Tuesday, July 2, 2024

Spirit Muharram untuk damaikan negara

 RENCANA 

Hadi - Anwar semoga ada bisikan 
malaikat di antaranya.
TUJUH hari lagi kaum Muslim akan menyambut ketibaan 1 Muharram, yang mengangkat kita ke satu lagi digit tahun baru 1446 Hijri. Sempena melangkah masuk ke orbit ini diharap ia memberi sesuatu yang signifikan kepada umat Islam amnya dan bangsa Melayu khasnya. Muharram ini didatang khusus dengan segala macam fadhilat dan keberokatannya untuk kita hayati dan pelajari. Banyak peristiwa yang berlaku disepanjang bulan ini. 

Misalnya 10 Muharram disunatkan berpuasa dan perbanyakkan amal ibadat. Semua suruhan itu membawa maksud dan tujuan tersendiri, antaranya sebagai mengenang, mengimbau, menghayati segala peristiwa yang berlaku di sepanjang bulan ini. Bulan Muharram dimengertikan bulan larangan berperang lantas ia lantaran itu ia dianggap bulan suci dan mulia.


Itulah erti dan rahsia disebalik galakan amalan ibadat dan ahlan wasalan ke atas bulan ini, bagi dijadikan pengajaran untuk hidup.

Dalam masyarakat kita menjadi tradisi menyambutnya dengan penuh meriah. Dianjurkan berpuasa sunat, dihari-hari tertentu dibulan ini dan dimeriahkan dengan kenduri kendara selalunya penyediaan bubur asyura. Ia dipercayai kerana mengambil sempena peristiwa Asyura yang menjadi ritual setengah aliran mazahab.

Ramai-ramai masyarakat membuat bubur asyura dengan pelbagai resipi yang sedap- dan enak. Dan sekiranya sesuatu keluarga itu banyak menyediakan asyura ia dianggap lebih hebat.

Dari segi sejarah sambutan asyura ini dibuat pada hari kematian/pembunuhan cucunda Rasulullah, Hussein Ali dalam peristiwa Karbala, ia dikaitkan dengan amalan faham Syiah?

Apakah sambutan itu semua memberi makna dan erti kepada kita? Apakah itu tujuan dan rahsia "sengoti" di sebalik suruhan beramal pada tarikh itu? Tidak. Soal makan minum, perarakan, ritual dan sebagainya bukan persoalan atau pun faktor akan membawa kita ke sisi Allah. Makan itu hanya suatu kebutuhan hidup sahaja untuk mencapai makna lebih bererti dari itu. Yang mustahak iman dan bertakwa.

Justeru apakah yang penting, boleh kita ambil sebagai iktibar di sebalik sejarah dan peristiwa yang berlaku di sepanjang bulan Muharram nanti. Apakah spirit atau roh Muharram yang boleh kita resapkan ke dalam jiwa kita. Sebenarnya menghayati spirit itu lebih penting.

Beberapa peristiwa “muktabar” yang senantiasa "dicerita-barikan" berlaku pada bulan ini, kebanyakan yang menimpa ke atas para Nabi atau ada sangkut paut dengan para Nabi. Selainan itu kisah penurun kitab Taurat dan sebagainya.

Peristiwa dan kisah-kisah itu ada disebut dalam al Quran dan diriwayatkan dalam kitab, sering dibaca sempena majlis sambutan Muharram. Dalam berbagai kejadian dengan berbagai versi, tafsir dan sambutan itu, di sini saya hanya ingin menyebut dua peristiwa sahaja untuk dikenang dan dihayati pengajaran daripadanya bagi direnung di sini.

Dua peristiwa.


Pertama, pada bulan ini terciptanya manusia pertama Adam a.s. dan kita semua. Kalau kita ingin menyambut hari jadi kejadian kita, carilah tarikh-tarikh dari 1 hingga 30 Muharram, sebab kita dijadikan pada bulan ini. Tidak disebut secara spesifik mengenai hari, masa dan juga tarikh.

Kedua, pada bulan ini Allah menzahirkan sifat Mahapengasih dan Mahapenyayang-Nya dengan memberi keampunan atas kesilapan Adam a.s. yang memakan buah larangan (kuldi) sampai dinyah dari syurga. Namun atas Maha pengampunan dan Maha pengasihnya, Allah memaafkan Adam atas kesilapannya itu.

Kisah dilakukan Adam itu memberi iktibar kepada kita, betapa perbuatan dan kesilapan Adam itu sangat besar sehingga dibuang dari syurga. Kita tahu syurga adalah destinasi semua orang kerana disitulah kebahagian, kepuasan dan segala macam kehendak manusia disediakan dan dipenuhi.

Apabila Adam dengan satu kesilapan dihalau dari syurga, menunjukkan akan “ketebolahan” (lalai dan kufur) manusia, namun ia dimaafkan, menggambarkan akan Mahakasihnya dan Mahaampunnya Tuhan. Apa yang boleh difahami disini setiap kesalahan manusia itu akan dimaafi Allah. Jadi kalau Allah boleh memaafkan hambaNya kenapa tidak kita, siapalah sangat kita ini.


Dan perbuatan itu sangat besar sehinggakan dia dibuang. Sementara pemaafan itu hendaklah diambil pengajaran bahawa kita senantiasa dalam kesilapan dan kita juga dalam keampunan. Ertinya kesilapan itu bukan pengakhiran dalam kehidupan dan suatu permulaan yang lebih bermakna dan bererti lagi. Manakala kesalahan dan dosa orang lain menjadi kewajiban untuk kita memaafkan.


Itu yang perlu kita hayati.

Peristiwa atau kisah kedua yang dinukil berlaku pada bulan ini juga, penghijrahan Nabi Muhammad S.a.w. daripada Makkah ke Madinah. Tujuannya ialah mencari penghidupan baru setelah di Makkah tidak menjamin kebahagiaan, setelah dakwahnya ditolak oleh kaum di situ. Walaupun Makkah adalah bumi kelahiran dan tempat jatuh tembunannya, namun Nabi Muhammad sanggup dan rela berhijrah. Sepanjang penghijrahan itu tidak dapat dibayangkan betapa seksa dan sangsaranya beliau dan rombongan namun digagahi juga.

Semangat yang tertanam dalam dirinya sungguh besar dan hebat. Penghijrahan itu juga kita tidak dirigitkan untuk tinggal disuatu tempat. Dan roh hijrah itu juga perlu kita hayati.

Dari sisi lain penghijrahan itu bagi membina negara baru serta memperluaskan jajahan taklukan. Bermula di Madinah itulah Nabi membina dan membentuk kerajaan Madani yang kemudian diperluaskan ke serta dunia.

Dituntut cari kebahagiaan.

Peristiwa hijrah itu memberi pengertian, kita dituntut mencari kebahagiaan dalam penghidupan lebih terjamin dan harmoni. Tidak boleh statik dan bertahan disatu-satu tempat betapa pun kita mencintainya. Iktibar dilakukan Nabi Muhammad itu adalah sebagai “transformasi”, “reformasi” dan seterusnya “revolusi” dalam kehidupan. Transformasi tindakan, reformasi cara hidup dan bentuk, kemudian merevolusikan dengan menguasai keadaan secara perlahan-lahan seperti mana Rasulullah menguasai ¾ dunia.

Baik apakah yang kita boleh ambil sebagai iktibar bagi kehidupan kita bernegara hari ini dengan peristiwa hijrah itu. Kita semua faham sesebuah negara itu akan ditadbirkan oleh sebuah kerajaan. Negara kita mengguna pakai sistem demokrasi berparlimen sebagai vehicle pentadbiran. Kerana guna pakai sistem ini kita bergaduh dan bersengketa, sepanjang masa. Tanpa sedar atau tidak, kita telah mengkhianati atau menyalahgunakan semangat dan falsafah demokrasi.

Sebenarnya demokrasi tidak mengajar kita demikian, kerana ia keadilan dan kebebasan untuk semua, tetapi kerana nafsu dan kependekan ilmu kita dalam memahami, mengenai erti demokrasi menjadikan kita demikian bongok. Ada bangsa lain menggunakan sistem ini, mereka berjaya membangunkan negara bangsa mereka dengan baik dan jaya. Kenapa, sebabnya mereka tidak jadi sesadis (melampau atau berlebihan) dalam berpolitik, tidak bergaduh seperti bangsa kita, bergaduh kerana politik sepanjang masa. 

Politik demokrasi yang diamalkan oleh orang kita lebih ekstrim kejumudan dalam memahaminya atau pun kasar terkeluar dari batas-batas demokrasi sebenar berbanding dengan masyarakat yang mula memperkenalkan sistem ini dan melaksanakan seperti di negara-negara Barat.

Menyedari keadaan ini sudah berlebihan dan merugikan, disini saya ingin menyarakan agar semua kita khasnya pemain politik pengejar kuasa untuk mentadbir negara dan "membulatkan perut", mengambil iktibar kepada dua peristiwa yang saya disebut diatas bagi memakna dan mengertikan demokrasi dan politik kita.


Bahawa betapa manusia (Adam) bersalah dan berdosa dia dimaafkan oleh Allah, dan bahawa berbaik-baik itu membahagia dan berjaya (sukses). Sekali lagi disebut kalau Allah memaafkan kesalahan Adam, kenapa kita kita tidak boleh memaafkan sesama sendiri?


Apakah dalam konteks yang berlaku dalam kloni politik hari ini, kita tidak boleh berdamai? Tidak boleh berbaik atau sekurang-kurangnya cease fire, mencari jalan penyelesaian untuk berdamai. Kita bergaduh, bermasam muka, benci membenci hatta hingga pulau memulau gara-gara politik, tetapi tidak salah untuk kita kembali berbaik sangka dan bedamai, bersifat pemaaf dan menerima maaf.

Seluruh rakyat bahagia  melihat
gambar mereka kedua
dalam situasi begini.
Apa diharapkan semangat atau spirit Muharram yang disebut tadi hendaklah kita terap dan selami
dalam kehidupan kita terutama dalam politik. Kita perlu bersifat apologetik mengakui kesalahan kita dan menerima kebenaran pihak lain. Kita perlu berubah daripada menjadi lawan dan musuh, kepada menjadi kawan dan sahabat.

Berubah dari membenci kepada mengasihi, berubah dari memfitnah, menyatakan kebenaran, berubah dari menegakkan pembohongan kepada mengakui kebenaran. Berubah daripada egois kepada sikap tasamuh. Berubah daripada menegakkan benang basah kepada sama-sama mengakui kesilapan lampau yang diteruskan dan mengeringkan benang untuk ditegakkan.


Selain daripada dua peristiwa itu berlaku pada bulan Muharram, banyak lagi peristiwa dan kejadian lain yang boleh diambil pengajaran daripadanya yang mana tiap satunya membawa mesej, memberi pengajaran dan anjuran kita mengikutinya. Sesungguhnya sesuatu kejadian, peristiwa itu bukan sia-sia ditakdir melainkan untuk diambil sebagai pengajaran.

Jadi apakah yang boleh dipelajari dari dua peristiwa di atas tadi dalam konteks kehidupan kita berbangsa negara hari ini yang boleh kita mulakan pada 1 Muharram 1446 ini?


Untuk tujuan ini saya mendoa dan menyarankan langsung kepada para pemain politik terutamanya kepala-kepala kabilah, parti. Biarlah saya mula kepada presiden parti-parti politik baik parti pemerintah atau oposisi. Mungkin tidak mudah untuk mengaut dan mengaulkan semua sekali, maka saya tertumpu dahulu kepada ketua kerajaan Anwar Ibrahim dan Abdul Hadi Awang, Mahiaddin Yassin dan lain-lain. Tiga insan hamba Allah inilah yang patut menjadi ikon perpaduan dan penyatuan bangsa negara. Mereka bertiga inilah yang perlu menghayati spirit Muharram dan jadi contoh. Insya-Allah jika mereka menghayati spirit dan roh Muharram akan mudahlah untuk mempersatukan para pengikut di bawah.

Pengikut dan penyokong dibawah laksana kiambang yang bepecah dan terpiah berada dalam satu kolam sama, ia akan bertangkup dan berpadu apabila biduk lalu mengajak mereka. Dalam konteks ini Anwar, Hadi dan Mahiaddin adalah biduk dalam kolam politik kita. 
Pun begitu para penyokong dan ahli juga ada peranan dan tanggungjawab ke arah perdamaian ini. Mereka boleh menjadi perangsang kepada tujuan dan maksud ini dengan mengambil peranan sebagai pendesak, disamping mengurangkan perbalahan dan serang menyerang di antara satu sama lain. Penyokong dan ahli perlu bertindak menjadi bunga bungi mewangikan suasana bagi mencapai tujuan ini.

Keberadaan umat manusia berpuak ini seperti gerabak keretapi dengan kepalanya. Gerabak akan berjalan menuruti ke mana kepala membawa mereka. Jika salah dan tergelincir kepala, maka salah dan tergelincirlah keseluruhan gerabak. Nah demikian orang politik dan penyokongnya.

Sudah ada beberapa peristiwa muktabar pada bulan Muharram sejak 1,400 tahun lalu, justeru kita sangat berharap biarlah ada satu peristiwa besar pada bulan Muharram yang membabitkan masyarakat atau kaum kita, yang berlaku dalam negara kita sendiri di hadapan mata kita sendiri.

Peristiwa yang sangat ditunggu oleh saya, dan saya yakin semua orang juga mengharapkan ialah, pemaafan di antara kerajaan dengan pembangkang. Persalaman di antara Abdul Hadi Awang, Mahiaddin Yassin dengan Anwar Ibrahim. Sesungguhnya saya sedang menanti Abdul Hadi membaca marfhum ayat "wa'tasimu bihablillahi" dari surah al Imran ayat 103 untuk kesekian kalinya. [wm.kl. 4:15 pm 02/06/2024]

Monday, July 1, 2024

Ke arah kedamaian negara


CATATAN JULAI

SEMASA singgah di Sungai Bakap malam semalam, saya disapa dan disalami penuh mesra oleh seseorang. Dia beri tahu dia pembaca tulisan saya, baik dalam medsos dan juga buku-buku saya.
 
Menurutnya lama dia memantau penulisan saya, terutamanya mengenai politik sejak diawal reformasi lagi. Jadi perjumpaan malam itu sedikit merujanya.

Secara jujur dia mengakui dia ahli parti Amanah, bermakna dahulu dia adalah ahli parti Pas. Dia datang dari Parit Buntar, usianya saya kira sekitar 50an.

Dalam perjumpaan itu, dia mengadu akan kebimbangannya dengan sikap dan kerenah politik masa kini terutamanya membabitkan orang-orang Pas. Katanya rata-rata penyokong Pas ditempatnya adalah rakan dan saudaranya, sebab dia juga ahli Pas. Namun hubungan dan persahabatan terputus bila dia menyertai Amanah. Ikatan kasih sayang dan ukhwah sesama sendiri juga retak.

Rakan-rakan dalam Pas memulaunya. Bukan itu sahaja, mana-mana ada yang ingin terus berkawan dengannya, diugut dan turut dipulau sama. Menyedihkan diberikan peringatan agar jangan mendekati "Neraka." Nauzubilah mina zalik. 

Beliau sangat bimbang dengan situasi ini. Lantas beliau mahu tahu pendapat saya, dan ingin petua daripada saya bagaimana hendak mengatasinya. Baginya politik sebegitu tidak rasional lagi dan sudah melampau. Masakan berpolitik, berbeza idealogi boleh putuskan persahabatan, dan meretakkan hubungan anak beranak. 

Saya memahami apa dihadapinya itu. Ia merupakan satu culture shock kepada setiap orang yang tidak bersama Pas. Situasi yang disebut itu sudah lama berlaku di Kelantan dan Terengganu.

Katanya keadaan itu tidak berlaku sebelum ini, tetapi ia menjadi-jadi sekarang ini, sejak tertubuhnya Amanah. Beliau hairan walaupun elemen benci membenci itu sudah ada sebelum ini khususnya dengan orang UMNO, tetapi ia tidak sesadis dengan Pas.

Saya hanya dengar luahan perasaannya sebab saya sudah arif mengenainya. Hal sebegitu sudah lama berlaku di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Fenomena sama kini menyerap ke Perak, Selangor, Pahang, Johor malahan ke seluruh negara. Budaya politik Pas ala Kelantan dan Terengganu itu sedang bergerak ke seluruh negara. 

Dahulu dirasakan hanya orang Kelantan dan Terengganu fanatik politik PAS, tetapi elemen itu kini sudah menyelinap dan menjadi amalan kepada ahli dan penyokong Pas di negeri lain. Ini berlaku kerana Pas menamkan faham politik salah itu secara istiqamah tanpa rasa bersalah dan berdosa. Pas sangat obeses kepada politik ekstrim dan fanatik begitu.

Dari sudut ilmu politik ia tidak salah cara Pas itu. Sebab untuk menarik perhatian dan mengikat ahli ia perlu lakukan apa sahaja strategi dan tektik walaupun tidak rasional dan bertentangan dengan nilai hidup yang menyedihkan. Sebab ia dihalalkan dalam politik. Dalam konteks ini Pas tidak salah seratus peratus.
Amalan dan kepercayaan politik Pas itu umpama hendak menangkap burung atau kancil di hutan. Kita akan menggunakan apa sahaja helah (strategi) untuk menangkapnya. Guna jerat dengan meletakkan pelbagai ummpan, hidup atau mati dan sebagainya. 

Dan kalau buruan itu tidak masuk ke jerat, ditembaknya. Dan apabila sudah mendapatnya akan disangkarnya, kurung agar tidak boleh keluar lagi. Apakah cara itu menyeksa dan menghiba itu soal lain. Politik mana ada hati perut dan perasaan. Madah saya, jagan rasa mustahil dengan tindakan orang politik.

Kerana sahabat itu serius dan ikhlas mahukan pendapat saya bagaimana hendak menyelesaikan politik cara jahiliah itu, saya memberi dua petua untuk meredakan permasalahan ini. Pertama haramkan terus Pas, atau pun ubah parti Pas jangan biarkan ia menggunakan perkataan Islam, dan menjadikan Islam sebagai idealisme politiknya.

Atau kalau tidak berani untuk mengharamkan Pas, usahakan agar parti agama itu bersama parti memerintah kini. Ambilnya menjadi sebahagiuan daripada kerajaan. Saya percaya dan yakin kalau dibuat cara ini, dalam kata lain Pas bersama menyokong kerajaan, akan redalah perang psikoligi, politik jahiliah, tindakan pulau memulau dan mengkafirkan orang lain itu. Saya jamin.

Usaha atau hal ini sudah jadi kenyataan, suatu masa dahulu, apabila Pas menyertai BN tahun 1974. Selama PAS berada dalam BN ketika itu, pulau memulau dan mengkafirkan orang UMNO berhenti terus. Ia muncul kembali apabila Pas ditendang keluar daripada BN. 

Berbanding petua pertama tadi, mengharamkan Pas, saya kata cara kedua itu lebih baik, harmoni. Tindakan mengharamkan Pas akan menambahkan bara dan api kemarahan orang Pas kepada parti memerintah hari ini. Pas sanggup mati dalam soal keyakinannya. Ia akan dijadikan modal sehingga kiamat nanti. Justeru cara paling bijak dan berhemah ialah bawa Pas masuk ke dalam kerajaan.

Saya percaya dan yakin mereka (pemimpin) yang rasional politik sedang berusaha ke arah itu. Dan akhir-akhir ini sudah nampak ada bunga-bunga persefahaman di antara Pas dengan parti kerajaan sedang berkembang. Sudah ada aksi, kenyataan dan pandangan lunak dikeluarkan para pemimpin Pas. Perubahan dan beralihnya nada memberi isyarat jelas. Bagus. 

Dalam konteks untuk mereda dan mendamaikan politik kita, bukan sahaja perlu ditumpukan kepada ta'awun atau kerjasama Pas dengan kerajaan, tetapi parti Bersatu juga perlu diundang sama. Kena letakkan Bersatu sebahagian daripada baji atau paku (pasak) yang akan mengemaskan perpaduan ummah dan kestabilan politik di negara ini. 

Keharmonian dan kedamaian negara ini tercapai kalau umat Melayu bersatu. Kalau negara ini dianggap sebagai hak Melayu, maka Melayu wajib bersatu demi merealisasikan harapan itu. 

Anak muda itu dengar dan rasanya berpuas hati dengan pandangan saya, sebab masa bersalam untuk berpisah dia genggam tangan saya kemas-kemas dan harap akan berjumpa lagi. Trims. [wm.kl. 11:22 am 01/07/2024]