan.

Hassan dalam mempersoalkan tindakan Zahid itu membawa balik kisah Musa Hitam dengan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, dimana Musa mengundur diri dari kabinet kerana tidak sehaluan dengan Mahathir. Ahli Parlimen Pasir Gudang memberi signal kepada Zahid dengan mencadangkan Zahid berbuat hal sama dengan Musa terhadap Mahathir, berundur dari kabinet. 

Sedikit sebanyak isu addendum ini menganggu minda Anwar Ibrahim. Semasa berucap di konvensyen Keadilan sempena 25 tahun parti itu hari ini, beliau menjelaskan tentang perkara itu dengan menegaskan kerajaan tidak akan mempersoalkan kuasa Yang diPertuan Agong dan Raja-raja Melayu dalam sesuatu isu termasuk permohonan Najib Razak agar dia dibenarkan menjalani hukuman di rumah.

Menurut Anwar yang juga presiden Keadilan, isu itu menyentuh peranan dua pihak iaitu Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, serta Agong sendiri. Maksudnya dua pihak itu bertanggungjawab dan beliau tidak terbabit.

Dalam pada itu beliau juga menafikan Afidavit Zahid itu melibatkan sebarang cubaan kerajaan untuk mengurangkan keputusan yang sudah ditetapkan oleh mahkamah ke atas Najib.

"Pendirian kita (kerajaan) adalah tuntas, bahawa keputusan dibuat dalam mesyuarat lembaga pengampunan, keputusan muktamad," ujarnya di hadapan lebih 5,000 peserta dan pemerhati konvensyen di IDCC Shah Alam.  

Anwar juga memberi tahu sejak merdeka hingga sekarang belum ada tindakan kerajaan yang menyinggung peranan dan kuasa Raja-raja Melayu, dan itu kita kena pertahankan.

Mengenai perkara semakan kehakiman oleh Najib ini saya ingin menyimpul begini, bahawa isu ini tidak terlibat dengan perdana menteri atau kerajaan secara langsung. Pihak kerajaan mematuhi dan menerima apa yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan manakala hak menyemak itu adalah hak mutlak Najib.

Kedua, isu berkenaan adalah isu peribadi Najib Razak dan Zahid Hamidi sebagai bekas presiden Umno dengan presiden Umno yang berkebetulan kedua mereka adalah mempunyai hubungan sahabat. Apabila Zahid mencatatkan nama jawatannya dalam Afidavitnya selaku Timbalan Perdana Menteri, ia tidak boleh dikaitkan Afidavit itu sebagai suara kerajaan.

Mereka yang menganggap tindakan Zahid itu sebagai melawan atau mencabar keputusan kerajaan adalah silap dan kurang mencermati serta memahami chemistry politik di antara bekas perdana menteri dengan timbalan perdana menteri serta juga cetek tentang seni politik demokrasi ala Malaysia. Dan tidak dinafikan isu Najib ini memberi sedikit tekanan jiwa baik kepada Zahid dan juga Anwar Ibrahim namun jauh sekali kalau meretakkan kerajaan Madani. [wm.kl. 6:50 pm 21/04/2024]

1 comment:

Anonymous said...

Itulah politik Dan strategi..demi kelangsungan Dan meredakan konflik dalaman party..Zahid mesti menyokong bekas bosnya Dan menaut kembali keretakan para ahli UMNO yg terpecah 3 kelompok.Adakah Zahid akan berjaya Dan DSAI tercalar wibawanya.