Tuesday, May 7, 2024

WBSL buah tangan istimewa daripada Husam

 PROMOSI

Cover buku WBSL
SAYA diberikan mock-up buku Wagyu Bukan Sekadar Lembu (WBSL) yang ditulis oleh Pengerusi Syarikat Perumahan Negara (SPNB), Datuk Husam Musa. Ramai orang mengenali Husam sebagai ahli politik, tetapi tidak ramai mengetahui beliau seorang penulis yang baik, kecuali mereka yang meminati dunia pembukuan. 

Husam pernah menghasilkan beberapa buah buku sebelum ini mengupas dan memberi pandangan terhadap isu semasa, ketika beliau menjadi ahli parlimen Kubang Kerian (1999 – 2004). 

Antara buku beliau yang menjadi kontroversi dan rujukan politik (bahan) ialah BN Khianati Amanah Rakyat, merupakan pendedahan kebobrokan kerajaan ketika itu yang "menyangkau" harta rakyat dalam beberapa agensi seperti Tabung Haji, Mara, Perwaja dan lain-lain. Turut sama didedahkan mengenai penglibatan seorang ahli politik kerajaan memiliki saham judi di Genting.
Selain buku itu, ada beberapa buah buku lain berhubung isu semasa merupakan antologi ucapannya di parlimen dihasilkan Husam. Pengamatan Husam bukan saja dalam aspek politik, tetapi dari aspek lain juga termasuk keagamaan (kerohanian), pertanian dan kemanusiaan. Sebuah buku beliau yang bersifat romantikal, ialah mengenai hubungan kemanusiaan, kasih dan cinta Zulaikha dengan Nabi Yusof. Buku tentang cinta agung Zulaikha dengan Yusof itu ditulis berdasarkan apa dikisahkan dalam Quran.

Antara fioto dalam
WBSL Husam bersama Zambery A Kadir
Dalam penulisannya Husam bersendikan kepada firman Allah SWT, dalam kata lain menjadikan al-Quran sebagai panduan. Sama dengan buku WBSL ini, beliau menulis atau bercerita mengenai kehebatan daging Wagyu khasnya dan alam pertanian, sesuatu yang telah pun disedia dan diajarkan Allah seperti mana disebut dalam Quran. Terdapat 12 potong ayat al-Quran dimuat dalam buku ini menjadi sandaran dalam penulisannya. 

Ketangkasan Husam ialah bukan sahaja menterjemah al Quran, tetapi berupaya mentafsir menyesuaikan dengan perkembangan dan peredaran masa. Pentafsirannya berbentuk kontemporari. Buku WBSL ini merupakan dokumen realistik mengenai hal ini kerana ia dihasilkan berdasarkan pengalaman dan penyelidikan mendalam beliau mengenai Wagyu. 

Buku ini ditulis sejak tahun 2019, kira-kira empat tahun lepas. Dalam mengenal dan mempelajari selok beluk pemeliharaan Wagyu ini beliau telah mengunjungi ke beberapa buah negara seperti Thailand, Korea dan Jepun yang menjadi negara penternak atau mengeluarkan Wagyu utama dunia. Wagyu menjadi lambang gastronomy perfection dan culinary perfection masyarakat Jepun. Untuk mencerapi Wagyu ini beliau ke Jepun sebanyak tiga kali, sekali saya ikut sama. Di sana kami ke Tottori daerah awal mengeluarkan Wagyu. 

Buku ini bukan sekadar memaparkan keenakan daging Wagyu, tetapi turut sama menceritakan kaedah pemeliharaanya, penyediaan makan minumnya, kawalan kesihatan dan penyakit, sehingga maklumat mengenai pemasaran dan penyediaan makanan, proses pelet. Pendek kata buku ini holistik. 

Husam yang sangat meminti dunia pertanian, beliau bukan sekadar membaca tentang industri itu, tetapi mengembara ke mana-mana negara yang terkenal dengan sesuatu hasil pertanian dan penternak itu dan lebih menakjubkan lagi beliau akan membawa idea yang dilihat itu atau pun mempraktikan di negara sendiri bagi membuktikan apa yang dilihat itu benar atau tidak.

Misalnya beliau sangat obses kepada penanaman padi organik sehinggakan beliau membuka sawah organik percubaan sendiri di Kelantan dan berjaya. Sawah percubaan itu kini sudah mendapat pengikhtirafan KADA dan pernah dilawati Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, (KPKM) Datuk Mohamad Sabu. Dan mengenai Wagyu ini beliau juga turut ternaknya beberapa ekor di rumahnya. 

Buku WBSL ini di terbitkan oleh Penerbitan Universiti Putra Malaysia, (UPM) dan bakal berada dipasaran tidak lama lagi. Kini dalam proses penyudahan (finishing) untuk diluncurkan. Buku bersaiz copy table ini mengandungi lebih 120 gambar dan carta warna warni, sangat sesuai untuk dimiliki dan dihayati oleh semua peringkat yang mencinta dunia pertanian dan perternakan daripada Menteri, Ketua-Ketua Agensi dibawah KPKM, mahasiswa, pengusaha, sampailah kepada seluruh warga penternak dan petani.

Ia juga sangat "paten" untuk dijadikan teks khas kepada pelajar pertanian dan perternakan dan peniagaan di peringkat universiti.

Selain mencerita sejarah kewujudan Wagyu secara mendalam, asal usul munculnya Wagyu, jenis-jenis dan keturunan serta kronologinya, buku ini juga membawa mesej bahawa pertanian atau penternakan itu adalah wadah tranformasi budaya dan Wagyu ini sendiri mempunyai nilai ekonomi yang sangat berbeza khasnya dengan penghasilan ternakan lembu-lembu jenis lain. 

Sangat sesuai sekiranya buku ini diluncurkan Menteri KPKM bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) tanggal 24 Mei hingga Jun nanti. [wm.kl.11:00 am 07/05/24]






No comments: